Labuan, 10 Julai – SMK Taman Perumahan Bedaun telah menjayakan Kursus Kepimpinan Murid bagi tahun 2021 dengan Norma Baharu secara atas talian Google Meet bertempat di kediaman masing-masing. Kursus yang dianjurkan oleh Unit Bimbingan dan Kaunseling SMK TPB ini bermula pada jam 9.30 pagi hingga 12.00 tengahari. Kursus ini melibatkan empat tunggak pemimpin murid SMK TPB yang terdiri daripada Pengawas Sekolah, Pembimbing Rakan Sebaya (PRS), Pengawas Pusat Sumber Sekolah (PSS) dan Ketua Tingkatan seramai 60 orang peserta secara keseluruhannya dan 3 orang guru penasihat sebagai penceramah kursus.
Kursus Kepimpinan Murid ini dimulakan dengan taklimat daripada Guru Penasihat setiap badan Kepimpinan Murid berkenaan. Seterusnya semua peserta diberikan bengkel secara atas talian yang telah disampaikan oleh En. Abdul Kadir bin Ali selaku Guru Bimbingan dan Kaunseling SMK TPB. Barisan Pemimpin Murid seramai 60 orang ini disajikan dengan motivasi dan kemahiran dalam membina potensi sebagai seorang pemimpin pada masa kini.
Kursus Kepimpinan ini diakhiri dengan Majlis Perasmian Penutupan dan Watikah Perlantikan Pemimpin Murid SMK TPB tahun 2021. Encik Ag. Rozlan bin Manan, selaku pengetua SMK TPB dalam ucapannya juga mengingatkan barisan pemimpin murid supaya bersiap sedia dan memperkasakan potensi kepimpinan mereka agar berjaya memberi contoh terbaik kepada murid-murid lain. Kejayaan mereka sebagai pemimpin menjadi salah satu tanda aras kemenjadian murid sekolah ini. Pihak sekolah juga berharap kerjasama yang diberikan oleh barisan pemimpin murid mampu membawa kejayaan dan kecemerlangan sekolah dalam aspek kurikulum, kokurikulum dan sahsiah murid.
Kursus Kepimpinan ini di akhiri dengan bacaan Ikrar barisan Pemimpin Murid yang diketuai oleh Ketua Pemimpin Murid yang dilantik. Semoga dengan Kursus Kepimpinan yang telah dijalankan ini dapat memberi suntikan semangat dan kemahiran yang bermanfaat kepada semua Pemimpin Murid SMK Tmn Perumahan Bedaun. Penolong Kanan Pentadbiran Puan Chai Yee San dan Penolong Kanan Hal Ehwal Murid En. Awang Adi bin Tuah turut hadir dalam majlis penutupan ini.
Berita Oleh : SMK Taman Perumahan Bedaun