PROJEK “KF EYECARE FOR LABUAN”; 250 MURID TERIMA CERMIN MATA PERCUMA

Labuan, 8 Januari 2026 – Seramai 250 murid sekolah rendah daripada 17 buah sekolah di Labuan telah menerima cermin mata preskripsi percuma menerusi projek “KF EyeCare for Labuan”.
 
Ia satu inisiatif komuniti bagi membantu meningkatkan kualiti pembelajaran dan kesejahteraan murid-murid yang memerlukan.
 
Program telah dimulakan oleh Lions Club of Tenom Host dan dianjurkan bersama oleh “Blue Dolphin Swim Club” serta JPKK Kampung Layang-Layangan, dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Labuan.
 
Majlis penyerahan cermin mata telah diadakan di SK Pekan Dua dan disempurnakan oleh Pengarah Pendidikan Labuan, Yahya Ahmad Puteh, bersama-sama Timbalan Pengarah Sektor Pengurusan Sekolah, Sawal Salleh.
 
Matlamat utama projek ini adalah untuk menangani masalah penglihatan dalam kalangan murid yang boleh menjejaskan prestasi akademik dan keyakinan diri. Melalui bantuan ini, murid-murid diharap dapat mengikuti pembelajaran dengan lebih jelas, selesa dan berkesan.
 
Inisiatif membuktikan kerjasama strategik antara badan bukan kerajaan (NGO), kelab sukan, jawatankuasa kampung dan agensi pendidikan kerajaan dalam menyokong pembangunan dan masa depan generasi muda di Labuan.
 
SUMBER BERITA : FB BES Labuan



Kunjungan Hormat PESAKA Labuan ke Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan

Labuan, 13 Januari 2026 – PESAKA Labuan mengucapkan Jutaan terima kasih kepada Jabatan Pendidikan WP Labuan berkat kerjasama yg erat Antara PESAKA Labuan dan Jabatan Pendidikan WP Labuan membantu melancarkan pembukaan kelab silat sekolah-sekolah.
 
3 badan Gabungan akan membuka club Silat di sekolah-sekolah melalui 3 badan Gabungan iaitu Cengkam Harimu, Gayong Malaysia dan Pusaka Cekak Hanafi.
 
PESAKA Labuan akan meneruskan Pertandingan 1S1S pada Tahun ini.
 
Tahniah juga diucapkan kepada YDP Mohammad Khairul Abd Ghani dapat menjayakan impian dan memajukan SILAT di peringkat sekolah-sekolah .
 
SUMBER BERITA : FB PESAKA Labuan



Kunjungan Hormat Jabatan Belia Dan Sukan W.P Labuan

Labuan, 13 Januari 2026 – Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan telah menerima kunjungan hormat daripada Jabatan Belia Dan Sukan W.P.Labuan yang diketuai oleh Puan Mahanum Fauzi, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan.
 
Kunjungan ini menjadi platform perbincangan pelbagai perkara berkaitan usaha memperkasa jati diri anak-anak didik di Wilayah Persekutuan Labuan melalui kerjasama strategik antara kedua-dua jabatan.



SESI SEKOLAH 2026 BERJALAN LANCAR, IBU BAPA GEMBIRA BANTUAN AWAL PERSEKOLAHAN

LABUAN, 12 Januari 2026 – Seramai 19,001 pelajar memulakan Sesi Persekolahan 2026 di 27 buah sekolah. Daripada jumlah itu, seramai 7,982 murid sekolah menengah dan 10,200 murid sekolah rendah manakala selebihnya 819 merupakan murid prasekolah.
 
Hari pertama persekolahan berjalan lancar dengan kehadiran murid-murid hadir ke sekolah dengan semangat dan iltizam. Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Wilayah Persekutuan Labuan, Yahya Ahmad Puteh berkata, bagi tahun 2026 juga pelbagai inisiatif telah diberikan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia termasuklah Bantuan Awal Persekolahan (BAP).
 
Sebanyak RM2,722,650 juta BAP telah diperuntukkan untuk wilayah persekolahan Labuan melibatkan seramai 18,151 murid. “Jadi saya percaya dengan bantuan ini akan dapat meringankan sedikit sebanyak beban yang ditanggung oleh ibu bapa bagi mempersiapkan diri anak-anak murid untuk ke sekolah”, katanya.
 
Tambahnya, pengagihan BAP sebanyak 150-ringgit untuk seorang pelajar akan mula disalurkan oleh pihak sekolah dalam minggu ini. Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan Minggu Transisi dan Guru Penyayang serta hari pertama sesi 2026 di Sekolah Kebangsaan Pekan Satu (SKPS), pagi tadi.
 
Sementara itu, ibu bapa yang ditemui zahir penghargaan kepada kerajaan atas inisiatif Bantuan Awal Persekolahan. Affizul Ariffin, bapa bagi murid tahun satu, zahir penghargaan kepada kerajaan atas inisiatif BAP.
 
“Terima kasih kepada KPM dan kerajaan Malaysia kerana telah memberikan bantuan awal persekolahanlah, lebih-lebih lagi ibu bapa macam kali lah, sedikit sebanyak dapat membantu meringankan beban juga,” katanya.
 
“Sangat membantulah sebenarnya, sebab sekarang ni pun dengan ekonomi agak tak berapa bagus, sangat membantu untuk membeli barang tambahan barang sekolah,” ibu kepada murid tahun satu, Nur Hafizah Ahmad Yakub.
 
Hadir sama, pegawai JPN Labuan dan Guru Besar SKPS Anita Shyamini S. Azman Swaminathan.
 
SUMBER BERITA : FB BES LABUAN



Kenduri Kesyukuran JPWPL 2025: Manifestasi Syukur dan Doa Kejayaan

LABUAN, 12 Disember 2025 – Kenduri Kesyukuran Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan (JPWPL) Tahun 2025 telah berlangsung dengan penuh kesyukuran dan suasana harmoni pagi tadi di Pusat Kokurikulum Negeri, Kampung Ganggarak, WP Labuan.
 
Majlis yang bermula sekitar jam 7.45 pagi itu diadakan sebagai manifestasi rasa syukur atas pelbagai kejayaan, kecemerlangan serta pencapaian penting yang diraih oleh JPWPL sepanjang tahun 2025.
Selain itu, majlis turut bertujuan memohon keberkatan dan memanjatkan doa khusus buat para calon SPM dan STPM yang sedang menduduki peperiksaan agar beroleh kejayaan cemerlang.
 
Antara pengisian dalam majlis tersebut ialah bacaan Surah Al-Kahfi (10 ayat awal atau akhir), Surah Yaasin serta Doa Kesyukuran yang dipimpin dalam suasana penuh tertib dan ketenangan.
 
Pengarah Pendidikan WP Labuan, En. Yahya bin Ahmad Puteh, dalam ucapannya menzahirkan penghargaan kepada seluruh warga JPWPL serta warga sekolah atas komitmen, kerjasama dan kejayaan cemerlang yang dicapai sepanjang tahun 2025.
 
Beliau turut menyatakan rasa syukur ke hadrat Ilahi kerana WP Labuan sentiasa berada dalam lindungan, dipelihara daripada sebarang perkara yang tidak diingini serta terus diberi keberkatan sepanjang melaksanakan amanah pendidikan.
 
Majlis turut diserikan dengan penyampaian sumbangan Program “Back To School 2025: i-Asnaf Zakat Support Program” oleh ER East Malaysia Region – Sabah dan Labuan.
 
Program ini merupakan salah satu inisiatif di bawah Dana Asy-Syakirin bagi membantu murid dalam kalangan miskin, miskin tegar dan B40 di WP Labuan.
 
Sumbangan tersebut telah disampaikan oleh En. Zulpekar Zaaim bin Othman, Manager, Employee Relations East Malaysia Region – Sabah & Labuan, kepada YDP Majlis Pengetua Sekolah Menengah (MPSM) WP Labuan, En. Ismail bin Abdullah serta Pengerusi Persatuan Guru Besar Malaysia (PPGB) WP Labuan, En Mohd Al Ghaffar bin Mohd Maidin.
 
Majlis Kenduri Kesyukuran JPWPL 2025 bukan sahaja menjadi simbol penghargaan atas pencapaian tahun ini, tetapi juga sebagai permulaan yang penuh harapan agar tahun mendatang terus diberkati dengan kecemerlangan, keberkatan dan kejayaan berterusan dalam ekosistem pendidikan WP Labuan.



PERKUKUH BUDAYA QURANI DALAM KALANGAN MURID, LAHIRKAN GENERASI BERILMU DAN BERAKHLAK MULIA

Labuan, 03 Disember 2025 – Hampir 54 peratus murid Tahun Enam sekolah rendah di Labuan berjaya khatam Al-Quran pada tahun ini.
 
Selain itu, Labuan juga mencatat peningkatan ketara dalam penguasaan Al-Quran, iaitu 99 peratus murid Tahun Enam berbanding 79.48 peratus pada tahun sebelumnya.
 
Timbalan Pengarah Sektor kurikulum Pendidikan Islam dan Bahasa Arab, Bahagian Pendidikan Islam Kementerian Pendidikan, Azizan Muhammad berkata kejayaan itu atas usaha pelaksanaan pelbagai program atau intervensi ke arah generasi Qurani.
 
Beliau berkata guru bukan sahaja melahirkan murid cemerlang dalam akademik tetapi juga membentuk insan beradab, berakhlak mulia dan memiliki jati diri kukuh.
 
“Sebenarnya untuk penguasaan Al-Quran dan khatam Al-Quran ini memang peranan dari semua pihak daripada pihak guru, pihak pentadbir sekolah dan juga masyarakat untuk memastikan murid ini dapat khatam dengan baik maknanya sudah pastilah kerjasama semua pihak yang terlibat sangat diperlukan untuk memastikan murid ini dapat khatam sepertimana yang diharapkan”, katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Gema Al-Quran 2025.
 
Program itu sempena Majlis Khatam Al-Quran Sekolah-Sekolah Rendah Kementerian Pendidikan peringkat Labuan yang berlangsung di Dewan Auditorium Sekolah Antarabangsa Labuan.
Hadir sama, Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, Yahya Ahmad Puteh.
 
Sementara itu, Program Gema Al-Quran dirangka bagi menyemarakkan kecintaan terhadap Al-Quran serta memotivasikan anak-anak untuk menguasai bacaan dan seterusnya khatam Al-Quran.
Dengan pendekatan itu, generasi Qurani mampu menjadi peneraju masa depan negara yang berilmu, beriman dan berakhlak mulia.
 
SUMBER BERITA : FB BES LABUAN



Program Pemantauan Fizikal Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI)

Labuan, 26 November 2025 — Program Pemantauan Fizikal Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) telah diadakan hari ini bersama Dr. Khalik Khassunah bin Muzir, Timbalan Pengarah Bahagian Pendidikan Khas, Kementerian Pendidikan Malaysia.
 
Lawatan ini memberi fokus kepada penilaian kemudahan, penyelarasan pelaksanaan program, serta keperluan penambahbaikan bagi memastikan PPKI di Labuan terus memenuhi standard perkhidmatan yang ditetapkan KPM. Dr. Khalik turut berinteraksi dengan pentadbir, guru dan murid bagi mendapatkan gambaran sebenar keperluan semasa di sekolah.
 
Pemantauan ini menjadi asas kepada perancangan penambahbaikan perkhidmatan pendidikan khas bagi tahun 2026.



Mesyuarat Sektor Pendidikan Khas JPWPL Bil. 2/2025 bersama Pengarah Pendidikan Labuan

Kundasang, 22 November 2025 — Sektor Pendidikan Khas Jabatan Pendidikan WP Labuan telah mengadakan Mesyuarat Bil. 2/2025 bersama Pengarah Pendidikan Labuan, Tuan Yahya bin Ahmad Puteh, di Kundasang Mount Garden dari 19 hingga 22 November 2025 bagi menetapkan KPI tahun 2026.
 
Mesyuarat memberi tumpuan kepada pemantapan pelaksanaan inklusif, peningkatan keberfungsian MBPK, pembangunan profesional guru serta pengukuhan penggunaan Pusat Perkhidmatan Pendidikan Khas (3PK). Pengarah menegaskan keperluan sasaran yang berimpak dan selaras dengan hala tuju pendidikan khas negara.
 
Lawatan kerja ke SMK Mat Salleh Ranau telah diadakan bagi perkongsian amalan terbaik dalam pengurusan program inklusif, pengurusan sukan dan sokongan murid serta perkongsian tatakelola SPK JPN SABAH.



Pusat Perkhidmatan Pendidikan Khas (3PK) Wilayah Persekutuan Labuan

Labuan, 25 November 2025 — Pusat Perkhidmatan Pendidikan Khas (3PK) Wilayah Persekutuan Labuan rasmi dibuka dalam satu majlis yang disempurnakan oleh Pengarah Pendidikan Labuan, Tuan Yahya bin Ahmad Puteh.
 
Penubuhan 3PK Labuan bertujuan menyediakan perkhidmatan sokongan pendidikan khas secara berpusat merangkumi intervensi awal, terapi, penilaian, pembangunan profesional guru serta penyelarasan program. Pusat ini dijangka menjadi tumpuan utama ibu bapa, sekolah dan agensi berkaitan dalam mendapatkan khidmat pakar secara lebih teratur.



Majlis Apresiasi Kecemerlangan Pendidikan Khas Peringkat Wilayah Persekutuan Labuan 2025

Labuan, 25 November 2025 – Majlis Apresiasi Kecemerlangan Pendidikan Khas Peringkat Wilayah Persekutuan Labuan 2025 berlangsung dengan jayanya hari ini dan telah dirasmikan oleh Dr. Khalik Khassunah bin Muzir, Timbalan Pengarah, Bahagian Pendidikan Khas, Kementerian Pendidikan Malaysia.
 
Program anjuran Sektor Pendidikan Khas, Jabatan Pendidikan WP Labuan ini diadakan bagi meraikan kecemerlangan murid berkeperluan pendidikan khas (MBPK), guru serta pembantu pengurusan murid (PPM) yang telah menunjukkan prestasi cemerlang sepanjang tahun.
 
Majlis turut menyaksikan penyampaian Tokoh Guru Pendidikan Khas dan pelbagai anugerah termasuk Cemerlang Akademik, Cemerlang Kokurikulum, Sahsiah Terpuji, Cemerlang Inovasi, Ikon Pendidikan Khas, serta anugerah kepada guru dan PPM atas komitmen mereka dalam memperkukuh pendidikan khas di Labuan.
 
Turut menyerikan majlis ialah persembahan murid pendidikan khas dan sesi fotografi bersama tetamu kehormat. Penganjuran program ini diharap dapat terus menyuntik semangat serta memperkasakan ekosistem pendidikan khas di Wilayah Persekutuan Labuan.