DARI GURU UNTUK GURU: Ucapan Berganda Sempena Hari Raya dan Hari Guru 2021

UCAPAN : Dato Adzman (bawah kanan) turut menyampaikan ucapan berganda kepada warga pendidik

Tanggal 16 Mei setiap tahun memberi makna yang tersendiri kepada setiap insan yang bergelar guru. Dengan tema “Berguru Demi Ilmu, Bina Generasi Baharu”, sambutan Hari Guru tahun ini agak berbeza kerana masih diselubungi pandemik Covid-19.

Namun begitu, Jabatan Pendidikan W.P Labuan telah memanfaatkan perkembangan teknologi dengan menganjurkan sesi ucapan Hari Raya Aidilfitri dan Hari Guru 2021 secara dalam talian pada Ahad lalu.

Menurut Timbalan Pengarah Sektor Perancangan, Encik Mohd Nizam bin Yasim ucapan Hari Raya Aidilfitri 1442h dan Hari Guru 2021 dibuat serentak untuk menyantuni semua warga guru yang berada di seluruh Malaysia.

“Kebetulan 16 Mei berada di dalam suasana hari raya, maka kami mengambil peluang untuk melaksanakan aktiviti ini sebagai satu inisiatif memeriahkan sambutan tahun ini”

“Kesungguhan dan kerjasama erat guru-guru yang berkemahiran dalam teknologi ICT telah berjaya mengumpul penyertaan daripada seluruh negara termasuk pengurusan tertinggi di KPM” tambah beliau lagi yang turut menjadi moderator majlis tersebut yang disiarkan secara langsung melalui saluran YouTube Live.

Antara jemputan kenamaan yang turut memberi ucapan ialah Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia (TKPPM), Sektor Operasi Sekolah, Dato’ Haji Adzman bin Talib dan Timbalan Pengarah Kanan, Bahagian Pengurusan Sekolah Harian (BPSH), KPM, Encik Raisin bin Saidin.

“Dalam kemeriahan sambutan berganda hari raya dan Hari Guru 2021, kita juga perlu bersedia untuk melaksanakan PdPR yang bersesuaian dengan murid kita mulai 17 hingga 28 Mei. Pihak KPM juga sangat menghargai pengorbanan guru mendidik murid-murid menjadi warganegara Malaysia yang berguna kepada agama, bangsa dan negara” kata Dato’ Haji Adzman ketika bersiaran secara langsung.

Encik Raisin (bawah kiri), Encik Yusup (atas kanan), Encik Ismail (bawah kiri) dan Encik Nizam (atas kiri) mengucapkan Selamat Hari Raya dan Selamat Hari Guru kepada seluruh warga guru.

Selain itu beliau turut mengajak seluruh umat Islam mendoakan agar keamanan kembali pulih di bumi Palestine yang pada ketika ini sedang di dalam pergolakan.

Terdahulu, Pengarah Pendidikan W.P Labuan, Encik Yusup Hj Mohamad sempat mengucapkan selamat hari raya dan hari guru kepada seluruh warga guru yang telah memberi komitmen dan khidmat cemerlang terutama dalam tempoh PKP.

“Kehadiranmu dinanti, ketiadaanmu dirindui, ungkapanmu memberi inspirasi, sikapmu diteladani, nasihatmu menyejukkan hati, kata-katamu guru penuh ilmu dan pedoman yang menerangi masa depan” kata Encik Yusup ketika mengakhiri ucapan.

Sesi ucapan turut diserikan oleh YDP MPSM Labuan, Encik Ismail Abdullah, YDP MGB Labuan, Puan Dayang Saripah A. Mahmud dan Pengarah IAB, Cawangan Sabah, Puan Khaziyati Osman.

Siaran langsung ucapan ini telah diikuti oleh seramai 266 guru di seluruh negara.

Berita Oleh : Sektor Perancangan

Encik Nizam (atas kanan) mengendalikan sesi ucapan berganda Selamat Hari Raya dan Selamat Hari Guru
Sebahagian guru yang menyertai program Ucapan Berganda Selamat Hari Raya dan Selamat Hari Guru

Loading

image_pdfimage_print