Labuan– Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan (JPWPL) diadakan secara atas talian dengan disertai lebih daripada 250 orang warga pendidik dari kediaman masing-masing baru-baru ini.
Sambutan Maulidur Rasul ini diurus setiakan oleh Sektor Pendidikan Islam (SPI), Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan. Majlis dimulai dengan bacaan zikir mathurat yang dipimpin oleh Ustaz Sahrum Bin Samlan, Penolong Pengarah Unit Pembangunan Adab dan Nilai, Sektor Pendidikan Islam.
Ceramah Maulidur Rasul bertajuk ‘Manhaj Rabbani Ummah Berkualiti’ telah disampaikan oleh Al-Fadil Tuan Haji Salehuddin bin Shafie, Pegawai Akidah daripada Bahagian Pendidikan Islam, Kementerian Pendidikan Malaysia secara santai namun penuh ilmiah.
Penceritaan tentang kehidupan, keperibadian dan langkah perjuangan Rasulullah bersama para sahabat dalam menegakkan syiar Islam di kota Mekah dan Madinah amat terkesan di hati pendengar.
“Manusia perlu mencontohi setiap yang ada pada diri Rasulullah SAW sebagai sumber inspirasi dalam menjalani kehidupan demi kesejahteraan di dunia dan akhirat. Kisah kehidupan Nabi Muhammad SAW ini bukan hanya untuk dibaca atau didengarkan saja setiap kali sambutan kelahiran baginda, tetapi untuk dijadikan contoh dalam kehidupan kita.
“Baginda mempamerkan adab dan kesopanan dalam interaksinya sesama manusia, tidak kira sama ada kawan atau lawan, bangsa dan keturunan. Rasulullah SAW juga menghiasi dirinya dengan pelbagai sifat mulia seperti amanah, berani, menetapi janji, ramah, sabar, jujur dan berjiwa bersih” ujarnya dalam ceramah tersebut.
Majlis tersebut dihadiri oleh Pengarah Pendidikan JPWPL, Encik Yusup bin Haji Mohamad, Timbalan- timbalan Pengarah, Ketua-ketua Penolong Pengarah, Pengetua dan Guru Besar, pegawai-pegawai di JPWPL , ustaz ustazah dan juga guru-guru di sekitar wilayah ini.
Dalam ucapannya Encik Yusup berkata Majlis Sambutan Maulidur Rasul diadakan secara atas talian sebagai langkah untuk menjaga kemaslahatan bersama dalam usaha menangani Covid-19.
“Sesuai dengan tema Manhaj Rabban Ummah Berkualitii merupakan sebuah jalan hidup yang telah ditetapkan oleh Allah Taala untuk seluruh makhlukNya. Berpegang kepada Al Quran dan Sunnah adalah ukurannya. Sehubungan itu ummat Islam sewajarnya menghayati tema ini sebagai usaha kita untuk kembali bangkit menjadi ummat yang gemilang” katanya semasa berucap dalam majlis tersebut
Katanya lagi, 12 Rabi’ul Awwal pada setiap tahun adalah sangat penting untuk diraikan, sebagai tanda syukur dan bahagia dengan kelahiran dan perutusan baginda Nabi Muhammad s.a.w yang merupakan satu nikmat dan rahmat kepada seluruh alam.
“Dakwah paling sejati adalah dengan menunjukkan akhlak yang baik, menjadi bukti yang dapat dilihat, ditiru dan dicontohi oleh orang lain. Akhlak yang baik dapat mewujudkan suasana kasih sayang dalam hubungan manusia.”.
Beliau turut berharap agar ceramah yang disampaikan tadi dapat meneguhkan jati diri dan akhlak kita sebagai seorang muslim sejati serta berusaha memperbaiki diri demi mencapai ciri-ciri muslim berkualiti.
Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan di akhiri dengan bacaan selawat.
Berita Oleh : Sektor Pendidikan Islam