Agihan Bantuan Awal Persekolahan (BAP) SMK Rancha-Rancha Sesi Tahun 2021

Tuan Pengetua SMKRR, Ustaz Wan Azman bin Wan Awang turun padang memantau kelancaran program.

Labuan, 11 Mac 2021 – Program agihan Bantuan Awal Persekolahan (BAP) telah berjaya dilaksanakan dengan adanya komitmen padu daripada pihak pentadbir sekolah, guru, staf dan ibu bapa / penjaga.  Sungguhpun negara dilanda pandemik Covid-19, namun program ini dilaksanakan dalam keadaan norma baharu sesuai dengan keadaan semasa.  Program yang dilaksanakan ini melibatkan jumlah penerima bantuan sebanyak 216 orang, yang dapat memberi manfaat kepada penerima.  Selain itu, penerima bantuan juga dapat mempersiapkan diri dengan membeli barang kelengkapan sekolah sebelum pembukaan sekolah pada 5hb April 2021. 

Tuan Pengetua SMK Rancha-Rancha iaitu Ustaz Wan Azman bin Wan Awang berkata, agihan BAP yang dilaksanakan adalah usaha baik yang dapat membantu meringankan beban dan tanggungan ibu bapa / penjaga yang terjejas akibat pandemik masa kini.  “Bantuan ini juga diagihkan kepada murid yang berkelayakan, yang diharapkan dapat membantu dalam urusan harian murid dan keluarga“ ujar beliau.  Beliau juga menzahirkan ucapan syabas dan tahniah kepada pengurusan HEM SMK Rancha-Rancha yang berjaya menganjurkan program tersebut dalam keadaan norma baharu.

Puan Marziawati @ Ziah binti Mardan selaku Penolong Kanan HEM menegaskan program yang dilaksanakan adalah mementingkan aspek pematuhan standard prosedur operasi (SOP) iaitu penjarakan fizikal 1 meter, pemakaian pelitup separuh muka (facemask) dan amalan mencuci tangan dengan kerap.  Perkara ini seperti saranan kerajaan bagi mengekang penularan wabak Covid-19 dan didapati semua individu yang hadir patuh terhadap SOP yang ditetapkan. 

Pematuhan kepada SOP diamalkan oleh ibu bapa / penjaga semasa program berlangsung.

Program agihan tersebut berlangsung seawal jam 11 pagi dan berakhir pada jam 1 petang. Program berjalan lancar seperti yang dijadualkan dan terkawal.  Kesemua guru yang bertugas menjalankan tanggungjawab dengan cemerlang semasa agihan berlangsung. Diharapkan bantuan seperti ini dapat memberi banyak manfaat kepada murid sekaligus memberikan kegembiraan sebelum mereka memasuki persekolahan pada April nanti. 

Barisan guru kelas yang mengagihkan bantuan kepada ibu bapa / penjaga

Loading

image_pdfimage_print