Pembudayaan Digital Di SMK Mutiara Terus Dipergiat : Isu Cabaran Pergaulan Dan Sahsiah Murid Menjadi Fokus Dalam Program Temubual Norma Baharu Melalui Tayangan Video

Program berkonsepkan bual bicara santai bersama Penolong Pegawai Pembangunan Masyarakat LPPKN WP Labuan dengan kerjasama Unit Bimbingan dan Kaunseling dan Unit ICT SMK Mutiara yang dilaksanakan menerusi rakaman dalam media sosial secara terus atas talian.

10 MAC 2021 – Dalam usaha pihak sekolah bagi terus membudayakan amalan digital sebagai medium utama dalam proses penyampaian maklumat kepada warga sekolah khususnya dalam fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika ini, Unit Bimbingan dan Kaunseling (UBK) dengan kerjasama Unit ICT Sekolah Menengah Kebangsaan Mutiara terus giat menganjurkan sebuah program berbentuk rakaman temubual yang bertemakan pembangunan dan perkembangan sahsiah murid.

Bual bicara kali ini yang mengangkat tema sahsiah remaja masa kini iaitu Cabaran Pergaulan dan Sahsiah Murid ini dipilih sebagai salah satu usaha warga SMK Mutiara dalam proses mendidik murid-murid di sekolah ini agar sentiasa mengamalkan gaya pergaulan yang sihat serta sentiasa membataskan diri daripada perkara yang boleh mendatangkan kemudaratan kepada aspek rohani dan jati diri remaja.

Menurut Guru Bimbingan dan Kaunseling SMK Mutiara iaitu Encik Ahmad Radzi bin Ab Halim dan Puan Maisaraf binti Abdul Rashid, program pembudayaan digital seperti ini mendapat sokongan dan perhatian yang sangat baik daripada Pengetua Sekolah iaitu Encik Yahya bin Ahmad Puteh serta Penolong Kanan Hal Ehwal Murid iaitu Encik Masri bin Ayong dalam usaha meningkatkan perkhidmatan Unit Bimbingan dan Kaunseling disamping kemudahan Studio SMK Mutiara yang mempunyai kemudahan asas bagi proses rakaman dan perlaksanaan program ini.

“Secara tidak langsung melalui rakaman program temubual ini pihak sekolah dapat terus membudayakan pengintegrasian dan penggunaannya secara optimum di kalangan warga sekolah “, ujar Encik Yahya bin Ahmad Puteh selepas proses rakaman berlangsung. Tambah beliau lagi penggunaan teknologi mesti digabungjalin bersama dalam aspek kehidupan dan seterusnya mampu memenuhi tuntutan masyarakat memandangkan pengaruhnya dijangkakan akan membawa impak yang lebih besar dan bermakna dalam dunia pendigitalan masa kini.

Encik Yahya bin Ahmad Puteh, Pengetua SMK Mutiara menyampaikan sijil penghargaan kepada panel jemputan, Puan Noraini Binti Osman, Penolong Pegawai

Program yang dilaksanakan secara rakaman ini bertujuan bagi menyebarkan pengetahuan kepada murid mengenai cabaran sebenar realiti yang perlu dihadapi oleh mereka jika aspek pergaulan serta nilai akhlak diri dan sahsiah ini dipandang ringan yang pastinya akan memberikan impak yang besar di sepanjang kehidupan mereka kelak. Program temubual yang dilaksanakan secara santai namun penuh informasi ini telah dihadiri oleh seorang panel yang berpengalaman iaitu Puan Noraini Binti Osman, Penolong Pegawai Pembangunan Kebajikan Masyarakat Lembaga Penduduk dan Keluarga Negara (LPPKN), WP Labuan untuk memberikan kupasan dan pandangan berkaitan dengan isu sosial yang agak penting ini. Encik Ahmad Radzi bin Ab Halim pula selaku Kaunselor SMK Mutiara telah bertindak sebagai moderator dan dibantu oleh Unit ICT SMK Mutiara yang dilaksanakan secara rakaman di Makmal Komputer Bestari SMK Mutiara.

Rakaman program ini akan dipanjangkan ke semua saluran media sosial SMK Mutiara yang melibatkan ibu bapa dan murid SMK Mutiara agar info yang disampaikan di sepanjang perbincangan ini dapat dihayati dan dijadikan peringatan kepada semua agar sentiasa berhati-hati di dalam kehidupan. Harapan yang tinggi agar input yang berguna dapat dijadikan sebagai iktibar dan benteng yang kukuh bagi murid-murid untuk menangkis penularan ancaman gejala sosial di bawah pengaruh modenisme masa kini yang semakin berleluasa.

Golongan remaja dan murid adalah aset dan cerminan imej masa depan sesebuah negara kerana merekalah yang bakal memainkan peranan dalam mencorakkan masa depan politik, ekonomi dan kemasyarakatan di negara kita pada masa akan datang. Ibarat sebutir permata yang amat berharga terhadap ibu bapa, agama, bangsa dan negara begitulah pentingnya peranan mereka dengan penuh tanggunjawab untuk merencanakan pembangunan negara.

Umum mengetahui, alam remaja merupakan alam yang amat kompleks dan mencabar di mana fasa ini mereka masih tercari cari identiti diri yang sebenar. Namun dalam situasi ini, masih ramai remaja yang tersilap langkah dan terjerumus ke lembah gejala social. Perkara ini ditambah pula dengan pengaruh budaya barat yang semakin menular sekaligus membunuh jiwa suci para remaja ini dengan budaya-budaya negatif seperti hedonisme, sekularisme, liberalisme dan lain lain lagi.

Antara cabaran yang menjadi batu penghalang utama kepada pembangunan remaja alaf ini adalah pengaruh yang berleluasa tanpa kawalan dan sempadan. Pengaruh-pengaruh ini termasuklah pengaruh daripada persekitaran dan juga teknologi maklumat yang berleluasa dan telah menimbulkan pelbagai isu yang  tidak  dapat ditangani.

Maka itu, dalam usaha membentuk pelajar SMK Mutiara supaya lebih berhati-hati dalam aspek pergaulan dan mengelakkan diri daripada terjebak dengan gejala negatif diharapkan agar program temubual ini dapat membantu melahirkan murid yang lebih berdisiplin dan berhati-hati dalam memilih pergaulan demi kesejahteraan dan masa depan yang lebih baik. Perkongsian tentang bual bicara ini boleh ditonton di YouTube Channel Unit ICT SMK Mutiara iaitu Bestari Vlog di pautan https://youtu.be/tPhiZNMDsD4

Program bual bicara  ini boleh ditonton di YouTube Channel Unit ICT  SMK Mutiara iaitu Bestari Vlog di pautan https://youtu.be/tPhiZNMDsD4

Loading

image_pdfimage_print