Majlis Pelancaran Ihya’ Ramadan 1445/2024M Peringkat Jabatan Pendidikan W.P. Labuan

Labuan, 11 Mac 2024 – Tazkirah ‘Ambang Ramadan’ membuka tirai majlis pelancaran Ihya’ Ramadan 1445H peringkat Jabatan Pendidikan WP Labuan yang menampilkan penceramah Dr. Nik Azlan bin Nik Man, Timbalan Mufti, Pejabat Mufti WP Labuan di Bilik Mesyuarat Botanikal pagi tadi.

Sektor Pendidikan Islam (SPI) JPWPL selaku pengelola utama telah menganjurkan pelbagai aktiviti menarik sepanjang Ramadan 1445H. Warga Jabatan Pendidikan WP Labuan berpeluang menyertai aktiviti-aktiviti tersebut sambil mengisi masa terluang di samping melipat gandakan amalan ibadah. Antara pengisian yang telah dirancang ialah sambutan Nuzul Quran, Tadarus dan majlis khatam Al-Quran, Tabung Ihya Ramadan, Pertandingan Sihat Ramadan, jaulah ramadan, kuiz, pertandingan tulisan khat dan ziarah kasih ramadan bersama keluarga murid asnaf.

Programt ihya’ Ramadan telah disempurnakan oleh Tuan Haji Abidin bin Marjan, Pengarah Pendidikan Jabatan Pendidikan WP Labuan yang turut bersama-sama memeriahkan majlis.

Dalam ucapan pelancarannya, beliau mengajak seluruh warga Jabatan Pendidikan W.P. Labuan untuk bersama-sama meningkatkan amal ibadah dan mengambil peluang sebaiknya dalam mencari keredhaan Ilahi di Bulan mulia ini. Beliau juga menzahirkan ucapan terima-kasih kepada penyelaras program kerana menjemput penceramah dan berharap dapat bertemu kembali pada perhimpunan bulanan jabatan pada bulan ini.

Beliau turut menyampaikan satu potongan hadis yang berbunyi :

“Seandainya manusia mengetahui keistimewaan Ramadan, nescaya mereka ingin supaya sepanjang tahun itu adalah Ramadan”
– Hadis Riwayat al-Thabrani, Ibnu Khuzaimah & al- Baihaqi.

”Perbanyakkan sedekah, membaca al-Quran dan beristigfar di bulan ini, jika semua harta adalah racun, maka zakat itu penawarnya”. tambahnya lagi.

Dalam tazkirah Ahlan Ya Ramadan, Dr. Nik Azlan berkongsi mengenai kelebihan dan keindahan bulan Ramadan.

Menurutnya, ramadhan adalah bulan keampunan, bulan pembebasan dari api neraka, bulan Al-Quran, bulan yang digandakan ganjaran pahala, bulan lailatul qadar, bulan doa dimakbulkan serta bulan yang penuh dengan limpahan rahmat dan berkat.

Penutup majlis ini diisi dengan slot penyampaian cenderahati kepada penceramah dan diikuti dengan sesi jamuan makan tengah hari yang dilaksanakan secara ‘portluck’ oleh setiap sektor.

Majlis tersebut turut dihadiri Encik Yahya bin Ahmad Puteh, Timbalan Pengarah Pendidikan, Sektor Pembelajaran, Encik Haji Sawal Salleh Timbalan Pengarah Pendidikan, Sektor Pengurusan Sekolah, Encik Ag Marten Timbalan Pengarah Pendidikan, Sektor Pembangunan Murid, Hajah Kamariah binti Salim Ketua Penolong Pengarah, Sektor Pendidikan Islam dan pegawai dan staf jabatan pendidikan.

Berita Oleh : Sektor Pendidikan Islam

Loading

image_pdfimage_print