“Tajamkan Minda, Teguhkan Jiwa” Suntik Semangat Motivasi Warga Pendidikan di WP Labuan

Labuan: Isu kesihatan mental merupakan cabaran terkini warga Malaysia dalam era pandemik Covid-19. Isu ini bukan sahaja di hadapi oleh Malaysia malah turut dihadapi oleh negara-negara lain. Impak psikologi yang negatif terhadap diri seperti takut, cemas, tertekan, bimbang dan murung memberikan kita hala tuju yang tidak sihat kepada kehidupan sehingga  membawa kepada tekanan kerja dan kepuasan kerja yang rendah.

Menyedari kepentingan status kesihatan mental semua warganya, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan (JPWPL) mengambil inisiatif mengadakan  Program motivasi Ke Arah Pembangunan Modal Insan Guru bertajuk “Tajamkan Minda, Teguhkan Jiwa” yang diterajui oleh Sektor Pendidikan Islam (SPI) bersama Sektor Psikologi dan Kaunseling, Sektor Pembelajaran, Sektor Pengurusan Maklumat dan Sektor Pendidikan Khas baru-baru ini.

Program Jaringan Kerjasama JPWPL dengan Pusat Pungutan Zakat (PPZ) – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan Cawangan Labuan ini amat bertepatan dengan pendemik yang sedang dialami sekarang iaitu untuk membugarkan prestasi kerja guru di samping melihat cabaran-cabaran yang dihadapi guru-guru sehingga mempengaruhi perkembangan profesional mereka.

Ketua Penolog Pengarah Sektor Pendidikan Islam Ustazah Kamariah binti Salim berkata, dalam mendepani pendemik covid 19, guru perlu ada ‘tambah nilai’ dalam penggunaan teknologi pengajaran dan pembelajaran terkini. Guru bukan sahaja memerlukan kemahiran ICT, kreatif dan inovatif dalam menyampaikan pengajaran tetapi juga perlu berupaya mengawal emosi ketika berhadapan dengan pelbagai isu.

“Sebagai warga pendidik kita memerlukan kecekalan hati, bersabar , sentiasa tabah dan bersemangat dalam mendidik generasi kini melalui norma baharu dan dalam masa yang sama  juga perlu mengurus keluarga sendiri yang juga berdepan dengan pelbagai cabaran,” katanya semasa majlis tersebut berlangsung .

Urusetia Program: Ustazah Kamariah merakamkan rasa kesyukuran di atas kelancaran program dan terima kasih atas jaringan kerjasama bersama PPZ.

Ceramah motivasi “Tajamkan Minda, Teguhkan Jiwa”  telah disampaikan oleh Profesor Madya Dr. Huzili Hussin, Ketua Pusat Kecemerlangan, Inovasi dan  Kelestarian Sosial (COESIS), Universiti Malaysia Perlis. Pakar Motivasi Terapi Tingkah Laku Kognitif (CBT) Malaysia secara santai namun penuh ilmiah.

Antara perkara yang dibincangkan ialah berkaitan hebatnya diri kita sebagai makhluk ciptaan Allah dalam mencari ketenangan dan kebahagiaan berdasarkan dua kuadron iaitu  menjaga hubungan dengan tuhan dan hubungan baik dengan manusia.

“Untuk mencapai matlamat hidup, banyak halangan yang ditempuhi dan sukar untuk membuat pilihan. Namun, jika seseorang itu ‘diracuni’ pemikiran atau kita sendiri yang terkena ‘racun’, amat sukar untuk mengetahui impak ‘racun’ tersebut kepada kita.

“Apa yang jelas, pemikiran dan jiwa yang diracuni akan memberi kesan besar kepada kemakmuran masyarakat serta amat sukar untuk dipulihkan,” katanya penuh semangat.

Menurutnya lagi, seseorang itu akan mudah diracuni sekiranya membiarkan diri mereka dimanipulasi atau dikuasai orang lain. Tambahan pula dengan sikap malas berfikir, kurang berusaha mencari kebenaran dan ketagih sebagai penyebar cerita.

Majlis tersebut telah dirasmikan oleh Pengarah Pendidikan JPWPL, Encik Yusop bin Hj Mohamad.

Dalam ucapannya, Encik Yusup menzahirkan kebimbangan terhadap masalah kesihatan mental sebagai isu yang terpencil suatu ketika dahulu kini menjadi cabaran dan isu yang boleh mengugat kredibiliti dan prestasi kerja.

“Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan tidak memandang sebelah mata kesukaran dan cabaran yang dihadapi oleh warga pendidik di pelbagai peringkat jawatan dan kedudukan, setiap masa pihak jabatan melalui sektor-sektor sentiasa mencari pendekatan untuk memudahkan apa juga urusan di peringkat sekolah dan jabatan dengan mencari kaedah terbaik bagi menangani cabaran ini secara bersama.

 “Sektor Pendidikan Islam umpamanya mengetengahkan Program Bacaan Yaasin dan Doa Munajat setiap malam, Bacaan Zikir Al Mathurat setiap pagi sebagai langkah mengukuhkan iltizam kerohanian dalam menghadapi pendemik berpaksikan rahmat dan inayah ketuhanan.

 “Sektor Psikologi dan Kaunseling melaksanakan Program Minda Sejahtera melalui soal selidik Stress, Anxiety dan Depression (eDASS) secara dalam talian dan mengurusetiakan Program Warga Prihatin sebagai saluran menghulurkan bantuan dengan kadar termampu sebagai sokongan emosi dan psikologi kepada warga pendidikan yang terkesan akibat pandemik covid 19,” katanya.

Sektor Pembangunan Murid telah melancarkan Program Solidariti Hamparan Kasih dengan tumpuan khusus kepada murid-murid yang terkesan dan ditimpa musibah seperti kehilangan ibu atau bapa atau kedua-duanya sekali akibat Covid 19, bencana kebakaran, positif Covid 19 dan sebagainya.

“Sektor-sektor yang lain juga menjadi sektor peneraju dan sokongan kepada pelaksanaan program pencegahan, pembangunan, pemulihan dan intervensi kepada inisiatif jabatan dalam mendepani kesukaran kemelut pandemik ini,” ujarnya lagi.

Dalam ucapannya Encik Yusup turut mengajak rakan-rakan guru serta hadirin di dalam talian untuk membayar zakat melalui potongan gaji yang diuruskan oleh PPZ. Beliau turut merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak pengurusan PPZ atas jaringan kerjasama ini dan berharap agar kerjasama ini dapat diteruskan lagi dalam program-program kerohanian di masa akan datang.

Perasmian: Encik Yusup menyampaikan ucapan perasmian motivasi warga pendidikan dengan penuh semangat.

Majlis tersebut turut  dihadiri oleh Timbalan- timbalan Pengarah, Ketua-ketua Penolong Pengarah, Pengetua, Guru Besar, pegawai-pegawai di JPWPL, ustaz ustazah dan juga guru-guru di sekitar wilayah ini diadakan secara atas talian dengan disertai lebih daripada 150 orang warga pendidik melalui aplikasi google meet dari kediaman masing-masing.

Berita Oleh : Sektor Pendidikan Islam

Rakam kenangan: Peserta program merakamkan gambar kenangan bersama penceramah

Loading

image_pdfimage_print