Jabatan Pendidikan W.P Labuan adakan lawatan ke Kolej Vokasional Labuan

Jabatan Pendidikan W.P Labuan telah mengambil inisiatif mengerat silaturrahim dengar warga Kolej Vokasional Labuan dengan mengadakan lawatan rasmi ke kolej itu pada Isnin.

Rombongan seramai 40 orang termasuk Pengetua dan Guru Besar sekolah-sekolah di Labuan telah diketuai oleh Pengarah Pendidikan W.P Labuan, Encik Yusup bin Haji Mohamad.

Kehadiran delegasi telah disambut oleh Pengarah Kolej Vokasional Labuan, Puan Siti Musleeha binti Leeudin bersama warga kolej yang lain.

Sesi lawatan bermula seawal jam 6.30 pagi dengan meninjau pergerakan pelajar-pelajar dari asrama ke dewan makan selaras dengan norma baharu menangani penularan Covid-19.

Seterusnya, delegasi lawatan dibahagikan kepada dua kumpulan dan dibawa melawat bengkel-bengkel pembelajaran.

Antaranya ialah bengkel automotif, bengkel kimpalan, bengkel pemesinan dan bengkel pembinaan.

Selain itu delegasi juga turut melawat bengkel elektrik, bengkel elektronik dan blok-blok akademik.

Rombongan jabatan diketuai oleh Encik Yusup ketika melawat bengkel-bengkel Kolej Vokasional

Di akhir sesi lawatan, semua ahli rombongan telah diberi taklimat berkaitan kaedah pembelajaran dan program-program yang ditawarkan di Kolej Vokasional.

Taklimat telah disampaikan oleh Pengarah Kolej Vokasional, Puan Siti Musleeha binti Leeudin.

Menurut beliau, terdapat 4 bidang pengajian di Kolej Vokasional Labuan iaitu Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik, Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan, Teknologi Kejuruteraan Awam dan Perniagaan.

“Pelajar-pelajar Kolej Vokasional dilatih untuk membekalkan tenaga kerja mahir untuk pasaran industri dengan berbekalkan SKM 3. Namun begitu, pelajar-pelajar yang layak boleh menyambung pelajaran ke peringkat Sijil Vokasional Malaysia (SVM) dan Diploma Vokasional Malaysia (DVM)” katanya lagi.

Dalam aspek kebolehpasaran graduan Kolej Vokasional Labuan, sekitar 75% bekerja dalam industri, 15 % menjadi usahawan dan selebihnya menyambung pelajaran di peringkat lebih tinggi.

Dalam ucapan balas, Pengarah Pendidikan W.P.Labuan, Encik Yusup bin Haji Mohamad mengucapkan tahniah atas kesungguhan dan keupayaan warga Kolej Vokasional Labuan mendapatkan kelulusan pentauliahan pusat dan program daripada badan-badan yang mengeluarkan akreditasi.

“Kita mesti sentiasa berusaha untuk merealisasikan visi KPM terutama dalam melahirkan insan terdidik melalui pendidikan berkualiti seterusnya menyumbang kepada Kesejahteraan negara”

“Kekuatan Kolej Vokasional adalah ia mampu mengurangkan kadar keciciran bakat dan potensi dalam kalangan murid-murid. Guru-guru Kaunseling perlu menyampaikan peluang-peluang besar yang ada di Kolej Vokasional kepada murid-murid termasuk kepada Murid-murid Berkeperluan Khas (MBK)” ujar beliau lagi.

Beliau turut berharap agar jalinan kerjasama sekolah-sekolah di Labuan dengan Kolej Vokasional dapat diperkukuhkan dari semasa ke semasa.

Turut hadir dalam sesi lawatan ini ialah YDP MPSM, Encik Ismail bin Abdullah dan YDP MGB, Puan Dayang Saripah A. Mahmud.

Berita Oleh : Sektor Perancangan




Pengawai KPM Lakukan Lawatan Kerja ke Labuan

Jabatan Pendidikan W.P Labuan menerima kunjungan daripada pegawai-pegawai daripada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam sesi lawatan kerja selama 2 hari sempena pembukaan sekolah mulai 3 Oktober 2021 lalu.

Rombongan seramai 8 pegawai diketuai oleh Pengarah Bahagian Pembangunan Kurikulum, Tuan Haji Azman bin Adnan. Turut serta dalam rombongan tersebut ialah para timbalan pengarah dan KPP dari pelbagai unit di BPK.

Ketibaan mereka di Lapangan Terbang Antarabangsa Labuan telah disambut oleh Pengarah Pendidikan W.P Labuan, Encik Yusup bin Haji Mohamad.

Sejurus ketibaan, pegawai-pegawai KPM telah melakukan pemantauan ke 13 buah sekolah bagi melihat kesiapsiagaan sekolah bagi tujuan pembukaan dan pengoperasian sekolah.

Pengarah Bahagian Pembangunan Kurikulum (BPK), Tuan Haji Azman bin Adnan telah melawat Sekolah Menengah Sains Labuan. Beliau diiringi oleh Pengarah Pendidikan W.P Labuan, Encik Yusup bin Haji Mohamad dan Timbalan Pengarah Sektor Perancangan, Encik Mohd Nizam bin Yasim.

Dalam sesi pertemuan bersama-sama pihak pentadbir dan guru-guru SM Sains Labuan pada Isnin, beliau mengucapkan terima kasih atas usaha-usaha pihak sekolah dalam memastikan tahap kebersihan dan keselamatan infrastruktur sekolah berada dalam keadaan baik.

Tuan Haji Azman bertegur sapa dengan guru-guru SM Sains Labuan
Tuan Haji Azman, Encik Yusup, barisan pentadbir sekolah dan pegawai-pegawai Jabatan Pendidikan W.P Labuan

“Saya berharap agar semua pihak dapat bekerjasama dalam satu pasukan dalam menyediakan persekitaran selamat bagi murid-murid di asrama sesuai dengan konsep” In locu parentis” ujar beliau lagi.

Selain itu, Tuan Haji Azman juga sempat melawat sesi penyuraian murid-murid pra sekolah dan Murid-murid Berkeperluan Khas (MBK) di SK Pantai.

“Secara kesuruhan saya berpuashati dengan tahap kesiapsiagaan sekolah dari aspek infrastruktur dan pematuhan kepada SOP termasuk pengudaraan di dalam bilik darjah”

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada PDRM, MKN, JKN dan BOMBA atas kerjasama yang telah diberikan dalam memastikan persekitaran sekolah selamat untuk beroperasi.

Tuan Haji Azman sedang beramah mesra dengan murid SK Pantai sambil diperhatikan oleh Encik Yusup
Tuan Haji Azman, Encik Yusup, Pegawai Jabatan bersama warga sekolah SK Pantai

Turut sama dalam sesi lawatan di SM Sains ialah Pegawai Perhubungan Polis, Encik Jumin bin dan Ketua Penolong Pengarah, Sektor Sumber Teknologi Pendidikan (SSTP), Encik Awang Marten bin Haji Abdul Rahman.

Delegasi turut diraikan dalam satu majlis makan malam di sebuah pusat rekreasi di wilayah ini pada malamnya.

Berita Oleh : Sektor Perancangan




Sambutan Bulan Kebangsaan Dan Hari Malaysia Peringkat SK Sungai Bedaun Tahun 2021 Penuh Pengisian Bermakna

Pandemik COVID-19 ternyata tidak menghalang warga SK Sungai Bedaun untuk meraikan Sambutan Bulan Kebangsaan dan Hari Malaysia 2021. Berbeza dengan tahun-tahun sebelumnya, keseluruhan aktiviti peringkat sekolah pada tahun ini dilaksanakan secara atas talian yang telah dilancarkan pada 19 Ogos lalu.

Guru Besar SK Sungai Bedaun, Puan Dg. Sarifah A. Mahmod sewaktu majlis pelancaran berkata semoga dengan pelaksanaan program ini dapat menyemai semangat kebersamaan dalam kalangan warga SKSB selaras dengan tema Hari Kebangsaan tahun ini iaitu Malaysia Prihatin.

Antara aktiviti yang telah dijalankan ialah Majlis Bacaan Yassin dan Doa Kesyukuran, Pertandingan Deklamasi Sajak Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris, Cabaran TikTok Pantun Hari Malaysia, Cabaran STEM Bina Mercu Tanda Negaraku, Pertandingan Memperagakan Pakaian Patriotik, Pertandingan Foto Kreatif: Tiru Gaya Pejuang Kemerdekaan, Pertandingan Infografik Identiti Negaraku, Pertandingan Laporan Kajian Kes Sejarah dan Senam Ceria di Hari Malaysia. Kesemua aktiviti yang dirancang menggabung jalinkan nilai patriotik dan elemen STEM yang mampu mengasah daya kreativiti anak-anak SKSB biarpun berada dirumah.

Menurut penyelaras Sambutan Bulan Kebangsaan dan Hari Malaysia 2021 peringkat SK Sungai Bedaun, Encik Mohd Asyraf bin Abd Hamid, program yang dilaksanakan dalam tempoh sebulan ini telah mendapat sokongan padu baik daripada guru-guru mahupun ibu bapa dan murid sekolah tersebut. Ini adalah kunci kepada kejayaan pelaksaan sambutan kali ini.

Majlis perasmian penutupan telah disempurnakan oleh Penolong Pengarah Sektor Pengurusan Sekolah (Unit Sekolah Khas) Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan iaitu Puan Rina@Farrina binti Dakim. Beliau yang juga merupakan pegawai angkat sekolah berkenaan merakamkan setinggi-tinggi tahniah di atas kejayaan pelaksanaan Sambutan Bulan Kebangsaan dan Hari Malaysia tahun ini.

Dalam pada itu, SKSB turut berjaya menjadi johan dalam Pertandingan Kibar Jalur Gemilang dan Pencahayaan Pada Bangunan Sekolah bagi kategori sekolah rendah sempena Sambutan Bulan Kebangsaan Peringkat Negeri Jabatan Pendidikan W.P Labuan tahun 2021. Bagi pertandingan Memperagakan Pakaian Patriotik Secara Rakaman Video pula SKSB tidak pulang dengan tangan kosong apabila dua orang murid tahap 1 iaitu Hadi Nashrullah bin Haidi dan Nuraneesa Husna binti Muhadi masing-masing telah mendapat Johan dan tempat Ketiga bagi kategori lelaki dan perempuan.

Puan Dg. Sarifah menyifatkan ini adalah satu kejayaan berganda dan bermakna buat seluruh warga SKSB atas usaha padu yang dicurahkan dalam pertandingan kali ini.

Berita Oleh : SK Sungai Bedaun




222 Peranti iPad diagihkan : Murid SMK Mutiara dan SJK(C) Chi Wen terima peranti CERDIK

Labuan, 4 Okt – Murid-murid tingkatan 3 dan tahun 4 di kalangan B40 SMK Mutiara dan SJK(C) Chi Wen sesungguhnya amat bertuah kerana telah menerima bantuan berbentuk peranti iPad di bawah inisiatif CERDIK, baru-baru ini.

Sebanyak 150 unit peranti iPad telah diagihkan kepada murid SMK Mutiara, manakala 72 unit peranti iPad dibekalkan kepada murid SJK(C) Chi Wen. Jumlah peranti iPad yang diberikan kepada kedua-dua sekolah ini ialah sebanyak 222 unit.

Murid juga turut menerima peranti wifi broadband dan simcard langganan internet selama setahun secara percuma.

CERDIK merupakan inisiatif perintis tanggungjawab sosial korporat (CSR) oleh syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) bertujuan untuk menyediakan akses digital yang terdiri daripada komputer riba, tablet, dan sambungan data kepada murid-murid daripada keluarga berpendapatan rendah.

Inisiatif ini melibatkan sumbangan bernilai RM150 juta daripada 31 GLCs/GLICs yang telah diumumkan menerusi Belanjawan tahun 2021.

Agihan peranti iPad untuk SMK Mutiara telah dilaksanakan pada 22 September 2021 dan SJK(C) Chi Wen berlangsung secara pandu lalu pada 24 September 2021 yang dihadiri oleh murid penerima dan para ibu bapa.

Turut hadir Ketua Penolong Pengarah Hal Ehwal Murid, Sektor Pembangunan Murid, Jabatan Pendidikan WP Labuan Tuan Haji Minggu bin Amat, pengetua SMK Mutiara Encik Yahya Ahmad Puteh dan Guru Besar SJK(C) Chi Wen Puan Pan Yii Ying serta para guru kedua-dua sekolah.

Untuk rekod, di bawah inisiatif CERDIK 2021, sebanyak 667 unit peranti komputer riba/chrome book/iPad telah diedarkan kepada 5 buah sekolah di Labuan.

Murid SK Pekan II dan SMK Pantai Terima 236 Peranti CERDIK untuk PdPR

219 Peranti diedar kepada murid SMK Labuan dibawah Inisiatif CERDIK

Pengetua SMK Mutiara Encik Yahya Ahmad Puteh menyampaikan peranti iPad dan sambungan data internet kepada murid SMK Mutiara
Wajah ceria murid-murid Tingkatan 3 SMK Mutiara bersama peranti iPad
Murid SJK(C) Chi Wen adik Au Miaw Zhen dan bapa melahirkan rasa gembira dengan bantuan peranti iPad dan sambungan data internet yang diberikan
Guru-guru SMK Mutiara bertungkus lumus membantu mengagihkan peranti kepada murid
Proses pengagihan peranti SJK (C) Chi Wen berjalan lancar



Taklimat Pengoperasian Pembukaan Sekolah Tahun 2021

LABUAN, 25 September 2021 – Jabatan Pendidikan W.P Labuan telah melaksanakan Taklimat mengenai Pengoperasian Pembukaan Sekolah Tahun 2021, bertujuan menyebarluaskan mengenai beberapa  perkara yang berkaitan dengan pengoperasian pembukaan sekolah kepada komuniti di W.P Labuan berikutan pengumuman YBMK Menteri Pendidikan Malaysia mengenai pembukaan sekolah yang akan bermula pada 4 Oktober 2021 secara berperingkat.

Dalam taklimat tersebut, En. Yusup bin Haji Mohamad, Pengarah Pendidikan W.P Labuan telah menerangkan beberapa perkara penting mengenai pengoperasian sekolah pada tahun 2021. Selain itu, beliau juga telah menjawab  persoalan yang dikemukakan oleh  jemputan yang hadir. Disusuli  selepas itu, dengan taklimat Standard Operating Prosedure (SOP) oleh Puan Maimoon binti Hj. Matnoh, Timbalan Pengarah Sektor Pengurusan Sekolah.

Puan Dg. Sarifah binti A. Mahmod, Guru Besar SK Sungai Bedaun merangkap Pengerusi Majlis Guru Besar W.P Labuan, turut berkongsi Amalan Terbaik yang telah dirancang dan dilaksanakan oleh pihak sekolah dalam persediaan Pembukaan sekolah yang akan bermula pada 4 Oktober nanti.

Majlis juga disekalikan dengan penyerahan pelitup muka kepada golongan murid B40 sumbangan ikhlas daripada PETRA ENERGY BERHAD yang telah disampaikan oleh Tuan Hj. Rithuan bin Hj. Mohd Ismail, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah WP.Labuan kepada En. Ismail Abdullah wakil untuk sekolah menengah dan kepada Pn. Saripah binti A.Mahmood wakil bagi sekolah Rendah. Sumbangan yang diterima merupakan 25,000 unit pelitup muka, 2000 botol hand sanitizer,10,000 unit glove,1,000 unit face shield dan 10,140 Isolation gaun.

Penyerahan sumbangan kepada En. Ismail Abdullah  dan Pn. Dg. Sarifah A. Mahmod
Pengerusi MPSM & MGB

Yayasan Pendidikan Mara (YPM) juga turut menyampaikan sumbangan kepada 100 orang murid sekolah menengah dan 100 orang murid sekolah rendah yang layak dengan diwakili oleh  adik Sopiya binti Amilussin dari SMK Labuan dan adik Muhammad Ikram bin Md. Nur dari SK Sungai Bedaun. Sumbangan telah disampaikan oleh Puan Susanah binti Abu Bakar@Latif, Penolong Pegawai MARA Daerah  W.P Labuan. Sumbangan yang diterima berupa wang tunai RM70.00 seorang untuk sekolah menengah dan RM50.00 seorang untuk sekolah rendah.

Sumbangan daripada Yayasan Pendidikan Mara (YPM) Pn. Susanah binti Abu Bakar@Latif

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah DSP. Mohd Ibrahim bin Mohd Ghani, Timbalan Ketua Polis Daerah Labuan, En. Dzulfaizal Ab. Manan Pengerusi Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan Zon Labuan (MPP), En. Ismail bin Abdullah, Pengetua SMK Labuan merangkap Pengerusi MPSM, ketua-ketua kampung seluruh Labuan dan Ydp. PIBG disemua sekolah menengah dan sekolah rendah yang berlangsung di BIlik Refflesia Ujana Kewangan W.P Labuan.

Berita Oleh : Sektor Pengurusan Sekolah




Jabatan Pendidikan Laksana Penataran Pengoperasian Sekolah

Selaras dengan pengumuman Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berkaitan pengoperasian sekolah secara berperingkat mulai 4 Oktober ini, Jabatan Pendidikan W.P Labuan mengambil inisiatif melaksanakan beberapa siri penataran pengoperasian pembukaan semula sekolah mulai Selasa lalu.

Siri pertama sesi penataran melibatkan 35 orang terdiri daripada Pengetua dan Guru Besar daripada sekolah-sekolah yang ada di Labuan termasuk Kolej Vokasional, Sekolah Antarabangsa Labuan (LIS) dan SMA MAIWP.

Timbalan Pengarah Sektor Pengurusan Sekolah, Puan Maimoon binti Haji Matnoh yang juga penyelaras sesi taklimat berkata siri penataran ini melibatkan pelbagai pihak termasuk pihak pengurusan sekolah, guru-guru, kumpulan pekerja sokongan, pemimpin masyarakat dan ibubapa.

“Selain itu, kita juga menjemput pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN), Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) dan BOMBA untuk menyampaikan taklimat dalam memastikan kesiapsiagaan pihak sekolah menerima kehadiran murid pada hari pertama persekolahan nanti”

“Sebanyak 18 pelan tindakan telah disusun oleh pihak jabatan bagi memastikan semua pihak mendapat kefahaman yang sama dan mengelakkan kekeliruan berkaitan pembukaan sekolah” kata beliau lagi.

Puan Maimoon Matnoh ketika menyampaikan taklimat kepada pihak sekolah

Dalam ucapan perasmian, Pengarah Pendidikan, Encik Yusup bin Haji Mohamad menekankan kefahaman pentadbir sekolah tentang kehadiran murid secara bergilir, penambahbaikan kepada SOP sedia ada dan kelonggaran-kelonggaran yang dibenarkan untuk kemudahan setiap murid.

“Saya berharap agar pihak sekolah dapat memaklumkan kepada guru, murid dan ibubapa dengan jelas, tepat dan sahih tentang pengoperasian sekolah”

“Pihak jabatan telah menubuhkan pasukan task force bagi membuat penataran maklumat dan pemantauan pematuhan terhadap SOP supaya keselamatan dan kesihatan murid terjaga” tegas beliau lagi.

Encik Yusup juga menasihati agar pihak pengurusan sekolah sentiasa patuh kepada SOP yang dikeluarkan oleh JKN dan meletakkan keselamatan dan kesejahteraan murid sebagai keutamaan.

Berita Oleh : Sektor Perancangan

Pembentangan mengenai persiapan pembukaan sekolah oleh Pengetua SMK Labuan, Encik Ismail Abdullah
Encik Mohd Nizam Yassim, Timbalan Pengarah Sektor Perancangan memberi sedikit penerangan kepada para peserta



Ziarah Kasih Manifestasi Keprihatinan Warga Jabatan

Ahli-ahli Pengurusan Tertinggi Jabatan Pendidikan W.P Labuan telah menganjurkan Ziarah Kasih kepada salah seorang kakitangan kumpulan sokongan, Puan Julynah binti Haji Wali yang telah kematian anaknya baru-baru ini.

Rombongan ziarah di Kampung Sungai Miri itu telah disertai oleh 11 orang dan diketuai oleh Pengarah Pendidikan W.P Labuan, Encik Yusup bin Haji Mohamad.

Sempena ziarah ini, pihak jabatan turut menyampaikan sumbangan kutipan derma ikhlas daripada warga jabatan yang diusahakan oleh Sektor Psikologi dan Kaunseling(SPsK). Selain itu, ahli rombongan turut membuat bacaan tahlil yang telah dipimpin oleh Ustaz Shahir bin Mohamad Yusof, Penolong Pengarah Sektor Pendidikan Islam (SPI).

Menurut penyelaras rombongan ziarah, Encik Fadzil bin Mohd Jamil yang juga Ketua Kaunselor Pendidikan Negeri (KKPN), ziarah ini adalah manifestasi keprihatin warga jabatan terhadap kakitangan jabatan yang ditimpa musibah.

Terdahulu, Encik Yusup telah menzahirkan ucapan takziah daripada semua warga jabatan kepada keluarga Puan Julynah dan berharap agar semua ahli keluarga tabah dalam menghadapi dugaan ini.

Puan Julynah turut mengucapkan terima kasih atas kunjungan dan doa yang telah dipanjatkan kepada arwah anaknya.

Turut serta dalam ziarah ini ialah Timbalan Pengarah Sektor Perancangan, Encik Mohd Nizam bin Yasim dan Timbalan Pengarah Sektor Pengurusan Sekolah, Puan Maimoon binti Matnoh.

Berita Oleh : Sektor Perancangan

Encik Yusup dan warga jabatan yang hadir melawat keluarga Puan Julynah



Sesi Perjumpaan Pengarah Pendidikan Bersama Guru Bimbingan dan Kaunseling Bantu Murid-Murid Terkesan Covid-19

Labuan, 13 Sept – Sektor Pembangunan Murid (SPM), Jabatan Pendidikan W.P Labuan telah menganjurkan pertemuan bersama 26 Guru Bimbingan Kaunseling (GBK) dari semua sekolah seluruh Labuan pada Jumaat lalu.

Perjumpaan di Bilik Kiamsam, Sektor Sumber Teknologi Pendidikan itu telah dipengerusikan oleh Pengarah Pendidikan W.P Labuan, Encik Yusup bin Haji Mohamad.

Menurut penyelaras, Puan Saadiah Jakob yang juga Penolong Pengarah Unit Binbingan dan Kaunseling, perjumpaan ini adalah susulan daripada dua sesi pertemuan maya antara Pengarah bersama murid-murid Tingkatan 5 dan pelajar-pelajar Tingkatan 6 pada bulan lalu.

“Antara dapatan penting yang diperolehi daripada pertemuan tersebut ialah hal berkaitan emosi murid kesan daripada PdPR yang telah berlangsung dalam jangkamasa yang agak panjang” kata beliau lagi.

Dalam ucapan, Encik Yusup mengucapkan tahniah kepada GBK W.P. Labuan kerana telah berjaya membuat bimbingan dan sesi kaunseling paling tinggi di peringkat kebangsaan sepanjang tempoh pandemik ini.

“Saya berharap GBK dapat mengambil inisiatif dan peranan proaktif dalam menangani emosi dan kebajikan anak-anak yang telah kehilangan ibu atau bapa kerana Covid-19 terutama daripada golongan keluarga B40”

“Kita perlu memastikan murid-murid yang terkesan ini dibantu untuk terus berada di dalam sistem pendidikan” tegas beliau lagi.

Menurut Encik Yusup lagi, motivasi calon-calon SPM juga perlu berada pada tahap tinggi untuk terus mengikuti PdPR dan bersedia untuk menghadapi peperiksaan terutamanya murid-murid yang berprestasi rendah dan sederhana.

Selain itu GBK juga perlu membantu murid-murid meneroka peluang-peluang dalam menentukan hala tuju yang jelas selepas alam persekolahan.

Guru Bimbingan Kaunseling yang hadir perjumpaan bersama Pengarah

Dalam pertemuan ini, data dan maklumat berkaitan kehadiran murid dalam PdPR turut dibentang oleh Puan Siow May Yun, Penolong Pengarah di Sektor Pembelajaran.

Di akhir sesi pertemuan, Encik Yusup sempat berinteraksi secara dua hala bersama dengan GBK dalam menangani  beberapa isu berkaitan perkhidmatan GBK di sekolah.

Turut hadir dalam sesi pertemuan ialah Timbalan Pengarah Sektor Pengurusan Sekolah, Puan Maimoon binti Matnoh, Timbalan Pengarah Sektor Perancangan, Encik Mohd Nizam bin Yasim dan Kaunselor Pendidikan Negeri, Encik Sabdin bin Japaruddin.

Berita Oleh : Sektor Perancangan




Penjurian Aktiviti Pendidikan Luar Pusat Kokurikulum Negeri 2021

Labuan, 13 Sept – Penjurian Aktiviti Pendidikan Luar Pusat Kokurikulum Pusat Kokurikulum Peringkat Negeri W.P. Labuan telah dijalankan oleh 24 orang juri bermula 8 September hingga 10 September 2021 yang telah diadakan di Makmal Komputer, Sektor Sumber Teknologi Pendidikan SSTP di Jalan Bukit Besar Kampung  Sungai Lada. Barisan juri adalah dari kalangan jurulatih Pusat Kokurikulum yang juga merupakan barisan guru dari seluruh sekolah di W.P. Labuan. Penjurian mengambil masa selama 3 hari berturut-turut kerana penyertaan yang sangat menggalakkan dari kalangan peserta. Seramai 100 murid Sekolah Rendah dan 155 orang murid Sekolah Menengah telah menyertai Pertandingan Aktiviti Pendidikan Luar Pusat Kokurikulum yang telah berlangsung dari 7 Ogos sehingga 30 Ogos yang lalu.

Terdapat 6 jenis pertandingan yang dipertandingan iaitu Ikatan dan Simpulan, Bantu Mula, Membina Gajet, Kraftangan dari bahan kitar semula, Lukisan Alam dan Masakan Rimba Ikhtiar Hidup. Semua pelajar yang menyertai pertandingan ini menghantar rakaman video mereka yang berdurasi 4 hingg 5 minit untuk dihakimi.

PKK2Sedutan Rakaman Video Bantu Mula kategori sekolah menengah

Menurut Abdul Kahar bin Abdul Rahim, Penolong Pengarah Pusat Kokurikulum pelaksanaan aktiviti kokurikulum yang terancang, mantap dan praktikal dalam norma baharu sebegini akan menyokong pengembangan potensi murid yang seimbang dari segi jasmani, emosi , rohani dan intelek selari dengan kehendak Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Penyertaan aktif dan berkesan murid dapat membantu dari segi menyediakan murid dengan sifat-sifat kecemerlangan diri seperti daya saing, jati diri, kreatif , kritis , berkeyakinan tinggi dan daya tahan bagi menghadapi cabaran era globalisasi dan Teknologi Maklumat dan Komunikasi [ ICT ]. Membantu juga meningkatkan tahap disiplin murid melalui pemilihan idea dan ketepatan rakaman yang dihasilkan, selaras dengan hasrat Rukun Negara.

Aktiviti Pendidikan Luar secara maya ini juga membantu mengukuhkan dan meningkatkan pengetahuan murid dalam pelbagai bidang. Peranan utama kokurikulum masa kini adalah untuk menndedahkan murid dengan aktiviti yang menggembirakan seterusnya membantu mewujudkan persekitaran rumah yang menyeronokkan, menarik dan kondusif  “ Outdoor Is Fun “ Usaha ini diharapkan dapat menghiburkan pelajar seterusnya melupakan seketika bebanan dengan Pembelajaran secara Dalam Talian.

Semoga aktiviti sebegini dapat membina konsep kendiri yang positif dan penghargaan diri yang tinggi supaya mempunyai perasaan hormat diri yang baik, realisitik, mempunyai kebolehan memajukan diri serta menjadi lebih yakin dan berkebolehan menghadapi sebarang masalah serta mampu mengendalikannya dalam mendepani global pandemik Covid-19. Majlis penyampaian hadiah kepada para pemenang akan dilakukankan sebaik sahaja selesai Karnival Bakat Murid anjuran Unit Pembangunan Bakat, Sektor Pembangunan Murid, Jabatan Pendidikan W.P. Labuan yang telah dilancarkan oleh Encik Yusup bin Hj. Mohamad, Pengarah Pendidikan W.P. Labuan dengan tema Serlahkan Bakatmu.

PKK3 – Sedutan Rakaman Video Masakan Rimba Ikhtiar Hidup kategori sekolah rendah
PKK4- Sedutan Rakaman Video Kraftangan Bahan Kitar Semula kategori sekolah rendah

Berita Oleh : Pusat Kokurikulum Negeri W.P Labuan




Sektor Perancangan Anjur Bengkel Sinergi SKPMg2:Kualiti@Sekolah Kepada Sekolah Rintis

Labuan, 10 Sept – Sektor Perancangan selaku peneraju kepada pengisian portal SKPMg2 telah menganjurkan bengkel pengujian instrumen SKPMg2:Kualiti@Sekolah kepada 10 buah sekolah rintis kelmarin.

Seramai 17 orang terdiri daripada Pengetua, Guru Besar dan Penolong Kanan telah hadir dalam taklimat tersebut. Encik Joe Hellmy Jumat, Penolong Pengarah di Sektor Perancangan telah menyampaikan taklimat yang telah diadakan di Bilik Botanikal.

Menurut beliau, pengenalan sinergi baharu SKPMg2 ini mengambil kira perubahan-perubahan bagi memudahkan pihak sekolah membuat pengisian portal pada masa-masa akan datang termasuk kemudahan pengisian secara offline.

SKPMg2 adalah alat pengurusan yang telah diperkenalkan oleh Jemaah Nazir Sekolah (JNS) sejak tahun 2010.

“Uji rintis ini adalah bagi memastikan pemuka baharu SKPMg2 ini dapat difahami dan dilaksanakan dengan mudah di peringkat sekolah. Pihak sekolah juga berpeluang membiasakan diri dengan pengisian instrumen wajah baharu ini” kata beliau lagi.

Berita Oleh : Sektor Perancangan