Pengiktirafan kepada Murid, Guru dan Sekolah Labuan

Encik Raisin meraikan murid, guru dan sekolah

Labuan, 18 Apr – Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan meraikan murid-murid dan para guru yang menempa kejayaan yang membanggakan dalam bidang Kokurikulum, Sukan dan Hal Ehwal Murid sepanjang tahun 2016 di Majlis Anugerah Gemilang kali ke-16 bertempat di Dewan CUN, SK Pekan Satu, Labuan hari ini.

Majlis Anugerah Gemilang kali ke-16 diadakan bagi memberi pengiktirafan kepada murid, guru dan sekolah yang mencapai tahap prestasi terbaik dalam bidang Hal Ehwal Murid, Kokurikulum dan Sukan. Sesungguhnya anugerah ini dapat menjadi penyuntik semangat dan motivasi murid, guru dan sekolah untuk mencapai prestasi terbaik dalam bidang yang diceburi.

Majlis telah disempurnakan oleh Encik Raisin Saidin, Pengarah Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan. Beliau menzahirkan rasa bangga dan mengucapkan tahniah kepada semua murid, guru dan sekolah yang telah berusaha bersungguh-sungguh bagi mengharumkan nama Labuan di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa.

“Kepada Agensi Kerajaan dan Agensi Bukan Kerajaan, saya merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih di atas komitmen dan kerjasama dalam program-program yang dianjurkan oleh jabatan ini. Dengan pemuafakatan dan gandingan bahu ibu bapa, angggota masyarakat, rakan media, sektor swasta, agensi kerajaan dan bukan kerajaan ini, kita telah menjana kecemerlangan pada tahun lepas”, katanya.

Encik Raisin Saidin bersama murid dan guru SM Sains Labuan

 

Kenangan murid dan guru SMK Rancha-Rancha

Sebanyak 20 kategori telah disampaikan termasuk anugerah Jasamu Dikenang iaitu suatu anugerah kepada warga pendidikan yang banyak memberi sumbangan bakti dalam bidang Hal Ehwal Murid, Kokurikulum dan Sukan. Anugerah ini telah diberikan kepada Encik Sulaiman Madin, mantan Guru Besar SK Tanjung Aru dan Tuan Haji Salamat Daliman, mantan Ketua Sektor Pengurusan Pembangunan Kemanusiaan, JPWPL.

Encik Raisin Saidin menyampaikan anugerah Jasamu Dikenang kepada Encik Sulaiman dan Tn Haji Salamat

Hadir sama dalam majlis tersebut, Encik Hasbollah Amit, Ketua Sektor Pengurusan Pembangunan Kemanusiaan, Encik Omar Baki Matusin, Yang Dipertua Majlis Pengetua Sekolah Malaysia, Labuan, En Jaafar Matusin, Guru Besar SK Pekan Satu dan Puan Dg Sarifah Mahmood Naib YDP Majlis Guru Besar Labuan.

 

 

image_pdfimage_print

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.