SMK Mutiara, W.P Labuan Terus Melakar Kejayaan Membanggakan : Johan Pertandingan Merekacipta Poster Dan Tempat Ketiga Pertandingan Merekacipta Video Pendek Anjuran AADK W.P Labuan

Antara barisan pendokong utama yang terdiri daripada pentadbir sekolah, kaunselor sekolah, Unit ICT SMK Mutiara serta guru-guru dalam merealisasikan penghasilan sebuah karya poster dan video pendek “ Di Atas Sejadah” anjuran AADK WP Labuan tahun 2021.

24 Februari 2021 – SMK Mutiara WP Labuan sekali lagi telah mencipta kejayaan berganda apabila telah memenangi dua kategori pertandingan yang telah dianjurkan oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Wilayah Persekutuan Labuan. Bagi kategori pertama iaitu Pertandingan Merekacipta Poster dalam kategori terbuka, SMK Mutiara yang diwakili oleh guru SMK Mutiara iaitu Encik Mohd Asrul bin Jais telah mendapat tempat pertama dengan  menewaskan peserta-peserta lain dengan menampilkan  ilham poster yang penuh makna tersirat dan membawa mesej kesedaran. Poster yang dihasilkan itu telah diberikan sentuhan idea yang lebih segar daripada Encik Yahya bin Ahmad Puteh, Pengetua SMK Mutiara bagi memastikan penceritaan dari sekeping gambar itu mudah difahami dan dihayati oleh sesiapa sahaja yang melihatnya.

Hasil rekaan poster kreatif oleh guru SMK Mutiara iaitu Encik Mohd Asrul bin Jais yang telah membawa kepada kejayaan dalam kategori terbuka merekacipta poster anjuran AADK Peringkat WP Labuan

Bagi kategori kedua pula iaitu Pertandingan Merekacipta Video Pendek yang berjudul ‘Di Atas Sejadah’, kumpulan SMK Mutiara telah berjaya mendapat tempat ketiga. Kumpulan ini terdiri daripada gabungan antara guru dan beberapa orang pelajar. Barisan guru yang telah terlibat dalam memberikan idea dalam kategori ini terdiri daripada kaunselor sekolah iaitu Puan Normaisaraf binti Ab Rashid, guru Pendidikan Islam iaitu Ustazah Rohani binti Tali serta guru teater dan kebudayaan sekolah iaitu Encik Ilias bin Zakaria. Manakala Encik Ahmad Radzi bin Ab Halim yang juga merupakan kaunselor sekolah turut sama terlibat secara langsung dengan memegang salah satu watak dalam video pendek yang dihasilkan. Suntingan dan kesan khas untuk video yang dihasilkan ini telah mendapat sentuhan kreatif daripada Encik Mohd Fauzi bin Atoh yang merupakan Juruteknik Komputer SMK Mutiara. Penasihat utama dan garapan idea dalam menghasilkan idea ini dibantu oleh Encik Masri bin Ayong, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid dan Encik Yahya bin Ahmad Puteh, Pengetua SMK Mutiara. Manakala barisan pelakon pula terdiri daripada pelajar-pelajar SMK Mutiara yang memberikan komitmen dan sentiasa bersemangat dalam menjiwai watak yang diberikan.

Video pendek ini boleh ditonton semula di YouTube Channel, Unit ICT  SMK Mutiara iaitu Bestari Vlog di pautan https://m.youtube.com/watch?v=n6KDMWW8QvE&feature=share.

Menurut Encik Yahya bin Ahmad Puteh, Pengetua SMK Mutiara, walaupun tempoh masa untuk menyiapkan poster dan menghasilkan video pendek ini agak singkat iaitu kira-kira dua hari sahaja setelah mendapat hebahan pertandingan tersebut, namun beliau amat berbangga dengan pasukan SMK Mutiara yang telah berjaya menyahut seruan untuk melakukan yang terbaik dalam pertandingan yang disertai ini. Segala kekurangan yang ada dalam menghasilkan video pendek dan poster ini akan dijadikan panduan dan rujukan bagi proses penambahbaikan untuk menghasilkan sesuatu yang lebih baik dalam mana-mana pertandingan pada masa akan datang. Apa yang penting adalah semangat berpasukan yang telah ditunjukkan oleh semua pihak yang terlibat dalam mencapai matlamat ini merupakan sesuatu yang amat dibanggakan oleh pihak sekolah. Video pendek ini boleh ditonton semula di YouTube Channel, Unit ICT  SMK Mutiara iaitu Bestari Vlog di pautan https://m.youtube.com/watch?v=n6KDMWW8QvE&feature=share.

Di peringkat SMK Mutiara pula, poster dan video yang telah dihasilkan untuk pertandingan anjuran AADK WP Labuan ini akan digunakan oleh Unit Bimbingan dan Kaunseling (UBK) dan Unit Pendidikan Pencegahan Dadah dalam penganjuran Minggu Anti Dadah di peringkat sekolah memandangkan mesej yang disampaikan melalui poster dan video tersebut amat dekat dengan kehidupan sebenar remaja pada masa kini sesuai dengan objektif yang ingin dicapai iaitu memberikan pendedahan dan pendidikan bahaya dadah, rokok dan alkohol dalam kehidupan bermasyarakat. Diharapkan dengan kejayaan ini , SMK Mutiara akan terus menempa lebih banyak kejayaan pada masa akan datang sesuai dengan cogan kata yang menjadi pemangkin semangat jitu buat warga sekolah iaitu Mutiara Hebat, Juara Terpahat.

Antara barisan pendokong utama yang terdiri daripada pentadbir sekolah, kaunselor sekolah, Unit ICT SMK Mutiara serta guru-guru dalam merealisasikan penghasilan sebuah karya poster dan video pendek “ Di Atas Sejadah” anjuran AADK WP Labuan tahun 2021
Antara barisan pelakon yang menjayakan watak dalam  video pendek ‘Di Atas Sejadah’ yang dipegang oleh murid-murid SMK Mutiara, WP Labuan.

Loading

image_pdfimage_print