PLC “KOPI O PULUT PANGGANG” Medan Perkongsian Profesional Warga Pendidik

Jabatan Pendidikan W.P Labuan telah berjaya menganjur dan menarik penyertaan warga guru seluruh negara dalam sesi Profesional Learning Community (PLC) yang diadakan secara dalam talian pada Jumaat lalu.

Program santai yang dinamakan “Kopi O Pulut Panggang” kali ini telah membawa Pensyarah Pengajian Melayu dari Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Bahasa Melayu, Kuala Lumpur, Dr. Yuznaili Saleh sebagai penceramah.

Dalam sesi kali ini, Dr. Yuznaili telah berkongsi teknik-teknik pembacaan yang berkesan untuk pelbagai peringkat seawal umur 5 tahun sehingga kepada golongan dewasa.

Beliau menekankan tentang kesesuaian bahan bacaan kepada pembaca setiap peringkat umur. Pemilihan bahan bacaan yang salah akan menyebabkan otak manusia menolak untuk memahami kandungan yang tertulis di dalam sesebuah buku.

“Bahan bacaan ilmiah secara umum mempunyai 3 peringkat iaitu permulaan, pertengahan dan lanjutan. Kaedah dan cara penulisan dalam setiap peringkat ini adalah berbeza dan telah disesuaikan mengikut golongan pembaca tertentu”

“Kaedah atau teknik bacaan yang sesuai juga dapat membantu pembaca untuk memahami dengan lebih baik tentang kandungan sesebuah buku. Fokus dan lerekan mata banyak membantu pembaca untuk menangkap idea-idea besar yang hendak disampaikan oleh penulis” tambah beliau lagi.

Selain itu, para pembaca perlu mematuhi tempoh pembacaan secara konsisten bagi memberi peluang kepada otak untuk menyerap dan memproses pelbagai kategori maklumat yang ada di dalam bahan bacaan tersebut.

Sektor Perancangan (SPr) dan Sektor Pembelajaran (SPb) , Jabatan Pendidikan W.P Labuan telah bekerjasama bagi menjayakan sesi PLC ini yang merupakan aktiviti sokongan professional kepada ahli-ahli Alumni Kolokium Kajian Tindakan Teknik 12 Langkah.

Menurut Puan Faridah Amit, Penolong Pengarah Sektor Pembelajaran yang juga penyelaras program, sesi PLC ini turut dibuka kepada penyertaan umum terutamanya guru-guru sekolah di Wilayah Persekutuan Labuan.

Pengerusi Alumni, Puan Suriani Alland Rice Oxley yang juga Pegawai SISC+ di Sektor Pembelajaran menyifatkan pemilihan tajuk “Teknik Pembacaan Berkesan” adalah sangat signifikan dan menjadi ilmu pelengkap kepada ahli Alumni sebagai persediaan untuk melakukan pembacaan yang lebih banyak terutamanya dalam penyediaan sesuatu kertas kajian penuh.

Terdahulu, dalam ucapan aluan majlis, Timbalan Pengarah Sektor Perancangan, Encik Mohd Nizam bin Yasim berharap agar alumni ini akan menjadi satu medan perkongsian ilmu pengetahuan dan kemahiran yang berterusan demi kepentingan warga pendidik seluruh negara.

Di dalam sesi ucapan, beliau turut mengumumkan tiga kertas kajian tindakan terbaik yang telah dipilih oleh panel penilai.

Kertas kajian tindakan bertajuk “Menyelesaikan Masalah Pengiraan Melibatkan Persamaan Kimia bagi subjek Kimia Menggunakan Model Pelan Bansho Jepun” hasil kajian Cikgu Chin Khui Kyun dari SMK Kunak Jaya telah berjaya memperoleh tempat pertama.

Pemenang tempat kedua dirangkul oleh Cikgu Mylsa Avinne dari SK Sungai Bedaun dan tempat ketiga pula disandang oleh Cikgu Farhana binti Abdol Sappar dari Sekolah Antarabangsa Labuan.

Sesi PLC ‘KOPI O PULUT PANGGANG’ yang disiarkan melalui pelantar YouTube live ini telah menarik penonton secara dalam talian seramai 226 orang.

Berita Oleh : Sektor Perancangan

Loading

image_pdfimage_print