TKPPM (SOS) Lakukan Lawatan Kerja Ke Labuan

Penerapan budaya penyayang, Dato' Haji Adzman ketika menyambut murid Sekolah Kluster Kecemerlangan SK St Anne, sambil diperhatikan Encik Yusup

Labuan, 23 Mac : Jabatan Pendidikan W.P Labuan telah menerima kunjungan dan lawatan kerja Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia(TKPPM) Sektor Operasi Sekolah (SOS) , Dato’ Haji Adzman bin Talib bermula 20 hingga 22 Mac 2021.

Lawatan selama 3 hari itu adalah bertujuan untuk memastikan pengoperasian sekolah rendah dan persediaan pembukaan sekolah menengah mulai 8 April ini berjalan lancar dalam tempoh PKPP.

Menurut Timbalan Pengarah Sektor Pengurusan Sekolah (SPS), Puan Maimoon binti Matnoh selaku penyelaras program, selain mengadakan pertemuan dengan pegawai-pegawai jabatan pendidikan, TKPPM turut dijadualkan melawat beberapa sekolah di wilayah ini.

“Antara fokus lawatan ialah melihat kaedah dan amalan sekolah-sekolah dalam menerima kehadiran murid setiap pagi dan sesi penyuraian murid-murid sekolah” tambah beliau lagi.

Kunjungan ke ibu pejabat Jabatan Pendidikan W. P Labuan telah dibuat sejurus selepas ketibaan Dato’ Haji Adzman di pulau bertuah ini. Kehadiran TKPPM (SOS) telah disambut oleh pegawai-pegawai jabatan yang diketuai oleh Pengarah Pendidikan, Encik Yusup bin Haji Mohamad.

Turut menyambut kehadiran beliau ialah YDP MPSM, Encik Ismail bin Abdullah dan YDP MGB, Puan Dayang Saripah A. Mahmud.

Dato’ Haji Azman menandatangani buku pelawat sambil diperhatikan Pengarah dan Timbalan-timbalan Pengarah JPWPL

Dalam ucapan alu-aluan, Encik Yusup telah menerangkan tentang halatuju dan pelan strategik Jabatan Pendidikan W. P. Labuan dalam tempoh 2021 hingga 2025.

“Kita akan berusaha bersungguh-sungguh untuk meletakkan pendidikan Labuan di landasan terbaik. Dalam hal ini kita akan mengukuhkan program-program pendidikan di peringkat negeri dan memperkasakan aktiviti-aktiviti kebangsaan. Kita juga telah menjalinkan hubungan antarabangsa dengan KUPU Brunei dan NPO SAM, Jepun”. kata beliau lagi.

Puan Maimoon binti Matnoh, Timbalan Pengarah SPS turut menyampaikan taklimat ringkas berkaitan pengoperasian sekolah rendah dari aspek kehadiran murid dan sesi penyuraian sewaktu balik.

Dalam ucapan, Dato’ Haji Adzman berkata tujuan utama lawatan kerja ialah untuk mendapat gambaran yang lebih jelas tentang kesiapsiagaan dan pematuhan sekolah terhadap amalan-amalan dalam norma baharu.

“KPM telah membuat satu keputusan yang sukar untuk membenarkan murid-murid kembali ke sekolah. Kita mengakui bahawa sesi persekolahan secara bersemuka adalah amat penting bagi setiap murid mendapat akses kepada pendidikan terbaik. Justeru kita perlu memastikan keselamatan murid dan warga sekolah sentiasa terjamin dengan mematuhi SOP yang telah disediakan” tegas beliau.

Dato’ Haji Adzman telah melawat ke lima buah sekolah sepanjang 3 hari lawatan beliau di wilayah ini. Secara keseluruhan beliau berpuashati tahap kesiapsiagaan dan pematuhan sekolah-sekolah di Labuan dalam mengekang penukaran pandemik Covid-19.

Encik Ismail berbincang dengan Dato’ Haji Azman SOP kehadiran murid ke sekolah SMK Labuan
Dato’ Haji Azman memberi penerangan kepada guru-guru SMK Pantai
Lawatan Kerja TKPPM(SOS) ke asrama SM Sains Labuan
Dato’ Azman sedang mengukur kedudukan jarak 1 meter di bilik darjah SK Sungai Bedaun
Tahniah, inisiatif JPWPL menyediakan 20 sinki setiap sekolah untuk kemudahan murid mencuci tangan
Dato’ Haji Azman berpuas hati dengan Sekolah Kebangsaan SK Pekan Satu yang memperkenalkan sistem e-Mulih iaitu sistem penyuraian murid yang sistematik

Beliau juga telah mengadakan sesi lawatan ke bilik-bilik darjah bagi memastikan penjarakan fizikal di antara setiap murid mematuhi SOP yang telah ditetapkan oleh KOM.

“Saya ingin mengucapkan tahniah atas inisiatif yang telah diambil oleh Jabatan Pendidikan kerana menyediakan sekurang-kurangnya 20 sinki di setiap sekolah secara tetap dan dibuat dengan begitu kemas. Inisiatif ini telah memudahkan murid-murid untuk mencuci tangan secara kerap dan menjaga kesihatan” kata beliau selepas melawat sekolah-sekolah.

Di akhir sesi lawatan, beliau sempat meninjau sesi penyuraian murid di SK Pekan Satu.

“Saya berpuashati dengan kaedah-kaedah penyuraian murid yang telah diamalkan oleh sekolah-sekolah di Labuan berdasarkan model-model yang telah dicadangkan. Saya juga mengucapkan terima kasih atas kerjasama pihak PIBG, PDRM, RELA dalam memastikan penyuraian murid secara tertib” tambah beliau.

Berita Oleh : Sektor Perancangan

Pelancaran Pelan Strategik Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan 2021-2025
Bersama warga Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan
Lawatan kerja ke Sekolah Kluster Kecemerlangan Sekolah Kebangsaan St Anne, Labuan
Lawatan Kerja ke Sekolah Menengah Kebangsaan Pantai, Labuan
Lawatan kerja ke Sekolah Kebangsaan Sungai Bedaun, Labuan
Lawatan kerja ke Sekolah Menengah Kebangsaan Labuan

Loading

image_pdfimage_print