Kunjung Hormat APMM Ke Jabatan Pendidikan Erat Kerjasama Antara Agensi

Labuan, 24 Mac : Pengarah Zon Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Labuan, Kepten Nudin bin Jusoh telah mengadakan kunjungan hormat kepada Pengarah Pendidikan W.P.Labuan di pejabatnya di Tingkat 10 Ujana Kewangan sempena pelantikan Encik Yusup bin Haji Mohamad sebagai Pengarah Pendidikan yang baharu, hari ini.

Kepten Nudin yang telah dilantik ke jawatan Pengarah APMM Labuan pada Februari 2021 telah diiringi oleh Timbalan Pengarah Pengurusan APMM, Encik Arun Fazhillah bin Hamdan dan Pegawai Pemerintah KM Bestari, Lt. Kdr Hilmi bin Abdullah.

Ketibaan beliau pada jam 9.00 pagi telah disambut oleh Timbalan Pengarah Sektor Perancangan, Encik Mohd Nizam bin Yasim bersama Timbalan Pengarah Sektor Pembangunan Murid, Tuan Haji Abdul Rahman bin Ahmad.

Kepten Nudin menandatangani buku pelawat Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan
Kepten Nudin bersama Encik Yusup

Dalam pertemuan itu, Kepten Nudin mengucapkan tahniah kepada Encik Yusup kerana telah dilantik menerajui Jabatan Pendidikan W. P. Labuan.

Beliau turut memaklumkan tentang perancangan jangka panjang untuk mewujudkan pusat latihan asas maritim di Labuan, bantuan mempromosi kepada murid-murid berkaitan aktiviti-aktiviti maritim.

“Kami berharap agar APMM dapat menjalinkan kerjasama yang lebih erat antara jabatan pada masa akan datang demi kepentingan penduduk-penduduk di wilayah ini” katanya.

“Kita juga berharap agar dapat membuat promosi berkaitan aktiviti-aktiviti APMM kepada murid-murid sekolah melalui program Sahabat Maritim” tambah beliau.

Dalam ucapan balas, Encik Yusup turut berharap agar semua agensi kerajaan di pulau ini dapat bekerjasama sebagai satu pasukan untuk kepentingan warga Labuan.

“Matlamat kita ialah memberi peluang seluas mungkin kepada anak-anak di Labuan kepada akses pendidikan yang berkualiti. Kerjasama seperti ini adalah peluang terbaik untuk mendedahkan murid-murid kepada aktiviti di luar bilik darjah. Ini mampu merintis minat kepada murid-murid tentang kerjaya di dalam APMM itu sendiri ” tambah beliau lagi.

Hadir sama dalam pertemuan tersebut ialah KPP Sektor Infrastruktur dan Pembangunan, Encik Boney Jumil, KPP Sektor Pengurusan, Puan Lina Encharang, KPP Sektor Sumber Manusia, Encik Khairul Hafiz bin Juni dan wakil SPS, Puan Zaleha binti Hassan.

Berita Oleh : Sektor Perancangan

Encik Yusup menyampaikan cenderamata kepada Kepten Nudin

Loading

image_pdfimage_print