“KOPI O PULUT PANGGANG” Sesi Santai Kongsi Ilmu

Dr. Hajjah Zailah berkongsi pengalaman beliau dalam pelaksanaan kajian tindakan.

Jabatan Pendidikan W.P Labuan telah berjaya menganjur dan menarik penyertaan warga guru seluruh negara dalam sesi Professional Learning Community (PLC) “Kopi O Pulut Panggang” siri 2 yang diadakan secara dalam talian baru-baru ini.

Program santai yang dikelolakan oleh Sektor Perancangan telah menampilkan Pensyarah Cemerlang dari Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) Kampus Raja Melewar Negeri Sembilan, Dr. Hjh Zailah Zainudin sebagai penceramah.

Bertemakan “Kajian Tindakan dan Penyelidikan Berpisah Tiada”, Dr. Hjh Zailah telah berkongsi pengalaman beliau menggunakan reka bentuk kajian tindakan ketika melanjutkan pelajaran di peringkat doktor falsafah(PhD). 

Mengungkap pengalaman ketika mula-mula menceburi bidang penyelidikan, beliau sebagai seorang guru biasa tidak begitu memahami istilah dan kaedah penyelidikan yang sebenar. Namun peluang mewakili sekolah membuat pembentangan kajian tindakan di Terengganu sekitar tahun 90an telah mencetus minat beliau dalam membuat kajian tindakan secara lebih mendalam.

“Ketika itu saya tidak mempunyai satu bentuk rujukan penyelidikan yang mudah untuk saya fahami. Maka dari situ tercetuslah idea untuk menggunakan reka bentuk kajian tindakan ini” kata Dr. Zailah yang merupakan pelopor kepada kajian tindakan di Malaysia.

Menurut beliau lagi, sebelum tahun 2000, Kajian Tindakan tidak diiktiraf sebagai satu kajian ilmiah dan tidak diterima untuk ‘proposal’ kajian di peringkat yang lebih tinggi. Namun begitu, situasi ini telah berubah dan kini kajian tindakan adalah suatu rekabentuk yang sah dan setaraf dengan rekabentuk kajian yang lain.

“Sebenarnya Kajian Tindakan merupakan satu reka bentuk kajian yang sangat rapat dengan guru terutamanya dalam meningkatkan kualiti PdP dari semasa ke semasa. Selain itu, kajian tindakan ini juga dapat dikongsi dengan rakan-rakan guru yang lain untuk manfaat bersama” tambah beliau lagi.

Sesi Lambaian Kasih Jalinan Budi kepada bekas Jurulatih Utama KT12L, Encik Samih Kukung

Penyelaras program, Puan Faridah Amit berkata penganjuran program ini bertujuan untuk memberi perkongsian ilmu secara berterusan terutamanya kepada alumni Kajian Tindakan Teknik 12 Langkah (KT12L).

“Kita akan terus menampilkan tokoh-tokoh pendidikan berwibawa pada masa-masa akan datang. Kita juga yakin bahawa forum sebegini mampu memberi manfaat kepada setiap lapisan guru dalam meningkatkan tahap professional keguruan secara berterusan” kata beliau lagi yang juga merupakan penolong Pengarah di Sektor Perancangan.

Timbalan Pengarah Sektor Perancangan, Encik Mohd Nizam bin Yasim mengucapkan terima kasih atas kerjasama semua pihak yang menjayakan program kali ini. Beliau turut merakamkan ucapan terima kasih kepada salah seorang Jurulatih Utama KT12L, Encik Samih Kukung yang telah bertukar tempat bertugas sebagai Pensyarah di Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM), Keningau, Sabah mulai 26 Julai lalu.

Sesi PLC ‘KOPI O PULUT PANGGANG’ kali ini dikendalikan oleh Cikgu Yahya Burhanuddin sebagai Moderator dan Cikgu Norazimah Mohamed Dauzkaply Nor  sebagai pengacara. Program yang disiarkan melalui pelantar YouTube live ini telah menarik penonton secara dalam talian seramai 172 orang.

Berita Oleh : Sektor Perancangan

Loading

image_pdfimage_print