MBPK PPKI SSN SMK MUTIARA MENANG EXCELLENCE ETOOL PRESENTATION AWARD DALAM PROGRAM GITC 2023

Disediakan oleh:  Nurazimah Binti Anuar

Peserta murid berkeperluan khas (MBPK) Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) Sekolah Sukan Negeri (SSN) SMK Mutiara, adik Shirlene Goh Xue Lin telah berjaya memenangi Excellence eTool Presentation Award ketika mewakili Malaysia dalam Global IT Challenge for Youth with Disabilities (GITC) 2023 yang telah dijalankan secara hibrid, iaitu atas talian dan bersemuka di Abu Dhabi, UAE pada 24 -28 Oktober 2023 yang lalu. Adik Shirlene telah mewakili Malaysia secara atas talian ke pertandingan eTool_Presentation dan eLifeMap dalam Global IT Challenge for Youth with Disabilities (GITC) 2023 serta berjaya mendapat Tempat Kedua (Excellence Award) bagi pertandingan eTool_Presentation.

Program GITC merupakan satu projek tahunan yang dianjurkan oleh GITC Organizing Committee, LG Electronics, ZHO sejak tahun 1990 untuk mengukuhkan keupayaan ICT dalam kalangan belia berkeperluan khas disamping mewujudkan asas bagi kemajuan sosial dan meningkatkan kesedaran kebolehcapaian digital belia berkeperluan khas. Pada tahun 2023, program ini telah mengadakan 3 pertandingan secara individu iaitu eTool_Presentation, eTool_Excel, dan eLifeMap serta 3 pertandingan secara berkumpulan iaitu eContent, eCreative_Smart Car dan eCreative_IOT. Pertandingan – pertandingan ini menguji keupayaan belia dalam penggunaan aplikasi asas komputer seperti Power Point, Excel dan pelbagai lagi. Selain itu, pertandingan ini turut menguji kemampuan belia untuk membuat inovasi yang dapat diaplikasikan dalam kehidupan seharian, khususnya bagi golongan berkeperluan khas

Bagi tahun 2023, Kementerian Kesihatan dan Kebajikan (Republic of Korea), LG, serta Kerajaan  Abu Dhabi telah dilantik sebagai tuan rumah untuk melaksanakan program ini. Program kali ini telah disertai oleh 1700 orang peserta daripada 18 buah negara diperingkat saringan dan hanya 461 orang daripadanya telah berjaya untuk masuk kepusingan akhir. Selain adik Shirlene, adik Muhammad Yusrri Ramli, juga MBPK SSN SMK Mutiara bersama 200 MBPK seluruh Malaysia turut mewakili Malaysia ke pusingan akhir dalam pelbagai pertandingan. Keputusan keseluruhan menunjukkan Pasukan Malaysia telah berjaya merangkul 9 Best Award, 10 Excellence Award, 5 Good Award dan IT Team Leader Award daripada 50 anugerah yang disampaikan.

 

Gambar 1 : Shirlene ketika mengikuti taklimat peserta pertandingan dalam GITC 2023, 26 Oktober 2023.

Gambar 2 : Shirlene berjaya mendapat tempat kedua (Excellence Award) dalam pertandingan eTool_Presentation




Kejohanan Bola Tampar, Anggota Kumpulan Pelaksana (AKP) Piala Pengarah Pendidikan, Jabatan Pendidikan W.P Labuan

Kejohanan Bola Tampar, Anggota Kumpulan Pelaksana (AKP) Piala Pengarah Pendidikan, Jabatan Pendidikan W.P Labuan telah berlangsung pada 18 November 2023 bertempat di Gelanggang Serbaguna Terbuka Berbumbung (GSTB) SK Bukit Kallam W.P Labuan.

Tujuan Kejohanan ini dilaksanakan adalah membudayakan amalan hidup sihat dengan aktiviti bersukan disamping merapatkan silaturahim dikalangan Anggota Kumpulan Pelaksana (AKP).

Seramai 6 pasukan telah bertanding dalam kejohanan ini iaitu D Alpha VT, Sapurata VT, Barkoba, Chickadees, Raduu VC dan Gorgon. Peserta disetiap kumpulan adalah terdiri dari  AKP sekolah rendah, Sekolah menengah, SM Sains, Kolej Vokasional dan juga AKP yang berada di Jabatan Pendidikan W.P Labuan.

Johan bagi Pertandingan ini adalah kumpulan Sapurata VT, Naib Johan kumpulan D Alpha VT dan Tempat Ketiga adalah kumpulan Gorgon, Majlis Penutupan dan Penyampaian Hadiah disempurnakan oleh Yang Berusaha Encik Ag Marten bin Datuk Hj Abdul Rahman, Timbalan Pengarah, Sektor Pembangunan Murid JPWP Labuan mewakili Pengarah Pendidikan. Turut hadir di Kejohanan ini adalah Encik Ismail bin Mohd Yaakub, Pegawai Akauntan, Sektor Pengurusan JPWP Labuan.

Tahniah kepada Penyelaras Karnival Sukan Anggota Kumpulan Pelaksana (AKP) Encik Laidin bin Saipin dari SK Patau-Patau W.P Labuan dan Penganjur Kejohanan bagi Kejohanan bola tampar iaitu Encik Rizwan bin Sumon (SK Bebuloh) dan Cik Chin Jin Hung (SK Patau-Patau)

Sebagai makluman kejohanan seterusnya adalah Kejohanan Badminton Anggota Kumpulan Pelaksana (AKP), Piala Pengarah Pendidikan yang akan diadakan pada 02 Disember 2023.

 

Antara Warga Anggota Khidmat Pelaksana yang menyertai Kejohanan Bola Tampar pada kali ini.

Penyampaian Cenderhati daripada Pengelola Kejohanan

Johan : Kumpulan Sapurata VT

Naib Johan Kumpulan D Alpha VT

Ketiga: Kumpulan Gorgon

Kumpulan Raduu VC

Kumpulan Chickadees

Kumpulan Barkoba




BENGKEL PENGUKUHAN PENGURUSAN PEROLEHAN KERAJAAN, PENGURUSAN KONTRAK, ASET, STOR DAN KEWANGAN, JABATAN PENDIDIKAN WILAYAH PERSEKUTUAN LABUAN DAN PUSAT TANGGUNGJAWAB (PTJ) SEKOLAH-SEKOLAH WILAYAH PERSEKUTUAN LABUAN TAHUN 2023

Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan (JPWPL) telah melaksanakan Bengkel Pengukuhan Pengurusan Perolehan Kerajaan, Pengurusan Kontrak, Aset, Stor dan Kewangan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan dan Pusat Tanggungjawab (PTJ) Sekolah-Sekolah Wilayah Persekutuan Labuan Tahun 2023 yang telah berlangsung pada 29 Oktober sehingga 31 Oktober 2023 bertempat di Sky Hotel, Kota Kinabalu.

Tujuan bengkel ini adalah untuk memastikan semua prosedur dan peraturan yang berkuatkuasa dan telah ditetapkan oleh kerajaan hendaklah sentiasa dipatuhi oleh Jabatan dan sekolah-sekolah WP Labuan dan mengelakkan teguran Audit Negara Malaysia (ANM), Audit Dalam Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Naziran Audit, Jabatan Akautan Negara Malaysia (JANM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)

Seramai 40 peserta telah menghadiri bengkel ini. Penceramah bagi bengkel ini ialah encik Kasim bin Muhd, Perunding Latihan Kanan, Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) Bukit Kiara telah dipilih bagi memberikan input berkaitan topik yang dibincangkan kerana beliau berpengelaman dalam bidang Pengurusan Perolehan Kerajaan, Pengurusan Aset dan Stor serta Pengurusan Kewangan Kerajaan. Sesi bengkel ini berlangsung dengan pelbagai kajian kes yang dikongsikan bersama peserta, latihan dalam kumpulan (LDK), soal jawab berserta kuiz dan pembentangan daripada peserta bengkel yang menguji kefahaman peserta bengkel.




IDEA BARU SSN SMK MUTIARA JAYAKAN KEM PEMANTAPAN SAHSIAH

Oleh: Muhammad Izzuddin Bin Mahamad Nazeri

 

LABUAN, 21 OKTOBER 2023: Seramai 130 orang pelajar daripada 10 buah sekolah telah menyertai Kem Pemantapan Sahsiah peringkat Wilayah Persekutuan Labuan yang dianjurkan oleh SSN SMK Mutiara. Objektif program ini dilaksanakan adalah bertujuan untuk membentuk  sahsiah yang unggul dan terpuji serta menerapkan elemen karamah insaniah bagi menjayakan aspirasi anak yang baik lagi cerdik. Program ini berlangsung selama dua hari bermula dengan sesi E-Ceramah yang bertajuk ‘’Teladan Terbaik Sepanjang Zaman: Mencari Syurga dengan Akhlak Nabi” yang disampaikan oleh Pencetus Ummah Akram Ikrami. Beliau menekankan amalan berselawat kepada nabi Muhammad saw sebanyak 300 kali akan mempermudahkan segala urusan harian kita serta dimurahkan rezeki.

Antara aktiviti yang dilaksanakan ialah slot ceramah, latihan dalam kumpulan dan amalan penghayatan islam. Slot pertama dimulakan dengan ceramah yang bertajuk Sahsiah Terpuji, Akhlak Diteladani yang disampaikan oleh Tn. Hj. Norazlan Bin Mahmood. Beliau juga menekankan bahawa kepentingan berakhlak mulia merupakan tunjang utama kejayaan sebagai seorang pelajar. Selain itu, para peserta juga menunaikan solat dhuha secara berjemaah. Pemantapan amalan penghayatan islam melalui solat dhuha ini merupakan rahsia utama kejayaan yang cemerlang telah dikecapi oleh golongan yang berjaya.

Seterusnya, slot ceramah yang kedua pula disampaikan oleh Ustaz Ibrahim Bin Che Mad yang bertajuk Penghayatan Al-Quran membentuk Sahsiah Unggul. Beliau mengingatkan kepada pelajar agar tidak meninggalkan bacaan Al-Quran dalam amalan seharian. Selanjutnya, sesi petang pula diteruskan dengan aktiviti didik hibur yang bertajuk ‘’Menyingkap Rahsia Kejayaan dalam Perang Badar’’ yang dikelolai oleh Ustaz Muhammad Izzuddin Bin Mahamad Nazeri, Penyelaras Kem Pemantapan Sahsiah 2023. Segmen Perang Badar: Aura Al-Qassam ini telah mencetuskan  detik  kegembiraan dan terpancar kepuasan pada wajah para peserta melalui aktiviti perang belon air. Para peserta akan bertempur menggunakan belon air sebagai senjata dan berusaha mengatur strategi bagi menawan kubu pasukan pihak lawan.

Akhir Sekali, majlis penutupan kem pemantapan sahsiah peringkat Wilayah Persekutuan Labuan tahun ini telah dirasmikan oleh Puan Hajjah Kamariah Binti Salim, Ketua Penolong Pengarah, Sektor Pendidikan Islam, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan. Beliau mengucapkan jutaan terima kasih kepada Tuan Pengetua SSN SMK Mutiara, Encik Awang Rozlan Bin Manan dan seluruh jawatankuasa kerja Kem Pemantapan Sahsiah kerana telah berjaya membawa idea baru dan kelainan dengan pelaksanaan aktiviti yang sangat menarik, segar dan lari daripada kebiasaan. Tambahannya pula, para peserta dan guru pengiring sangat menunjukkan penglibatan yang aktif dan produktif sepanjang program berlangsung.

 

Sesi bergambar tanda kenang-kenangan, melibatkan para peserta, urusetia dan juga pengiring bersama Puan Hajjah Kamariah Binti Salim, Ketua Penolong Pengarah Sektor Pendidikan Islam JPWPL dan Pengetua SSN SMK Mutiara, Encik Awang Rozlan Bin Manan.

Sesi penyampaian cenderahati daripada Tuan Pengetua kepada perasmi program iaitu Puan Hajjah Kamariah Binti Salim.

Urusetia pendaftaran sedang menantikan para peserta untuk mendaftar seawal jam 7.00 pagi

Gambar para peserta lelaki sebelum memulakan aktiviti “Perang Badar: Aura Al-Qassam”

 

Gambar para peserta perempuan sebelum memulakan aktiviti “Perang Badar: Aura Al-Qassam”

 

Penyampaian cenderahati oleh Ustaz Sahrum Bin Samlan, Penolong Pengarah Sektor Pendidikan Islam kepada penceramah program.

Ucapan Perasmian Penutup yang disampaikan oleh Puan Hajjah Kamariah Binti Salim, Ketua Penolong Pengarah, Sektor Pendidikan Islam, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan




SMK Rancha-Rancha Raih 2  Anugerah TVPSS Peringkat Kebangsaan 2023

Anuegerah TV Pusat Sumber Sekolah peringkat kebangsaan tahun 2023 merupakan satu bentuk penghargaan kepada sekolah dan pelajar yang bergerak aktif dalam media khususnya dalam pengurusan media pusat sumber. Pada tahun ini, SMK Rancha-Rancha telah berjaya masuk ke peringkat akhir untuk 2 kategori iaitu  Studio TV PSS dan Ikon Pengawas Pusat Sumber Sekolah. Pertandingan TV PSS menjadi idaman pusat sumber sekolah seluruh negara lantaran mempertaruhkan kemenjadian pelajar dari pelbagai aspek bukan sahaja dalam bidang kewartawanan.

Saudara Nasrullah bin Hanudin telah berjaya menjadi naib johan peringkat kebangsaan untuk kategori Ikon Pengawas Pusat Sumber Sekolah. Kejayaan ini membolehkan ia membawa pulang piala kemenangan dan sijil pengiktirafan. Cikgu Sapri Idris menjelaskan kejayaan yang dirangkul oleh pelajar SMK Rancha-Rancha tersebut menjadi kebanggaan warga sekolah dan pelajar di W.P Labuan kerana kejayaan ini merupakan kejayaan julung kalinya dicapai oleh pelajar di W.P Labuan dalam kepimpinan pengurusan dan sahsiah serta akademik. Dalam masa yang sama ketika diajukan soalan oleh wartawan TVPSS tentang kunci kejayaan yang dicapainya pada hari tersebut , Nasrullah menzahirkan kesyukuran atas kejayaannya berkat sokongan kuat ibu-bapanya, bimbingan berterusan daripada cikgu Sapri Idris dan kerjasama daripada rakan-rakannya khususnya pengawas pusat sumber sekolah.

Selain memenangi anugerah Ikon Pengawas Pusat Sumber Sekolah, SMK Rancha-Rancha juga telah berjaya meraih tempat ketiga untuk Kategori Studio TV Pusat Sumber. Pengasas studio Ranchas TV iaitu Cikgu Sapri Idris berharap pada tahun-tahun seterusnya SMK Rancha-Rancha akan menjadi Johan di peringkat kebangsaan untuk kategori tersebut. SMK Rancha-Rancha telah memiliki 2 studio TV iaitu Studio Ranchas TV dan Studio TV Green Screen.  

Mohd Diniy Kamil, Mohd Adzharul Afiq Hairul Afizul , Abdullah Mohd Nor dan Shamrez Shaukat Ali Balquch memenangi tempat Ketiga Studio TVPSS Peringkat Kebangsaan 2023

Tuan pengetua Ustaz Wan Azman bin Wan Awang berasa sungguh bersyukur atas kemenangan yang diraih oleh Pusat Sumber DSDN SMK Rancha-Rancha pada tahun ini di peringkat kebangsaan. Beliau berkata kemenangan ini akan menjadi pembakar semangat kepada guru-guru dan pelajar di sekolahnya dan juga di W.P Labuan untuk mencipta kejayaan khususnya dalam bidang kepimpinan dan ketrampilan . Harapan beliau agar guru-guru di SMK Rancha-Rancha akan lebih banyak melahirkan pelajar yang berpotensi dan berkarisma.

Pada tahun ini majlis Anugerah TV PSS Peringkat Kebangsaan telah diadakan pada 10 Oktober 2023 bertempat di Pusat Sains Kreativiti Terengganu. Pelbagai aktiviti telah dirancang sebelum majlis penyampaian dijalankan antaranya perkongsian Bersama Dato Seri Wan Muhd Ali bin Wan Ahmad ( Content Creator Youtube ) , Jelajah ke Pusat Sains Kreativiti Terengganu, Lawatan ke Tapak Konten TV PSS Zon Timur. Majlis telah dirasmikan oleh Timbalan Ketua Penolong Pengarah  Malaysia Ybrs Dr Ahmad Rafee bin Che Kassim  Sektor Operasi Pendidikan Kementerian Pendidikan Malaysia.

Turut mengiringi rombongan penerima anugerah Majlis Pengiktirafan TV PSS Peringkat Kebangsaan 2023 ini ialah Puan Norsiah binti Sulaiman dan Puan Malai Hasnah binti Malai Ahmad, Penolong Pengarah Sektor Sumber Teknologi Pendidikan, Jabatan Pendidikan W.P. Labuan.

Berita Oleh : SMK Rancha-Rancha

Tuan Awang Marten Datuk Haji Abd Rahman , Ustaz Wan Azman bin Wan Awang, pegawai SSTP Labuan serta barisan guru SMK Rancha-Rancha menyambut kepulangan untuk meraikan Cikgu Sapri Idris dan Nasrullah Hanudin di Lapangan Terbang W.P Labuan.



2 Guru SMK Labuan Terima Surat Kenaikan Pangkat

Labuan, 2 Oktober – Seramai 121 guru seluruh Labuan telah menerima surat kenaikan pangkat masing-masing di dalam satu majlis yang diadakan di Bilik Seminar Raflesia, Ujana Kewangan pada Jumaat lalu.

Majlis kelolaan Sektor Sumber Manusia (SSM), Jabatan Pendidikan W.P Labuan
diadakan bagi merai dan mengiktiraf kenaikan pangkat seramai 121 guru secara Time Based Berasaskan Kecemerlangan (TBBK).

Menurut pengetua SMK Labuan, Tuan Haji Mohd Nizam bin Yasim, seramai 2 guru SMK Labuan telah menerima kenaikan pangkat dari Gred DG44 ke DG48.

Guru yang terlibat ialah seorang guru aliran perdana, Puan Teo Boon Leng dan seorang guru Pusat Tingkatan Enam, Puan Rosnani binti Amat.

“Saya mengucapkan tahniah kepada semua penerima dan berharap pengiktirafan kerajaan ini dapat meningkatkan motivasi diri dan kualiti kerja ke peringkat yang lebih tinggi” katanya lagi.

Majlis telah dirasmikan oleh Pengarah Pendidikan W.P Labuan, Encik Yusup bin Haji Mohamad.

Beliau menyeru agar semua penjawat sebagai peneraju visi dan misi negara menerapkan konsep kerja sebagai satu amanah untuk meraih keredaan Allah.

“Kenaikan pangkat juga adalah menifestasi penghargaan kerajaan atas sumbangan dan komitmen guru dan saya menyeru agar kita semua mengamalkan budaya kecemerlangan dalam perkhidmatan awam” tambah beliau lagi.

Surat-surat kenaikan pangkat kepada semua penerima telah disampaikan Encik Yusup Mohamad.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Timbalan Pengarah Sektor Pengurusan Sekolah, Tuan Haji Sawal bin Salleh, Timbalan Pengarah Sektor Perancangan, Puan Noraini binti Sabudin dan Ketua Penolong Pengarah, Sektor Sumber Manusia, Encik Khairul Hafiz bin Juni.

Berita Oleh : SMK Labuan




MIKHAIL RAJA PECUT KEJOHANAN OLAHRAGA MSSWPL

Encik Yusup Haji Mohamad, Pengarah Jabatan Pendidikan WP Labuan (kiri) bersama adik Mikhail (tengah) dan Encik Rosli Guru Besar SK Patau-Patau

Atlet SMK Labuan, Awang Mikhail Shariff bin Kamel Shariff, 16 tahun dinobatkan sebagai Olahragawan Lelaki Bawah 18 tahun Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Wilayah Persekutuan Labuan (MSSWPL).

Kejohanan kali ke-22 anjuran Jabatan Pendidikan W.P Labuan itu telah berlangsung di Stadium Mini, Kolej Matrikulasi Labuan dari 11 hingga 15 September 2023.

Adik Mikhail turut merangkul gelaran sebagai Raja Pecut apabila berjaya mengungguli acara 100meter, 200 meter dan 4×100 meter. Selain itu, adik Mikhail juga meraih emas dalam acara 4×400 meter seterusnya membawa pulang 4 pingat emas.

“Kejayaannya ini adalah usaha berterusan dan konsisten selain hasil dorongan ibu bapa, guru-guru merangkap jurulatih yang banyak menaikkan semangat saya untuk menaikkan nama SMK Labuan” katanya ketika diminta mengulas kejayaan yang diperolehi.

Sementara itu, Olahragawati Perempuan Bawah 18 tahun menjadi milik Zukrina Azra binti Zainudin, yang juga merupakan murid SMK Labuan.

Zukrina memperoleh 5 pingat emas dalam acara Lompat Kijang, 400 meter, 200 meter serta dua acara berpasukan iaitu 4×100 meter dan 4×400 meter.

“Pencapaian SMK Labuan dalam kejohanan tahun ini amat memberangsangkan berbanding tahun 2022. Peningkatan pungutan pingat emas daripada 5 emas kepada 13 emas merupakan pencapaian terbaik murid-murid SMK Labuan dalam kejohanan ini,” Pengetua SMK Labuan Tuan Haji Mohd Nizam bin Yasim meluahkan rasa bangga di atas kejayaan Awang Mikhail Sharif bin Kamel Sharif dan semua atlet SMK Labuan.

Berita Oleh : SMK Labuan




Majlis Ihtifal Lughawi Sekolah-Sekolah Kementerian Pendidikan Malaysia Peringkat WP. Labuan Tahun 2023

Labuan, 25 September – Sebanyak 16 buah Sekolah Rendah dan 10 buah Sekolah Menengah menyertai Ihtifal Lughawi Sekolah-Sekolah Kementerian Pendidikan Malaysia Peringkat Negeri Wilayah Persekutuan Labuan anjuran bersama Sektor Pendidikan Islam, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan (JPWPL) pada 21 dan 22 Septermber 2023 iaitu pada hari Khamis dan Jumaat.

Antara acara yang diadakan di Sekolah Kebangsaan Sungai Lada itu termasuklah pertandingan Daie Cilik, Kalam Arabiybagi Sekolah Rendah dan pertandingan Mimbar Daie, Mimbar Daie Mandarin, Kalimatus Sobah, Hiwar Bahasa Arab serta Kuiz Bahasa Arab bagi Sekolah Menengah.

Penyertaan peserta seramai 132 orang daripada semua sekolah rendah dan menengah di WP Labuan yang terdiri daripada 30 orang peserta Daie Cilik, 24 peserta kalam Arabiy, 18 peserta Mimbar Daie, 9 orang peserta Mimbar Daie Bahasa Mandarin, 5 orang peserta Kalimatussobah, 15 peserta Hiwar Menengah Rendah dan 27 orang peserta Kuiz Bahasa Arab Menengah Atas.

Majlis Penutupan Ihitfal Lughawi Sekolah-Sekolah (ILSS) telah dirasmikan oleh Pengarah Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, Tuan Yusup bin Haji Mohamad pada hari Jumaat yang lalu.

Berita Oleh : SK Sungai Lada




NICOLE JUARA PIDATO LABUAN

Labuan, 25 Sept – Adik Nicole Grace Wong, murid tingkatan 4 Sekolah Menengah Kebangsaan Labuan, telah dinobatkan sebagai juara Pertandingan Pidato 2023 peringkat negeri bagi kategori menengah atas yang telah diadakan Dewan Sekolah Menengah Sains Labuan pada Khamis lalu.

Pertandingan bertemakan Sukan, Pendidikan dan Teknologi ini adalah anjuran Jabatan Pendidikan W. P Labuan telah disertai oleh 11 buah sekolah menengah di Labuan.

Dengan tajuk pidato ‘Pendidikan Cemerlang, Negara Terbilang’, adik Nicole telah mempamerkan keyakinan yang tinggi dengan hujah-hujah mantap telah berjaya menewaskan 10 peserta lain.

“Saya bersyukur kerana usaha dan persiapan yang saya lakukan selama ini terbalas. Terima kasih juga diucapkan kepada Cikgu Hastiah dan Cikgu Suzana yang telah berusaha membimbing saya hingga mencapai kejayaan bermakna ini” kata Adik Nicole yang juga seorang pengawas sekolah.

Dengan kejayaan ini, adik Nicole membawa pulang sebuah trofi dan sijil kemenangan. Selain itu adik Nicole juga akan mewakili W. P Labuan ke pertandingan peringkat kebangsaan di Selangor pada November depan.

Selain itu, seorang lagi peserta SMK Labuan, adik Annisa binti Mohd Jamali berjaya mendapat tempat ketiga kategori Menengah Rendah.

Hadiah-hadiah kemenangan telah disampaikan oleh Penolong Kanan Pentadbiran, SM Sains Labuan, Ustaz Nik Afandi bin Nik Mahmud yang mewakili Pengarah Pendidikan W.P Labuan.

Berita Oleh : SMK Labuan




SMK LABUAN JOHAN PROGRAM K3P

Labuan, 11 September – SMK Labuan telah merangkul Johan dalam Karnival Kelab Program Pelancongan Pelajar (K3P) Peringkat Wilayah Persekutuan Labuan yang diadakan pada 9 hingga 10 September 2023 lalu.

Karnival tahunan anjuran Pejabat Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya W.P Labuan telah diadakan di Palm Beach Resort & Spa, Labuan disertai oleh semua sekolah menengah di Wilayah Persekutuan Labuan.

SMK Labuan telah diwakili oleh empat murid yang ketuai oleh Adik Muhammad Adam bin Sufian. Turut menganggotai pasukan ialah Muhammad Fairuz Bin Herman, Nursyafiqah Aren Binti Barhama dan Eva Dylvia Henry (4C)

Menurut guru pembimbing, Puan Norul Syamila Binti Azizi, pasukan SMK Labuan menunjukkan pencapaian memberangsangkan dalam pembentangan pembangunan pakej Pelancongan bertajuk “Tourism Across Generation”.

“Murid-murid ini layak bertanding mewakili Labuan ke peringkat Kebangsaan yang akan dijadualkan pada 18-21 Oktober 2023 di Pulau Pinang” katanya lagi.

Hadiah-hadiah pertandingan telah disampaikan oleh Encik Rosli bin Mat Jinun, Penolong Pegawai Tadbir Tinggi, Pejabat Pelancongan, Seni dan Budaya W. P. Labuan.

Berita Oleh : SMK Labuan