Mesyuarat Agung Tahunan PIBG SMK Labuan 2021 Secara Maya

Kehadiran ahli mesyuarat seramai 98 orang yang dilaksanakan secara maya

Labuan, 12 Apr – Mesyuarat Agung Tahunan PIBG SMK Labuan bagi tahun 2021 telah berlangsung secara maya dengan kehadiran 98 orang ahli, sabtu lepas.

Pengetua merangkap penasihat PIBG SMK Labuan, Encik Ismail Abdullah dalam ucapannya berkata SMK Labuan sentiasa mengamalkan pematuhan SOP dan pembudayaan Norma Baharu COVID-19 dalam garis panduan yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara, Kementerian Kesihatan Malaysia dan Kementerian Pendidikan Malaysia.

Pengajaran dan Pembelajaran (PDP) secara  bersemuka di sekolah bagi semua tingkatan dilaksanakan dengan teratur dan mematuhi SOP.

Katanya lagi, Program Kecemerlangan PT3, SPM dan STPM akan diteruskan dengan norma baharu, seperti melaksanakan aktiviti Bengkel Teknik Menjawab, Kelas Tambahan, Program Khas Lulus 100% SPM dan STPM.

Kokurikulum dalam norma baharu akan diberi perhatian untuk memberi peluang murid terlibat dan mendapat markah kokurikulum yang sewajarnya.

Encik Ismail turut menghargai segala bantuan dan sumbangan PIBG dalam bentuk wang ringgit, material dan sokongan moral serta semangat kepada sekolah khususnya kepada guru-guru yang gigih berusaha untuk kebaikan anak-anak murid SMK Labuan.

“Semoga PIBG SMK Labuan terus menyokong dan membantu usaha-usaha sekolah demi kejayaan dan kecemerlangan murid-murid. Kerjasama yang padu sangat penting apatah lagi dalam suasana pandemik Covid-19 yang masih menjadi cabaran utama kepada sekolah dan ibu bapa. Sekolah terus menjunjung slogan SMK Labuan Juara : Setiap Murid Bernilai “, Encik Ismail Abdullah.

Suasana di bilik mesyuarat (Pengetua, YDP dan NYDP)

YDP PIBG SMK Labuan, Tuan Haji Md Yusof bin Haji Chuchu berkata PIBG merupakan satu medium yang berkesan untuk mengeratkan lagi hubungan antara pihak sekolah dengan komuniti.

Justeru, PIBG sewajarnya bergerak seiring dengan perkembangan sekolah dan menjadi penyumbang kepada kejayaan dan kecemerlangan sesebuah sekolah.

“Sokongan yang padu daripada semua pihak merupakan senjata penting bagi menjana kecemerlangan anak-anak kita. Oleh yang demikian, pihak PIBG akan terus menyokong segala usaha pihak sekolah dalam mengadakan pelbagai aktiviti yang bersesuaian dengan norma baharu.” Tuan Haji Md Yusof

Dalam kita berhadapan dengan pandemik yang agak membimbangkan kita semua, kita masih sedaya upaya berusaha dalam mencapai kejayaan secara holistik dan perkara ini menggambarkan usaha dan doa kita serta kerjasama yang terjalin kukuh antara guru dan ibu bapa selama ini diberkati oleh Allah SWT.

Mesyuarat telah bersetuju melalui cadangan serta sokongan iaitu kadar sumbangan dikekalkan sebanyak RM50 untuk setiap keluarga. Kadar ini dikekalkan sejak tahun 2012.

Mesyuarat juga bersetuju agar kutipan sumbangan sebanyak RM20 bagi setiap murid Tingkatan 3, 5 dan 6 untuk Program Kecemerlangan PT3, SPM dan STPM.

Hadir sama dalam mesyuarat tersebut, Naib Yang DiPertua PIBG SMK Labuan, Encik Nordin Ahmad, AJK PIBG, ibu bapa dan guru-guru SMK Labuan.

Berita Oleh : SMK Labuan

AJK PIBG : dari kiri Puan Asnur Liza Baharuddin (AJK), Puan Normazrena Kadam (Setiausaha), Encik Ismail (Penasihat), Tuan Hj Md Yusof (YDP), Encik Nordin (Naib YDP), Encik Teng How Ching (Bendahari), Encik Azlan Tumingan (AJK)

Loading

image_pdfimage_print