TAFAQQUH FIDDIN : KEMULIAAN REJAB
Merungkai Ibadah Zakat dan Agihan Wakalah

TAFAQQUH FIDDIN: Slot Tazkirah telah disampaikan oleh Hj Ahmad Sharizal Bin Saffian daripada PPZ.

Labuan, 23 Feb – Kemuliaan Rejab menjadi tajuk tazkirah dalam Program Tafaqquh Fiddin, jalinan kerjasama antara Sektor Pendidikan Islam (SPI), Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan (JPWPL) dengan Pusat Pungutan Zakat (PPZ) Cawangan Wilayah Persekutuan Labuan secara dalam talian yang diadakan baru-baru ini.

Tafaqquh Fiddin merupakan program mingguan SPI dalam usaha memberi pengetahuan tentang agama Islam meliputi bidang akidah, syariah dan akhlak di bawah unit Pembangunan Adab dan Nilai.

Majlis bermula seawal jam 8.00 pagi dengan bacaan surah Al Kahfi ayat 1 hingga 10 dan ayat 100 hingga 110 yang dipimpin oleh Tuan Hj Sahrum bin Samlan dari SPI, JPWPL

Ianya diikuti dengan bacaan surah Yaasin yang dipimpin oleh Encik Amir bin Budin dari Sektor Sumber Manusia (SSM). Manakala bacaan doa selamat dipimpin oleh ustaz Mohd Syahir bin Mohd Yusof daripada SPI.

Tazkirah on-line,  Kemuliaan Rejab, Penjelasan Zakat dan Wakalah telah disampaikan oleh Tn Hj Ahmad Sharizah bin Saffian daripada PPZ.

TAZKIRAH: Ahmad Sharizal menyampaikan tazkirah Kemuliaan Rejab dan merungkai persoalan berkaitan zakat dan wakalah.

Menurut Ustaz Ahmad Sharizal, Bulan Rejab merupakan salah satu daripada ‘al-Ashur al-Hurum’ (bulan-bulan haram) dan bulan yang menghampiri Ramadan. Bulan Rejab ini setiap kezaliman, dosanya lebih besar daripada bulan lain sebagaimana kebaikan yang dilakukan pada bulan ini maka pahalanya lebih banyak daripada bulan lain. Antara keistimewaan bulan Rejab ialah berlakunya peristiwa Isra’ dan Mikraj yang menurut kebanyakan ulama’ ia berlaku pada 27 Rejab.

“Rejab bermaksud mengagungkan. Rejab digabungkan dengan syaaban disebut rejaban. Bulan untuk kita koreksi semula puasa-puasa yang belum diqada’ maka bersegeralah untuk melunaskan hutang puasa.  Di bulan inilah kita perbanyakkan ibadah sunat seperti solat sunat, bersedekah, berzikir, berpuasa sunat untuk mendekatkan diri kepada Allah s.w.t. sebagai persiapan untuk menyambut Ramadan.

“Di bulan Rejab inilah kita merancang untuk mengagihkan wang wakalah yang telah disalurkan ke sekolah-sekolah. Agihkanlah wang wakalah mengikut garis panduan yang sepatutnya untuk tujuan maslahat seperti surau sekolah, membantu pelajar-pelajar miskin, aktiviti keagamaan sebagaimana garis panduan yang telah diedarkan ke sekolah-sekolah”. katanya.

TEKUN: Amir bin Budin mengetuai Bacaan Surah Yaasin semasa Program Tafaqquh Fiddin.

Wakalah merupakan pengembalian wang zakat kepada entiti yang membayar zakat kepada Pusat Pungutan Zakat-MAIWP untuk diagihkan kepada asnaf yang layak berdasarkan syarat-syarat yang telah ditetapkan. Penyerahan wang wakalah oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) ke sekolah-sekolah telah dilaksanakan pada bulan Disember yang lalu.

Majlis secara maya menggunakan aplikasi google meet ini telah dihadiri oleh Pengarah JPWPL, Puan Khaziyati binti Osman, Timbalan-timbalan Pengarah, Ketua-ketua Penolong Pengarah, Pengetua dan Guru Besar, pegawai-pegawai di JPWPL, guru-guru Pendidikan Islam dan warga pendidikan di Wilayah Persekutuan Labuan.

Siaran langsung majlis ini turut dimuat naik dalam Facebook Live  dan You Tube Live.

Berita Oleh : Sektor Pendidikan Islam

KENANGAN: Hadirin turut merakamkan gambar bersama penceramah dan puan pengarah seusai majlis Tafaqquh Fiddin.

Loading

image_pdfimage_print