123 Guru Mengikuti Bengkel Pembugaran Tatabahasa Di Dalam Talian

Pada 12 Julai 2021 bersamaan hari Isnin, SMK Pantai IBWS dengan Kerjasama Jabatan Pendidikan WP labuan melalui Program Task Force Bahasa Melayu telah mengadakan program yang ke-3 iaitu Bengkel Pembugaran Tatabahasa. Program ini melibatkan semua guru Bahasa Melayu sekolah menengah dan sekolah rendah di WP Labuan. Namun begitu bengkel ini turut disertai oleh guru-guru dari luar WP Labuan kerana menggunakan pelantar dalam talian seperti You Tube dan FB Live selain Google Meet. Seramai 123 orang peserta menghadiri bengkel termasuk Pengetua SMK Pantai iaitu Puan Norazita binti Md Nor@Shamsuri merangkap Pengerusi Task Force BM K2.

Dalam ucapan pembukaan, Encik Yusup bin Haji Mohamad Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri W.P Labuan mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Jawatankuasa Task Force BM Kertas 2, kerana berjaya melaksanakan Bengkel Pembugaran Tatabahasa secara dalam talian. Beliau juga menyatakan bahawa pandemik bukanlah halangan untuk sebarang perkongsian ilmu. Teks ucapan beliau telah dibacakan oleh Puan Amiah binti Bua, Ketua Penolong Pengarah Unit Bahasa Sektor Pembelajaran, Jabatan Pendidikan WP Labuan.

Objektif program ini adalah untuk berkongsi ilmu yang berkaitan tentang tatabahasa dari peringkat asas ke peringkat yang lebih tinggi. Bengkel ini merupakan salah satu cara untuk mengulang kembali ilmu-ilmu tatabahasa disamping memberikan ilmu tambahan khusus buat guru-guru baharu. Perkongsian ini juga diharapkan dapat mempertingkatkan lagi keputusan peperiksaan dalam mata pelajaran Bahasa Melayu dan seterusnya mendapat 100 peratus lulus pada peringkat SPM.

Program dimulakan dengan kata-kata aluan oleh pengerusi majlis iaitu Puan Sa’adiah binti Bohari yang juga merupakan Ketua Panitia Bahasa Melayu SMK Pantai IBWS. Moderator pada petang itu pula ialah Puan Salbiah binti Hamduh. Moderator memperkenalkan penceramah terlebih dahulu sebelum menyerahkan sesi perbengkelan kepada penceramah. Penceramah utama pada petang itu ialah Puan Hjh Siti Zahara binti Mohammad yang merupakan SISC+ Bahasa Melayu. Beliau juga merupakan seorang Munsyi Dewan, Juruaudit dalaman Bahasa KPM dan Jurulatih Utama KebangsaanKSSM Format Baharu SPM.

Program ini berjaya dilaksanakan dengan lancar dan semua peserta menzahirkan rasa puas hati dengan bengkel tersebut berdasarkan soal selidik yang disi oleh para peserta. Pada penghujung program, melalui boring soal selidik, para peserta menunjukkan tahap penguasaan dan pemahaman yang cemerlang. Bengkel berakhir pada jam 5.20 petang.

Berita Oleh : Unit Bahasa, Sektor Pembelajaran




Meningkatkan Kompetensi Guru Pendidikan Islam
Bengkel Integrasi Digital Dalam PdP Pendidikan Islam

Labuan, 19 Julai Jawatankuasa Task Force Pendidikan Islam SPM dengan kerjasama Sektor Pendidikan Islam (SPI), Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan (JPWPL) berjaya menganjurkan Bengkel Integrasi Digital Dalam Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) Pendidikan Islam secara dalam talian yang diadakan pada Sabtu lalu.

Bengkel Integrasi Digital yang diadakan merupakan satu usaha untuk meningkatkan profesionalisme guru Pendidikan Islam ke arah melahirkan warga pendidik yang bermaklumat tentang kaedah pengajaran yang terkini melalui perkongsian kepakaran dalam dunia digital.

Turut hadir sama dalam program itu Ketua Penolong Pengarah Sektor Pendidikan Islam ustazah Kamariah binti Salim dan Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Rancha-Rancha merangkap Pengerusi Jawatankuasa Task Force Pendidikan Islam SPM ustaz Wan Azman bin Wan Awang.

Seramai 94 peserta yang terdiri daripada guru-guru Pendidikan Islam dan Bahasa Arab sekolah menengah dan sekolah rendah di wilayah ini menyertainya.

Menurut Wan Azman, Integrasi digital dalam PdP memainkan peranan penting seiring dengan perkembangan teknologi pendidikan terkini. Ini kerana penggunaan teknologi dalam pendidikan akan memberi kesan terhadap perubahan sistem dan kualiti pendidikan yang dilaksanakan oleh guru. Diharapkan juga agar bengkel ini dapat meningkatkan kecemerlangan Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) GPI di wilayah ini.

PERKONGSIAN ILMU yang sangat menarik dan interaktif daripada Jurulatih Google Classroom negeri Johor, ustaz Yusri Yusoff

Bengkel ini telah dikendalikan oleh ustaz Yusri bin Yusoff, Guru Cemerlang Pendidikan Islam, Sekolah Menengah Sains Batu Pahat, Johor sebagai penceramah jemputan. Merupakan penceramah yang berpengalaman luas dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi juga merupakan admin digital classroom negeri Johor.

Antara perkongsian Ilmu yang telah disampaikan oleh penceramah ialah berkaitan keperluan Digital, aplikasi digital dalam PdP, Peranan Teknologi Dalam Pengajaran dan Pembelajaran, Kepentingan Teknologi Pendidikan Dalam Pengajaran dan Pembelajaran.

Menurut Yusri, Integrasi Digital menjadi kaedah terbaik untuk meneruskan pendidikan apabila pendemik COVID-19 melanda untuk memastikan bahawa sesi pembelajaran tidak terganggu.

“Teknologi menjadikan proses PdP akan menjadi lebih menarik dan berkesan di dalam kelas maya.  Melalui interaksi digital proses PdP dapat dijalankan dengan lebih mudah, ringkas dan padat kerana murid-murid akan didedahkan dengan gambaran dan persembahan menarik serta mudah untuk di fahami”.

Katanya lagi, guru akan lebih kreatif dan inovatif dalam PdP mereka  malah keberkesanan hasil dan objektif pengajaran dan pembelajaran dapat berlaku dengan mudah dan terancang.

Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah Sektor Pendidikan Islam, Kamariah binti Salim merakamkan ucapan terima kasih di atas kesudian penceramah berkongsi ilmu dengan warga pendidik di W.P.Labuan serta komitmen guru yang hadir pada petang Sabtu tersebut.

“Kita memahami atas kekangan masa rutin guru di sekolah yang padat, namun berupaya hadir memenuhi undangan ceramah. Alhamdulillah pada petang ini beliau berkesempatan bersama kita berkongsi ilmu pendigitalan yang sedang hangat diperkatakan oleh warga pendidik.” katanya dalam ucapan penutupan.

“Sesungguhnya Pendemik Covid-19, secara tidak langsung mengandungi hikmah yang amat luar biasa. Warga pendidik tidak mempunyai pilihan selain menggunakan teknologi digital bagi kelangsungan proses PdP. Jadi sudah tiba masanya untuk kita mantapkan lagi pembelajaran dan pengajaran dalam talian ini terutamanya untuk kegunaan pada masa akan datang,” katanya

Berita Oleh : Sektor Pendidikan Islam

BERUCAP: Ustazah Kamariah menyampaikan ucapan penutupan di dalam bengkel tersebut.
KENANGAN: Peserta kursus sempat merakamkan gambar bersama penceramah selepas selesai bengkel integrasi digital.



STPM SMK LABUAN KEKAL LULUS 100%

Labuan, 1 Julai – Prestasi Wilayah Persekutuan Labuan dalam STPM 2020 kekal 100% dengan mencatatkan lulus penuh sekurang-kurangnya satu mata pelajaran bagi calon sekolah kerajaan. STPM 2019 juga mencatatkan keputusan 100%.

SMK Labuan merupakan satu-satunya Pusat Tingkatan Enam di Labuan dengan calon STPM pada tahun 2020 seramai 136 orang.

Dari segi jumlah prinsipal, 76 calon mendapat 4 prinsipal iaitu  55.88%,   31  calon  mendapat   3 prinsipal iaitu  22.79%,19 calon mendapat 2 prinsipal iaitu 13.97% dan 10 calon mendapat 1 prinsipal iaitu 7.35%.

Seramai 36 calon mendapat Purata  Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.00 ke atas iaitu 26.47%. Pelajar terbaik STPM 2020 peringkat Wilayah Persekutuan Labuan  ialah JAYNE CAREY WONG dengan mendapat PNGK 3.84.

Pengetua SMK Labuan Encik Ismail Abdullah mengucapkan tahniah kepada semua pelajar yang telah berjaya menyumbang kepada pencapaian lulus 100%, termasuk 36 orang pelajar yang mencapai keputusan cemerlang PNGK 3.00 ke atas.

“Terima kasih juga kepada semua guru yang telah berusaha dengan gigih melaksanakan pembelajaran dalam suasana pandemic Covid-19 yang sangat mencabar. Juga kepada PIBG SMK Labuan yang sentiasa memberi bantuan kewangan untuk melaksanakan program-program kecemerlangan setiap semester.” Encik Ismail Abdullah

Penghargaan kepada Jabatan Pendidikan WP Labuan yang membantu dari segi penempatan guru-guru Tingkatan Enam serta bantuan dalam aspek kurikulum.

Untuk rekod, peperiksaan STPM Ulangan Semester 2/2020, dijalankan  pada  8,  9,  10  dan 15 Mac 2021.

STPM Semester  1/2021 dan Ulangan Semester 1/2020, dijalankan pada  16, 17, 18   dan 22 Mac 2021.  

STPM Semester 3/2020, dijalankan pada 5, 6, 7, 8 dan 12 April 2021 di satu  pusat peperiksaan di Wilayah Labuan iaitu SMK Labuan.

Senarai pelajar yang mendapat PNGK 3.0 ke atas.

1 JAYNE  CAREY         WONG 3.84
2 MICHELLE  WONG FUI  PING 3.83
3 SUSAN  LEE  MEI SAN 3.75
4 NURUL ATEYRAH  BINTI YUSAILI 3.67
5 HASJUHWIYAH  BINTI  JAMAL 3.67
6 NORHIDAYAHANI NATASHA  BINTI      ROSLEN 3.67
7 NORHAFIZA  AMILAH 3.67
8 AYISHA  BINTI  MANSOR 3.67
9 VERONLYNN  IRENE  ANAK  JOSEPH 3.59
10 YAPP SEI  NEI 3.50
11 ANDI SALLEHWANGI  BIN MOHD  ARIS 3.42
12 SRISHAFINA  AMINA  BINTI  ABDUL  RAZAK 3.33
13 ELLY  NAZIRAH BINTI  SUFRI 3.25
14 SITTI NURMAMELENA  ABDULLAH 3.25
15 WAN DAYANA    ABADI  BINTI  WAN  MOHD  AZMI 3.25
16 ARDILYN  BINTI  EDIN 3.25
17 SITI  NORAISAH  BINTI  RASHID 3.25
18 MUHAMMAD  IQSHAM  BIN  ROMIU 3.25
19 SYAMIMI  NASUHA  BINTI  YAMIN 3.25
20 MOHD  JASMIE  BIN  MOHD  MASRAPI 3.17
21 MASTURINA  BINTI  HIDZAR 3.17
22 DAYANG  NURLEILA  IMAN  BINTI  AWANGKU  HARISYAM 3.09
23 HIDAYATUL  HUSNA  BINTI  YAHYA 3.09
24 NURUL  AIN  BINTI  ABDUL  GHANI 3.09
25 LYIA  KHARUN EZZANEEY  BINTI  ABDUL  LATIP 3.09
26 ROSANIZA  BINTI  ROSLI 3.08
27 MOHD  AMIRUL  SYAFIK  BIN  MOHD  ISHAK 3.08
28 NURAINA  BINTI  ISHAK 3.08
29 NUR  NASHA FARIEZA  NIECEE  BINTI  JAMBLY 3.08
30 NOR ATIKAH  BINTI  AHMAD 3.08
31 ALEEYA  NAZURIN 3.00
32 SYAZA  BINTI  MUZANI 3.00
33 EZA  EISYA  BINTI  GANDUR 3.00
34 JOSEPHINE  TAN  HUI  LING 3.00
35 SITI  NOORHAFIZA  NAZWA  BINTI  NORIZAN 3.00
36 MOHD  NASSIP 3.00



36 Pelatih Dari 3 Buah Sekolah Program Vokasional Menengah Atas Kohort 2019 Terampil Dan Layak Menerima Sijil Kemahiran Malaysia Tahap 2 Di Labuan

Labuan, 29 Mei – Satu kejayaan yang membanggakan bagi Labuan apabila kesemua 36 calon pelatih PVMA yang menduduki Penilaian Khas Akhir pada 6 hingga 8 April 2021 telah di perakui terampil dengan tahap pencapaian Tahap 2.

Jawatankuasa Senat Persijilan Kemahiran Malaysia yang bermesyuarat pada 27 Mei 2021 telah menyemak dan meneliti maka dengan itu meluluskan keputusan penilaian tersebut. Kesemua 16 negeri terlibat dalam mesyuarat ini bersama Pengarah BPLTV Kementerian Pendidikan Malaysia dan Jabatan Pembangunan Kemahiran Kementerian Sumber Manusia.

Encik Mohamed Al Ghaffar bin Haji Mohamed Maidin, Ketua Penolong Pengarah, Unit TVET, Sektor Pembelajaran Jabatan Pendidikan WP Labuan yang merupakan pegawai meja bagi program ini berkata sekolah yang terlibat ialah SMK Taman Perumahan Bedaun, SMK Pantai dan SMK Lajau.

Sekolah ini menawarkan Program Vokasional Menengah Atas seperti Penyediaan dan Pembuatan Makanan di SMK Pantai, Pembuatan Pakaian Wanita di SMK Lajau dan Artis Multimedia-Visual di SMK Taman Perumahan Bedaun.

Pengurusan induk untuk program ini adalah di peringkat Bahagian Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional Kementerian Pendidikan Malaysia.

Di peringkat Jabatan Pendidikan Negeri program ini di kawal selia oleh Unit TVET Sektor Pembelajaran dan di peringkat sekolah di urus oleh Pengetua sebagai PBC, guru – guru PVMA sebagai PP dan seorang penyelaras sebagai PPD. Untuk Penilaian Khas tahun ini ia tetap berjaya dilaksanakan walaupun dalam suasana yang terhad akibat pandemic Covid-19. Penilaian telah diadakan secara dalam talian dari 6 hingga 8 April dengan cemerlang.

Pembentangan Penilaian Akhir Labuan oleh Encik Mohamed Al Ghaffar bin Haji Mohamed Maidin KPP TVET SPb JPWPL

Program PVMA memberi nilai tambah kepada kemenjadian murid. Melalui program ini murid memperolehi dua persijilan, iaitu SPM serta pernyataan MPAK bagi mata pelajaran akademik yang tertentu dan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM). Bagi memastikan kelancaran PVMA, 12 kursus telah dikenal pasti di seluruh negara. Apa yang menjadi kebanggaan ialah bagi seluruh Malaysia, hanya di SMK Taman Perumahan Bedaun, Labuan sahaja yang menawarkan subjek program Artis Multimedia-Visual.

Encik Mohamed Al- Ghaffar berharap agar semua pelajar PVMA yang mengikuti program ini mendapat ilmu dan kemahiran yang bermanfaat. Setinggi-tinggi penghargaan juga diberikan kepada Pengetua, guru-guru PVMA, ibu bapa serta pelajar yang terlibat di dalam program PVMA ini. Secara tidak langsung, melalui program ini telah membuka peluang yang luas untuk pelajar-pelajar mendapat pekerjaan dibidang industri, perhotelan dan lain-lain yang berkaitan.

Berita Oleh : Unit TVET, Sektor Pembelajaran




Unit TVET Dan Kumpulan Pemikir Menganjurkan Program Pembangunan Profesionalisme Guru Reka Bentuk Teknologi Bagi Sekolah-Sekolah Menengah Di Labuan

Labuan, 29 Mei Pasukan pemikir mata pelajaran Reka Bentuk dan Teknologi Labuan bersama Encik Mohamed Al Ghaffar bin Hj Mohamed Maidin, Ketua Penolong Pengarah, Encik Abdul Rizal bin Abdul Rahim Penolong Pengarah, Cik Juraidah Hj Aman dan Encik Mohd Daud Bin Abdullah rakan SISC+ Unit TVET, Sektor Pembelajaran Jabatan Pendidikan WP Labuan telah merangka Program Pembangunan Profesionalisme Guru RBT bagi sekolah-sekolah menengah di sekitar Labuan setelah membuat tinjauan keperluan guru-guru tersebut.

Di antara Program Pembangunan Profesionalisme Guru yang dirancang adalah Bengkel Pemantapan Penguasaan Kandungan Subjek RBT, Bengkel Pembinaan Item, Bengkel Pembinaan ABM/BBM dan Perkongsian Amalan Baik oleh rakan SISC+ unit TVET, Labuan.

Salah satu program yang telah dijalankan adalah Bengkel Pemantapan Penguasaan Kandungan Subjek RBT dimana bengkel ini merupakan perkongsian ilmu oleh guru-guru pakar yang di pilih di kalangan guru-guru RBT di Labuan sendiri.

Subjek RBT mula diperkenalkan di sekolah menengah pada tahun 2017 untuk tingkatan 1. Oleh itu, seramai 32 orang guru RBT sekolah menengah di sekitar Labuan amat memerlukan pendedahan latihan yang berterusan untuk subjek ini.

Cikgu Khairul (SM Sains) dan Cikgu Mat Sani (SMK Lajau) sebagai penceramah
Cikgu Mizan Adlia dari SMK Mutiara sebagai penceramah

Ketua pasukan pemikir mata pelajaran RBT Labuan, Cikgu Felicia Jeffrey berkata tujuan bengkel tersebut dilaksanakan adalah satu usaha bagi membantu guru-guru RBT sekolah menengah meningkatkan penguasaan semua kandungan tajuk yang terdapat dalam subjek RBT agar penyampaian guru dalam pdpc lebih berkesan. Bengkel ini telah mula dilaksanakan pada 23 April yang lalu secara dalam talian menggunakan aplikasi Google Meet.

Menurut beliau lagi, bengkel ini akan diadakan sebanyak 16 kali mengikut jumlah kandungan tajuk pada setiap petang hari Jumaat selama 2 jam. Manakala, pemilihan tuan rumah yang mengelolakan bengkel adalah berdasarkan kepakaran guru yang ada pada sekolah tersebut. Sehingga hari ini, sebanyak 4 bengkel pemantapan penguasaan kandungan subjek RBT berjaya dijalankan.

Ketua Penolong Pengarah TVET Sektor Pembelajaran Jabatan Pendidikan Labuan, Encik Mohamed Al- Ghaffar bin Hj Mohamed Maidin berharap agar semua guru yang menghadiri program ini mendapat ilmu yang bermanfaat. Setinggi-tinggi penghargaan juga diberikan kepada tuan rumah serta guru-guru yang terlibat di atas perkongsian kepakaran, bimbingan serta tunjuk ajar yang disampaikan. Secara tidak langsung, melalui program seperti ini guru-guru RBT di Labuan dapat menjalinkan kerjasama dan semangat kerja berpasukan di luar komuniti sekolah masing-masing.

Berita Oleh : Unit TVET, Sektor Pembelajaran

Antara peserta bengkel yang hadir dalam talian



PROGRAM PEMBANGUNAN PROFEFSINALISME (CPD) : Bengkel Pengaturcaraan Scratch dan Microbit Pasukan Pemikir RBT Sekolah Rendah

Labuan, 20 Mei – Unit TVET Sektor Pembelajaran dan Pasukan Pemikir Reka Bentuk dan Teknologi Sekolah Rendah Jabatan Pendidikan W.P Labuan telah mengadakan satu Program Pembangunan Profesional (CPD) Bengkel Pengaturcaraan Scratch dan Microbit.

Bengkel ini diadakan hasil daripada dapatan daripada guru-guru yang mengajar di W.P Labuan yang mana mereka memerlukan kepakaran untuk memantapkan Pengajaran dan Pembelajaran sama ada secara bersemuka atau secara atas talian mereka

Unit TVET, Sektor Pembelajaran Jabatan Pendidikan WP Labuan telah menjemput kepakaran dari luar W.P Labuan iaitu Jalinan Pintar bersama Pejabat Pendidikan Daerah Tenom. Encik Rodolf Arat, Penolong Pegawai, Sektor Pengurusan Murid, Pejabat Pendidikan Daerah Tenom yang juga salah seorang jurulatih untuk Scratch dan Microbit Sekolah Rendah bagi Wilayah Sabah telah berkongsi kepakaran beliau.

Bengkel Pengaturcaraan ini diadakan secara dalam talian memandangkan keadaan yang tidak mengizinkan secara bersemuka. Walaupun ia diadakan secara di dalam talian menggunakan aplikasi Google Meet dan akaun Delima tidak bermakna Pasukan pemikir hanya mendapat ilmu kepakaran ini secara teori tapi juga dijalankan secara praktikal yang mana akan dipersembahkan oleh Pasukan Pemikir yang terlibat.

Pencermah Encik Rodolf Arat (bawah kanan), Encik Rizal (atas kiri) dan Pasukan Pemikir

Menurut Encik Mohd Daud Bin Abdullah, Pegawai SISC+ TVET Jabatan Pendidikan W.P Labuan sebagai penyelaras bengkel Pengaturcaraan ini, antara tujuan bengkel ini diadakan selain daripada dapatan guru-guru disekitar W.P Labuan tetapi juga untuk membangunkan kemenjadian murid dalam pengaturcaraan yang boleh mereka gunakan semasa belakunya Pembelajaran dan Pengajaran semasa bersemuka dan di dalam talian.

Mereka juga boleh membuat Invensi, Inovasi untuk diri mereka dan juga mungkin boleh di bawa ke pertandingan -pertandingan yang akan dianjurkan di dalam dan di luar WP Labuan.

Penolong Pengarah Unit TVET Sektor Pembelajaran Jabatan Pendidikan WP Labuan Encik Abdul Rizal bin Abdul Rahim  berharap agar Pasukan Pemikir yang mengikuti Bengkel ini akan seterusnya mengadakan Bengkel Pengaturcaraan ini kepada  semua guru-guru Reka Bentuk dan Teknologi Sekolah Rendah.

Setinggi-tinggi penghargaan juga diberikan kepada Penceramah di atas perkongsian kepakaran, bimbingan serta tunjuk ajar yang disampaikan. Secara tidak langsung, melalui program seperti Pasukan Pemikir RBT Sekolah Rendah di Labuan dapat menjalinkan kerjasama dan semangat kerja berpasukan di luar komuniti sekolah masing-masing.

Berita Oleh : Unit TVET, Sektor Pembelajaran

Bengkel Pengaturcaraan oleh Pasukan Pemikir yang diperhatikan oleh Penceramah



Kunjung Hormat Pengarah Pendidikan JPWPL Ke Jabatan Kesihatan Negeri

Labuan, 21 Mei – Kunjung hormat Pengarah Pendidikan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan kepada Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri di Bilik Mesyuarat Pejabat Pengarah Kesihatan Negeri diadakan pagi tadi dalam suasana penuh harmoni.

Kunjung hormat ini adalah bersempena pelantikan Encik Yusup Haji Mohamad sebagai Pengarah Pendidikan yang baharu berkuat kuasa 1 Mac 2021 yang lalu.

Perbincangan berkaitan intervensi untuk memutuskan rangkaian covid-19 di sekolah menjadi agenda utama dalam pertemuan tersebut.

Rombongan dari Jabatan Pendidikan Labuan seramai 6 orang disertai Ketua Unit HEM, Haji Minggu bin Amat selaku penyelaras program, Ketua Penolong Pengarah Sektor Sumber Manusia, Encik Mohamad Khairul Hafiz bin Juni, Ketua Sektor Pendidikan Islam, Puan Kamariah binti Salim.

Turut hadir Ketua Kaunselor Negeri, Encik Fazil @ Fadzil Bin Mohd Jamil dan Penolong Pengarah Sektor Pengurusan Sekolah, Puan Zaliha Binti Mohd Salleh.

Encik Yusup (empat dari kiri), Encik Mohd Zaki (tiga dari kiri), Encik Chung Ken Tet (dua dari kiri) dan Encik Laurence Liaw (kiri) bergambar bersama rombongan Kunjung Hormat JPWPL ke JKN.

Dalam pertemuan tersebut, Yusup menjelaskan KPI Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) iaitu mengatasi sebaik mungkin daripada terjadinya kluster pendidikan di sekolah kawalan iaitu sekolah rendah dan sekolah menengah juga tadika swasta yang berdaftar dengan KPM.

Menurut beliau, semua sekolah di Labuan beroperasi dalam keadaan pematuhan SOP yang tinggi dalam usaha mengekang penularan covid-19.

“Sekiranya didapati ada murid yang positif covid-19, maka sekolah diarah tutup selama 2 hari. Pengetua dan guru besar perlu berhubung terus dengan JKN untuk mengadakan perbincangan bagi menganalisis risiko”. Katanya dalam pertemuan tersebut.

Pihak JPWPL juga berjaya menyelesaikan isu kepadatan murid di di dalam kelas dengan adanya perbincangan bersama pihak sekolah dan lembaga pengurusan sekolah.  

“Sebanyak 27  kelas yang melebihi murid 35 orang. Untuk itu kita sedang memikirkan mekanisme untuk menangani kepadatan murid sama ada melalui penggiliran, pembelajaran 2 sesi dan sebagainya. Kita amat berharap tiada defesit pembelajaran di kalangan murid-murid”. Katanya lagi.

Terdapat sebanyak 26 buah sekolah rendah dan sekolah menengah di W.P. Labuan. Daripada jumlah tersebut 11 buah sekolah beroperasi kurang 35 orang murid dalam satu kelas manakala 15 buah sekolah kritikal dengan jumlah murid yang melebihi 35 orang dalam sesebuah kelas.

Katanya lagi, kehadiran murid-murid ke sekolah juga tidak banyak bezanya semasa dan sebelum berlakunya pendemik covid-19. Ibu bapa begitu yakin menghantar anak-anak ke sekolah.

“Bagi mengekang penularan, pihak luar tidak dibenarkan masuk ke premis sekolah kecuali pekerja pembersihan dan pekerja binaan yang dibenarkan. Pegawai angkat sekolah turut membuat pemantauan secara mengejut bagi memastikan pematuhan SOP di sekolah. JPWPL juga sentiasa memantau penyuraian murid selepas sessi persekolahan” katanya lagi.

Beliau turut merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada JKN kerana memberi keutamaan dalam pemberian vaksin di kalangan warga pendidikan seramai 1365 orang sebagai “frontliner”. Daripada jumlah tersebut 86.96% telah menerima vaksin dose pertama.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri, Dr Ismuni Bin Bohari merakamkan ucapan terima kasih di atas rombongan JPWPL ke JKN. Beliau turut menekankan tentang kesedaran guru terhadap pematuhan SOP.

“Bagi keselamatan guru-guru, saya amat menggalakkan guru memakai “face shield” di samping mask semasa mengajar. Sentiasalah menjaga penjarakan dan memakai mask sepanjang berada di sekolah. Saya juga mengharapkan agar pihak sekolah dapat menegur murid-murid yang berkumpul selepas selesai sesi persekolahan biarpun mereka berada di luar kawasan sekolah” katanya dalam majlis tersebut.

Berita Oleh : Sektor Pendidikan Islam

Dr Ismuni (tengah) menerangkan situasi Covid-19 di Wilayah Persekutuan Labuan sambil diperhatikan oleh Encik Yusup (dua dari kanan) Encik Mohd Zaki (dua dari kiri) dan Encik Chung Ken Tet (kiri).



DARI GURU UNTUK GURU: Ucapan Berganda Sempena Hari Raya dan Hari Guru 2021

Tanggal 16 Mei setiap tahun memberi makna yang tersendiri kepada setiap insan yang bergelar guru. Dengan tema “Berguru Demi Ilmu, Bina Generasi Baharu”, sambutan Hari Guru tahun ini agak berbeza kerana masih diselubungi pandemik Covid-19.

Namun begitu, Jabatan Pendidikan W.P Labuan telah memanfaatkan perkembangan teknologi dengan menganjurkan sesi ucapan Hari Raya Aidilfitri dan Hari Guru 2021 secara dalam talian pada Ahad lalu.

Menurut Timbalan Pengarah Sektor Perancangan, Encik Mohd Nizam bin Yasim ucapan Hari Raya Aidilfitri 1442h dan Hari Guru 2021 dibuat serentak untuk menyantuni semua warga guru yang berada di seluruh Malaysia.

“Kebetulan 16 Mei berada di dalam suasana hari raya, maka kami mengambil peluang untuk melaksanakan aktiviti ini sebagai satu inisiatif memeriahkan sambutan tahun ini”

“Kesungguhan dan kerjasama erat guru-guru yang berkemahiran dalam teknologi ICT telah berjaya mengumpul penyertaan daripada seluruh negara termasuk pengurusan tertinggi di KPM” tambah beliau lagi yang turut menjadi moderator majlis tersebut yang disiarkan secara langsung melalui saluran YouTube Live.

Antara jemputan kenamaan yang turut memberi ucapan ialah Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia (TKPPM), Sektor Operasi Sekolah, Dato’ Haji Adzman bin Talib dan Timbalan Pengarah Kanan, Bahagian Pengurusan Sekolah Harian (BPSH), KPM, Encik Raisin bin Saidin.

“Dalam kemeriahan sambutan berganda hari raya dan Hari Guru 2021, kita juga perlu bersedia untuk melaksanakan PdPR yang bersesuaian dengan murid kita mulai 17 hingga 28 Mei. Pihak KPM juga sangat menghargai pengorbanan guru mendidik murid-murid menjadi warganegara Malaysia yang berguna kepada agama, bangsa dan negara” kata Dato’ Haji Adzman ketika bersiaran secara langsung.

Encik Raisin (bawah kiri), Encik Yusup (atas kanan), Encik Ismail (bawah kiri) dan Encik Nizam (atas kiri) mengucapkan Selamat Hari Raya dan Selamat Hari Guru kepada seluruh warga guru.

Selain itu beliau turut mengajak seluruh umat Islam mendoakan agar keamanan kembali pulih di bumi Palestine yang pada ketika ini sedang di dalam pergolakan.

Terdahulu, Pengarah Pendidikan W.P Labuan, Encik Yusup Hj Mohamad sempat mengucapkan selamat hari raya dan hari guru kepada seluruh warga guru yang telah memberi komitmen dan khidmat cemerlang terutama dalam tempoh PKP.

“Kehadiranmu dinanti, ketiadaanmu dirindui, ungkapanmu memberi inspirasi, sikapmu diteladani, nasihatmu menyejukkan hati, kata-katamu guru penuh ilmu dan pedoman yang menerangi masa depan” kata Encik Yusup ketika mengakhiri ucapan.

Sesi ucapan turut diserikan oleh YDP MPSM Labuan, Encik Ismail Abdullah, YDP MGB Labuan, Puan Dayang Saripah A. Mahmud dan Pengarah IAB, Cawangan Sabah, Puan Khaziyati Osman.

Siaran langsung ucapan ini telah diikuti oleh seramai 266 guru di seluruh negara.

Berita Oleh : Sektor Perancangan

Encik Nizam (atas kanan) mengendalikan sesi ucapan berganda Selamat Hari Raya dan Selamat Hari Guru
Sebahagian guru yang menyertai program Ucapan Berganda Selamat Hari Raya dan Selamat Hari Guru



Kunjung Hormat Ahli Lembaga Pengurus Sekolah SJK(C) Chi Wen Ke Jabatan Pendidikan Erat Kerjasama Komuniti

Labuan, 21 April – Lembaga Pengurus Sekolah(LPS) SJKC Chi Wen, Wilayah Persekutuan Labuan telah mengadakan kunjungan hormat kepada Pengarah Pendidikan W.P.Labuan di pejabatnya di Tingkat 10 Ujana Kewangan, hari ini.

Kunjungan ini dibuat sempena pelantikan Encik Yusup bin Haji Mohamad sebagai Pengarah Pendidikan yang baharu yang berkuatkuasa pada 1 Mac 2021 yang lalu.

Delegasi 5 ahli jawatan kuasa tertinggi LPS telah diketuai oleh Pengerusinya Encik Philip Yeo Ah Seng. Turut serta ialah Encik William Chong (setiausaha) dan Encik Cheong Hock Ting (bendahari). Selain itu, Guru Besar SJKC Chi Wen, Puan Pan Yii Yng dan Penolong Kanan Pentadbiran, Puan Liew Sin Sin turut hadir.

Ketibaan mereka pada jam 11.00 pagi telah disambut oleh Penolong Pengarah, Sektor Pengurusan Sekolah, Puan Zaleha bin Hassan.

Dalam pertemuan itu, Encik Philip mewakili ahli Lembaga Pengurus Sekolah mengucapkan tahniah kepada Encik Yusup kerana telah dilantik menerajui Jabatan Pendidikan W.P. Labuan.

Selain itu, pihak Lembaga Pengurus Sekolah turut memohon bantuan JPN membuat susulan ke KPM berkaitan peruntukan penyenggaraan bagi sekolah-sekolah bantuan kerajaan yang masih belum diterima untuk tahun ini.

Dalam maklumbalas, Encik Boney Joumil menyatakan bahawa semua permohonan penyelenggaraan untuk semua Sekolah Bantuan Kerajaan (SBK) telah dihantar ke KPM.

“Walau bagaimanapun, pihak JPN akan membantu membuat susulan berkaitan perkara ini supaya penyelenggaraan infrastruktur dapat dilaksanakan segera. Namun begitu, tanggungjawab penyelenggaraan untuk SBK masih di bawah pihak Lembaga Pengurus Sekolah” ujarnya lagi.

Encik Yusup memberikan ucapan aluan kepada rombongan Lembaga Pengurus Sekolah SJK(C) Chi Wen

Isu penyuraian murid di luar kawasan sekolah turut dibangkitkan. Hal ini telah menimbulkan keresahan dalam kalangan ibubapa terutamanya pada waktu tengahari.

Ketika mengulas perkara ini, Encik Yusup memaklumkan bahawa kerjasama dengan pihak polis amat perlu dalam situasi sebegini. Pihak JPN akan berusaha mendapatkan kerjasama PDRM bagi mengurangkan kesesakan lalulintas di kawasan tersebut.

Terdahulu dalam ucapannya, Encik Yusup mengucapkan terima kasih atas kunjungan pihak lembaga dan berharap dapat mengeratkan hubungan pihak lembaga dan jabatan.

“Saya berharap agar pihak lembaga dan JPN dapat bertukar pandangan dan cadangan untuk dibincangkan secara bersama. Melalui perbincangan seumpama ini kita dapat melihat keperluan sekolah dalam memastikan sekolah memberi khidmat terbaik untuk kemenjadian murid” menurut beliau lagi.

Encik Yusup juga mengucapkan tahniah kepada SJKC Chi Wen kerana telah berjaya menubuhkan Persatuan Ibubapa dan Guru (PIBG). PIBG adalah wadah terbaik untuk membantu pihak sekolah dalam memastikan pelibatan komuniti dalam operasi sekolah.

Hadir sama dalam pertemuan tersebut ialah Timbalan Pengarah Sektor Pengurusan Sekolah, Puan Maimoon binti Matnoh, Timbalan Pengarah Sektor Perancangan(SPr) , Encik Mohd Nizam bin Yasim, Timbalan Pengarah Sektor Pembangunan Murid (SPM), Tuan Haji Abdul Rahman Ahmad.

Berita Oleh : Sektor Perancangan

Gambar kenangan : duduk dari kiri Puan Maimoon, Encik Philip, Encik Yusup, Encik Mohd Nizam, Tuan Haji Abdul Rahman, Encik Boney ( berdiri kanan) dan Puan Pan Yii Yng (berdiri tengah) bersama rombongan Lembaga Pengurus Sekolah



Pengarah Pendidikan Lakukan Kunjung Hormat Ke Perbadanan Labuan

Labuan, 19 April – Pengarah Pendidikan Jabatan Pendidikan W.P Labuan telah mengadakan kunjungan hormat kepada Pengerusi Perbadanan Labuan di pejabatnya di Tingkat 10, Menara Perbadanan hari ini. Kunjung hormat ini bersempena pelantikan Encik Yusup bin Haji Mohamad sebagai Pengarah Pendidikan yang baharu berkuat kuasa 1 Mac yang lalu.

Rombongan dari Jabatan Pendidikan seramai 5 orang turut disertai oleh Timbalan Pengarah Pendidikan, Sektor Perancangan Encik Mohd Nizam bin Yasim dan Ketua Penolong Pengarah, Sektor Sumber Teknologi Pendidikan, Encik Awang Marten bin Datuk Haji Abdul Rahman. Selain itu, turut hadir ialah KPP Sektor Pengurusan, Puan Lina Encharang dan KPP Sektor Infrastruktur dan Perolehan, Encik Boney Joumil.

Dalam pertemuan itu, Encik Yusup Mohamad telah menerangkan hal-hal berkaitan pengoperasian sekolah terutamanya dalam tempoh PKPP. Menurut beliau, setakat ini semua sekolah beroperasi dalam keadaan pematuhan SOP di tahap yang terbaik bagi mengekang penularan Covid19 dalam premis sekolah.

Selain itu, beliau turut memaklumkan beberapa projek pembangunan baharu termasuk pembinaan Kolej Tingkatan 6 dan pembinaan satu blok gantian yang mengandungi 12 bilik darjah di SMK Labuan.

Terdahulu, Pengerusi Perbadanan Labuan. Dato’ Sri Haji Amir bin Haji Hussien mengucapkan tahniah kepada Encik Yusup kerana telah dilantik menerajui Jabatan Pendidikan W. P. Labuan. Beliau turut melahirkan rasa bangga atas pelantikan anak tempatan menerajui agensi kerajaan yang terbesar di pulau ini.

“Pihak PL sedia untuk memberi bantuan, sokongan dan kerjasama kepada Jabatan Pendidikan dalam memastikan anak-anak di wilayah ini mendapat manfaat pendidikan terbaik” ujar beliau.

“Pihak Perbadanan Labuan mungkin boleh menyelaras bantuan untuk mendapatkan bekalan pelitup separuh muka untuk diagihkan kepada murid-murid di dalam kategori B40” tambah beliau lagi.

Hadir sama dalam pertemuan tersebut ialah Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PL (Perbandaran), Encik Fadzilah bin Haji Mahmud, Pengarah Jabatan Sosio Ekonomi PL, Encik Helmi bin Bali dan Pegawai Pelancongan, Kebudayaan dan Kesenian PL, Encik Shahrulizam bin Sapar.

Berita Oleh : Sektor Perancangan

Perbincangan 2 hala antara Jabatan Pendidikan WP Labuan dan Perbadanan Labuan