Dedikasi guru-guruku menelusuri waktu dan usia bermadah sayang penuh iltizam
Pada azam membuka minda membuka kota ilmu khazanah lorong ilmu anak-anak abad ke-21 yang sedang mencari diri pada celah ranjau dan duri melentur susur peribadi terpuji.
Pada santun kata penuh hikmah
Kau guru-guruku sepulau sekasih ini tak mudah menoleh
Menghitung nostalgia sejarah
Jauh mata pandang dan mata hatimu yang telus menembus tajam masa hadapan bagai utusan para wali melebar wawasan jelas puncak kerjaya anak-anak dengan bekal fikir aras tinggi
Menjulang inovasi kreativiti
Setulus budi pekerti
Siapakah yang mengerti?
Daya saing tersirat dari falsafah
Dan hasrat panduan jelas
Dari lokal ke antarabangsa
Terserlah jua rasa cinta abadi
Pada coretan selembar catatan.
Bersatulah guru-guruku sepulau sekasih ini dengan hasrat dan niat suci sedingin embun pagi
Pada basah janji
Doamu saban pagi
Tercerna halus pada ucapan
Terima kasih cikgu
Kaulah guru-guruku
Yang memahami harga diri
Memimpin penuh integriti
Pada halus budimu
Pada cerah wajahmu
Terserlah kuntum senyuman
Menggunung harapan
Ke puncak menara
Guruku sayang
Namamu sentiasa meniti dari bibir ke bibir
Kerana kaulah guruku yang sentiasa bijak menterjemah mimpi menjadi realiti……
Kata pesan tegur nasihatmu
Jadi pedoman sepanjang hayat
Pada hari ulang tahun
Tarikh keramat 16 Mei
Tersemat kemas di hati.
Selamat Hari Guru.
Terima kasih cikgu!
“Guru Pembina Negara Bangsa”
SAMSA HARRIS JDT: JALAN DURIAN TUNJUNG, LABUAN 10 MEI 2017
Maitah KUPI-KUPI HAIE GU’U – Pendidikan Berkualiti memacu gelombang ke-2 PPPM 2016-2020
Labuan, 23 Mei – Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan telah mengadakan Program “Maitah kupi-kupi Haie Gu’u” sempena sambutan Perayaan Hari Guru Peringkat WP labuan di Ruang Legar Ujana Kewangan Labuan.
Seramai 134 Orang guru dari 26 buah sekolah hadir dalam program ini. Program bual bicara santai yang bermula dari pukul 2.30 petang ni juga turut dihadiri oleh Pengarah Pendidikan WP labuan En Raisin Bin Saidin.
Antara ahli panel ialah, Guru Besar Sekolah Kebangsaan Pekan Satu WP labuan, En Jaafar Bin Matusin, Pegawai SISC+, En Pg Abd Kadir Bin Pg Budin Guru Cemerlang dari SMK Labuan , En Nazrin Bin Ismail dan di pengerusikan oleh Pengetua SMK Rancha-Rancha, En Omar Baki Bin Matusin.
Tema program ini ialah “Pendidikan Berkualiti memacu Gelombang ke-2 PPPM 2016 2020. Antara perkara yang dibincangkan ialah Pendidikan Abad ke-21 (PAK21), Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) dan Kemahiran berfikir aras Tinggi (KBAT).
Sebanyak 10 gerai yang mempamerkan pelbagai inovasi daripada guru-guru di WP Labuan. Antara inovasi yang menarik perhatian para pengunjung ialah Inovasi daripada bahan-bahan terbuang oleh Cikgu Hasnan dari SK Pekan Satu dan Inovasi 1 Spy 5 Stars oleh Cikgu Hyginus Lester dari SMK Mutiara WP Labuan.
Program yang diilhamkan oleh Pengarah Pendidikan WP labuan ini juga diserikan dengan persembahan nyanyian duo oleh En Irham dan En Marzuki dari Jabatan Pendidikan WP Labuan serta persembahan tiupan seruling dan sajak oleh En Sanin, tenaga pengajar dari Labuan International School WP Labuan.
Semua peserta yang hadir meluahkan rasa gembira dan teruja kerana Sambutan Hari guru pada tahun ini menampakkan kelainan daripada sambutan pada tahun-tahun sebelumnya. Program berakhir pukul 4.30 petang dengan acara kuiz kepada semua peserta secara maya menggunakan program “Kahoot” yang dikendalikan oleh cik Suriani dari Sektor Pengurusan Akademik, Jabatan Pendidikan WP Labuan.
Berita Oleh : Saudara Inanis Fatinisupi bin Abdullah
Sambutan Hari Guru 2017 WP Labuan Berlangsung Penuh Ceria
Labuan – Sambutan Hari Guru Peringkat Wilayah Persekutuan Labuan Tahun 2017 telah berlangsung dengan penuh ceria dan warna-warni pada 20 Mei 2017 bertempat di Dewan Serbaguna Perbadanan Labuan.
Tema Sambutan Hari Guru tahun ini adalah Guru Pembina Negara Bangsa.
Majlis yang di sempurnakan oleh YB Ahli Parlimen P166 W.P. Labuan, Datuk Rozman bin Datuk Haji Isli ini dihadiri oleh Pengarah Pendidikan, En. Raisin bin Saidin, tetamu jemputan, Datuk Sri Alias bin Hj. Abdul Rahman, ketua-ketua sektor, para pengetua, guru besar, pegawai Jabatan Pendidikan WP Labuan, kumpulan Pesara Guru, YDP PIBG dan yang diraikan para guru di Wilayah Persekutuan Labuan.
Turut hadir Ketua-Ketua Jabatan Kerajaan, Ketua-Ketua Kampung dan wakil-wakil agensi swasta dan warga pendidik yang terdiri daripada guru di semua sekolah Wilayah Persekutuan Labuan termasuk Kolej Vokasional Labuan, Kolej Matrikulasi Labuan, Sekolah Antarabangsa Labuan (LIS) dan tadika-tadika swasta.
Tn. Hj. Henarin bin Hj Adinda telah dipilih sebagai penerima Anugerah Tokoh Guru Peringkat WP Labuan Tahun 2017 di atas sumbangan bakti penuh dedikasi yang telah dicurahkan kepada dunia pendidikan samada di Labuan mahupun di negeri Sabah bermula awal tahun 70-an sehingga tahun 2003.
Beliau menerima RM2,000 dalam bentuk sijil premium daripada BSN dan RM1,000 daripada Bank Islam yang turut menyumbang RM200 kepada setiap Ikon Guru.
Majlis yang bermula pada jam 8.00 pagi ini turut memberi penganugerahan kepada 52 orang penerima Anugerah Anak Guru Cemerlang, 15 orang guru bagi Anugerah Guru Inovatif (Johan : Nazrin bin Ismail), 3 orang guru Anugerah Ikon Guru (Ismail bin Abdullah, Suriani Alland Rice Oxley dan Samih bin Kukung), seorang penerima Anugerah Kepimpinan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (Ismail bin Abdullah), seorang penerima Anugerah Prasekolah Gemilang (Samih bin Kukung), dan dua orang penerima Anugerah Guru Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) Cemerlang (Roslaniah binti Zainal dan Vincent Kubing Anak Ajah).
Ucapan perasmian yang disempurnakan oleh Datuk Rozman bin Datuk Haji Isli, beliau berkata “guru jugalah yang menjadi sumber inspirasi anak watan bagi memacu aspirasi negara menjadikan Negara yang kita cintai maju dan sejahtera. Guru juga menjadi wadah penyemai perpaduan dan guru bertanggngjawab menanam sifat perpaduan dalam jiwa generasi muda kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya”. Beliau juga turut mengucapkan jutaan terima kasih kepada insan yang bergelar guru di mana jua mereka berada. Biarlah ungkapan keramat ‘guru’ atau ‘cikgu’ terus kekal meniti di bibir murid, ibu bapa dan masyarakat hingga ke akhir hayat seorang guru.
Menurut Encik Raisin Saidin, pelbagai aktiviti dijalankan sempena Hari Guru peringkat Wilayah Persekutuan Labuan. Antaranya ialah sesi berkunjung ke rumah pesara guru, khidmat masyarakat, kempen derma darah, sukan dan rekreasi, program bacaan Yaasin, makan malam serta forum hari guru yang dikenali sebagai Kupi-kupi Hari Guru yang akan berlangsung pada 23hb Mei 2017.
Semua program yang telah dirancang bertujuan mengeratkan dan mendekatkan lagi hubungan di kalangan warga pendidikan sendiri mahupun dengan masyarakat umumnya.
Pada majlis itu, Encik Raisin Saidin mewakili Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan menerima sumbangan daripada YB Datuk Rozman sebanyak RM4,000 untuk menampung perbelanjaan majlis makan malam Hari Guru manakala RM3,000 daripada Datuk Sri Alias untuk menampung sambutan Hari Guru 2017.
Encik Raisin Saidin turut mengucapkan terima kasih atas sumbangan Bank Rakyat, PIBG, pengusaha kantin sekolah dan guru-guru.
Dalam majlis tersebut, YB Rozman juga berkesempatan melancarkan buku Antologi Cerpen yang bertajuk Catatan Seorang Guru yang telah diterbitkan oleh Persatuan Penulis Wilayah Persekutuan Labuan ( PERWILA ) dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan.
Saint Anthony School ( SAS ) Perlu 300 Ribu Untuk Bina Dewan Terbuka Sekolah
Labuan – SAS memerlukan RM300,000.00 untuk membina Dewan Terbuka Sekolah Menengah ST. Anthony bagi kemudahan para pelajar di sekolah ini. Oleh itu Persatuan Ibu Bapa dan Guru ( PIBG ) Sekolah Menengah ST. Anthony W.P.Labuan bakal menganjurkan Majlis Makan Malam Amal ( Charity Dinner ) pada 29 Julai 2017.
Puan Dona Undoh , Pengetua SM. St. Anthony menyatakan antara tujuan penganjuran majlis ini adalah untuk mengutip dana bagi pembinaan projek Dewan Terbuka Sekolah ( Open Hall ). Beliau menyatakan projek ini mendapat sokongan kuat dari Yang diPertua PIBG SM. St. Anthony W.P.Labuan iaitu Encik Chia Sia Theng selaku Penasihat projek serta Dr. Baby Chong Vui Hiong yang dilantik sebagai Pengerusi Penganjur Majlis Makan Malam Amal pada tahun ini.
Dona berkata Sekolah Menengah St. Anthony merupakan sekolah bantuan modal yang telah berpindah ke bangunan yang ada sekarang pada tahun 1996. Sekolah ini mempunyai murid seramai 432 orang dan 34 orang guru serta 4 orang Pegawai Kumpulan Pelaksana ( PKP ). Di harapkan dengan adanya Dewan Terbuka ini akan memberikan kemudahan kepada murid sebagai dewan perhimpunan dan juga ruang untuk melaksanakan aktiviti kokurikulum dan aktiviti pembelajaran luar bilik darjah.
Antara aktiviti yang dilaksanakan bagi mencapai sasaran sumbangan sebanyak RM300, 000.00 ialah jualan tiket makan malam amal, kutipan sumbangan iklan bagi buku cenderahati serta sumbangan dalam bentuk wang tunai dari orang perseorangan mau pun syarikat-syarikat swasta. Turut diadakan cabutan tiket bertuah dengan barangan yang menarik berupa barangan elektrik dan hamper.
Majlis Makan Malam ini akan dihadiri oleh Tuan Raisin Bin Saidin, Pengarah Pendidikan W.P.Labuan dan beberapa tetamu khas yang lain.
Sebagai pembuka tirai sumbangan tunai, Dr Baby Chong selaku Pengerusi Penganjur menyumbangkan sumbangan peribadi sebanyak RM8,888.88 manakala Encik Chia Sia Theng menyumbangkan sumbangan peribadi sebanyak RM6,000.00. Individu lain yang turut memberikan sumbangan peribadi ialah Dato’ Robert Seah Kiat Cheong sebanyak RM5,000.00 , Encik Paul Ipoh sebanyak RM5,000.00, Gaya Saloon RM2,000.00 dan Mr Soo Tai Siong & Chai Chai RM1,000.00.
Setakat ini jumlah kutipan sumbangan tunai dan sumbangan iklan sebanyak RM35,135.79 . Diharapkan sumbangan ini akan meningkat menjelang 7 Julai 2017. Beliau berkata demikian selepas menghadiri mesyuarat AJK Majlis Makan Malam Amal di Bilik Gerakan Sekolah pada 20 Mei 2017 baru-baru ini. Beliau bagi pihak YDP PIBG dan Pengerusi Penganjur mengalu-alukan sumbangan tokoh korporat dan pihak NGO . Jualan tiket Makan Malam Amal bernilai RM100 dan RM80 boleh diperolehi dari YDP PIBG Encik Chia Sia Theng, Dr. Baby Chong Vui Hiong dan Pn Dona Undoh sebelum 7 Julai 2017.
Sumbangan wang tunai juga boleh dimasukkan ke akaun FUND RAISING SM. ST. ANTHONYW.P.LABUAN , NO akaun : 8008536922 ( CIMB LABUAN ).
Dr. Baby Chong Vui Hiong selaku Pengerusi Penganjur menyatakan harapan beliau agar Majlis Makan Malam pada kali ini mendapat sambutan dari pada para ibu bapa dan juga sektor swasta. Aktiviti PIBG ini selaras dengan matlamat dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia ( PPPM 2013 – 2025 ) dalan anjakan 9 iaitu bekerjasama dengan ibu bapa, komuniti dan sektor swasta secara menyeluruh.
Anugerah Khas Keselamatan Perlindungan Tahun 2016
Labuan, 12 Mei – Jabatan Pendidikan W.P Labuan telah menerima Anugerah Khas Keselamatan Perlindungan daripada Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan Malaysia. Jabatan Pendidikan W.P Labuan telah diberikan “Anugerah Khas Keselamatan Perlindungan Tahun 2016” BAIK yang ditandatangani oleh CP Dato’ Zamri Bin Yahya, Ketua Pengarah Keselamatan Malaysia.
Anugerah ini telah disampaikan oleh Pengarah Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan Malaysia W.P Labuan Encik Mathew Lee a/k Musa diringi En Mohd Nazri bin Sofian pada 12.05.2017 jam 9.00 pagi di Pejabat Pengarah Pendidikan JPWPL.
Program Peningkatan Akademik Bagi Mata Pelajaran Bahasa Melayu UPSR
LABUAN, Sabtu – Sekolah Kebangsaan Rancha-Rancha (Sekolah Kluster Kecemerlangan) mengadakan Program Peningkatan Akademik bagi mata pelajaran Bahasa Melayu UPSR pada 22 April 2017 bertempat di Dewan Mini Anjung Budaya, Perbadanan Labuan Layang-Layangan. Program ini disertai seramai 41 orang murid calon UPSR SK Rancha-Rancha dan 62 orang dari 15 buah sekolah di Wilayah Persekutuan Labuan.
Penceramah jemputan program peningkatan ini ialah Encik Mat Ariffin bin Ismail yang merupakan penulis buku teks tahun 6 KSSR (2015). Beliau juga merupakan seorang penulis modul KSSR (BPK) Kementerian Pendidikan Malaysia (2011-2015). Selain itu, beliau juga merupakan seorang jurulatih kebangsaan (KBSR) (KSSR) (DSKP).
Program ini merupakan kesinambungan program tahunan yang telah dirancang bagi mengukuhkan keyakinan diri, memberi kesedaran dan memantapkan persediaan awal murid-murid sebelum menghadapi UPSR pada September 2017. Selain itu, objektif program ini adalah untuk memantapkan kemahiran murid menjawab soalan kertas pemahaman dan penulisan Bahasa Melayu UPSR dengan menggunakan teknik dan kaedah menjawab yang betul dan tepat. Bagi guru-guru pula, program ini dapat meningkatkan kemahiran pedagogi mereka dalam kaedah mengajar murid menjawab soalan dengan tepat dan betul.
Guru Besar SK Rancha-Rancha (Sekolah Kluster Kecemerlangan), Norinnie binti Kassim dalam ucapannya berharap agar program ini dapat memberi impak kepada semua murid yang menyertai program ini. Beliau juga berharap melalui perkongsian ilmu dan pengalaman penceramah akan membantu meningkatkan prestasi subjek Bahasa Melayu di Wilayah Persekutuan Labuan dalam UPSR pada tahun ini.
Norinnie turut mengucapkan terima kasih kepada guru dan murid dari 15 buah sekolah yang menyertai Program Peningkatan Akademik 2017 bagi mata pelajaran Bahasa Melayu. Beliau juga berharap program ini dapat diteruskan pada masa akan datang bagi meningkatkan kecemerlangan prestasi Bahasa Melayu UPSR khususnya SK Rancha-Rancha dan amnya Wilayah Persekutuan Labuan. Sebagai sebuah sekolah kluster kecemerlangan adalah menjadi tanggungjawab sekolah untuk membantu dalam peningkatan pencapaian akademik di Wilayah Persekutuan Labuan.
Sambutan Israk Mikraj SKK Rancha-Rancha
LABUAN, Khamis – Sekolah Kebangsaan Rancha-Rancha (Sekolah Kluster Kecemerlangan) mengadakan sambutan Israk Mikraj pada 04 Mei 2017. Program ini disertai seramai 310 orang murid Pendidikan Islam dan 33 orang guru. Ceramah Israk Mikraj bersempena Sambutan Israk Mikraj Peringkat Sekolah 2017 yang dianjurkan oleh Panitia Pendidikan Islam ini telah diadakan di Dewan SK Rancha-Rancha.
Ceramah yang menarik perhatian warga sekolah ini disampaikan oleh Ustaz Ahmad Shahrizal bin Mohd Saffian, Penolong Pengurus Pusat Pungutan Zakat (PPZ) W.P Labuan. Beliau hadir bersama lapan orang pelajar Madrasah Tahfiz Al-Quran Al-Badr Taman IOFC Kerupang 2. Di samping itu, kaunter PPZ juga dibuka kepada warga sekolah.
Objektif utama Sambutan Israk Mikraj Peringkat Sekolah 2017 ini adalah bertujuan untuk memberi pendedahan lanjut kepada murid-murid berkaitan peristiwa Israk Mikraj dan iktibarnya kepada seluruh umat Islam.
Ustaz Ahmad Shahrizal dalam ceramahnya berkata peristiwa Israk dan Mikraj merupakan satu mukjizat yang besar yang dianugerahkan kepada Rasullullah Sallallahu Alaihi Wasallam (SAW). Israk itu adalah perjalanan malam Nabi Muhammad SAW dari Masjidil Haram di Mekah ke Masjidil Aqsa di Palestin manakala Mikraj pula ialah keadaan baginda semasa terus dibawa ke langit ke tujuh dan Sidratul Muntaha. Peristiwa itu berlaku pada 27 Rejab sebagai memberikan kekuatan batin kepada Baginda dalam memperjuangkan dan menegakkan agama Allah.
Menurut beliau lagi, pengajaran yang besar daripada Israk dan Mikraj ialah kewajipan untuk menjauhi perkara mungkar dan maksiat. Semasa peristiwa Israk dan Mikraj, Baginda Rasulullah SAW telah ditunjukkan peristiwa ajaib dalam perjalanan itu.
Misalnya, Nabi diperlihatkan sekumpulan orang yang sedang memecahkan kepala mereka. Setiap kali dipecahkan, kepala mereka sembuh kembali, lalu dipecahkan pula. Demikian dilakukan berkali-kali. Jibrail memberitahu Rasulullah SAW: “Itulah orang² yang berat kepala mereka untuk sujud (solat).”
Selain itu, kaum yang sedang bertanam dan terus menuai hasil tanaman mereka. apabila dituai, hasil (buah) yang baru keluar semula seolah-olah belum lagi dituai. Hal ini berlaku berulang-ulang. Rasulullah SAW diberitahu oleh Jibrail : “Itulah kaum yang berjihad “Fisabilillah” yang digandakan pahala kebajikan sebanyak 700 kali ganda bahkan sehingga gandaan yang lebih banyak.”
Guru Besar SK Rancha-Rancha (Sekolah Kluster Kecemerlangan), Norinnie binti Kassim dalam ucapannya berharap agar program ini dapat memberi impak kepada semua murid yang menyertai program ini. Beliau berkata, kita sendiri sedia maklum bahawa peristiwa Israk Mikraj merupakan antara peristiwa atau sejarah penting dalam rakaman kehidupan Nabi Muhammad SAW. Peristiwa ini bukan sahaja membawa makna penting kepada Nabi SAW semata-mata tetapi juga kepada keseluruhan umat Islam di dunia.
SK Pantai, SMA MAIWP Labuan johan keseluruhan
Sekolah Kebangsaan Pantai dan Sekolah Menengah Agama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP Labuan) masing-masing muncul johan keseluruhan kategori sekolah rendah dan menengah Majlis Tadarus Al-Quran Sekolahsekolah (MTQSS) Wilayah Persekutuan Labuan 2017.
Sekolah Kebangsaan Bebuloh telah dipilih sebagai pengelola dan tuan rumah Majlis Tadarus Al-Quran Sekolah-sekolah Wilayah Persekutuan Labuan (MTQSS) 2017, baru-baru ini. Antara acara yang dipertandingkan ialah Tilawah Al-Quran, Hafazan, Syarahan dan Bercerita dari Kisah Al-Quran.
Majlis Tadarus peringkat negeri yang bertemakan ‘AlQuran Asas Pembinaan Ilmu dan Penyempurnaan Akhlak’ itu telah disempurnakan perasmiannya oleh Pengarah Jabatan Pendidikan Labuan Raisin Saidin. Beliau menyeru agar para pelajar dapat memperkukuh dan memantapkan akhlak melalui amalan pembacaan al-Quran.
“Menerusi penganjuran Majlis Tadarus ini, ia mampu menjana penghayatan dalam kalangan pelajar dalam rangka memahami isi kandungan al-Quran agar dapat diimplementasikan dalam urusan kehidupan seharian,” katanya.
MTQSS merupakan aktiviti tahunan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan. Usaha itu dapat melahirkan kesan yang positif di jiwa umat Islam. Menerusi penganjuran Majlis Tadarus ini, ia mampu menjana penghayatan dalam kalangan pelajar dalam rangka memahami isi kandungan al-Quran agar dapat diimplementasikan dalam urusan kehidupan seharian. MTQSS sebagai satu tempat pemilihan murid ke peringkat kebangsaan yang dianjurkan oleh Bahagian Pendidikan Islam, Kementerian Pendidikan Malaysia.
Antara objektif program adalah dapat melahirkan generasi yang membaca, menghafaz, mendalami dan menghayati al-Quran dalam kehidupan mereka serta dapat mempertingkatkan mutu bacaan al-Quran dalam kalangan pelajar dan mencungkil bakat dan mengembangkan potensi para pelajar dalam bidang Tilawah, Hafazan dan Bercerita dari Kisah AlQuran.
Seramai 60 pelajar yang menyertai antara acara yang dipertandingkan yang terdiri daripada 30 murid sekolah rendah dan 30 pelajar sekolah menengah. Para peserta diadili oleh 20 juri yang berkaliber dan berpengalaman dalam bidang masing-masing dengan jemaah hakim yang diketuai oleh Ustaz Zainal Abd Wahab dari SMK Mutiara.
Sementara itu, murid SK Pekan Satu Muhammad Audi Syakir Syamsul muncul johan Tilawah Al Quran Sekolah Rendah Lelaki, naib johan Muhammad Fahmi Ajis (SK Bebuloh) dan tempat ketiga Nik Abdul Syakur Nik Iznan Musyahmi (SK Sg Bedaun).
Manakala bagi kategori perempuan, johan disandang Nur Atiqatul A’Aliyah Abdul Kahar (SK Pantai), kedua Damia Nur Afifiah Muhammad Faizal (SK Patau-Patau) dan ketiga Nur Mayunie Edward (SK Pekan Dua). Pemenang bagi acara Hafazan Sekolah Rendah kategori perempuan ialah Ahmad Dinie Bakri (SK Pantai), naib johan Amir Arshad Azmi (SK Pekan Dua) dan tempat ketiga Ahmad Muas Nairolislan dari SK Tg Aru.
Seterusnya, bagi kategori perempuan, johan Syazana Lisa Aziz (SK Pantai), naib johan Qistina Alya Sulaiman (SK Kerupang) dan ketiga Nur Fatihah Wanema Sofiyyah Irwan (SK Pekan Satu). Pertandingan Bercerita Kisah Al-Quran kategori lelaki pula menobatkan peserta dari SK Lubok Temiang Ahmad Naquib Syahmun sebagai johan manakala naib johan Muhammad Amnan Syibri Samsul dari SK Pekan Satu dan tempat ketiga Muhammad Danial Adlan Rizuan dari SK Sungai Bedaun.
Johan bagi Kategori Perempuan pula dimenangi Nursyuhadah Balqis Amir (SK Lubok Temiang), kedua Anastasia Azri (SK Pekan Dua) dan ketiga Nurhazira Alesya Rafezun (SK Sungai Lada). Dalam acara Tilawah AlQuran Sekolah Menengah kategori lelaki pula menyaksikan peserta dari Sekolah Menengah Agama MAIWP AlFaiz Darsono sebagai johan, naib johan Aidil Hadis dari SMK Pantai dan tempat ketiga Muhamad Hafizie Anuar dari SMK Mutiara.
Pelajar SM Sains Labuan Nurliana Suhaimi muncul johan kategori perempuan, kedua Norlaila Hashim dari SMK Taman Perumahan Bedaun dan ketiga Aniya Daryani Anuar dari SMA MAIWP. Seterusnya, juara bagi pertandingan Hafazan Sekolah Menengah kategori lelaki, Mohd Ikmal Sulahhaji (SMA MAIWP), naib juara Mohd Afiq Abd Lamit (SMK Mutiara) dan ketiga Shahrul Faiz Hasnul Hafiz (SM Sains Labuan).
Mohd Sufi Solehin Supri dari SMA MAIWP muncul juara Pertandingan Syarahan Agama Sekolah Menengah kategori lelaki, kedua Rafieq Rafizie Nur Sha dari SMK Labuan dan ketiga Abdul Razzak Abdullah dari SM Sains Labuan. Manakala, Waznah Saiyidah Sidik dari SM Sains Labuan menjuarai kategori perempuan, kedua Siti Hawa Rusdi dari SMA MAIWP dan ketiga Ainzulaikha Zolkapli dari SMK Mutiara.