Mesyuarat Agung Tahunan Koperasi SMKTPB Labuan Berhad

Labuan, 15 Mac – Koperasi SMK Taman Perumahan Bedaun (SMKTPB) Labuan Berhad telah menganjurkan mesyuarat agung tahunan koperasi kali ke 17 seperti yang dirancangkan oleh Ahli Lembaga Koperasi telah berjalan dengan lancar.

Mesyuarat ini berlangsung secara dalam talian pada 12 Mac 2021 bermula jam 2.30 petang sehingga jam 4.00 petang yang telah dipengeruskan oleh Encik Ag Rozlan Bin Manan, selaku Pengerusi Koperasi. Mesyuarat ini juga turut dihadiri oleh Encik Azmaniansyah Bin Bachok, Pengurus Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) cawangan Wilayah Persekutuan Labuan, guru-guru, dan juga murid-murid SMKTPB seramai 80 orang.

Pengerusi koperasi memulakan mesyuarat dengan  ucapan alu-aluan dan merakamkan ucapan terima kasih kepada Encik Azmaniansyah bin Bachok selaku  Pengurus SKM yang sudi hadir bersama untuk memantau dan melihat perjalanan sepanjang mesyuarat ini berlangsung. Beliau turut merakamkan ucapan terima kasih kepada semua ahli koperasi yang meluangkan masa untuk hadir bersama.

Menurut Pengerusi Koperasi, Encik Ag Rozlan bin Manan, mesyuarat ini adalah bertujuan untuk mendedahkan kepada semua ahli koperasi terutama murid-murid dalam menguruskan koperasi terutama dari segi kewangan dan cara untuk menguruskan koperasi dengan bijak dan juga memberi pengalaman kepada murid-murid untuk merasai suasana bermesyuarat dalam keadaan sebenar. Mesyuarat ini juga bertujuan untuk memberi pendedahan kepada ahli koperasi dari segi belanjawan tahunan, dapatan keuntungan dan juga aktiviti koperasi yang telah dirancang pada setiap tahun. 

Selesai ucapan daripada Encik Ag Rozlan, mesyuarat ini diteruskan dengan agenda- agenda yang telah dirancangkan termasuklah pembubaran Ahli Lembaga Koperasi (ALK) bagi sesi 2019/2020 dan melantik Ahli Lembaga Koperasi yang baharu bagi sesi 2020/2021, Pembentang Anggaran Belanjawan bagi Sesi 2020/2021, Pemberian elaun kepada ALK dan hal-hal lain.

Dalam cadangan usul, Encik Ag Rozlam meminta agar pihak koperasi dapat memikirkan mekanisme yang boleh memberi pengalaman kepada semua murid sekolah dari segi keusahawanan, perniagaan dan ekonomi supaya murid-murid lebih bersemangat dan bermotivasi untuk menceburkan diri dalam pelbagai bidang terutama dalam perniagaan.

Sebelum mengakhiri mesyuarat, Encik Azmaniansyah dalam ucapannya merakamkan ucapan terima kasih atas kehadiran semua dalam mesyuarat ini. Beliau juga merakamkan ucapan syabas dan tahniah kepada pihak Koperasi kerana berjaya mengadakan mesyuarat ini secara dalam talian walaupun dalam keadaan pandemik Covid-19 ini. Beliau berharap agar koperasi dapat membuat penambahbaikan dan mengikuti segala peraturan-peraturan dalam undang-undang kecil koperasi dengan lebih efektif. Turut hadir bersama dalam mesyuarat ini penolong kanan pentadbiran Puan Chai Yee San, Penolong kanan Kokurilum Puan Lau Chin Ying  dan  Penolong kanan HEM Encik Awang Adi Bin Tuah.

Berita Oleh : SMK Taman Perumahan Bedaun

Loading

image_pdfimage_print