Labuan, 29 Mei – Pasukan pemikir mata pelajaran Reka Bentuk dan Teknologi Labuan bersama Encik Mohamed Al Ghaffar bin Hj Mohamed Maidin, Ketua Penolong Pengarah, Encik Abdul Rizal bin Abdul Rahim Penolong Pengarah, Cik Juraidah Hj Aman dan Encik Mohd Daud Bin Abdullah rakan SISC+ Unit TVET, Sektor Pembelajaran Jabatan Pendidikan WP Labuan telah merangka Program Pembangunan Profesionalisme Guru RBT bagi sekolah-sekolah menengah di sekitar Labuan setelah membuat tinjauan keperluan guru-guru tersebut.
Di antara Program Pembangunan Profesionalisme Guru yang dirancang adalah Bengkel Pemantapan Penguasaan Kandungan Subjek RBT, Bengkel Pembinaan Item, Bengkel Pembinaan ABM/BBM dan Perkongsian Amalan Baik oleh rakan SISC+ unit TVET, Labuan.
Salah satu program yang telah dijalankan adalah Bengkel Pemantapan Penguasaan Kandungan Subjek RBT dimana bengkel ini merupakan perkongsian ilmu oleh guru-guru pakar yang di pilih di kalangan guru-guru RBT di Labuan sendiri.
Subjek RBT mula diperkenalkan di sekolah menengah pada tahun 2017 untuk tingkatan 1. Oleh itu, seramai 32 orang guru RBT sekolah menengah di sekitar Labuan amat memerlukan pendedahan latihan yang berterusan untuk subjek ini.
Ketua pasukan pemikir mata pelajaran RBT Labuan, Cikgu Felicia Jeffrey berkata tujuan bengkel tersebut dilaksanakan adalah satu usaha bagi membantu guru-guru RBT sekolah menengah meningkatkan penguasaan semua kandungan tajuk yang terdapat dalam subjek RBT agar penyampaian guru dalam pdpc lebih berkesan. Bengkel ini telah mula dilaksanakan pada 23 April yang lalu secara dalam talian menggunakan aplikasi Google Meet.
Menurut beliau lagi, bengkel ini akan diadakan sebanyak 16 kali mengikut jumlah kandungan tajuk pada setiap petang hari Jumaat selama 2 jam. Manakala, pemilihan tuan rumah yang mengelolakan bengkel adalah berdasarkan kepakaran guru yang ada pada sekolah tersebut. Sehingga hari ini, sebanyak 4 bengkel pemantapan penguasaan kandungan subjek RBT berjaya dijalankan.
Ketua Penolong Pengarah TVET Sektor Pembelajaran Jabatan Pendidikan Labuan, Encik Mohamed Al- Ghaffar bin Hj Mohamed Maidin berharap agar semua guru yang menghadiri program ini mendapat ilmu yang bermanfaat. Setinggi-tinggi penghargaan juga diberikan kepada tuan rumah serta guru-guru yang terlibat di atas perkongsian kepakaran, bimbingan serta tunjuk ajar yang disampaikan. Secara tidak langsung, melalui program seperti ini guru-guru RBT di Labuan dapat menjalinkan kerjasama dan semangat kerja berpasukan di luar komuniti sekolah masing-masing.
Berita Oleh : Unit TVET, Sektor Pembelajaran