JPWPL Menganjurkan Majlis Bacaan Yassin Dan Doa Munajat Dengan Jalinan Kerjasama SSN SMK Mutiara Sebagai Tuan Rumah.

Labuan,15 Mac 2022 – Sebagai satu usaha meningkatkan penghayatan Al- Quran, dan memohon pertolongan dari Allah SWT untuk keselamatan serta kemudahan semua calon SPM dan STPM 2021 W.P Labuan, Panitia Pendidikan Islam SSN SMK Mutiara bersama Unit SPI JPWPL telah mengadakan bacaan Yassin dan Doa Munajat warga pendidik secara atas talian. Program ini disertai oleh semua guru di W.P Labuan, warga JPWPL, PIBG dan sebahagian murid-murid SSN SMK Mutiara. Program bacaan Yassin dan Doa Munajat ini, dilaksanakan pada setiap malam dengan jalinan kerjasama sekolah-sekolah di W.P Labuan mengikut giliran yang telah ditetapkan oleh unit SPI JPWPL.

Objektif majlis ini dilaksanakan, sebagai tanda sokongan dan kebersamaan warga pendidik, dalam mendoakan calon-calon peperiksaan SPM dan STPM supaya dapat menjawab soalan peperiksaan dengan mudah, seterusnya beroleh kejayaan yang cemerlang. Di samping itu, warga pendidik turut mendoakan keselamatan, kesihatan dan perlindungan untuk calon SPM dan STPM, serta semua petugas dari sebarang bahaya dan musibah covid- 19.

Majlis Yassin dan Doa Munajat dikelolakan sepenuhnya oleh murid yang dipengerusikan oleh Adik Shamira daripada kelas 2 As Syafie. Manakala bacaan Yassin di ketuai oleh Adik Mohd AkifSyafie bin Hamzah juga dari kelas yang sama. Bacaan doa Munajat dipimpin oleh Adik Ahmad Dinie bin Bakri dari kelas 4 As Syafie. Mereka terdiri daripada murid-murid Kelas Aliran Agama SSN SMK Mutiara. Uniknya, majlis pada malam ini, menampilkan seorang Daie muda berbakat yang menyampaikan tazkirah berkenaan Bulan Ramadhan yang bakal tiba. Beliau ialah Adik Dinca Al Fansia bin Omar Khayyam Ansari dari kelas 3 Juara.

Adik Shamira daripada kelas Aliran Agama 2 As-Syafie, mempengerusikan Majlis Yassin dan Doa Munajat pada malam ini.

Dalam ucapan aluan yang di sampaikan oleh Pengetua SSN SMK Mutiara Encik Ag. Rozlan bin Manan, beliau merakamkan ucapan terima kasih kepada Panitia Pendidikan Islam atas kejayaan program malam ini, kerana berjaya mencungkil bakat murid dan seterusnya beliau berharap agar calon SPM 2021 memperoleh keputusan yang cemerlang.

Pada akhir majlis, Timbalan Pengarah Sektor Pembelajaran Encik Yahya bin Ahmad Puteh menyatakan,  bahawa aspek kemenjadian murid merupakan satu kejayaan yang dapat dilihat kerana kesungguhan ibu bapa dan guru yang hebat, dalam membentuk anak-anak ini. Beliau turut merakamkan ucapan tahniah kepada murid-murid tersebut, ibu bapa dan warga SSN SMK Mutiara atas pelaksanaan majlis pada malam ini.

Program ini disertai oleh warga guru di WP Labuan, warga JPWPL, PIBG dan sebahagian murid-murid Smk Mutiara.

Berita Oleh : SMK Mutiara




Majlis Anugerah Cemerlang SMK Rancha-Rancha Kali Ke-7

Labuan, 4 Mac – SMK Rancha-Rancha telah mengadakan Majlis Anugerah Cemerlang kali ke-7 bertempat di Dewan Terbuka Sekolah tersebut. Majlis ini diadakan untuk memberikan pengiktirafan dan penghargaan kepada murid-murid yang telah menunjukkan prestasi yang cemerlang dalam bidang kokurikulum, hal ehwal murid, kurikulum dan sahsiah.

Majlis anugerah ini diadakan selama tiga hari berturut-turut iaitu bermula pada 16 Februari 2022 hingga 18 Februari dan telah memberikan penghargaan kepada seramai 92 orang murid dari tingkatan 1 hingga tingkatan 5. Majlis ini diadakan selama tiga hari kerana perlu mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) terkini bilangan individu yang dibenarkan berkumpul dalam satu-satu masa.

Menurut Pengetua sekolah tersebut, Ustaz Wan Azman bin Wan Awang, majlis ini diadakan khusus untuk meraikan dan memberi pengiktirafan kepada putera-putera dan puteri-puteri SMK Rancha-Rancha yang telah berusaha gigih demi mencemerlangkan diri dan mengharumkan nama sekolah. Beliau selaku nakhoda bahtera SMK Rancha-Rancha berasa bangga dengan pencapaian para murid dan guru. Beliau turut mengingatkan agar semua murid perlu ada unsur-unsur pembugaran kendiri dan tidak mengajar diri  menilai sesuatu keputusan untuk berubah itu menerusi dimensi yang sempit tetapi semestinya perlu bersikap imaginatif dan praktikal terutamanya dalam suasana pandemik ini.

Ustaz Wan Azman turut mengharapkan agar sentuhan majlis ini dapat membuatkan murid-murid tidak melupakan jasa dan pengorbanan yang telah dicurahkan oleh barisan pendidik mithali SMK Rancha-Rancha. Beliau juga mengucapkan tahniah kepada guru-guru yang telah bertungkus-lumus mendidik dan memberikan tunjuk ajar sehingga mampu melahirkan kemenjadian murid di SMK Rancha-Rancha sepanjang sesi persekolahan 2021/2022. Namun demikian, pengetua turut mengatakan bahawa perjuangan guru-guru dan murid tidak berakhir dalam majlis ini kerana mereka akan menempuh medan peperangan yang penting pada bulan Mac nanti. Pengetua turut berpesan agar mempersiap segala kelengkapan serta disulami dengan doa kepada yang maha Esa agar dipermudahkan dalam menjawab peperiksaan nanti.

Majlis ini telah dirasmikan oleh Pegawai Angkat Sekolah, Ustaz Abdul Kahar bin Abdul Rahim, Penolong Pengarah Pusat Kokurikulum, Sektor Pembangunan Murid, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan. Dalam ucapan perasmian beliau, beliau menyatakan bahawa pada hari ini, kita bersama-sama meraikan serta mengucapkan tahniah kepada pelajar-pelajar dan guru-guru yang telah menunjukkan ketabahan dan kecekalan untuk terus bersaing dan meningkatkan prestasi cemerlang walaupun proses pembelajaran terganggu kerana berdepan dengan penularan pandemik COVID-19. Beliau yakin banyak perkara yang boleh dipelajari dan ditauladani oleh para pelajar  merangkumi semua aspek dan mendoakan usaha berterusan murid-murid dan guru-guru akan memberi manfaat kepada semua pihak.

Majlis ini telah dirasmikan oleh Ustaz Abdul Kahar bin Abdul Rahim, Pegawai Angkat Sekolah SMK Rancha-Rancha

Dalam majlis ini adik Nur Suhaila binti Omar Ali, murid tingkatan 5 diangkat sebagai penerima Anugerah Tokoh Pelajar dan antara calon pelajar cemerlang SPM 2021. Manakala adik Nur Qyairul Syifaa Binti Ryzisyaini yang juga merupakan murid tingkatan 5 telah menerima Anugerah Tokoh Kokurikulum untuk kali ini. Seramai 92 orang murid dan 20 orang guru telah menerima anugerah dan penghargaan dalam majlis yang berlangsung selama tiga hari ini. Seramai 9 orang guru telah diberikan penghargaan daripada pihak sekolah dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) atas pencapaian 100% dan peningkatan GPMP mata pelajaran dalam SPM 2020 sebelum ini.

Cikgu Sapri bin Idris telah diangkat sebagai penerima Anugerah Suri Teladan kerana telah menunjukkan pencapaian yang cemerlang sepanjang tahun 2021 antaranya telah berjaya membawa kemenangan Naib Johan Pusat Sumber Kebangsaan Tahun 2021, Johan Pusat Sumber anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka Sabah 2021 serta Tokoh Inovasi W.P.Labuan 2021. SMK Rancha-Rancha turut memberikan Penghargaan Komuniti Rakan Strategi kepada Pusat Pungutan Zakat Labuan kerana banyak terlibat dalam program-program yang dianjurkan oleh sekolah sepanjang tahun 2021.

Cikgu Sapri bin Idris telah menerima Anugerah Guru Suri Teladan yang telah menunjukkan pencapaian cemerlang dalam peringkat negeri dan kebangsaan.
Ustaz Abdul Kahar dan barisan pentadbir sekolah bergambar bersama-sama dengan guru-guru dan komuniti penerima anugerah dalam majlis tersebut
Ustaz Abdul Kahar dan barisan pentadbir sekolah bergambar bersama-sama dengan penerima anugerah yang merupakan barisan murid harapan cemerlang SPM 2021



Kedai Jujur SPRM SMKRR Mendapat Sambutan Mengalakkan

Labuan,4 Mac – Tarikh 14 JANUARI 2022 adalah merupakan pembukaan rasmi kedai Jujur SMK RAncha-Rancha W.P Labuan . Kedai jujur ini adalah program kerjasama Antara Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Kedai jujur SPRM adalah merupakan kedai/kiosk/sudut yang beroperasi pada waktu persekolahan dan menjual barangan bersifat “fast moving item”  dan ianya bukanlah berorieantasikan keuntungan semata-mata tetapi lebih kepada memupuk nilai – nilai  jujur dan amanah dalam diri seseorang idividu atau boleh dikenali juga perniagaan “experiential base leaning”.

Nilai ini lah yang cuba dipupuk oleh SPRM dan KPM ibarat pepatah “melentur buluh biarlah dari rebungnya”  Di dalam konteks ini murid-murid ibarat rebung yang perlu dibentuk mengikut acuan yang betul, agar murid-murid ini membesar dalam budaya beretika, menjadi indivdu yang berkeperibadian mulia. Oleh itu, pelaksanaan kedai jujur SPRM menepati usaha-usaha Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan SPRM dalam mendidik warga sekolah untuk memahami dan mengamalkan nilai murni dan amalan terpuji seperti amanah, jujur dn tidak mengambil hak org lain.

Kedai jujur SMKRR telah diselia oleh dua orang guru iaitu cikgu Jasmini Binti Daud dan Cikgu Rosyidi Bin Bakri. Kedai ini beroperasi setiap hari di waktu persekolahan. Kedai Jujur SMKRR juga dijaga dan di urus oleh 3 orang murid sebagai pengurus kedai dan penolong pengurus kedai. Mereka bertugas menyusun atur jualan harian dan mencatat hasil jualan setiap hari.  Semua warga SMKRR adalah dialu-alukan membeli di kedai jujur, di mana ianya sangat mesra pengguna. Pengguna atau warga SMKRR boleh membeli sendiri tanpa menunggu penjual. Pembeli boleh membayar barangan yang diambil hanya dengan meletakkan duit di tabung duit yang telah disediakan.

Pengetua SMKRR Wan Azman bin Wan Awang berkata, projek kedai jujur ini merupakan satu program yang sangat baik dan SMK Rancha-Rancha bertuah kerana menjadi pilihan SPRM dan KPM untuk menjalankan program ini. Selain dari memudahkan aktiviti jual beli ianya sangat baik dalam memupuk sifat jujur dan amanah pelajar-pelajar sekolah ini. Kedai Jujur SPRM ini juga di galakkan mengamal dan menghayati elemen kebersihan, kesihatan dan keselamatan (3K)

Pengetua juga mengucapkan terimakasih kepada pengurus kedai Jujur cikgu Jasmini dan cikgu Rosyidi atas pelaksanaan Kedai jujur dengan baik dan teratur. Di harap kedai jujur SMKRR akan terus bertahan sampai bila-bila dan dapat mendidik hati pelajar SMKRR bersikap jujur dan amanah yang merupakan pendidikan di luar bilik darjah yang sangat baik djadikan sebagai amalan di sekolah.

Selain itu kedai jujur ini juga mengamalkan prinsip 3K , Penjarakan sosial juga ditekankan kerana membeli di kedai jujur tidak perlu bersesak, pelajar boleh datang membeli secara bergilir pada bila-bila masa di hari persekolahan. Hanya di tutup setelah sesi persekolahan tamat setiap hari.  Persekitaran sekolah yang mengamalkan prinsip 3K dapat melahirkan murid yang seimbang dari aspek Jasmani , Emosi , rohani dan intelek yang di tuntut dalan prinsip pendidikan seumur hidup.

Menurut En Rosyidi Bte Bakri, setakat ini kedai jujur SMKRR sangat mendapat sambutan hangat. Setiap item yang dijual sememangnya cepat habis kerana barangan yang di jual adalah merupakan barangan “first moving” sehingga Feb 2020, modal terpakai hanyalah rm300, menrujuk kepada laporan jualan harian kedai jujur telah balik modal dan telah dapat menjana sedikit keuntungan.

Sambutan hangat dari warga sekolah terhadap kedai jujur sememangnya menjadi pemakin kepada kelangsungan kedai jujur. Kedai Jujur SMKRR akan terus beroperasi sepanjang persekolahan dengan menjual barangan seperti air mineral, alat tulis dan sedikit makanan ringan.

Di harap kedai JUJUR ini akan terus beroperasi dan terus menjadi pilihan pelajar untuk mendapatkan barangan yang diperlukan dan pihak penyelaras bercadang untuk memuka satu lagi cawangan kedai jujur yang akan di buka di aras 2 bangunan Sekolah, ini akan lebih menarik perhatian warga SMKRR menyokong dan memanfaatkan kedai jujur. Semoga kedai Jujur SMKRR akan terus bertahan dan menjadi sumber pendidikan luar kelas yang sangat bermanfaat kepada warga SMKRR.




Majlis Bacaan Yasin dan Solat Hajat Sempena Peperiksaan SPM 2021 SMK TP Bedaun

LABUAN – Panitia Pendidikan Islam SMK Taman Perumahan Bedaun (SMKTPB) berjaya menganjurkan Majlis Bacaan Yasin dan solat hajat sempena peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang bakal tiba pada 02 Mac 2022 . Majlis yang berlangsung secara dalam talian pada 24 Februari 2022, dimulakan dengan bacaan Yasin selepas solat Maghrib di kediaman masing-masing. Turut hadir bersama dalam program ini ialah guru-guru , ibu bapa dan juga murid-murid calon SPM 2021 yang beragama Islam. Pn. Norazita Binti Md Nor @ Shamsuri, Pengetua SMKTPB turut hadir bersama dengan barisan pentadbir SMKTPB. Untuk makluman, calon SPM sekolah ini ialah seramai 91 orang.

Menurut moderator, Ustaz Mohd Daud bin Abdul Rahman, tujuan utama program ini adalah untuk mendoakan kesihatan dan keselamatan semua warga pendidik, petugas di barisan hadapan, murid- murid, keluarga dan masyarakat agar terhindar daripada ditimpa musibah wabak Covid-19. Program ini juga bertujuan untuk memohon kepada Allah SWT agar mereka yang dijangkiti wabak Covid-19 akan kembali sembuh dengan segera, di samping mendoakan kejayaan calon SPM dalam peperiksaan yang bakal tiba. Adalah diharapkan agar semua urusan anak-anak calon SPM dipermudahkan, diberikan kesihatan yang berpanjangan oleh Allah SWT dan sentiasa bersemangat untuk menghadapi saat-saat perjuangan kelak.

Selesai bacaan Yasin yang dipimpin oleh Ustaz Mohd Azman bin Abd. Rahim dan bacaan doa yang dipimpin oleh Ustaz Erzadiansyah bin Uzad, majlis diteruskan dengan ucapan daripada Pn. Norazita, Pengetua SMKTPB. Dalam ucapannya, beliau merakamkan ucapan terima kasih atas kehadiran semua secara dalam talian. Bagi Pn. Norazita, majlis ini merupakan program kali pertama beliau bertemu dengan ibu bapa dan juga penjaga kerana beliau baharu memulakan tugas di SMKTPB sebagai Pengetua menggantikan En. Ag Rozlan mantan Pengetua sebelum ini. Beliau amat berharap agar ibu bapa dan penjaga dapat memberikan kerjasama dan komitmen yang baik kepada beliau dan juga pihak sekolah dalam memastikan kecemerlangan akademik, sahsiah dan kokurikulum di sekolah ini dapat terus direalisasikan.

Dalam ucapannya juga, Pn. Norazita mengharapkan agar ibu bapa sentiasa dapat menyuntik semangat kepada anak-anak calon SPM dan sentiasa mendoakan anak-anak agar dapat mencipta kejayaan dalam akademik dan sekali gus dapat mengekalkan pencapaian 100 peratus murid layak mendapat sijil seperti tahun- tahun sebelum ini. Beliau menjelaskan dalam kepimpinan Pengetua terdahulu, SMKTPB telah mencipta sejarah dalam keputusan peperiksaan SPM dengan pencapaian 100 peratus murid lulus mata pelajaran Bahasa Melayu dan Sejarah yang melayakkan semua calon memperoleh sijil SPM. Beliau amat berharap agar calon SPM 2021 dapat meneruskan kejayaan ini demi masa hadapan masing-masing.

Sebelum mengakhiri ucapan, Pn. Norazita berharap agar calon SPM 2021 sentiasa mempunyai daya saing yang positif sesama rakan untuk mencapai kejayaan. Unsur pembugaran kendiri perlu ada dalam jiwa setiap murid agar dapat berusaha dengan sendiri dalam jangka masa yang terdekat ini. Dalam jangka masa yang berbaki beberapa hari lagi, seharusnya murid dapat memberikan fokus yang sepenuhnya terhadap apa-apa sahaja yang disampaikan oleh guru. Usaha daripada murid sendiri amatlah penting kerana tiada jalan pintas untuk mencapai kejayaan dalam hidup. Pada akhir ucapannya, beliau berharap agar semua calon sentiasa menjaga kesihatan diri dan mendoakan agar semua calon memperoleh kejayaan yang cemerlang dalam SPM 2021.

Majlis diakhiri dengan solat Isyak dan solat Hajat di rumah masing-masing. TAMAT.

Berita Oleh : SMK TP Bedaun




Majlis Mohon Restu Ilmu Calon SPM 2021 SMK Pantai IB World School

Labuan, 25 Feb – Panitia Pendidikan Islam SMK Pantai IB World School Wilayah Persekutuan Labuan telah mengadakan Majlis Mohon Restu Ilmu untuk calon-calon SPM 2021 dalam situasi norma baharu yang diadakan secara dalam talian melalui aplikasi Google Meet dan Youtube yang disertai oleh para ibu bapa dan warga sekolah. Semua calon SPM  menyertai majlis ini di dalam kelas manakala barisan pentadbir, AJK terlibat dan guru-guru yang mengajar tingkatan 5 berada di dalam bilik mesyuarat.

Objektif majlis tersebut adalah untuk menyantuni ibu bapa serta guru-guru dengan memohon doa, kemaafan dan memberi penghargaan kepada mereka yang telah menunjukkan sokongan dan kasih sayang, menjadi pendorong dan tenaga pengajar kepada calon-calon SPM 2021 sepanjang mereka belajar di sekolah ini.

Terdahulu majlis pada pagi Jumaat itu dimulai dengan bacaan Surah al Kahfi dan Yassin yang diketuai oleh murid  kelas 5 Thinker iaitu saudara Aidil bin Hadis dan Mohd Arief Daniel bin Mohammad Azlan. Ini disusuli pula dengan bacaan doa yang diketuai oleh Muhammad Mukhriz bin Junait dari kelas 5 Caring. Ucapan wakil murid pula diwakili oleh  Muhd Izam Mushadat bin Gasfar dari kelas 5 Inquirer.

Muhd Izam Mushadat bin Gasfar mewakili calon-calon SPM 2021 menyampaikan ucapan penghargaan & terima kasih kepada ibu bapa dan semua guru

Dalam majlis itu juga, doa memohon keberkatan kepada Ilahi telah dibimbing oleh Ustaz Muhammad Firdaus Shaifullah bin Mohd Abdul Karim. Amanat untuk calon-calon SPM 2021 pula telah disampaikan oleh Puan Haslindah Muawan (wakil Bidang Bahasa), Puan Jennifer bt Alip @ Janneffar (Ketua Panitia Sejarah dan wakil Bidang Kemanusiaan), Encik Abdullah bin Ali selaku Ketua Guru Bidang Teknik & Vokasional dan Encik Farid Arifin bin Md Arifin mewakili Bidang Sains & Matematik.

YDP PIBG Dr. Rosnelizaide bin Ramely selaku wakil ibu bapa turut menyampaikan ucapan berupa nasihat ringkas dan doa kepada calon-calon SPM 2021 serta ucapan terima kasih atas segala usaha guru-guru & pihak sekolah selama ini bagi membantu persediaan calon-calon ini untuk menduduki SPM kelak.

Semua calon SPM 2021 mengikuti Majlis Mohon Restu Ilmu di dalam kelas.

Pengetuanya, Encik Ismail bin Abdullah telah menyampaikan amanat kepada semua calon SPM 2021 agar menggunakan peluang pada majlis tersebut untuk memohon doa restu & meminta maaf daripada semua guru dan ibu bapa masing-masing. Beliau turut membacakan doa yang mengharapkan penghargaan  dan keampunan kepada ibu bapa dan guru-guru serta kejayaan kepada semua calon SPM 2021 di sekolah itu. Beliau juga turut mengucapkan rasa terima kasih dan penghargaan yang tidak terhingga kepada semua guru yang akan berpindah pada tahun ini.

Majlis itu telah diakhiri dengan penyampaian sijil penghargaan kepada guru-guru yang akan berpindah dan penyampaian cenderahati kepada wakil calon-calon SPM 2021. Semoga dengan penganjuran majlis seumpama ini akan dapat memberi ketenangan dan motivasi kepada calon-calon SPM 2021, serta sekali gus menaikkan semangat kepada mereka untuk menghadapi peperiksaan nanti.

SELAMAT MENGHADAPI PEPERIKSAAN KEPADA SEMUA CALON SPM 2021.

IKHLAS DARIPADA WARGA SMK PANTAI IB World School WP LABUAN.

Berita disediakan oleh : Puan Asfalela binti Mohd Zain

Pengetua SMK Pantai IB World School, Encik Ismail bin Abdullah
berucap dan membacakan doa untuk calon-calon SPM 2021



Guru Labuan Terbit Dalam Buku LaRIS

Labuan, 25 Februari 2022 – Persatuan Penyelidikan, Inovasi, dan Kreativiti Labuan atau LaRIS (Labuan Research, Innovation and Creativity Society) berjaya menerbitkan buku kedua bertajuk “Bicara Ilmu, Inovasi, dan Kreativiti: Kompilasi Pembentangan CAIELTS”.

Pengerusi LaRIS selaku Ketua Editor, Dr. Hyginus Lester Junior Lee berkata, buku tersebut menghimpunkan penulisan pembentangan yang telah dibuat dalam CAIELTS (Creativity and Innovation Exhibition & Language Teaching Seminar), sebuah program antarabangsa yang diadakan setiap tahun.

Buku terbitan LaRIS kali ini mengandungi tiga bahagian iaitu kajian, inovasi, dan kreativiti.

Penulisan kajian telah disumbangkan oleh mahasiswa Pangasinan State University di Alaminos City, Filipina bertajuk “Effectiveness of code switching in teaching English language in public junior high schools in Alaminos City”. Panitia Bahasa Inggeris, SMK Mutiara Wilayah Persekutuan Labuan pula menerbitkan kajian tinjauan “Motivation in English language learning among school leavers: a survey”. Penulisan oleh panitia tersebut merupakan kerjasama Noor Hasimah Mohd Ayub, Debbie Lawrence, Onnia Ahngol, dan Dr. Hyginus Lester Junior Lee.

Bahagian inovasi menghimpunkan laporan dan perkongsian inovasi daripada guru-guru dari negeri Pahang, Perak, dan Labuan.

Turut dimuatkan dalam buku ini ialah penulisan inovasi berkumpulan Timbalan Pengarah Pendidikan (Sektor Pembelajaran) Jabatan Pendidikan WP Labuan, Yahya Ahmad Puteh bersama Junaidah Baharuddin dan Roziah Abdul Rahman bertajuk “Sulaman Bahasa” untuk memudahkan murid membuat pendahuluan dalam membina karangan Bahasa Melayu.

Guru SMK Mutiara, Sylvianie William dan Dr. Hyginus Lester Junior Lee telah berkolaboratif menghasilkan penulisan inovasi bertajuk “Kad LoHEx” untuk meningkatkan kemahiran berfikir dalam kalangan murid. Penulisan inovasi bahasa Melayu bertajuk “Roda Bahasa” dikongsi oleh guru bahasa Melayu SMK Mutiara, Junaidah Baharuddin, Norsuziana Amnor, Shafiq Abdul Aziz, dan Mohd Yusup bin Mohammad.

Penulisan kreativiti disumbangkan sendiri oleh Dr. Hyginus Lester Junior Lee, SISC+ Bahasa, Sektor Pembelajaran, tentang penggunaan One Page Data-Driven Projection yang membantu Ketua-ketua Panitia Bahasa Inggeris di Labuan memantau pencapaian dan perkembangan pentaksiran bilik darjah dan gred peperiksaan di sekolah masing-masing.

Buku Bicara Ilmu, Inovasi, dan Kreativiti: Kompilasi Pembentangan CAIELTS ini telah dilancarkan secara maya dalam Youtube oleh Pengarah Pendidikan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, Yusup Haji Mohamad pada 7 Februari 2022.

Dalam ucapannya, Yusup mengucapkan tahniah kepada guru-guru kerana bergiat aktif dalam kajian dan inovasi.

Beliau juga percaya bahawa penyertaan guru dalam aktiviti seumpama ini memberi peluang dan ruang kepada mereka untuk berkongsi idea dan kepakaran dengan dunia luar dan sekaligus membuktikan pendidik di Malaysia bersifat kompetitif dan mampu mengetengahkan kualiti amalan baik di peringkat antarabangsa.

Dr. Hyginus merakamkan penghargaan kepada Jabatan Pendidikan Labuan kerana sentiasa menyokong usaha LaRIS dalam membantu membangunkan profesionalisma guru di Labuan.

Beliau juga menggalakkan lebih ramai guru untuk menyertai the 7th Creativity and Innovation Exhibition & Language Teaching Seminar yang akan diadakan pada Ogos 2022.

Pelancaran buku Bicara Ilmu, Inovasi, dan Kreativiti: Kompilasi Pembentangan CAIELTS boleh diakses melalui https://youtu.be/NQADFrbDc3g




Hari Radio Sedunia Bagi Tahun 2022

14 Februari 2022, LABUAN – “Radio dan Kepercayaan” merupakan tema Hari Radio Sedunia bagi tahun 2022 dimana hari tersebut disambut setiap tahun pada tanggal 13 Februari. Hari Radio ini disambut oleh penyiar radio diseluruh dunia dan tidak turut ketinggalan Ranchas’fm 107.5 Mhz juga turut bersiaran secara virtual langsung melalui platform Facebook. Sebagai radio rasmi SMK Rancha-Rancha , pada tahun ini sambutan Hari Radio Sedunia peringkat SMK Rancha-Rancha telah mengundang tetamu istimewa dari pelbagai latar belakang.

Dengan menampilkan ramai tetamu undangan dari Semenanjung Malaysia dan Wilayah Perekutuan Labuan, rancangan “Radio Merentas Zaman” edisi khas bersempena Hari Radio Sedunia buat tahun ini diterbitkan bagi berkongsi dan mendapatkan pendangan daripada generasi terdahulu dan anak muda berkenaan dengan penyiaran radio. Slot pertama “Frekuensi Nostalgia” membawakan perongsian yang menarik berkenaan dengan pengaplikasian teknologi radio pada zaman dahulu bersama dengan tetamu undangan iaitu Tn. Mazidi Rosli (Pegawai Bomba) dan Cik Zaharah Mat Jali (Mantan Pendidik).

Peredaran masa menjadikan komunikasi media khususnya radio semakin berkembang seperti apa yang dapat kita lihat seakrang ini penyiaran radio bukan hanya tertumpu kepada pancaran siaran radio, malah penyiaran radio sudah dapat diakses melalui internet.

“Secara jujurnya, saya masih lagi menyimpan radio yang menggunakan antena yang menjadi barangan antik di rumah saya dan kini saya hanya menggunakan telefon pintar sahaja untuk mendengar radio kerana lebih mudah untuk diakses dan mengikut peredaran zaman yang semakin maju ini yang mana kebanyakan benda didunia ini berada dihujung jari sahaja”. –menurut Tn. Mazidi Rosli ketika ditemu bual oleh penyampai DJ Raziq dalam slot yang pertama.

Selain dari memberikan hiburan kepada pendengar, penyiaran radio juga sangat berperanan bagi menyebarkan dan menyampaikan maklumat yang berguna dan sahih. Malah penyiaran radio ini sudah semakin berkembang dengan wujudnya stesen radio khusus seperti stesen radio pendidikan yang menyampaikan maklumat yang berguna kepada pendengar.

“Radio merupakan satu pendekatan yang baik, radio ini sangat berguna dan sangat efektif kerana kewujudan radio dari zaman dahulu lagi menjadi satu sumber bagi rakyat terutama yang mendengarnya. Jadi radio ini merupakan saluran baik bagi mendapatkan maklumat yang tepat dan sahih kerana radio ini disiarkan. Sebelum kandungan radio ini disiarkan, pastinya pihak penyiaran mendapatkan kepastian dan menapis maklumat yang berkaitan untuk memastikan samada ianya sahih ataupun tidak”. –ujar Mukmin Nusril yang merupakan Aktivis Masyarakat yang aktif di Selangor.

Turut tidak ketinggalan dua orang Pelajar SMK Rancha-Rancha yang turut serta dalam perkongsian sempena Hari Radio Sedunia tahun ini dalam slot kedua iaitu “Radio Era Kini” yang juga ditemu ramah oleh penyampai DJ Raziq dan DJ Nasrul di Ranchas’fm secara virtual. Pendekatan penyiaran radio kepada generasi muda perlu diterapkan lagi bagi memastikan penggunaan radio pada masa kini tidak ditelan zaman. Lebih banyak manfaat daripada mudarat apabila menjadikan radio sebagai platform penyiaran utama bagi seorang generasi baharu.

Tetamu untuk segmen Radio Era Kini

Pengetua Sekolah Menengah Rancha-Rancha iaitu Ustaz Wan Azman bin Wan Awang berasa gembira atas program yang dilaksanakan oleh Pusat Sumber DSDN. Beliau melihat program tersebut bukan sahaja berjaya dari segi perancangan, namun  apa yang lebih besar adalah kemenjadian pelajar dari aspek modal insan dengan penerapan nilai kerjasama, kemahiran komunikasi dan teknologi.

Pengetua SMK Rancha Rancha Ustaz Wan Azman bin Wan Awang

“Kami ingin melahirkan pelajar yang berjaya mengharungi cabaran era abad 21, dengan menekankan aspek kemenjadian pelajar bertaraf dunia. Pelajar abad 21 perlu mahir menguasai aspek teknologi dan kemahiran berkomunikasi ” ujar Cikgu Sapri Idris selaku pengurus Stesen Radio Ranchas’ FM. Setelah tergendala selama 2 tahun sejak pandemic covid 19 melanda seluruh dunia, tahun ini SMK Rancha-Rancha merancang program atas talian dengan penglibatan komuniti dan pelajar seluruh Malaysia. Kami ingin menjadi contoh terbaik di Malaysia untuk sekolah penggerak digital.

Guru Perpustakaan dan Media SMK Rancha Rancha, Cikgu Sapri Idris



Mengimarahkan Kekuatan Rohani Murid : SMK Mutiara Anjur Program Solat Hajat Dan Restu Ilmu Peringkat Sekolah Sebagai Persediaan Terakhir Calon SPM 2021

14 Februari 2022, Labuan Sebagai satu usaha untuk menyediakan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) daripada segi emosi, rohani dan intelektual sebelum menduduki peperiksaan sebenar yang akan bermula pada 2 Mac 2022,  Program Solat Hajat dan Restu Ilmu telah diadakan bertempat di Dataran Perhimpunan SMK Mutiara. Program ini diadakan mengikut norma baharu ekoran pandemik Covid-19 yang melanda negara tanpa dihadiri oleh ibu bapa dan penjaga murid.

Program yang telah dianjurkan oleh Unit Bimbingan dan Kaunseling (UBK) bersama Panitia Pendidikan Islam SMK Mutiara ini bermatlamat melahirkan murid yang berbudi luhur, berketrampilan, berdaya saing dan cemerlang dalam membentuk sahsiah peribadi yang seimbang antara akhlak dan pencapaian akademik. Memupuk sikap hormat-menghormati, nilai budi serta sikap menghargai ibu bapa dan guru secara tidak langsung dapat menyemai perasaan menghargai, bersyukur dan berterima kasih murid kepada ibu bapa, guru dan pihak sekolah.

Hadir selaku tetamu jemputan dalam majlis ini ialah En. Yahya bin Ahmad Puteh, Timbalan Pengarah Sektor Pembelajaran Jabatan Pendidikan WP Labuan dan Ustaz Sahrom bin Samlan, Penolong Pengarah Unit Pembangunan Adab dan Nilai Jabatan Pendidikan WP Labuan.

Majlis dimulakan dengan solat sunat hajat berjemaah yang dipimpin oleh adik Muhammad Nur Iman bin Afandi daripada tingkatan 5 Ibnu Sina (IBS). Acara diteruskan lagi dengan bacaan doa-doa yang diketuai oleh adik Muhammad Mifzal bin Mohd Rapi yang juga daripada tingkatan 5 Ibnu Sina (IBS). Doa yang dipanjatkan ini dengan penuh pengharapan agar diberikan kemudahan, ketenangan, kelancaran semasa peperiksaan dan memperoleh keputusan yang cemerlang kepada semua calon yang bakal menempuhi peperiksaan SPM yang bakal dihadapi tidak lama lagi.

Solat Sunat Hajat secara berjemaah yang diimamkan oleh wakil murid Tingkatan 5 iaitu adik Muhammad Nur Iman bin Afandi manakala bacaan doa pula telah dipimpin oleh adik Muhammad Mifzal bin Mohd Rapi.

“Persiapan bagi menghadapi peperiksaan memerlukan persiapan yang rapi. Fokus kepada persediaan anda untuk berjuang mencapai kecemerlangan dan kejayaan demi menyambung keiltizaman sekolah dan harapan keluarga. Orang yang berjaya akan menunjukkan hasil namun orang yang gagal akan memberikan alasan”, ujar Encik Yahya bin Ahmad Puteh dalam intipati ucapan khas motivasi terakhir daripada Timbalan Pengarah Sektor Pembelajaran yang mewakili Encik Yusup bin Hj Mohamad, Pengarah Jabatan Pendidikan WP Labuan . Tambah beliau lagi, peperiksaan SPM ini adalah pintu utama bagi mengukur kefahaman, penguasaan, ingatan, kemahiran, kebolehan serta penghayatan murid terhadapa sesuatu subjek yang telah dipelajari. Di samping berusaha bersungguh-sungguh semasa menuntut ilmu, seiring dengan doa dan amalan,  kita seharusnya menyerahkan segala ketentuan kepada Yang Maha Esa ujar beliau lagi.

Ucapan terima kasih dan tahniah kepada semua guru SMK Mutiara turut diucapkan diatas segala kerja keras warga guru yang tidak pernah lelah dalam membantu meningkatkan pencapaian murid. “ Saya yakin guru-guru yang hebat dan berpengalaman yang berada di SMK Mutiara ini menjadi nadi penggerak dalam mencipta sebuah sejarah kejayaan sekolah”, kata Encik Yahya bin Ahmad Puteh dalam suntikan semangat dan motivasi ini.

“Selain itu, saya juga ingin menekankan agar semua murid yang akan menduduki peperiksaan SPM untuk kekal patuh dan terus membudayakan kepentingan SOP di sekolah di dalam tempoh yang mencabar ini bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku yang akan menghalang murid untuk menduduki peperiksaan ini nanti”, tambah beliau lagi.

“Hubungan silaturrahim di antara warga guru dan murid dapat dieratkan diantara  khususnya sewaktu program dijalankan. Semoga majlis yang mulia ini memperoleh keberkatan menjelang peperiksaan yang bakal tiba. Tahniah kepada Unit Bimbingan dan Kaunseling bersama-sama Panitia Pendidikan Islam dan kesemua pihak iaitu murid, guru serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) yang telah terlibat dalam menjayakan program kerohanian seperti ini”, kata Pengetua SMK Mutiara, Encik Ag. Rozlan bin Manan. Tambahnya lagi, selain daripada usaha yang telah dilaksanakan oleh pihak sekolah ini, doa yang dipohon hendaklah seiring dengan usaha murid itu sendiri daripada aspek persediaan intelektual.

Majlis diteruskan dengan bacaan ikrar pelajar yang dipimpin oleh adik Muhammad Nurasliman bin Asmauwi daripada tingkatan 5 Hibiscus (HBS).  Bacaan ikrar yang penuh iltizam ini dapat membangkitkan semangat murid dalam menjaga nama baik dan imej sekolah serta berusaha mencapai kejayaan cemerlang. Majlis diakhiri dengan penyampaian sijil penghargaan dan hadiah kepada kesemua murid yang hadir dalam majlis ini yang telah disumbangkan oleh Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Mutiara.  Diharapkan semua calon yang bakal menempuhi peperiksaan SPM ini diberikan kemudahan dan memperoleh keputusan yang cemerlang.

Bacaan ikrar oleh kesemua murid Tingkatan 5 yang telah dipimpin oleh wakil murid iaitu adik Muhammad Nurasliman bin Asmauwi sebagai perjanjian dan semangat dalam persediaan menghadapi peperiksaan SPM yang akan tiba.
En. Yahya bin Ahmad Puteh, selaku Timbalan Pengarah Sektor Pembelajaran Jabatan Pendidikan WP Labuan turut bersama-sama mengagihkan hadiah dan cenderahati yang ditaja oleh PIBG SMK Mutiara kepada semua murid Tingkatan 5 yang menghadiri majlis ini dengan mematuhi SOP yang telah ditetapkan.
Majlis Solat Hajat dan Restu Ilmu yang telah dilaksanakan masih mengekalkan Prosedur Operasi Standard (SOP) dengan melaksanakan solat hajat secara berjemaah dengan berjarak .



Warga SMExcel Berjaya Tawan Puncak Kinabalu

Labuan, 7 Februari 2022 – Seramai 20 orang warga SM Sains Labuan (SMSL)  berjaya menawan Gunung Kinabalu pada 3 hingga 4 Februari 2022. “Alhamdulillah, semua pendaki berjaya sampai ke puncak Gunung Kinabalu. Pendakian ini tidak mudah namun sudah pasti akan menjadi kenangan untuk kami sampai bila-bila. Kata Rohana Yasin selaku ketua delegasi SMSL yang turut disertai oleh guru-guru, staf dan juga ibu bapa sebagai wakil PIBG. Kumpulan pendaki SMSL ini juga dikenali sebagai Geng Hiking Excel (GHE).

Menurut  Rohana, program pendakian ini bertujuan untuk merapatkan lagi hubungan antara warga SMSL dan dalam masa yang sama program ini memberi peluang kepada pendaki yang terlibat untuk melihat keindahan Gunung Kinabalu.

Berkongsi pengalamannya, Rohana berkata, mereka telah menjalani latihan selama sebulan sebelum mendaki puncak tertinggi di Malaysia dan Asia Tenggara tersebut.  Program ini telah dirancang sejak tahun 2019 lagi namun hanya dapat dilaksanakan pada tahun ini akibat pandemik Covid-19 yang telah melanda seluruh dunia.

Bercerita lanjut mengenai perjalanan sepanjang pendakian itu, Rohana berkata, mereka telah memulakan pendakian dari Timpohon pada pagi Khamis, 3 Februari dan  tiba di Panalaban pada jam 4 petang . Kemudian mereka memulakan pendakian menuju puncak Gunung Kinabalu seawal jam 2:00 pagi dan tiba di puncak pada jam 6:00 hingga 7:00 pagi pada Jumaat, 4 Februari 2022.

Katanya, antara cabaran yang dilalui oleh mereka adalah mengekalkan stamina berikutan oksigen yang semakin berkurangan ketika berada pada aras tinggi, cuaca hujan menyebabkan mereka terpaksa melalui jalan licin ketika menuruni Gunung Kinabalu dan pelbagai cabaran lain. Namun semua cabaran dan halangan tersebut dapat diatasi dengan adanya sokongan daripada rakan-rakan dan juga pendaki yang lain.




‘Kouryukai’ JPWPL Mengeratkan Jaringan Antarabangsa Bersama Jepun

Labuan, 18 Januari : Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan telah berjaya menganjurkanKouryukai’ , program pengantarabangsaan bersama University of Toyo, Tokyo pada Isnin lalu.

Kouryukai merupakan ungkapan kata bahasa Jepun bermaksud sebagai satu pertemuan atau berhimpun untuk bertukar-tukar pandangan, idea sama ada dari segi pendidikan, budaya dan sebagainya di antara dua kumpulan orang yang mempunyai perbezaan negara, bangsa atau budaya serta bertujuan berkenal-kenal mesra.

Program anjuran Sektor Perancangan dilaksanakan secara dalam talian melibatkan 75 orang peserta.

Penyelaras program, Puan Faridah Amit berkata seramai 28 pelajar University of Toyo dan 47 murid-murid sekolah menengah di Labuan terlibat di dalam program yang memasuki siri ke-3 sejak tahun 2021.

“Objektif utama program ini adalah untuk menyediakan peluang mengenali budaya antara dua negara kepada murid-murid di Labuan, selain memberi peluang murid-murid untuk berinteraksi walaupun berlainan bahasa” kata beliau.

Dalam sesi kali ini, murid-murid Labuan berpeluang mengenali beberapa aspek di dalam kehidupan remaja di negara matahari terbit. Antaranya ialah aktiviti-aktiviti pembelajaran, rekreasi, makanan dan permainan tradisi seperti Daruma-san ga Koronda.  

Adik Mohd Aidil bin Farhan dari SMK Labuan melahirkan rasa bertuah kerana terpilih menyertai program ini.

“Saya dapat mengenali budaya Jepun dengan lebih dekat. Kebetulan pula saya memang meminati majalah Mangas dan karya kartun Jepun yang begitu popular di Malaysia”

Program turut dihadiri oleh Timbalan Pengarah Sektor Perancangan, Encik Mohd Nizam bin Yasim. Dalam ucapan penutupan program, beliau berharap agar program jaringan antarabangsa ini dapat diteruskan walaupun situasi pandemik Covid-19 masih melanda dunia.

Program telah dikendalikan oleh Cikgu Cladius Upin Lonsiong Jr. dari SMK Rancha-Rancha sebagai moderator.

Berita Oleh : Sektor Perancangan

Antara makanan ringan di Jepun
Antara permainan tradisional di Jepun