SMK Mutiara Ke Hadapan Dalam Usaha Melestarikan Alam Sekitar Dalam Sambutan “HARI BUMI”

Labuan, 22 April – Sekolah Menengah Kebangsaan Mutiara telah menyambut Hari Bumi dengan  mengadakan  Majlis Penutupan Kempen “Stop Pollution,Go-Lution” . Sambutan Hari Bumi dan kempen yang dijalankan bertujuan menjaga kelestarian alam sekitar  di Wilayah Persekutuan amnya dan di SMK Mutiara khususnya. Kempen ini juga dapat meningkatkan kesedaran warga sekolah untuk membuang sisa e-waste secara bertanggungjawab.

Hari Bumi peringkat Wilayah Persekutuan Labuan disambut dengan jalinan kerjasama bersama Jabatan Alam Sekitar dan Perbadanan Labuan. Manakala kumpulan Eco-Alfa Go dengan kerjasama Kumpulan Pengakap ke 15, Kelab STEM +, Panitia Bahasa Inggeris, Panitia Sains dan Unit Bimbingan dan kaunseling telah  menganjurkan Sambutan Hari Bumi di Peringkat SMK Mutiara.

Pengarah Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan iaitu Encik Yusup bin Haji Mohamad  dalam ucapan alu-aluannya berasa amat berbangga dengan usaha SMK Mutiara kerana mereka telah berjaya menganjurkan  kempen dan sambutan Hari Bumi melalui kumpulan murid Eco-Alfa Go yang telah menyertai pertandingan program Toyota Eco Youth 2020/2021 peringkat kebangsaan.

Sambutan Hari Bumi mengingatkan manusia agar mempunyai rasa tanggungjawab dan sayang akan alam sekitar dalam kalangan warga sekolah.

“Walaupun kempen  hanya dilaksanakan dalam masa sebulan, saya berharap sikap sayang akan bumi sentiasa berterusan sampai bila-bila.” Encik Yusup Haji Mohamad

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat seperti Jabatan alam Sekitar,Perbadanan Labuan, Jabatan Muzium Malaysia, Jabatan Tanah dan Galian, Pengakap Labuan , Majlis Belia Labuan, Syarikat Supply Base, Labuan United, Elora Apparel dan Skipper Corner dalam usaha membantu sekolah melahirkan individu yang mencintai bumi dan alam sekitar.

Ucapan Alu-aluan Oleh Pengarah Pendidikan Labuan, Encik Yusup Bin Haji Mohamad sempena Sambutan Hari Bumi, SMK Mutiara

Manakala dalam ucapan perasmian Encik Amir Hamzah bin Hj Musa selaku Pengarah Jabatan Alam Sekitar menyatakan bahawa kempen yang dilaksanakan sangat menarik dan kreatif. Kempen ini selari dengan usaha masyarakat dunia dalam menyambut Hari Bumi yang jatuh pada  22 April 2021 setiap tahun.

Menurutnya,Hari Bumi bermula pada tahun 1970 dan merupakan hari dedikasi untuk bumi dengan harapan akan menyedarkan penduduk bumi mengenai kepentingan menghargai bumi. Tema Hari Bumi pada tahun ini ialah “Pulihkan Bumi Kita“ (Restore Our Earth) . Tema ini  memberi mesej kepada manusia bahawa bumi sedang sakit dan sedang mengalami kemusanahan.  

Salah satu contoh tanda bumi sedang sakit apabila suhu masa ini semakin meningkat. Malangnya, tidak ada doktor khas  untuk memulihkan bumi seperti mana manusia yang sakit, boleh mendapatkan ubat dengan berjumpa doktor. Justeru, Stop pollution, Go – Lution merupakan  satu contoh aktiviti yang bisa merawat dan memulihkan bumi“, Kata Encik Amir Hamzah yang berharap kempen ini menjadi satu budaya bagi mendidik manusia menghargai bumi.

Ucapan Perasmian Penutupan Kempen “Stop Pollution,Go-Lution” sempena Sambutan Hari kempen Oleh Pengarah Alam Sekitar W.P Labuan ,Encik Amir Hamzah Bin Haji Musa.

Kempen yang menyokong Hari Bumi ini, berlangsung selama sebulan bermula 14 April hingga 30 April 2021. Antara aktiviti yang dijalankan ialah Jom Kitar Semula, E-Waste Collection, Papan Info Alam Sekitar, Kuiz Alam Sekitar, HIP – Pertandingan Menulis Esei Bahasa Inggeris bertemakan alam sekitar, Ramadan dan kelestarian Alam dan Jom Hipicking di Sekolah.

Selain itu jalinan kerjasama antara pihak Jabatan Muzium Labuan juga telah dilaksanakan dalam kempen “ Jom Hipicking di Chimney Walking Trail”  yang terdiri daripada adik Matthew Chew Kah Ming, Daniel Dean Jason, Muhammad Najmi bin Mohd Hasnizan, Nur Syafiqah binti Friddin dan Puan Angela Joseph selaku guru pembimbing juga telah membangunkan satu aplikasi Go-Lution yang bertujuan memberikan motivasi supaya sama-sama menjaga kelestarian alam sekitar melalui aktiviti HiPicking Go – Lution. Aplikasi ini boleh merekodkan jumlah sampah  yang telah dikutip di samping menyimpan rekod laluan dan jarak yang dilalui. Individu yang aktif mengunakan aplikasi ini boleh mengumpul mata digital untuk mendapatkan lencana legend. Penglibatan komuniti dalam kempen ini juga tidak terkecuali.

Di samping itu diadakan juga pertandingan mewarna , melukis poster dan  “Upcycle” yang dibuka penyertaannya kepada semua sekolah rendah dan menengah. Seramai 195 orang menyertai pertandingan ini  dan nama pemenang  petandingan telah diumumkan dalam majlis sambutan Hari Bumi tersebut.

Sambutan Hari Bumi diharapkan dapat melahirkan masyarakat yang berilmu dan bertanggungjawab bagi menjaga kebersihan alam sekitar. Masyarakat perlu memelihara dan memulihara alam sekitar agar selamat untuk diduduki oleh generasi akan datang. Pelbagai alternatif boleh dilaksanakan oleh penghuni bumi agar bumi tidak terancam oleh kemusnahan yang dilakukan oleh manusis sendiri.

Berita Oleh : SMK Mutiara

Kumpulan Eco-Alfa Go, SMK MUTIARA bergambar bersama dengan Encik Amir Hamzah dan barisan pentadbir sekolah.



PROGRAM GALAKAN MEMBACA : JOM BACA 10 MINIT

LABUAN : Majlis Pelancaran Jom Baca 10 Minit peringkat SMK Mutiara telah diadakan pada 22 April 2021 bermula pada pukul 11.00 – 11.10 pagi. Aktiviti yang dianjurkan  oleh Pusat Sumber Sekolah  ini telah disempurnakan oleh Pengetua SMK Mutiara , Encik Yahya bin Ahmad Puteh.

Dalam Majlis yang sama juga, Pengetua SMK Mutiara, Encik Yahya bin Ahmad Puteh telah berbesar hati menyumbangkan hadiah wang tunai kepada murid-Murid Yang Membaca Paling Banyak serta Merekod Bahan Bacaan dengan matlamat memberikan motivasi kepada murid-murid. Bukan kepada murid-murid sahaja, bahkan hadiah wang tunai yang lumayan juga disediakan untuk guru-guru yang menyahut cabaran, Guru Yang Paling Banyak Mmbaca.

Program Membaca 10 minit   merupakan satu program yang diadakan bagi meningkatkan minat membaca dalam  kalangan murid. Antara matlamat yang ingin dicapai sepanjang program ini ialah mewujudkan budaya mementingkan ilmu. dan memupuk  budaya membaca dalam diri pelajar. Walaupun tabiat membaca amat sukar disemai tetapi dengan adanya usaha-usaha sebegini,diharap dapat membuka mata murid-murid bahawa sebagai permulaan,, dalam  sepuluh minit pun sudah mencukupi untuk membiasakan diri membaca.

Murid membaca selama 10 minit di kelas masing-masing

Jom Baca 10 minit juga melibatkan peranan guru-guru yang masuk ke kelas untuk memastikan murid-murid melakukan kegiatan membaca. Kerjasama seperti ini sudah pasti dapat mengukuhkan tabiat membaca yang kurang dititikberatkan oleh murid-murid. Dalam masa 10 minit, semua warga sekolah diminta berhenti seketika daripada tugasan yang dilakukan untuk memberi laluan pada aktiviti membaca. Pelbagai aktiviti dan insentif diberikan bagi menggalakkan dan memotivasikan murid-murid mahupun guru supaya rajin membaca dan merekodkan bahan yang telah dibaca sebagai kesinambungan aktiviti NILAM.(Nadi Ilmu Amalan Membaca).

Tema Jom Baca 10 minit bagi tahun ini ialah “Baca itu Terapi”.Penggunaan bahan bacaan sebagai bentuk terapi dipanggil biblioterapi. Biblioterapi ialah satu bentuk terapi yang menggunakan buku sebagai bahan untuk membantu individu yang berdepan dengan isu psikologi, sosial dan emosi. Hal ini bermakna ,jika anda mengalami stres atau tidak tenang,cubalah membaca buku yang diminati untuk merawatnya.

Antara manfaat membaca adalah untuk menggalakkan kita berfikir. Satu aktiviti yang produktif dan sangat baik untuk kesihatan mental. Aktiviti membaca  boleh meningkatkan empati, menajamkan fikiran dan memberi kesan positif kepada tingkah laku. Selain itu,membaca juga dapat meningkatkan jati diri, kreativiti dan keyakinan seseorang di samping meningkatkan kemahiran berkomunikasi. Kita juga boleh berkongsi bahan bacaan dengan rakan-rakan atau orang lain bagi mempelbagaikan genre bahan bacaan.

Guru-guru SMK Mutiara Membaca di tempat masing-masing bagi menyahut Program Jom Membaca 10 Minit

Tidak dapat dinafikan bahawa  konsep membaca bukan hanya terletak pada buku fizikal semata-mata. Dalam suasana pendemik Covid-19 masa ini, norma baharu budaya membaca pasti berubah. Oleh itu kegiatan membaca lebih banyak dilakukan secara maya iaitu dalam talian. Namun untuk mendapatkan kesan lebih efektif, buku fizikal lebih dominan kerana dapat dipegang dan boleh mengenali bau buku.serta penerangan yang terperinci.

Pendek kata, minat membaca harus dipupuk dari kecil kerana melentur buluh biarlah daripada rebungnya. Ibu bapa memainkan peranan penting mendidik anak-anak mencintai dan menyayangi buku yang memberikan pelbagai ilmu pengetahuan. Manakala pihak sekolah terutamanya unit pusat sumber sekolah  akan melaksanakan pelbagai aktiviti galakan membaca selaras dengan kehendak Kementerian Pendidikan Malaysia bagi memastikan murid-murid sentiasa sedar akan tanggungjawab dan keperluan membaca.

Turut hadir dalam majlis pelancaran tersebut ialah Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, Encik Masri bin Ayong, Penolong Kanan Kokurikulum, En Jostelen bin Lamibai, Guru Kanan Bidang Bahasa, Puan Nah Mat dan dan Guru Penyelaras Media iaitu Puan Shamsiah Binti Ambo.

Berita Oleh : SMK Mutiara

Dari kiri: Encik Yahya Bin Ahmad Puteh (tengah) bersama Puan Samsiah Ambo, Encik Jostelen Lamibai, Encik Masri Ayong dan Puan Nah Matdan



2,200 Peserta Jayakan Kolokium Kajian Tindakan Peringkat Kebangsaan Anjuran Jabatan Pendidikan Labuan

Labuan, 23 April – Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan telah berjaya melaksanakan Kolokium Kajian Tindakan Teknik 12 Langkah Peringkat Kebangsaan pada Khamis lalu.

Kolokium yang telah diadakan sepenuhnya secara dalam talian itu telah dihadiri oleh seramai 2,200 peserta dari seluruh negara.

Timbalan Pengarah Sektor Perancangan, Jabatan Pendidikan Labuan, Encik Mohd Nizam Yasim, berkata, kolokium ini adalah kesinambungan daripada bengkel Kajian Tindakan Teknik 12 Langkah yang telah diadakan sebanyak 4 siri bermula 4 Mac hingga 8 April 2021.

“Kolokium ini adalah bertujuan menyediakan peluang dan ruang kepada para peserta bengkel berkongsi kajian tindakan yang telah dijalankan sepanjang tempoh bengkel. Sebanyak lebih 60 penyertaan pembentangan telah diterima dari seluruh negara.

“Pada hari ini kita telah menjemput 10 peserta dari seluruh negara untuk membuat pembentangan dan berkongsi dapatan kajian masing-masing,”katanya yang juga pengurus program tersebut.

Perasmian kolokium telah disempurnakan oleh Pengarah Pendidikan WP. Labuan, Yusup Haji Mohamad dari pejabatnya di Kompleks Ujana Kewangan Labuan.

Perasmian oleh Pengarah Pendidikan Encik Yusup Haji Muhamad

Dalam ucapannya, beliau menyeru agar semua pendidik sentiasa bersedia untuk menempuh cabaran di dalam dunia VUCA (volatility, Uncertainty, Complexity, Ambiguity).

“Kajian tindakan adalah medan terbaik bagi para pendidik berkongsi ilmu dan dapatan kajian. Peluang ini disediakan untuk manfaat bersama bagi memenuhi matlamat akhir aspirasi pendidikan negara iaitu kemenjadian murid,”ujarnya.

Seorang peserta dari Kedah, Puan Elina Tan Sharif Tan, turut menyatakan rasa bertuah kerana diberi peluang menyertai kolokium ini secara dalam talian.

“Banyak maklumat dan input baharu yang saya perolehi sejak bengkel siri 1 hingga 4. Hari ini saya berpeluang mendengar pembentangan kajian tindakan yang hebat dari seluruh negara,” tambah beliau.

Salah seorang pembentang, Encik Herman Mohamad Gapar dari Selangor berasa sangat bertuah kerana telah dibimbing oleh pasukan jurulatih utama yang sangat berpengalaman dan begitu komited.

“Teknik 12 Langkah yang dipelopori oleh Cikgu Suriani Alland Oxley telah berjaya memudahkan saya membuat kajian tindakan. Terima kasih kerana berkongsi inovasi ini untuk manfaat bersama,” katanya.

Puan Suriani Alland Oxley merupakan Pegawai SISC+ JPN Labuan yang juga Ketua Jurulatih Utama (KJU).

Sementara itu, menurut Ketua Urusetia, Puan Faridah Amit, pembentangan hari ini melibatkan 10 peserta yang telah dipilih oleh panel yang dilantik.

Antara pembentang terpilih ialah Puan Chin Kui Kiun (Sabah), Puan Nurfarhana Abdol Sappar (Labuan), Encik Mohd Azman Huhin (Melaka), Puan Hemarani a/p Munisamy (Johor) dan Encik Mohd Shahrun Hambug (Labuan).

Pembentang lain ialah Puan Habibah Ja’afar (Pahang), Encik Aqil Othman (Sabah), Puan Mylsa Avinnie Musah (Labuan) dan Encik Nelson anak Peter (Sarawak).

“Sebanyak 50 pembentangan lagi akan dibuat di dalam kolokium siri kedua yang dijangka akan dilaksanakan pada 22 Mei 2021.” tambah Puan Faridah yang juga Penolong Pengarah Sektor Perancangan JPN Labuan.

Kolokium kali ini bersiaran dari Sektor Sumber Teknologi Pendidikan Negeri Wilayah Persekutuan Labuan di Sungai Lada.

Ketua pasukan penyiaran, Puan Shamsuria Ebni berasa lega dan berpuashati kerana kolokium ini telah berjalan lancar.

“Saya dan ahli pasukan yang lain berasa bertuah kerana bersama-sama terlibat dalam kolokium kali ini terutamanya dalam memastikan aspek teknikal penyiaran berjalan lancar,” jelas beliau yang juga guru Penolong Kanan di SKK SK Rancha-Rancha, Labuan.

Encik Nelson anak Peter dari Sarawak sedang membuat pembentangan secara dalam talian
Encik Mohd Shahrun Hambug dari Labuan sedang membuat pembentangan

Encik Mohd Nizam tidak lupa mengucapkan terima kasih kepada semua yang terlibat menjayakan program yang memberi manfaat kepada warga pendidik di seluruh negara.

“Terima kasih kepada semua peserta yang komited menghasilkan dan berkongsi kajian tindakan.

“Juga kepada jurulatih utama dan pasukan penyiaran yang bertungkus lumus menjayakan bengkel dan kolokium,”tambah Encik Mohd Nizam sambil tersenyum puas.

Kolokium tersebut telah disiarkan secara langsung melalui Youtube Live dan Facebook.

Berita Oleh : Sektor Perancangan

Encik Herman Mohamad Gapar, pembentang dari Selangor
Barisan Jurulatih Utama dan Pasukan Penyiaran



Kunjung Hormat APMM Ke Jabatan Pendidikan Erat Kerjasama Antara Agensi

Labuan, 24 Mac : Pengarah Zon Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Labuan, Kepten Nudin bin Jusoh telah mengadakan kunjungan hormat kepada Pengarah Pendidikan W.P.Labuan di pejabatnya di Tingkat 10 Ujana Kewangan sempena pelantikan Encik Yusup bin Haji Mohamad sebagai Pengarah Pendidikan yang baharu, hari ini.

Kepten Nudin yang telah dilantik ke jawatan Pengarah APMM Labuan pada Februari 2021 telah diiringi oleh Timbalan Pengarah Pengurusan APMM, Encik Arun Fazhillah bin Hamdan dan Pegawai Pemerintah KM Bestari, Lt. Kdr Hilmi bin Abdullah.

Ketibaan beliau pada jam 9.00 pagi telah disambut oleh Timbalan Pengarah Sektor Perancangan, Encik Mohd Nizam bin Yasim bersama Timbalan Pengarah Sektor Pembangunan Murid, Tuan Haji Abdul Rahman bin Ahmad.

Kepten Nudin menandatangani buku pelawat Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan
Kepten Nudin bersama Encik Yusup

Dalam pertemuan itu, Kepten Nudin mengucapkan tahniah kepada Encik Yusup kerana telah dilantik menerajui Jabatan Pendidikan W. P. Labuan.

Beliau turut memaklumkan tentang perancangan jangka panjang untuk mewujudkan pusat latihan asas maritim di Labuan, bantuan mempromosi kepada murid-murid berkaitan aktiviti-aktiviti maritim.

“Kami berharap agar APMM dapat menjalinkan kerjasama yang lebih erat antara jabatan pada masa akan datang demi kepentingan penduduk-penduduk di wilayah ini” katanya.

“Kita juga berharap agar dapat membuat promosi berkaitan aktiviti-aktiviti APMM kepada murid-murid sekolah melalui program Sahabat Maritim” tambah beliau.

Dalam ucapan balas, Encik Yusup turut berharap agar semua agensi kerajaan di pulau ini dapat bekerjasama sebagai satu pasukan untuk kepentingan warga Labuan.

“Matlamat kita ialah memberi peluang seluas mungkin kepada anak-anak di Labuan kepada akses pendidikan yang berkualiti. Kerjasama seperti ini adalah peluang terbaik untuk mendedahkan murid-murid kepada aktiviti di luar bilik darjah. Ini mampu merintis minat kepada murid-murid tentang kerjaya di dalam APMM itu sendiri ” tambah beliau lagi.

Hadir sama dalam pertemuan tersebut ialah KPP Sektor Infrastruktur dan Pembangunan, Encik Boney Jumil, KPP Sektor Pengurusan, Puan Lina Encharang, KPP Sektor Sumber Manusia, Encik Khairul Hafiz bin Juni dan wakil SPS, Puan Zaleha binti Hassan.

Berita Oleh : Sektor Perancangan

Encik Yusup menyampaikan cenderamata kepada Kepten Nudin



Mesyuarat Agung Tahunan Koperasi SMKTPB Labuan Berhad

Labuan, 15 Mac – Koperasi SMK Taman Perumahan Bedaun (SMKTPB) Labuan Berhad telah menganjurkan mesyuarat agung tahunan koperasi kali ke 17 seperti yang dirancangkan oleh Ahli Lembaga Koperasi telah berjalan dengan lancar.

Mesyuarat ini berlangsung secara dalam talian pada 12 Mac 2021 bermula jam 2.30 petang sehingga jam 4.00 petang yang telah dipengeruskan oleh Encik Ag Rozlan Bin Manan, selaku Pengerusi Koperasi. Mesyuarat ini juga turut dihadiri oleh Encik Azmaniansyah Bin Bachok, Pengurus Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) cawangan Wilayah Persekutuan Labuan, guru-guru, dan juga murid-murid SMKTPB seramai 80 orang.

Pengerusi koperasi memulakan mesyuarat dengan  ucapan alu-aluan dan merakamkan ucapan terima kasih kepada Encik Azmaniansyah bin Bachok selaku  Pengurus SKM yang sudi hadir bersama untuk memantau dan melihat perjalanan sepanjang mesyuarat ini berlangsung. Beliau turut merakamkan ucapan terima kasih kepada semua ahli koperasi yang meluangkan masa untuk hadir bersama.

Menurut Pengerusi Koperasi, Encik Ag Rozlan bin Manan, mesyuarat ini adalah bertujuan untuk mendedahkan kepada semua ahli koperasi terutama murid-murid dalam menguruskan koperasi terutama dari segi kewangan dan cara untuk menguruskan koperasi dengan bijak dan juga memberi pengalaman kepada murid-murid untuk merasai suasana bermesyuarat dalam keadaan sebenar. Mesyuarat ini juga bertujuan untuk memberi pendedahan kepada ahli koperasi dari segi belanjawan tahunan, dapatan keuntungan dan juga aktiviti koperasi yang telah dirancang pada setiap tahun. 

Selesai ucapan daripada Encik Ag Rozlan, mesyuarat ini diteruskan dengan agenda- agenda yang telah dirancangkan termasuklah pembubaran Ahli Lembaga Koperasi (ALK) bagi sesi 2019/2020 dan melantik Ahli Lembaga Koperasi yang baharu bagi sesi 2020/2021, Pembentang Anggaran Belanjawan bagi Sesi 2020/2021, Pemberian elaun kepada ALK dan hal-hal lain.

Dalam cadangan usul, Encik Ag Rozlam meminta agar pihak koperasi dapat memikirkan mekanisme yang boleh memberi pengalaman kepada semua murid sekolah dari segi keusahawanan, perniagaan dan ekonomi supaya murid-murid lebih bersemangat dan bermotivasi untuk menceburkan diri dalam pelbagai bidang terutama dalam perniagaan.

Sebelum mengakhiri mesyuarat, Encik Azmaniansyah dalam ucapannya merakamkan ucapan terima kasih atas kehadiran semua dalam mesyuarat ini. Beliau juga merakamkan ucapan syabas dan tahniah kepada pihak Koperasi kerana berjaya mengadakan mesyuarat ini secara dalam talian walaupun dalam keadaan pandemik Covid-19 ini. Beliau berharap agar koperasi dapat membuat penambahbaikan dan mengikuti segala peraturan-peraturan dalam undang-undang kecil koperasi dengan lebih efektif. Turut hadir bersama dalam mesyuarat ini penolong kanan pentadbiran Puan Chai Yee San, Penolong kanan Kokurilum Puan Lau Chin Ying  dan  Penolong kanan HEM Encik Awang Adi Bin Tuah.

Berita Oleh : SMK Taman Perumahan Bedaun




Program Ujian Pengesahan Covid-19 Untuk Warga Pendidikan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan Tahun 2020

Labuan – Pada 8 Oktober yang lepas, Ujian pengesahan COVID-19 yang dikendalikan oleh CPRC Wilayah Persekutuan Labuan telah diadakan di Pusat Kokurikulum Negeri bermula dari pukul 7.30 pagi dan berakhir pada pukul 3.00 petang.  Seramai lima orang urusetia dari Jabatan Pendidikan dan 15 orang petugas KKM terlibat untuk merealisasikan program ini. Semua pegawai JPN, Pengetua, Guru Besar, guru-guru dan AKP yang sudah mengambil ujian COVID-19 dan mula dikuarantin pada 27 September hingga 06 Oktober diWAJIBkan hadir.  Seramai 238 orang warga pendidikan telah hadir untuk menjalani ujian ini. Kerjasama yang telah diberikan oleh warga pendidikan ini adalah sangat baik dan mendapat pujian daripada petugas barisan hadapan KKM yang bertugas.

Para petugas barisan hadapan KKM bersama urusetia program

Puan Khaziyati binti Osman Pengarah Pendidikan Jabatan Pendidikan Labuan bersama Dr. Ismuni Pengarah Jabatan Kesihatan, Puan Nurzalizah Kartika Abdullah Pengarah Majlis Keselamatan Negeri  ( Labuan ) turut hadir memantau pelaksaan ujian yang dijalankan pada hari tersebut.  Puan Pengarah berpuas hati dan mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Labuan khususnya kepada petugas barisan hadapan atas kerjasama untuk melaksanakan ujian COVID-19 khas untuk warga pendidikan. Tidak lupa juga ucapan terima kasih Puan Pengarah kepada pihak RML dan media yang hadir pada hari tersebut.  Puan Pengarah berharap agar program-program akan datang bersama Jabatan Kesihatan dan RML serta agensi lain akan dapat diteruskan.

Sehubungan itu, Timbalan Pengarah Sektor Pembangunan Murid Tuan Haji Abdul Rahman bin Ahmad juga menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua warga pendidikan khasnya kepada Sektor Pembangunan Murid dan Sektor Pengurusan Sekolah kerana telah berjaya menjadi urusetia dan telah menunjukkan semangat kerja berpasukan yang tinggi sepanjang program ujian pengesahan COVID-19 berlangsung.

Semoga program yang telah dijalankan ini memberikan manfaat yang sangat besar dalam usaha kerajaan untuk membendung pandemik  Covid-19 dari telus menular dalam kalangan warga pendidikan khasnya dan keseluluruhan rakyat  Malaysia amnya.  Semoga kita semua sentiasa dilindungi dan dijauhkan dari bala ini oleh Allah yang maha kuasa.

Suasana Ujian Saringan Covid-19 sedand dijalankan
Ujian sampel darah



Pertandingan Hebat KBAT STEM Pupuk Minat Bidang Aeroangkasa Pelajar Smk Rancha-Ranca

Labuan, 22 Sept , Sekolah Menengah Kebangsaan Rancha-Rancha telah mengadakan Program pertandingan KBAT STEM. Program ini diadakan secara tertutup dengan pematuhan SOP yang telah ditetapkan. Pertandingan ini disertai  oleh 12 orang pelajar terpilih daripada tingkatan 1 dan 2 sahaja. Program ini dianjurkan bersama oleh Bidang Sains dan Matematik dengan Pusat sumber DSDN SMKRR di bawah kelolaan En Abdul Ghafar Bin Salleh Ketua Bidang sains Matematik  dan En Sapri idris serta di bantu oleh Pn Evelyn Brenda, Pn Aizah Nayan dan En Mohd Khairul. Program ini berbentuk pertandingan  berkumpulan untuk memasang model. Antara model yang di pasang adalah model Roket Saturn 5, Apollo Luna, Curiosity Rover, voyager space 1   serta membuat pembentangan.  Tema pertandingan adalah berkaitan dengan penerokaan angkasa lepas.

Program ini bertujuan meningkatkan minat murid untuk mempelajari bidang-bidang teknologi dan sains yang mana ini akan membuka minda mereka dengan lebih luas untuk meneroka dalam bidang industri dan sains pada masa akan datang yang merupakan keperluan pada masa kini . En Ghafar selaku ketua bidang berkata, program ini juga sebenarnya membuka mata para pelajar untuk lebih berminat melibatkan diri dalam industri yang berkaitan dengan angkasa lepas. Secara tidak langsung pelajar didedahkan dengan lebih awal mengenai industri aeroangkasa. Program ini juga merupakan program pembelajaran di luar kelas yang berteraskan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) yang menjadi kewajipan pada sekolah ini untuk sentiasa menerapkan nilai KBAT di kalangan pelajar samada Pembelajaran  di dalam bilik darjah atau di luar bilik darjah.

Hasil Model-model yang di pasang oleh pelajar telah di pamerkan di Pusat Sumber sabagai satu hasil dan bahan yang menarik untuk dijadikan rujukan kepada pelajar lain. Pertandingan ini telah di rasmikan oleh En Yahya Bin Ahmad Pengetua SMKRR .  En Yahya mengucapkan jutaan terima kasih dan tahniah atas usaha Bidang Sains dan Matematik serta Pusat Sumber Datuk Sri Datin Norsiah Abdullah (PSS DSDN) , ketua bidang serta guru-guru dalam Panitia Sains Matematik yang telah yang telah bertungkus lumus menganjurkan pertandingan yang sungguh berimpak tinggi kepada pelajar terutama dalam penerokaan bidang STEM.

Pengetua SMK Rancha-Rancha En. Yahya bin Ahmad Puteh berucap ketika merasmikan pertandingan Hebat KBAT

Beliau juga berbangga kerana Bidang Sains dan Matematik telah berjaya membuat program ini sebagai satu penerapan nilai KBAT yang sangat jelas. Beliau juga berterima kasih kerana prorgram ini terus  mengamalkan SOP yang telah di tetapkan. Beliau berharap agar pertandingan seumpama ini akan diteruskan pada masa akan datang dan program ini boleh dijadikan sebagai program tahunan. Selain dapat mencungkil bakat pelajar program ini sangat bermanfaat dalam memupuk minat murid dalam bidang aeroangkasa yang sememangnya menjadi keperluan negara pada masa kini dan akan datang. Usaha guru dan pelajar harus dipuji dan diberi sokongan kerana dengan usaha sebegini murid-murid akan lebih seronok untuk belajar dalam mata pelajaran Sains dan Matematik.

Pertandingan ini dihakimi oleh Pn Evelyn Brenda Ketua Panitia Sains, Pn Aizah Nayan Ketua Panitia Biologi dan En Khairul selaku Guru Rekabentuk Teknologi.

Pertandingan ini telah di menangi oleh

Johan

  • Hidayatul Jazillah Bt Jamal 
  • Nur Aleeya Sofe Binti Mohd AfzalHanif
  • Nur Saidatul Adwa Bt Mohd Maarof
  • Nur Syafiah Dhaniyah Bt Junaidi
  • ( semua pelajar Tingkatan 2 abu Rayhan )
Johan Pertandingan Hebat KBAT STEM  bergambar penyelaras pusat sumber sekolah En Sapri bin Idris

Naib Johan

  • Mohd Mukriz Bin Waslih
  • Mohd NorAzwan bin Jalani
  • Mohd Hafiz bin Ryzisyaini
  • Mohd Khairee Anuar Bin Kadir.
  • (semua pelajar 2 AR)
Naib Johan Pertandingan Hebat KBAT STEM bersama model Apolo Luna yang dibina

Ketiga

  • Siti Noratorah Binti Aminuddin
  • Nur Iffah nadrah Bt Affendi
  • Abdul Hadi Bin Abdul Kahar
  • Ros anis Adawiyah Binti Roslemin
  • (semua tingkatan 1 AF)

Program diakhiri dengan penyampaian hadiah kepada pemenang yang di sampaikan oleh Pengetua SMKRR En Yahya Bin Ahmad Puteh. Hadiah-Hadiah adalah berupa sijil penyertaan dan Piala kemenangan.




Sektor Pembelajaran Meraih Beberapa Pingat Emas dan Pingat Perak Dalam 5th CAIELTS 2020

The 5th Creativity and Innovation Exhibition and Language Teaching Seminar (5th CAIELTS 2020) yang berlangsung pada 08 Ogos 2020 secara maya, anjuran Persatuan Penyelidikan, Inovasi, dan Kreativiti Labuan (Labuan Research, Innovation and Creativity Society – LaRIS) telah menampilkan tujuh pegawai Sektor Pembelajaran, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan berkongsi dapatan kajian dengan jayanya.

Unit Bahasa menghantar tiga penyertaan untuk seminar pengajaran bahasa – dua individu dan satu berkumpulan. Hjh Siti Zahara binti Mohammad telah membentangkan kertas konsep bertajuk “Pemetaan DSKP dan item” manakala Dr. Hyginus Lester berkongsi kertas konsep “Integrasi Tonggak Pedagogi, Alat PAK21, dan SKPMg2 S4: Satu Syor Model PdPc”. Kedua-dua pembentang meraih pingat emas. Turut meraih pingat emas ialah pembentangan berkumpulan yang dianggotai oleh Puan Amiah binti Bua dan Dr. Hyginus Lester bertajuk “Adopting and adapting the ‘new normal’ in ELT during MCO”.

Pasukan Pembimbing Pakar Peningkatan Sekolah (SISC+) pula membentangkan dapatan “Penggunaan DSKP dalam kalangan guru Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris di Labuan”. Pasukan yang terdiri daripada Encik Pgn Abdul Kadir Pgn Budin, Puan Arni Samiraty Abdol Samat, Cik Juraidah Aman, Cik Suriani Alland Rice Oxley, dan Dr. Hyginus Lester meraih pingat perak.

5th CAIELTS 2020 peringkat antarabangsa ini disertai oleh 129 orang termasuk pembentang fitur (featured speakers), antaranya Professor Madya Dr. Jonathan Newton (Pengarah MA in TESOL, Victoria University of Wellington, New Zealand), YBhg To’ Puan Nurul Izatee Md Yusoff (Ketua Pegawai Eksekutif Institut Darul Naim), Dr. Mohamad Ramon Dasuki (Dekan, Fakulti Sastra, Universitas Pamulang, Indonesia), Dr. Dewi Indrani Anggraini (Dosen, Universitas Pamulang, Indonesia), Darshini Nadarajan (University of Oxford), Angelicia Anthony Thane (Victoria University of Wellington), Rocky Michael Tandi (Francis School, Indonesia), dan Eka Margianti Sagimin (Universitas Pamulang, Indonesia).

Juri 5th CAIELTS 2020 pula adalah Encik Goh Kok Ming (Top 5 Cikgu Juara Digital MDEC dan MIE Expert), Puan Chin Tsuey Wei (mantan SISC+), Dr. Tam Suet Yet (Wellington, New Zealand), Puan Joscey Joseph @ Linda (pensyarah), dan Cik Suriani Alland Rice Oxley (Tokoh Inovasi Labuan).

Pembentang 5th CAIELTS 2020 dari Sektor Pembelajaran merakamkan penghargaan kepada Encik Yusup bin Hj Mohamad, Timbalan Pengarah Pembelajaran atas sokongan moral yang telah diberikan. Mereka juga turut mengucapkan terima kasih kepada Puan Khaziyati Osman, Pengarah Pendidikan Labuan kerana sentiasa menggalakkan warga jabatan untuk terus berkecimpung dalam penyelidikan dan inovasi.




Perkukuh Jalinan Kerjasama DI Antara JPWPL Dan MAIWP

Labuan, 26 Ogos – Lawatan Kerja Rasmi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) ke Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan (JPWPL) bertempat di Sektor Sumber Pendidikan Negeri (SSTP) yang julung kali diadakan kelmarin telah mencapai kata sepakat yang jelas terhadap kesiapsiagaan pendaftaran SMA MAIWP sebagai Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) yang pertama di wilayah ini.

Lawatan Kerja Bahagian Pembangunan Insan, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan seramai 10 ahli rombongan telah diketuai oleh Timbalan Pengurus Bahagian Pembangunan Insan, Wan Maizatun Binti Wan Hassan. Turut hadir Pengetua Sekolah Menengah Agama Kuala Lumpur, Tuan Nurul Amali Bin Shamsuddin, Pengetua Sekolah Menengah Integrasi Sains Tahfiz (SMISTA) MAIWP,Tn Wan Jamaludin Bin Wan Bidin, Ketua Unit Pendidikan Menengah, Bahagian Pembangunan Insan, Abdul Halim Bin Sulaiman.

Hadir sama dalam sesi lawatan kerja tersebut ialah Pengurus MAIWP Labuan (MAIWPL) iaitu Ahmad Saifuddin bin  Hj Md. Tahir, Pengetua SMA MAIWP , Mohd Hasnizan Bin Hasin serta pegawai-pegawai daripada MAIWPL. Timbalan Pengarah Sektor Pembelajaran Encik Yusup Bin Hj Mohamad, Timbalan Pengarah Sektor Pembangunan Murid Encik Abdul Rahman Bin Ahmad, Ketua Penolong Pengarah Sektor Pendidikan Islam Kamariah Binti Salim selaku urusetia lawatan, Ketua-ketua penolong pengarah dan penolong-penolong pengarah.

Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, Khaziyati binti Osman mengalu-alukan semua ahli rombongan ke pulau yang indah ini untuk Lawatan Kerja Rasmi Bahagian Pembangunan Insan, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) ke Jabatan Pendidikan W.P.Labuan dan melahirkan rasa syukur di atas usaha yang bersungguh-sungguh pihak MAIWP untuk pendaftaran SMA MAIWP sebagai SABK.

 “Saya difahamkan Lawatan Kerja Rasmi, Bahagian Pembangunan Insan, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan pada petang ini adalah untuk membincangkan berkaitan SMA MAIWP Labuan. Semoga urusan pendaftaran sebagai Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) dapat direalisasikan. Ia merupakan satu usaha murni kerajaan untuk membantu dan memperkasakan sekolah – sekolah agama di Malaysia khususnya di W.P.Labuan. Ini merupakan peluang yang sangat berharga bagi kecemerlangan pendidikan di Wilayah Persekutuan Labuan.” katanya.

Menurutnya lagi, bagi memenuhi permintaan komuniti setempat terhadap pendidikan agama. Terdapat 3 buah sekolah yang menawarkan Kelas Aliran Agama (KAA) di iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan Mutiara untuk tingkatan 1 hingga 5 dengan jumlah pelajar seramai 162 orang, KAA di SMK Rancha-Rancha untuk tingkatan 1 hingga 3 dengan jumlah pelajar seramai 66 orang dan KAA di SMK Taman Perumahan Bedaun untuk tingkatan 1 hingga 3 dengan jumlah pelajar seramai 58 orang.

Kini, JPWPL dalam proses merangka pemusatan Kelas Aliran Agama di sebuah sekolah menengah agar perlaksanaan kelas aliran agama lebih teratur dan sistematik. Pelan jangka panjang pemusatan ini sehingga 2023.

Timbalan Pengurus Bahagian Pembangunan Insan MAIWP, Wan Maizatun Binti Wan Hassan turut merakamkan ucapan tahniah di atas pelantikan Puan Khaziyati sebagai Pengarah JPWPL yang baharu.

“Alhamdulillah, kami di Bahagian Pembangunan Insan MAWIP amat berbesar hati di atas lawatan mesra kali pertama di JPWPL dan berdoa agar lawatan kerja ini dapat mengukuhkan lagi jalinan kerjasama yang lebih erat di antara MAWIP dengan JPWPL. Mesej utama dalam lawatan ini adalah berkaitan halatuju dan masa hadapan SMA MAIWP menjadi SABK”. Katanya.

Menurutnya lagi, SMA MAIWP Labuan telah beroperasi selama 10 tahun dengan cemerlang. Kini, pihak MAIWP telah bersedia untuk menyerahkan SMA MAIWP kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) khususnya dari segi kepakaran pendidikan.

Pengoperasian SMA MAIWP Labuan bermula 15 Januari 2011. Ia merupakan tanda keperihatinan kerajaan dalam memenuhi hala tuju pendidikan Sekolah Rendah Agama Islam di Wilayah Persekutuan Labuan, Sabah dan Sarawak ke peringkat yang lebih tinggi. SMA MAIWP Labuan merupakan cawangan SMA MAIWP Kuala Lumpur yang telah diwujudkan sejak tahun 2007. SMA MAIWP Labuan berorentasikan Sekolah Menengah Berasrama Penuh Aliran Agama yang pertama di Wilayah Persekutuan Labuan di mana semua pelajar perlu tinggal di asrama yang dikendalikan di Darul Kifayah.

Dalam sesi lawatan tersebut turut diadakan perkongsian pengoperasian SMA MAIWP Kuala Lumpur yang disampaikan oleh pengetuanya Tuan Nurul Amali Bin Shamsuddin. Manakala perkongsian pengoperasian SMA Sekolah Menengah Integrasi Sains Tahfiz, Kuala Lumpur (SMISTA) disampaikan oleh Tuan Wan Jamaludin Bin Wan Bidin.

Khaziyati binti Osman (dua dari kiri) menyampaikan cenderamata kenangan kepada Wan Maizatun binti Wan Hassan (tengah). Turut sama Yusup Hj Mohamad (kiri), Ahmad Saifuddin bin Hj Md. Tahir (dua dari kanan),Tn Wan Jamaludin Bin Wan Bidin (kanan).
Kamariah binti Salim sedang mengajukan soalan berkaitan pengoperasian SABK semasa sesi dialog bersama MAIWP.



Guru SMK Mutiara Dapat Bimbingan Pengisian Deskripsi Tugas Melalui egHRMIS

Labuan- Seramai lebih 50 guru SMK Mutiara telah menerima taklimat dan bimbingan secara langsung berkaitan pengisian Deskripsi Tugas (Job Description) melalui platform egHRMIS secara online pada Rabu lalu.

Bimbingan yang diadakan di bilik mesyuarat SMK Mutiara telah dipimpin oleh Encik Azreyn bin Haji Mamma, pegawai daripada Sektor Sumber Manusia, Jabatan Pendidikan W.P Labuan.

Menurut pengetua SMK Mutiara, Encik Mohd Nizam bin Yasim, bengkel tersebut diadakan bagi memudahkan guru-guru membuat pengisian Deskripsi Tugas masing-masing di dalam platform HRMIS. Pengisian JD ini adalah keperluan baharu sebagai alternatif kepada penggunaan myPortfolio yang dibuat secara manual.

“Penggunaan HRMIS sebagai platform pengurusan kerajaan telah memasuki era pendigitalan secara menyeluruh secara berperingkat. Setiap guru sebagai Pemilik Kompetensi (CO) perlu menyenggara dan memastikan maklumat dan data berkaitan diri, perkhidmatan dan tugas masing-masing perlu sentiasa kemaskini dan mudah diakses pada masa yang diperlukan” ujarnya lagi.

Fasilitator bengkel, Encik Azryen menyifatkan inisiatif pihak sekolah ini adalah langkah proaktif khususnya dalam memberi kefahaman secara lebih mendalam kepada guru-guru berkaitan perkara ini.

“Bengkel ini diadakan secara ‘hands on’ bagi memberi kefahaman yang jitu kepada pemilik-pemilik kompetensi (CO) dalam mengurus HRMIS masing-masing. Guru-guru juga mendapat panduan yang lebih jelas bagi memastikan aspek-aspek teknikal pengisian dapat dibuat dengan betul” kata beliau lagi.

Guru-guru yang hadir telah melahirkan rasa puashati dengan bimbingan yang telah diberikan malah ada dalam kalangan mereka berjaya menyiapkan pengisian JD masing-masing dalam tempoh 2 jam bengkel berlangsung.

Di akhir bengkel, pihak sekolah telah menyampaikan sijil penghargaan kepada Encik Azreyn dan Jabatan Pendidikan W.P Labuan. Sijil-sijil telah disampaikan oleh pengetua sekolah.

Turut hadir di dalam bengkel tersebut ialah penolong-penolong kanan dan guru-guru kanan mata pelajaran.