Labuan, 5 Mac 2021 – Syarikat Repsol Oil & Gas Malaysia Limited sentiasa komited bagi membantu menyuntik semangat dan motivasi murid di kalangan anak-anak nelayan di wilayah ini.
Pengurus Stakeholder Relations, Repsol Oil & Gas Malaysia Limited, Encik Ahmad Fakhrurazzi Arshad berkata syarikat yang berpangkalan di Madrid, Sepanyol ini sentiasa komited dan prihatin untuk membantu masyarakat komuniti tempatan di mana syarikat mereka beroperasi.
“Anugerah Motivasi pada hari ini merupakan kesinambungan usaha-usaha tersebut yang memfokuskan kepada pendidikan, khasnya kepada anak-anak nelayan di Wilayah Persekutuan Labuan yang masih di bangku sekolah.
Hasrat kami adalah untuk membantu dan menyuntik semangat dikalangan anak-anak ini untuk mencapai kecemerlangan dalam akademik dan aktiviti kokurikulum sekolah. ”
Dalam Majlis Anugerah Motivasi Murid Golongan Komuniti Nelayan Tahun 2021 yang telah berlangsung secara maya ini, Pihak Repsol telah menghulurkan bantuan sebanyak RM400 kepada murid Tingkatan 3 yang lulus PT3 dan RM300 kepada murid Tahun 6 yang lulus dalam UPSR pada tahun lalu.
Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, Encik Yusup Mohamad merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak Repsol di atas usaha murni dalam membantu pelajar dari golongan komuniti nelayan berpendapatan rendah sebagai motivasi dalam pelajaran dan kehidupan mereka.
“ Dengan bantuan ini, kita berharap para pelajar akan menggunakan wang bantuan itu dengan sebaik-baiknya dan menggunakan bantuan itu untuk membeli peralatan sekolah dan buku-buku pelajaran,” katanya.
“ Saya berharap program ini dapat diperluaskan kepada pelajar-pelajar lain yang layak dan menjadikan program ini salah satu program utama secara ‘one off’ yang menjadi fokus utama khidmat masyarakat daripada pihak Repsol,” katanya.
Hadir sama, Timbalan Pengarah Sektor Perancangan Encik Mohd Nizam Yasim, dan Timbalan Pengarah Sektor Pembangunan Murid Tuan Haji Abdul Rahman Ahmad dan Datuk Eddie Abdullah Penasihat, Perhubungan Masyarakat & Kerajaan Negeri Sabah dan Labuan.Repsol Oli & Gas Malaysia Limited.