Labuan, 7 Februari 2022 – Seramai 20 orang warga SM Sains Labuan (SMSL) berjaya menawan Gunung Kinabalu pada 3 hingga 4 Februari 2022. “Alhamdulillah, semua pendaki berjaya sampai ke puncak Gunung Kinabalu. Pendakian ini tidak mudah namun sudah pasti akan menjadi kenangan untuk kami sampai bila-bila. Kata Rohana Yasin selaku ketua delegasi SMSL yang turut disertai oleh guru-guru, staf dan juga ibu bapa sebagai wakil PIBG. Kumpulan pendaki SMSL ini juga dikenali sebagai Geng Hiking Excel (GHE).
Menurut Rohana, program pendakian ini bertujuan untuk merapatkan lagi hubungan antara warga SMSL dan dalam masa yang sama program ini memberi peluang kepada pendaki yang terlibat untuk melihat keindahan Gunung Kinabalu.
Berkongsi pengalamannya, Rohana berkata, mereka telah menjalani latihan selama sebulan sebelum mendaki puncak tertinggi di Malaysia dan Asia Tenggara tersebut. Program ini telah dirancang sejak tahun 2019 lagi namun hanya dapat dilaksanakan pada tahun ini akibat pandemik Covid-19 yang telah melanda seluruh dunia.
Bercerita lanjut mengenai perjalanan sepanjang pendakian itu, Rohana berkata, mereka telah memulakan pendakian dari Timpohon pada pagi Khamis, 3 Februari dan tiba di Panalaban pada jam 4 petang . Kemudian mereka memulakan pendakian menuju puncak Gunung Kinabalu seawal jam 2:00 pagi dan tiba di puncak pada jam 6:00 hingga 7:00 pagi pada Jumaat, 4 Februari 2022.
Katanya, antara cabaran yang dilalui oleh mereka adalah mengekalkan stamina berikutan oksigen yang semakin berkurangan ketika berada pada aras tinggi, cuaca hujan menyebabkan mereka terpaksa melalui jalan licin ketika menuruni Gunung Kinabalu dan pelbagai cabaran lain. Namun semua cabaran dan halangan tersebut dapat diatasi dengan adanya sokongan daripada rakan-rakan dan juga pendaki yang lain.
SSN SMK MUTIARA Membuat Kunjung Hormat Ke Jabatan Pendidikan
Labuan, 15 Okt – Jabatan Pendidikan W.P Labuan telah menerima kunjungan hormat dari Sekolah Sukan Negeri (SSN) SMK Mutiara hari ini di Pejabat Jabatan Pendidikan W.P Labuan hari ini.
Rombongan SMK Mutiara seramai 7 orang diketuai oleh Pengetuanya, Encik Yahya bin Ahmad Puteh. Ketibaan rombongan jam 2.45 petang telah disambut oleh Pengarah Pendidikan, Encik Yusup bin Haji Mohamad.
Dalam ucapan aluan, Encik Yusup menyatakan hasrat jabatan seiring dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk memastikan murid-murid sentiasa mendapat peluang dalam pelbagai bidang termasuk bidang sukan.
“Walaupun negara masih diselubungi oleh pandemik Covid-19, namun tugas kita tidak boleh berhenti menggilap potensi dan bakat mereka dengan sebaik mungkin. Kita tidak mahu ada keciciran bakat murid” ujar beliau lagi.
Rombongan guru-guru SSN SMK Mutiara yang hadir bersama dalam kunjungan hormat ke Jabatan Pendidikan WP Labuan
Dalam ucapan balas, pengetua SMK Mutiara, Encik Yahya menyatakan semangat dan kesungguhan guru-guru untuk membangunkan potensi bakat sukan murid di Sekolah Sukan Negeri (SSN).
“Dengan komitmen guru dan sokongan JPN, saya yakin SMK Mutiara akan lebih berupaya dalam mengangkat martabat sukan di negeri ini”
“SSN juga berharap agar JPN dapat membantu menyelesaikan isu ketiadaan jurulatih sepenuh masa untuk dua jenis sukan iaitu sepak takraw dan bola jaring”
“Pihak sekolah juga telah mengambil inisiatif dengan mengadakan pemuafakatan strategik dengan agensi-agensi berkaitan termasuk Jabatan Belia dan Sukan Labuan, Majlis Sukan Labuan dan LAFA” katanya lagi.
Jurulatih bola sepak, Encik Norie Keegan turut membentangkan strategi-strategi latihan dalam membangun bakat dan potensi murid dalam permainan bola sepak.
Selain itu, jurulatih olahraga, Encik Kim Hong Chong Keat juga turut membentang perancangan pembangunan sukan olahraga di peringkat sekolah dan negeri.
Akhir majlis, Encik Yahya telah menyampaikan cenderahati kepada Pengarah Pendidikan sebagai tanda kenang-kenangan.
Turut hadir di dalam majlis tersebut ialah Timbalan Pengarah Sektor Perancangan, Encik Mohd Nizam bin Yasim, Ketua Penolong Pengarah (KPP) Unit Bakat, Encik Samsul bin Mandisin.
Berita oleh : Sektor Perancangan
Majlis Sepakat Menabur Bakti 2021 SMK Pantai IBWS
Labuan, 2 Ogos – SMK Pantai IBWS Wilayah Persekutuan Labuan telah mengadakan Majlis Sepakat Menabur Bakti 2021 dalam situasi norma baharu secara dalam talian melalui aplikasi Google Meet pada 26 Ogos lalu.
Majlis itu melibatkan guru-guru baharu, guru-guru yang menjalani Rancangan Orientasi Sekolah (ROS) yang kini dikenali sebagai Program Perantis Guru Sekolah, guru-guru yang berpindah, semua guru dan Anggota Kakitangan Pelaksana (AKP). Majlis tersebut merupakan majlis yang julung-julung kalinya diadakan secara dalam talian dan menggabungkan tiga buah majlis menjadi satu majlis istimewa khusus untuk meraikan semua guru baharu, guru ROS dan guru yang berpindah.
Objektif majlis tersebut diadakan adalah untuk menghargai jasa guru-guru yang berpindah sepanjang berkhidmat di SMK Pantai IBWS. Selain itu, objektif lain untuk menghargai sumbangan dan jasa guru-guru yang berkhidmat di sekolah ini malah memupuk semangat menghargai dalam diri dengan pemberian ikhlas dari sudut sosioekonomi dan sahsiah persahabatan.
Ucapan guru-guru yang berpindah. Wan Azman bin Wan Abdullah (tiga dari kanan) dan Pawa anak Igai (dua dari kiri)Penyampaian sijil penghargaan kepada guru yang berpindah.
Seterusnya, majlis tersebut juga bertujuan untuk meraikan guru-guru baharu dan guru pelatih sebagai ahli keluarga baharu SMK Pantai IBWS serta mengeratkan lagi hubungan di antara guru baharu dengan staf SMK Pantai IBWS.
Terdahulu majlis pada petang itu dimulakan dengan bacaan doa di bawah pimpinan Ustaz Muhammad Firdaus Shaifullah B Mohamad Ab Karim.
Pengetuanya, Puan Norazita binti Md Nor @ Shamsuri dalam ucapannya mengalu-alukan kedatangan guru-guru baharu iaitu Puan Poh Pei Yi dan Puan Norlaila binti Ishak yang berpindah dari Kolej Vokasional Labuan.
Manakala, guru Mystep ialah Cik Nurul Hidayah binti Khairul Anuar dan Cik Hanisah binti Hassan. Guru pelatih terdiri daripada Cik Audrey Albertus (UPSI), Encik Syafiq Khalid (UPSI), Cik Helin Jakim (UPSI) dan Encik Mohamad Hanis bin Md Jol (UIAM).
Puan Norazita juga memberikan ucapan penghargaan kepada guru-guru yang berpindah iaitu Ustaz Wan Azman bin Wan Awang (Pengetua SMK Rancha-Rancha, W.P Labuan), Puan Pawa anak Igai (SMK Asajaya, Samarahan), Puan Nurul Nadia Syafiqah binti Ag Othman (SMK Takis, Papar), Puan Rosmarini binti Mat Lazim (SMJK Tanah Putih, Kuantan) dan Puan Dg Ku Ramizah binti Ag Tangah (SM St. Francis Convent, Kota Kinabalu).
Beliau juga turut menyampaikan amanat kepada semua guru baharu dan guru yang menjalani ROS agar menggunakan peluang bersama dengan warga SMK Pantai IBWS untuk menjalin kerjasama dan menimba pengalaman sebanyak yang boleh. Pada majlis itu juga, beliau menyeru kepada guru-guru baharu terutamanya supaya tidak membuat spekulasi berdasarkan pengalaman orang lain tetapi merasai pengalaman tersebut sendiri bagi mengelakkan persepsi yang negatif.
Seterusnya, majlis turut dimeriahkan dengan tayangan rakaman video untuk memperkenalkan guru-guru pelatih yang menjalani ROS, guru-guru yang baharu dan guru-guru yang berpindah. Dalam majlis itu juga, semua pentadbir diberikan peluang untuk menyampaikan ucapan dengan membuat rakaman awal. Turut sama menyampaikan ucapan ialah wakil AKP dan pengerusi Kelab Guru dan Kakitangan Sekolah (KGKS). Majlis penyampaian sijil dan hadiah diadakan sejurus kemudian sebagai penghargaan kepada guru-guru yang berpindah.
“Sesungguhnya pandemik Covid-19 bukan penghalang untuk mengadakan majlis seumpama ini kerana kemeriahannya tetap dirasai walaupun hanya diadakan secara maya. Saya juga ingin merakamkan ribuan terima kasih kepada AJK Pelaksana yang diketuai oleh Puan Irmasuzila binti Ngopil atas kelancaran majlis tersebut. Hal ini bersesuaian dengan salah satu tag line sekolah iaitu sepakat membawa berkat. Saya berharap agar setiap program yang dijalankan akan mendapat kerjasama semua pihak pada masa akan datang” ujar pengetua lagi.
Berita Oleh : SMK Pantai
Antara peserta dalam Majlis Sepakat Menabur Bakti
SMK Mutiara komited membantu murid terkesan Covid-19
LABUAN – Usaha SMK Mutiara dalam mendekati warga sekolah khususnya murid-murid yang terkesan akibat pandemik Covid-19 di sekolah ini haruslah diberi pujian. Hal ini demikian kerana pendekatan “bantu dan sayang” yang dilakukan oleh pengurusan sekolah sekurang-kurangnya dapat meringankan masalah yang dihadapi oleh murid-murid, demikianlah yang dikatakan oleh Encik Yusop Haji Mohamad, Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan semasa merasmikan Program Ziarah Cakna Maya Perdana yang disiarkan menerusi Google Meet baru-baru ini.
“Sesungguhnya dedikasi, empati serta semangat yang ditunjukkan oleh semua yang terlibat membuktikan bahawa kita semua peka dan mengambil berat terhadap masalah dan isu keperluan warga dan anak-anak didik SMK Mutiara pada masa ini. Seperti yang kita sedia maklum, di Pulau Labuan ini, kes aktif Covid-19 telah meningkat dengan pantas sekali sejak awal Mei hingga Jun dan secara tidak langsung menyumbang kepada kematian yang agak tinggi di Labuan”
“Masyarakat di sekeliling kita, termasuk anak-anak didik kita juga terlibat secara langsung dalam menghadapi permasalahan dalam kehidupan dan keluarga sepanjang pandemik ini. Tidak ketinggalan juga, ramai dalam kalangan murid kita yang telah kehilangan ibu dan bapa tersayang secara tidak diduga”, tambahnya lagi.
Justeru, program yang diadakan ini bertujuan untuk menggembleng amalan cakna dan prihatin serta berkongsi rasa, menyemarakkan iltizam dan bersama berganding bahu antara warga sekolah dan ibu bapa serta anak-anak didik dalam melaksanakan aktiviti kebajikan yang bercorak pendampingan sosial sejajar dengan konsep “kebajikan tanggungjawab bersama”.
Program seumpama ini sudah tentu akan memberi manfaat kepada kita semua, dalam membantu meringankan beban anak-anak didik kita. Inilah bukti jelas tentang usaha-usaha warga pendidik yang sentiasa komited dalam memastikan anak-anak kita semua mampu terus berusaha dalam pelajaran walaupun ada halangan dan ujian yang dihadapi oleh mereka.
Manakala Encik Yahya Ahmad Puteh, Pengetua SMK Mutiara pula mengatakan bahawa seramai empat orang murid di sekolah ini yang kehilangan ibu atau bapa yang disebabkan oleh pandemik Covid-19. Tiga daripadanya merupakan murid Tingkatan Lima manakala seorang murid pula merupakan murid Tingkatan Satu. Justeru, pihak sekolah mengucapkan ribuan terimakasih kepada semua guru, PIBG dan komuniti yang membantu anak-anak murid ini supaya kita dapat meringankan sedikit beban yang ditanggung serta dapat menyokong emosi mereka bahawa masih ada orang yang mengambil berat tentang diri murid.
“Kita akan sentiasa membudayakan amalan “bantu dan sayang” dalam mendekati murid kerana murid-murid ini dalam apa-apa jua keadaan perlu dibantu, disayangi dan diberi sokongan emosi apatah lagi ada dalam kalangan mereka ini yang akan menduduki peperiksaan Sijil Peperiksaan Malaysia bagi tahun 2021”, tambah Yahya lagi.
Program Ziarah Cakna Maya Perdana merupakan program yang dianjurkan oleh Pengurusan Hal Ehwad Murid dan diurusetiakan oleh Unit Bimbingan Dan kaunseling serta Panitia Pendidikan Agama Islam. Antara pengisian program ini ialah bacaan Yassin, bacaan Tahlil dan Doa Selamat agar warga sekolah khususnya dilindungi daripada segala musibah serta simbolik penyerahan sumbangan kepada murid-murid yang terlibat. Program ini juga mendapat kerjasama yang baik daripada warga sekolah, ibu bapa dan komuniti.
Turut hadir dalam program tersebut ialah Tuan Haji Abdul Rahman Ahmad, Timbalan Pengarah Pendidikan Labuan , Puan Norhani Yusof, Pemangku YDP SMK Mutiara , penolong-penolong kanan serta ibu bapa dan murid yang terlibat.
Berita Oleh : SMK Mutiara
Inisiatif ‘PROPER TOP’ SMK Labuan Bantu Murid Mengikuti PdPR
Labuan, 29 Julai – Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) Fasa 4 bermula pada 26 Julai hingga 30 Ogos 2021.
Keperluan untuk mengikuti PdPR merupakan cabaran besar kepada murid SMK Labuan yang menghadapi masalah ketiadaan peranti dan data internet. Walaupun jumlahnya tidak ramai tetapi ini akan menjejaskan pembelajaran murid-murid berkenaan sepanjang tempoh PdPR.
Atas keprihatinan guru-guru, staf dan PIBG SMK Labuan bagi membantu murid-murid berkenaan maka terhasillah inisiatif Program Pinjaman Peranti dan Bantuan Top Up data internet (PROPER TOP) SMK Labuan.
Pemilihan murid berdasarkan penelitian guru kelas, Unit Kebajikan Murid dan Unit HEM dengan menilai murid yang sangat memerlukan peranti dan data internet untuk mengikut PdPR secara dalam talian.
Peranti ini diberi sebagai pinjaman untuk tempoh yang sesuai sehingga ibu bapa murid dapat mengusahakan pembelian peranti sendiri.
Dua orang murid Tingkatan 2 penerima pertama peranti
Sumbangan bantuan Top up hanya akan diteruskan kepada murid yang mengikuti PdPR secara konsisten dan betul-betul memerlukan data internet.
Penyerahan pertama peranti telah dilaksanakan pada 25 Julai 2021 kepada 2 orang murid Tingkatan 2, manakala bantuan top up telah diberi kepada 46 orang murid Tingkatan 1 hingga Tingkatan 6.
Pengetua SMK Labuan, Encik Ismail bin Abdullah menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua guru dan staf serta PIBG SMK Labuan atas sumbangan yang diberi untuk inisiatif PROPER TOP ini.
Semoga inisiatif PROPER TOP ini akan mencapai matlamatnya, selaras dengan slogan SMK Labuan iaitu “Setiap Murid Bernilai” dan slogan Jabatan Pendidikan WP Labuan “Guru Sayang Muridnya”. Encik Ismail Abdullah
Berita oleh : SMK Labuan
Encik Ismail memberi kata-kata semangat dan nasihat kepada penerima peranti
PEKDIS Laksana Ibadah Korban Berkelompok di Kawasan Perkarangan Pejabat MAQIS
Labuan: Pertubuhan Kegiatan Dakwah Islamiah Sekolah-sekolah (PEKDIS) Cawangan Labuan telah menganjurkan korban berkelompok di kawasan Perkarangan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) baru-baru ini.
Program Korban Berkelompok merupakan inisiatif PEKDIS dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan (JPWPL) untuk mendekati masyarakat, memupuk semangat kerja berpasukan dalam kalangan warga Pendidikan selain dapat meraikan golongan kurang berkemampuan dan wajar diberi perhatian.
Sebanyak tiga ekor lembu telah dikorbankan mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk mengekang penularan wabak pandemik Covid-19 dalam suasana Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD)
Penyelaras Program Korban PEKDIS Ustaz Hj Sahrum bin Samlan berkata, bagi memastikan kelancaran program pihak urus setia sentiasa menitik beratkan garis panduan prosedur operasi standard (SOP) ibadah korban sebagaimana yang disarankan kerajaan bagi mencegah penularan wabak COVID-19.
Pihak penganjur menyediakan kaunter saringan kesihatan di pintu masuk bagi memeriksa suhu badan 12 orang petugas, merekod kehadiran melalui aplikasi MySejahtera, memastikan petugas sentiasa memakai pelitup muka, apron plastik pakai buang (disposeable apron), sarung tangan getah serta pelindung muka (face shield) sepanjang proses melapah dan memotong daging korban berlangsung.
Gotong-royong: Petugas Korban bergotong- royong menguruskan proses menimbang, memotong dan membungkus daging korban.
“Alhamdulillah, kita berjaya menyelesaikan kerja-kerja menimbang, memotong, membungkus dengan cepat biarpun hanya melibatkan 12 orang petugas. Proses agihan kepada 50 orang asnaf dalam kalangan murid-murid sekolah sekitar wilayah Persekutuan Labuan berjalan lancar. Begitu juga agihan yang dilakukan oleh peserta korban sendiri untuk saudara mara dan jiran terdekat.”. katanya.
Sementara itu, Pengerusi PEKDIS Cawangan Labuan Kamariah binti Salim berkata, pihaknya telah mendapat kebenaran untuk melaksanakan ibadah korban berkelompok daripada Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan Labuan (JAWI), Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) dan pihak berkuasa tempatan.
“Sebagai manifestasi ubudiah kepada Allah s.w.t., PEKDIS Labuan telah merancang untuk mengadakan program korban ini sejak bulan Januari yag lalu dan pada hari ini ianya dapat dilaksanakan dengan jayanya.
“Alhamdulillah, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) telah membenarkan pelaksanaan program ibadah korban di Wilayah Persekutuan Labuan pada tahun 2021 dengan SOP yang ketat serta pemantauan yang dilakukan oleh pihak Polis Di-Raja Malaysia (PDRM)”.
Ceria: Sebahagian daripada petugas korban ceria sepanjang melaksanakan rotong –royong ibadah korban di kawasan perkarangan pejabat MAQIS.
“Sembelihan tiga ekor lembu berlangsung seawal jam 7.30 pagi iaitu selepas solat sunat Aidiladha yang adakan di Rumah Sembelih Ruminan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) begitu juga proses melapah.”
“Bagi proses menimbang, memotong dan membungkus pula telah dilaksanakan di kawasan Perkarangan Pejabat MAQIS bersebelahan denga Pusat Sembelihan yang dikendalikan oleh 12 orang petugas yang terdiri daripada mereka yang telah selesai menerima 2 DOS Vaksin (Vaksin Lengkap).” ujarnya .
“PEKDIS menzahirkan ucapan penghargaan dan terima kasih atas jalinan kerjasama yang sangat baik yang diberikan oleh pihak MAQIS sepanjang program ini berlangsung. Semoga kerjasama ini dapat diteruskan pada masa akan datang”. katanya lagi.
Pelaksanaan Ibadah korban pada tahun ini sama seperti tahun lalu di mana tiada aktiviti masak-memasak seperti kebiasaan dilakukan. PEKDIS selaku penganjur program sentiasa mengamalkan dan mematuhi SOP yang telah ditetapkan.
Turut hadir di dalam program ini ialah Pengarah MAQIS Labuan Nazrul Azman Mat Rahim, Timbalan Pengarah Sektor Pembangunan Murid, Hj Abdul Rahman Ahmad, Ketua Penolong Pengarah Sektor Pendidikan Islam Kamariah Salim.
Cenderamata: Nazrul Azman (kanan) menyampaikan cenderamata kepada Kamariah dengan diperhatikan oleh Abdul Rahman.
Rakam kenangan: Kamariah (kanan), Nazrul Azman (dua dari kanan), Abdul Rahman (empat dari kanan) bergambar bersama pasukan pemantau SOP.
Pematuhan SOP: Sahrum berpakaian lengkap dengan apron, sarung tangan dan memakai pelitup separuh muka dan pelindung muka sepanjang pelaksanaan ibadah korban
Berita Oleh : Sektor Pendidikan Islam
104 Murid SK Membedai Menghadiri Kem Bestari Solat Secara Dalam Talian
Labuan, 5 Julai – Sekolah Kebangsaan Membedai telah mengadakan Program Kem Bestari Solat (KBS) secara dalam talian, kelmarin yang telah dirasmikan oleh Encik Yusup bin Haji Mohamad Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri W.P Labuan.
Objektif program ini dilaksanakan ialah untuk membimbing murid untuk melaksanakan solat dengan sempurna dan baik, membantu murid memperbetulkan kesalahan biasa di dalam solat serta mendidik murid tentang kepentingan kesempurnaan solat.
Dalam ucapan perasmian tersebut, Encik Yusup mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada warga Sekolah Kebangsaan Membedai, khususnya Panitia Pendidikan Islam dan Bahasa Arab kerana berjaya menjalankan Kem Bestari Solat secara dalam talian walaupun berdepan cabaran pandemik Covid-19.
Beliau menzahirkan kegembiraan ke atas penyertaan murid yang ramai dalam program ini. Encik Yusup memperingatkan kepada yang hadir dan murid-murid SK Membedai tentang kepentingan dan kewajipan menunaikan solat kerana ia merupakan rukun islam yang kedua. Beliau mengucapkan jutaan terima kasih kepada ibu bapa dan murid-murid yang hadir untuk memberi sokongan dengan menyertai kem secara dalam talian.
Ucapan aluan oleh Encik Yusup Haji Mohamad
Encik Yusup turut bersama menyaksikan pelaksanaan amali solat murid-murid dan beliau gembira kerana mereka dapat melakukan solat dengan baik.
Ucapan tahniah kepada panita Pendidikan Islam dan Bahasa Arab ke atas kejayaan mendapat pingat emas dan “ Judge’s Choice “ didalam pertandingan inovasi LaRIS Creativity and Innovation Showcase 2021 peringkat kebangsaan baru-baru ini.
Program telah dihadiri oleh Guru Besar Sk Membedai, Encik Mohamed Al Ghaffar bin Haji Mohamed Maidin, Ketua Penolong Pengarah Sektor Pendidikan Islam Ustazah Kamriah binti Salim, Penolong Pengarah Sektor Pendidikan Islam Ustazah Rahimah barisan Pentadbir Sk Membedai, Guru-guru SK Membedai dan ibubapa.
Program ini dibimbing oleh Ustaz Nawawi bin Ejal selaku ketua Panitia Pendidikan Islam dan Bahasa Arab, Ustaz Mohammad Akmal Danial Bin Hazani, Ustazah Nasibah Binti Abdullah Dan Ustazah Anfal Binti Amir.
Berita Oleh : SK Membedai
Sambutan yang menggalakkan daripada murid dan ibu bapaEncik Mohamed Al Ghaffar Guru Besar SK Membedai
KAJIAN TINDAKAN MEMACU TRANSFORMASI PdP 105 Kertas Kajian Tindakan Dibentang
Labuan, 25 Mei – Jabatan Pendidikan W.P Labuan telah berjaya menganjurkan Kolokium Kajian Tindakan Peringkat Kebangsaan Siri 2 pada 21 dan 22 Mei lalu. Bertemakan “Kajian Tindakan Memacu Transformasi PdP”, kolokium secara atas talian ini telah berjaya menarik sebanyak 105 kertas pembentangan daripada warga guru seluruh negara.
Menurut Penolong Pengarah Sektor Perancangan, Jabatan Pendidikan W.P. Labuan , Puan Faridah Amit, kolokum ini adalah lanjutan daripada kolokium siri 1 yang telah diadakan pada 22 April lepas melibatkan semua warga guru dari seluruh negara.
“ Oleh kerana penyertaan yang sangat menggalakkan daripada para peserta, pihak urusetia telah menyediakan satu lagi platform perkongsian untuk memberi peluang perkongsian amalan PdP dalam kalangan guru demi kepentingan bersama. Sebanyak 3 sesi telah dibuka dalam talian secara selari untuk membolehkan kesemua 105 kertas kajian dibentangkan dalam masa 2 hari tersebut”. tambah beliau yang juga merupakan penyelaras kolokium.
Kejayaan penganjuran kolokium ini turut disokong oleh komitmen dan kerjasama padu oleh jurulatih-jurulatih Utama (JU) yang diketuai oleh Cik Suriani Alland Rice Oxley , pegawai SISC+ di Jabatan Pendidikan W.P Labuan.
“ Saya sangat berpuashati kerana Teknik 12 Langkah ini telah berkembang ke seluruh negara. Ini adalah sumbangan ikhlas profesional saya sebagai tanda kebersamaan kita dalam tempoh negara sedang menghadapi pandemik Covid19”
“ Saya berharap agar guru-guru telah mendapat manfaat daripada perkongsian ini dan terus mengamalkan kajian tindakan untuk meningkatkan potensi dan kualiti PdP dari semasa ke semasa” tambah beliau lagi yang juga merupakan pencipta kepada Teknik 12 Langkah.
Sesi pembentangan oleh para peserta kolokium secara dalam talianEncik Yusup Mohamad (atas kiri), Pengarah Jabatan W.P Pendidikan Labuan sedang merasmikan kolokium
Majlis penutupan kolokium telah disempurnakan oleh Pengarah Pendidikan, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, Encik Yusup Mohamad. Dalam ucapannya, beliau merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak terlibat yang telah menunjukkan komitmen tinggi dalam menjayakan kolokium secara atas talian ini.
“Pendidikan pada waktu ini tidak terhad di dalam bilik darjah yang dikelilingi oleh 4 dinding semata-mata. Kita mesti sentiasa bersiapsiaga mengharungi cabaran dan perubahan di dalam dunia VUCA sekarang ini”
“Semua guru dan murid mesti melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran pendidikan digital yang telah menjadi teras penyampaian sistem pendidikan ketika ini. Ini selaras dengan tema sambutan hari guru tahun ini “Berguru Demi Ilmu, Bina Generasi Baharu”, tambah beliau lagi.
Pengurus Program, Encik Mohd Nizam Yasim mengucapkan terima kasih kepada Pengurusan Tertinggi Jabatan, Pengetua dan Guru Besar, semua petugas dan semua peserta atas kerjasama dan komitmen yang telah diberikan sepanjang kolokium ini berlangsung. Beliau yang juga Timbalan Pengarah Sektor Perancangan turut membayangkan Kolokium Kajian Tindakan Teknik 12 Langkah akan dilaksanakan lagi pada tahun akan datang atas sambutan yang di luar jangkaan tahun ini.
Penyiaran kolokium ini telah dibuat melalui dua saluran siaran langsung iaitu Facebook Live dan Youtube Live. Ketua Pasukan Penyiaran, Puan Shamsuria Ebni menyatakan setakat ini jumlah pengunjung yang telah mengikuti kolokium di saluran Youtube telah mencecah angka sebanyak 17,000 tontotan dan terus meningkat dari hari ke hari.
Berita Oleh : Sektor Perancangan
Kolokium mendapat sambutan daripada peserta seluruh negaraThubs Up : Encik Yusup mengucapkan tahniah kepada urusetia dan semua pihak yang terlibat menjayakan Kolokium Kajian Tindakan Kebangsaan
Majlis Khatam Al Quran, Ziarah Ramadan Dan Penyampaian Sumbangan Wakalah Menutup Tirai Program Ihya’ Ramadan Peringkat JPWPL
Labuan, 7 Mei – Bagi merebut keberkatan bulan Ramadan Al Mubarak dan mengimarahkan lagi Program Ihya’ Ramadan tahun ini, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan (JPWPL) telah mengadakan Majlis Khatam Al Quran secara bersemuka di Bilik Mesyuarat Botanikal, JPWPL dan di dalam talian bermula jam 7.45 pagi manakala penyampaian sumbangan wakalah diadakan jam 3.00 petang semalam.
Majlis Khatam Al Quran yang dikelolakan oleh Sektor Pendidikan Islam (SPI) ini telah dihadiri lebih 50 peserta daripada kalangan pegawai dan kakitangan JPWPL. Majlis dimulai dengan bacaan surah Al Kahfi ayat 1 hingga 10 dan ayat 100 hingga 110 diketuai oleh Tuan Haji Abdul Rahman bin Ahmad, Timbalan Pengarah Sektor Pembangunan Murid. Manakala Majlis Khatam Al Quran dipimpin oleh Ustaz Sahrum Bin Samlan, Penolong Pengarah Pembangunan Adab dan Nilai, Sektor Pendidikan Islam. Seramai 22 qari dan qariah jabatan telah memperdengarkan bacaan juzuk amma bermula daripada surah Ad-dhuha hingga surah An-Nas.
Program Bacaan Al Quran yang dilaksanakan sepanjang bulan Ramadan ini diharapkan dapat mewujudkan penghayatan beramal dan beribadah dalam bulan yang penuh barakah di samping memantapkan kemahiran membaca al-Quran dalam setiap jiwa warga kerja JPWPL ini.
Menurut Ketua Penolong Pengarah SPI, Ustazah Kamariah binti Salim, penganjuran majlis ini bukan sekadar untuk meraikan kejayaan kita menamatkan pembacaan al-Quran mengikut juzuk tetapi apa yang paling penting ialah mesej yang hendak disampaikan dan pengertiannya kepada kita.
“Penghayatan kepada isi kandungan ayat-ayat suci al-Quran akan memberi kita inspirasi dan galakan untuk lebih berusaha mendekatkan diri kepada Ilahi dan menguasai segenap bidang ilmu pengetahuan. Membaca dengan memfokuskan kepada kualiti bacaan dengan meraikan hukum tajwid sangat penting di samping mentadabbur iaitu memahami dan menghayati makna Al-Quran itu sendiri”. Katanya ketika menyampaikan ucapan dalam majlis tersebut.
Tuan Haji Abdul Rahman Ahmad
Puan Maimoon Matnoh
Ustazah Kamariah Salim
Rakam kenangan: Peserta secara dalam talian turut merakamkan gambar kenangan.Rakam kenangan: Peserta Majlis Khatam Al Quran secara bersemuka dari Bilik Mesyuarat Botanikal merakamkan gambar kenangan seusai majlis.
Beliau turut merakamkan ucapan tahniah kepada semua peserta yang berjaya menyelesaikan bacaan mengikut juzuk dan peserta yang memperdengarkan bacaan dengan faseh dan lancar dalam majlis tersebut. Juga ucapan terima kasih yang tidak terhingga di atas sumbangan yag diberikan untuk Tabung Infaq Ramadan.
Majlis tersebut dihadiri oleh Pengarah Pendidikan JPWPL, Encik Yusup bin Hj Mohamad secara dalam talian. Turut hadir Timbalan Pengarah Sektor Pengurusan Sekolah, Puan Maimoon binti Hj Matnoh yang memperdengarkan bacaan surah Al Qariah, Timbalan Pengarah Sektor Perancangan, Encik Mohd Nizam bin Yasim yang membacakan surah AL Kawthar dan Timbalan Pengarah Sektor Pembangunan Murid, Tuan Haji Abdul Rahman bin Ahmad yang turut membacakan surah Al Bayyinah.
Program Ziarah Ramadan iaitu menyantuni Encik Faris bin Kasa, pegawai di Sektor Pentaksiran dan Peperiksaan (SPP) turut diadakan pada sebelah pagi. Rombongan diketuai oleh Tuan Hj Sawal bin Salleh, Ketua Penolong Pengarah SPP bersama 3 ahli rombongan.
Majlis Penyampaian Sumbangan Wakalah JPWPL pula telah disempurnakan oleh Tuan Pengarah Pendidikan JPWPL, Yusup Hj Mohamad kepada 22 orang pembersih kawasan dan jaga. Seramai 8 orang pekerja sambilan harian (PSH) turut menerima sumbangan duit raya. Pada majlis itu juga turut diadakan agihan juadah iftar kepada semua kakitangan JPWPL dan penerima sumbangan.
Berita Oleh : Sektor Pendidikan Islam
Ziarah Ramadan: Tuan Hj Sawal (tengah) bersama pegawai SPP, Encik Narimin (kiri), Encik Aqil Mudzakkir (dua dari kanan) dan Puan Raihana (kanan) menyantuni Encik Faris (dua kari kiri) dalam Program Ziarah Ramadan. Didoakan semoga Encik Faris sembuh seperti sediakala.
Encik Rizahanddy menerima sumbangan raya daripada Encik Yusup
Encik Azryn menyampaikan juadah iftar kepada kakitangan JPWPL
Agihan Juadah Iftar: Ustazah Sitti Rahimah (kanan), Ustaz Mohd Syahir (dua dari kiri) dan Puan Maznah (kiri) menyerahkan bakul kit makanan dan juadah iftar kepada kakitangan di Sektor Pembelajaran dan Sektor Pentaksiran dan Peperiksaan.
20 Warga Jabatan Pendidikan Hadiri Bengkel Penulisan Dokumen Rasmi
Labuan, 6 Mei – Sebagai usaha meningkatkan tahap kompetensi dalam kalangan pegawai dan Anggota Khidmat Pelaksana (AKP), Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan telah menganjurkan Bengkel Tatacara Penulisan Dokumen Rasmi Kerajaan semalam. Bengkel yang bermula jam 8.30 pagi telah diadakan di Bilik Kiamsam, Sektor Sumber Teknologi Pendidikan di Sungai Lada.
Program kelolaan Sektor Sumber Manusia (SSM) itu telah dihadiri oleh seramai 10 pegawai dan 10 AKP yang mewakili semua sektor di jabatan ini. Menurut penyelaras bengkel, Cik Nurul Ain Hamdan bengkel ini bertujuan untuk meningkatkan pengetahuan, kemahiran dan kompetensi pegawai dan AKP dalam urusan-urusan berkaitan dengan penulisan dokumen rasmi.
“Terdapat tiga elemen penting yang diterapkan dalam bengkel kali ini iaitu penulisan surat rasmi, minit mesyuarat dan laporan berita. Kita berharap agar semua pegawai dan AKP dapat mematuhi surat-surat pekeliling dan arahan-arahan semasa yang dikeluarkan oleh MAMPU dan Arkib Negara Malaysia dalam menjalankan tugas” kata beliau lagi yang juga merupakan Penolong Pengarah di SSM.
Bengkel sehari ini telah dkendalikan sepenuhnya oleh Timbalan Pengarah Sektor Perancangan, Encik Mohd Nizam bin Yasim. Dalam bengkel tersebut, Encik Mohd Nizam menegaskan bahawa semua penjawat awam perlu mengetahui dan mematuhi peraturan-peraturan semasa yang sedang berkuatkuasa dalam menjalankan tugas.
Encik Mohd Nizam
Cik Nurul Ain
Encik Arraqib
“Rujukan yang dibuat juga mestilah daripada sumber-sumber yang autentik dan sahih yang dikeluarkan oleh pihak-pihak yang berautoriti seperti MAMPU, DBP dan ARKIB. Penulisan dokumen terutamanya surat rasmi yang betul dan tepat dari segi format dan ejaan dapat memberi imej yang baik kepada sesebuah organisasi” tegas beliau lagi.
Salah seorang peserta, Arraqib Al Kassim berkata beliau sangat bertuah kerana diberi peluang mengikuti bengkel ini.
“Saya sebagai pegawai baharu di jabatan ini dapat mengetahui dengan lebih mendalam kaedah-kaedah penulisan dokumen rasmi. Kaedah penyampaian penceramah juga santai dan mudah difahami termasuk contoh-contoh yang diberikan” ujar beliau lagi.
Seorang lagi peserta, Roziman Sabtu menyarankan agar bengkel sebegini dapat diadakan secara berterusan bagi memberi pendedahan menyeluruh kepada semua warga pendidikan pada masa akan datang.
“Penulisan laporan aktiviti berbentuk berita juga mampu memberi nilai tambah kepada setiap aktiviti yang dijalankan selain promosi kepada organisasi kita” tambah beliau.
Sesi bengkel diakhiri dengan permainan kuiz menggunakan aplikasi Quizizz. Ustaz Mohd Syahir Mohamad Yusof telah berjaya mendapat skor tertinggi dan terpilih sebagai peserta terbaik sepanjang bengkel dijalankan.
Berita Oleh : Sektor Perancangan
Ustaz Mohd Syahir dipilih sebagai peserta terbaik sepanjang bengkel berlangsungPenceramah Encik Mohd Nizam (tengah) merakam kenangan bersama peserta bengkel Tatacara Penulisan Dokumen Rasmi Kerajaan