18 Februari 2024
LABUAN: Seramai kira-kira 50 orang warga Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan (JPWPL) bersama ahli keluarga telah menyertai Santai Hiking Geo-tapak Tanjung Kubong Labuan Chimney Walking Trail anjuran Kelab Pendidikan (KelPen), JPWPL dengan kerjasama Muzium Labuan bermula jam 7.00 pagi tadi.
Santai Hiking ini merupakan aktiviti kelab yang telah ditakwimkam yang menyumbang kepada gaya hidup sihat serta menjadi faktor penting dalam penjagaan kesihatan disamping dapat mengeratkan silaturahim sesama staf.
Aktiviti pagi tadi dimulai dengan taklimat ringkas dari geoguide berpengalaman, Nazli Ho Abdullah, sesi pemanasan badan dan diikuti bacaan doa di perkarangan Muzium Chimney.
Para peserta turut diberi taklimat mengenai Gedung Ubat iaitu tempat simpanan peluru (ubat bedil) tentera Jepun semasa Perang Dunia Kedua ketika menyusuri denai bersejarah dan Geotapak Chimney Trail Tanjung Kubong.
Hadir sama dalam aktiviti ini Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Pembangunan Murid, Encik Ag Marten Datuk Hj Abdul Rahman.
“Kesibukan kerja bukanlah alasan untuk tidak menyertai program seumpama ini. Aspek penjagaan kesihatan perlu diterapkan dalam diri seseorang di samping memperlajari ilmu yang berkaitan dengan alam sekitar, flora fauna, sejarah sesuatu tempat dan kebesaran ilahi” ujarnya.
Aktiviti pada pagi tadi berakhir jam 9.30 pagi dengan sesi penyampaian hadiah oleh Pengerusi KelPen Suriani Alland Rice Onxley kepada 5 orang pemenang kuiz geopark iaitu Nurul Izzati, Rina Farrina, Noorul Syarhida, Nur Haziqah Adlina dan Basneh. Seramai 10 orang peserta cabutan bertuah turut menerima hadiah.
Menurut Penyelaras program Helne Asmat dan Julynah Wali, program seumpama ini akan diteruskan dan berharap mendapat lebih banyak penyertaan pada masa akan datang memandangkan geopark Labuan telah diiktiraf sebagai Geopark Kebangsaan yang baharu sekaligus menjadikannya sebagai produk pelancongan yang menarik pengunjung ke Labuan.