Majlis Tazwid Maharatul Jawdah Adduwali Cetus Kecintaan Terhadap Bahasa Arab

Labuan, 19 Julai 2025 – Dewan Kompleks Darul Kifayah bergema dengan semangat ilmu dan kecintaan terhadap bahasa Arab apabila Majlis Tazwid Maharatul Jawdah Adduwali diadakan dengan jayanya.

Program yang diselaraskan oleh Tuan Hj Hisham Abd Aziz dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan ini merupakan inisiatif perintis di bawah National Professional Qualification for Educational Leaders (NPQEL) yang mengangkat misi pengukuhan penguasaan bahasa Arab dalam kalangan murid kelas aliran agama (KAA) dan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) di Wilayah Persekutuan Labuan.

Majlis yang menghimpunkan pelajar Kelas Aliran Agama dari SMK Mutiara, SMK Rancha-Rancha serta SMA MAIWPL ini telah menekankan pelbagai objektif antaranya menyemai minat terhadap bahasa Arab sebagai bahasa al-Quran.

Perkongsian daripada Ustaz Ahmad Salehuddin Shafie Pegawai Atase Pendidikan Malaysia di Mesir berjaya membuka minda murid untuk melanjutkan pengajian ke Timur Tengah dan menyuntik semangat untuk cemerlang dalam subjek Bahasa Arab dalam Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) nanti.

Majlis tersebut diserikan dengan kalimah mufti daripada sahibus samahah Dr Nik Azlan Nik Man Timbalan Mufti Wilayah Persekutuan.

Beliau menekankan bahawa ilmu yang dipelajari mestilah disertai dengan adab, sebagaimana pesanan Imam Malik: “Pelajarilah adab sebelum kamu belajar ilmu.”

Majlis penutupan telah dirasmikan oleh Encik Yahya Ahmad Puteh, Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Pembelajaran merangkap Menjalankan Tugas Pengarah Pendidikan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan.

Dalam ucapan perasmian, Encik Yahya menegaskan bahawa pembelajaran bahasa Arab bukan sekadar memenuhi keperluan akademik, malah merupakan ibadah yang tinggi nilainya.

Beliau turut mengingatkan murid-murid bahawa penguasaan bahasa Arab ini akan membuka pelbagai peluang kerjaya dalam bidang pendidikan, penterjemahan, diplomasi, perdagangan dan pelancongan.

Majlis Tazwid Maharatul Jawdah Adduwali diharap menjadi titik mula kepada murid-murid untuk terus berusaha menguasai bahasa Arab, memperkukuh akhlak serta mencorak masa depan dengan ilmu yang bermanfaat.

Turut hadir dalam majlis ialah Ustaz Abdul Fattah Abdul Hafiz, Pengetua Darul Kifayah Labuan; Ustazah Kamariah Salim, Ketua Penolong Pengarah Sektor Pendidikan Islam JPWPL; Ustazah Siti Aminah Zakaria, Pengetua SMA MAIWPL; Ustaz Wan Azman Wan Awang, Pengetua SMK Rancha-Rancha, ustaz ustazah dan guru daripada tiga buah sekolah tersebut.




Menjulang Cita Menyemai Harapan

Labuan, 17 Julai 2025 – Mesyuarat Pengurusan Pendidikan Islam Bil. 2 Tahun 2025 telah berlangsung dengan jayanya pada pagi ini bertempat di Bilik Mesyuarat Botanikal, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan.

Mesyuarat yang bermula seawal jam 9.00 pagi ini dipengerusikan oleh Encik Yahya Ahmad Puteh, Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Pembelajaran, JPWPL.

Dalam ucapan alu-aluan pengerusi, beliau merakamkan penghargaan kepada Sektor Pendidikan Islam atas kesinambungan usaha menganjurkan mesyuarat strategik ini yang disifatkan sebagai wadah penting untuk memperkasa agenda pendidikan Islam secara holistik.

Pengerusi turut menegaskan pencapaian sekurang-kurangnya 95% calon SPM memperoleh kelulusan dalam subjek Pendidikan Islam sebagai indikator kejayaan mendidik generasi yang memahami dan menghayati agama.

Selain itu, pelbagai inisiatif diambil untuk memastikan murid menguasai Al Quran seperti Kem Literasi Al Quran, Kem Qawwam Junior, Kem Generasi MADANI: Al-Quran di Hati dengan kerjasama Yayasan Taqwa.

Usaha pemerkasaan Pendidikan Jawi turut dibincangkan. Sekolah showcase jawi, bengkel Kaedah Jawi untuk guru dan murid dan bengkel pra munsyi jawi akan diadakan bagi menyemarakkan lagi jawi di Labuan.

Penekanan turut diberikan terhadap rekod data Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) dan pemantauan bulanan data pencapaian Al Quran selaras dengan keperluan integriti pelaporan kepada Bahagian Pendidikan Islam, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Pengerusi turut menekankan pentingnya pengukuhan nilai rohani melalui pengimarahan surau dan musalla sekolah serta pengukuhan pelaksanaan Hadis 40 Imam Nawawi sebagai sebahagian usaha membina jati diri dan akhlak murid Islam.

Dalam ucapan penutupnya, beliau menegaskan peranan guru Pendidikan Islam sebagai murabbi dan agen pembentukan sahsiah murid, bukan sekadar penyampai ilmu semata-mata.

“GPI bukan biasa-biasa. Amanahnya berat, tugasnya mulia. Bukan sekadar ilmu diberi, bahkan akhlak, hati dan rohani,” ujar beliau dalam nada penuh semangat.

Mesyuarat diakhiri dengan sesi pembentangan dan perbincangan interaktif antara pihak jabatan dan pentadbir sekolah yang menjadikan platform ini sebagai medan musyawarah ke arah memperkukuh hala tuju Pendidikan Islam yang lebih berkesan di Wilayah Persekutuan Labuan.




Program Pengarah Pendidikan Turun Padang 2025 Semarakkan Semangat Calon SPM SMK Rancha-Rancha

LABUAN, 15 Julai 2025 – Suasana di SMK Rancha-Rancha pagi tadi disemarakkan dengan kehadiran barisan kepimpinan pendidikan negeri sempena Program Pengarah Turun Padang 2025 anjuran Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan (JPWPL).

Program ini dilaksanakan di bawah kelolaan Unit Hal Ehwal Murid, Sektor Pembangunan Murid, dengan matlamat utama menyantuni serta memberikan dorongan semangat kepada murid-murid Tingkatan 5 yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak lama lagi. Program ini merupakan sebahagian daripada usaha JPWPL untuk memastikan calon-calon SPM terus bersemangat, berdaya tahan dan berada pada landasan yang betul dalam menghadapi peperiksaan penting yang akan menentukan masa depan mereka.

Tuan Yahya bin Ahmad Puteh, Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Pembelajaran yang menjalankan tugas sebagai Pengarah Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, dalam ucapannya menyatakan bahawa pendekatan turun padang dan mendekati murid secara langsung adalah sangat penting bagi memberikan impak positif kepada emosi dan psikologi pelajar. Beliau turut menegaskan bahawa Jabatan Pendidikan Labuan tidak mahu murid-murid menghadapi tekanan yang berlebihan menjelang SPM, sebaliknya berharap mereka dapat menjalani tempoh persediaan ini dengan lebih yakin dan seimbang.

“Kita hadir hari ini bukan sekadar menyampaikan amanat, tetapi untuk menunjukkan bahawa kita prihatin dan sentiasa menyokong perjuangan guru-guru dan pelajar. Lawatan sebegini diharap dapat menyuntik semangat juang dalam diri calon-calon SPM,” ujar beliau.

Tuan Yahya bin Ahmad Puteh, Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Pembelajaran yang menjalankan tugas sebagai Pengarah Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan

Beliau turut menyatakan harapan besar untuk pencapaian SPM 2025, dengan sasaran 100% lulus dalam kalangan calon SMK Rancha-Rancha, sekali gus mencipta sejarah baharu kecemerlangan sekolah.

Program seumpama ini bukan sahaja menyemarakkan semangat dalam kalangan pelajar, tetapi turut mengukuhkan kerjasama antara pihak sekolah, jabatan pendidikan dan komuniti pendidikan setempat dalam merealisasikan aspirasi pendidikan negara.

Murid-murid Tingkatan 5 SMK Rancha-Rancha bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia 2025
Tuan Yahya bin Ahmad Puteh, Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Pembelajaran beramah mesra bersama calon SPM SMKRR 2025

Berita Oleh : SMK Rancha-Rancha




Setitis Darah, Sejuta Makna”: SMK Taman Perumahan Bedaun Anjur Kempen Derma Darah di Ujana Kewangan

Labuan, 12 Julai – Dengan semangat kemanusiaan dan nilai tolong-menolong yang tinggi, SMK Taman Perumahan Bedaun telah berjaya menganjurkan Kempen Derma Darah 2025 bertempat di Ruang Legar, Ujana Kewangan Labuan. Program ini berlangsung dari jam 9.00 pagi hingga 2.00 petang dengan membawa tema yang penuh makna, “Setitis Darah, Sejuta Makna”.

Kempen ini telah dianjurkan oleh Unit Sukan dan Kokurikulum SMK Taman Perumahan Bedaun dengan kerjasama Kelab Doktor Muda serta sokongan daripada Hospital Labuan dan pelbagai pihak komuniti. Objektif utama adalah untuk meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan menderma darah, serta menyemai nilai empati dan semangat sukarelawan dalam kalangan pelajar dan orang awam.

Sebanyak 48 beg darah berjaya dikumpulkan, mendekati sasaran 60 beg yang ditetapkan – satu pencapaian yang amat membanggakan dan sangat membantu tabung darah Hospital Labuan.

Para penderma yang hadir bukan sahaja menunjukkan keberanian dan keprihatinan, malah turut menerima sijil penghargaan serta goodies sebagai tanda terima kasih dan penghargaan atas jasa mereka.

Penaung program, Puan Norazita binti Md Nor @ Shamsuri, Pengetua SMK Taman Perumahan Bedaun, menyatakan bahawa program seperti ini mampu membentuk pelajar yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik tetapi juga peka terhadap isu-isu kemasyarakatan. En. Yee Choon Hian, Penolong Kanan Kokurikulum merangkap pengerusi program, turut memuji komitmen semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program ini.

Barisan jawatankuasa terdiri daripada guru-guru dan pelajar telah melaksanakan pelbagai tugasan termasuk logistik, publisiti, makanan dan minuman, dokumentasi serta pengurusan sijil dan cenderahati. Keseluruhan program berlangsung dalam suasana teratur, meriah dan penuh keinsafan.

Menurut penyelaras program, Pn. Nur Amirza Binti Mohamad Shokri, kempen ini juga memberi pendedahan langsung kepada pelajar tentang kepentingan merancang dan mengurus acara besar serta menjadikan mereka lebih bertanggungjawab terhadap komuniti.

Gambar-gambar yang dirakam sepanjang program memaparkan wajah-wajah ceria dan bersemangat para penderma dan sukarelawan, menjadikan kempen ini satu kenangan bermakna buat seluruh warga sekolah.

Pihak penganjur berharap program ini dapat diteruskan sebagai acara tahunan dan dijadikan inspirasi kepada institusi pendidikan lain dalam menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat.

Berita Oleh : SMK Taman Perumahan Bedaun




Karnival Kebolehpasaran MBPK 2025 peringkat Wilayah Persekutuan Labuan

Labuan, 12 Julai – Karnival Kebolehpasaran MBPK 2025 peringkat Wilayah Persekutuan Labuan telah dianjurkan pada 11-12 Julai 2025. Karnival KIK ini sebagai platform untuk mempamerkan kebolehan dan kemahiran Murid Berkeperluan Pendidikan Khas (MBPK) dalam bidang vokasional, keusahawanan dan kerjaya. Program ini selaras dengan usaha Kementerian Pendidikan Malaysia untuk memperkasakan potensi MBPK dalam aspek kebolehpasaran dan keterlibatan dalam ekonomi komuniti.
 
Kementerian Pendidikan telah berusaha bersama-sama dengan pelbagai agensi meneroka bidang TVET kepada MBPK bagi membuka mata banyak pihak atas keupayaan mereka. Sewajarnya, MBPK dilihat mampu bergerak secara inklusif seiring murid arus perdana dalam mencapai aspirasi pendidikan ke arah Malaysia MADANI. Justeru itu pelbagai peluang perlu disediakan dan diberikan kepada MBPK bagi mencorak masa depan mereka.




SSN SMK MUTIARA DAN SK TANJUNG ARU KUASAI TAKHTA OLAHRAGA MSSWP LABUAN 2025

Labuan, 10 Julai – Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah WP Labuan (MSSWPL) Kali Ke 24 Tahun 2025 telah melabuhkan tirainya pada petang 9 Julai 2025 di Kolej Matrikulasi Labuan. Kejohanan yang dikelolakan oleh SMK Pantai dan SK Lubok Temiang itu berlangsung selama 5 hari iaitu 3-4 Julai 2025 bagi acara padang dan 7-9 Julai 2025 bagi acara balapan. Majlis Perasmian Pembukaan diadakan pada 7 Julai 2025 manakala Majlis Perasmian Penutupan dilangsungkan pada 9 Julai 2025 disempurnakan oleh En Yahya bin Ahmad Puteh, Timbalan Pengarah Sektor Pembelajaran, menjalankan tugas Pengarah Jabatan Pendidikan WP Labuan.
 
Kejohanan kali ini melibatkan penyertaan 18 buah sekolah rendah dan 12 buah sekolah menengah termasuk Kolej Vokasional Labuan, dengan pelibatan seramai 714 orang atlet yang mewakili pelbagai kategori umur dan acara.
 
Bagi kategori sekolah menengah, Sekolah Sukan Negeri (SSN) SMK Mutiara telah dinobatkan sebagai johan keseluruhan. SSN SMK Mutiara menguasai kutipan pingat dengan 32 emas, 16 perak dan 12 gangsa, diikuti SMK Pantai di tempat kedua dengan kutipan 13 emas, 20 perak dan 15 gangsa, SMK Rancha-Rancha di tempat ketiga dengan 5 emas, 7 perak dan 11 gangsa, SM St Anthony di tempat keempat dengan 4 emas, 3 perak dan 7 gangsa, manakala SMK Labuan di tempat kelima dengan 3 emas, 8 perak dan 8 gangsa.
 
Bagi kategori sekolah rendah pula SK Tanjung Aru mengungguli gelaran johan keseluruhan sekolah rendah dengan kutipan pingat 5 emas, 3 perak dan 2 gangsa. SK Sungai Bedaun di tempat kedua dengan 2 emas dan 6 perak, SK Kerupang di tempat ketiga dengan 2 emas, 4 perak dan 4 gangsa, SK Pantai di tempat keempat dengan 1 emas, 2 perak dan 2 gangsa, manakala SK Bukit Kallam di tempat kelima dengan 1 emas dan 1 perak.
 
Sebanyak 13 rekod baharu telah dicatat sepanjang kejohanan ini iaitu :.
• Acara Lompat Jauh P12 : Nurin Husna Binti Mohd Azzlan (SK Bebuloh)
• Lempar Cakera P15 : Rabiatul Damia Binti Erwan (SSN SMK Mutiara)
• Lompat Kijang P15 : Afiqah Binti Pajiri (SSN SMK Mutiara)
• Lontar Pelur L15 : Muhammad Sulaiman Bin Hasnul Hadi (SMK Pantai)
• Lontar Peluru P15 : Nur Afza Afiqah Binti Ali Omar (SMK Pantai)
• Lompat jauh L15 : Muhammad Edzul Fahmie Bin Mohd Rezal (SMK Pantai)
• 1500M L18 : Muhammad Aiman Bin Khamis (SSN SMK Mutiara)
• 3000M Terbuka : Muhammad Aiman Bin Khamis (SSN SMK Mutiara)
• 200M P15 : Siti Aira Binti Azmi (SSN SMK Mutiara)
• 400M L18 : Mohammad Nafiq Bin Hussin (SSN SMK Mutiara)
• 800M L18 : Mohammad Nafiq Bin Hussin (SSN SMK Mutiara)
• 4X100M P15 SSN SMK Mutiara
• 4X100M L15 SSN SMK Mutiara
 
Olahragawan Sekolah Rendah dimenangi oleh Muhammad Aniq Aminin bin Robbin dari SK Kerupang manakala Olahragawan Sekolah Menengah dimenangi oleh Mohammad Nafiq bin Hussin dari SSN SMK Mutiara.
 
Olahragawati Sekolah Rendah dimenangi bersama oleh Nur Izz Zayani binti Maswandie dari SK Tanjung Aru dan Nurin Husna binti Mohd Azzlan dari SK Bebuloh, manakala Olahragawati Sekolah Menengah dimenangi bersama oleh Noraina binti Muslimin dan Afiqah binti Pajiri , kedua-duanya dari SSN SMK Mutiara.
 
Dalam ucapan perasmian penutupan, En Yahya bin Ahmad Puteh, Timbalan Pengarah Sektor Pembelajaran, menjalankan tugas Pengarah Jabatan Pendidikan WP Labuan mengucapkan tahniah kepada sekolah pengelola bersama iaitu SMK Pantai dan SK Lubok Temiang atas pengelolaan kejohanan yang cekap dan teratur serta telah mengusahakan pembaharuan dengan memperkenalkan penggunaan Semi Electronic Timing System untuk memastikan ketepatan dan kesahihan catatan masa, sekali gus membantu melancarkan urusan teknikal pertandingan. Beliau juga berharap kejohanan kali ini dapat memilih barisan atlet terbaik yang akan membawa cabaran MSSWP Labuan ke Kejohanan Olahraga MSSM yang akan berlangsung pada 17-24 Ogos 2025 di Perlis Indera Kayangan.
 
Kejohanan ini juga mendapat perhatian dan sokongan pelbagai pihak. Antara yang hadir ialah En Hasnul Hadi bin Haji Sariman Pengarah Kolej Matrikulasi Labuan, Tuan Haji Sawal bin Salleh Timbalan Pengarah Sektor Pengurusan Sekolah, En Awang Marten bin Datuk Haji Abd Rahman Timbalan Pengarah Sektor Pembangunan Murid, En Ismail bin Abdullah Pengetua SMK Pantai serta Pn Rohaimie binti Samsu Penolong Kanan Pentadbiran menjalankan tugas Guru Besar SK Lubok Temiang selaku pengelola bersama kejohanan ini. Turut hadir ialah Ketua-Ketua Penolong Pengarah, Ketua Kaunselor Negeri, Pengetua dan Guru Besar sekolah-sekolah WP Labuan.
 
Majlis Perasmian Penutupan Kejohanan diakhiri dengan upacara penyerahan bendera kejohanan kepada sekolah pengelola Kejohanan Olahraga MSSWPL Kali Ke 25 tahun 2026. En Yahya bin Ahmad Puteh menyerahkan bendera kejohanan kepada Puan Norazita binti Md Nor @ Shamsuri Pengetua SMK Taman Perumahan Bedaun dan Puan Mahani binti Hussin Guru Besar SK Kerupang.




SSN SMK MUTIARA DAN SK TANJUNG ARU KUASAI TAKHTA OLAHRAGA MSSWP LABUAN 2025

Labuan, 10 Julai – Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah WP Labuan (MSSWPL) Kali Ke-24 Tahun 2025 telah melabuhkan tirainya pada petang 9 Julai 2025 di Kolej Matrikulasi Labuan. Kejohanan yang dikelolakan oleh SMK Pantai dan SK Lubok Temiang itu berlangsung selama 5 hari iaitu 3 – 4 Julai 2025 bagi acara padang dan 7-9 Julai 2025 bagi acara balapan.

Majlis Perasmian Pembukaan diadakan pada 7 Julai 2025 manakala Majlis Perasmian Penutupan dilangsungkan pada 9 Julai 2025 disempurnakan oleh Encik Yahya bin Ahmad Puteh, Timbalan Pengarah Sektor Pembelajaran, menjalankan tugas Pengarah Jabatan Pendidikan WP Labuan.

Kejohanan kali ini melibatkan penyertaan 18 buah sekolah rendah dan 12 buah sekolah menengah termasuk Kolej Vokasional Labuan, dengan pelibatan seramai 714 orang atlet yang mewakili pelbagai kategori umur dan acara.

Bagi kategori sekolah menengah, Sekolah Sukan Negeri (SSN) SMK Mutiara telah dinobatkan sebagai johan keseluruhan. SSN SMK Mutiara menguasai kutipan pingat dengan 32 emas, 16 perak dan 12 gangsa, diikuti SMK Pantai di tempat kedua dengan kutipan 13 emas, 20 perak dan 15 gangsa, SMK Rancha-Rancha di tempat ketiga dengan 5 emas, 7 perak dan 11 gangsa, SM St Anthony di tempat keempat dengan 4 emas, 3 perak dan 7 gangsa, manakala SMK Labuan di tempat kelima dengan 3 emas, 8 perak dan 8 gangsa.

Bagi kategori sekolah rendah pula SK Tanjung Aru mengungguli gelaran johan keseluruhan sekolah rendah dengan kutipan pingat 5 emas, 3 perak dan 2 gangsa. SK Sungai Bedaun di tempat kedua dengan 2 emas dan 6 perak, SK Kerupang di tempat ketiga dengan 2 emas, 4 perak dan 4 gangsa, SK Pantai di tempat keempat dengan 1 emas, 2 perak dan 2 gangsa, manakala SK Bukit Kallam di tempat kelima dengan 1 emas dan 1 perak.

Sebanyak 13 rekod baharu telah dicatat sepanjang kejohanan ini iaitu :.

  • Acara Lompat Jauh P12 : Nurin Husna Binti Mohd Azzlan (SK Bebuloh)
  • Lempar Cakera P15 : Rabiatul Damia Binti Erwan (SSN SMK Mutiara)
  • Lompat Kijang P15 : Afiqah Binti Pajiri (SSN SMK Mutiara)
  • Lontar Pelur L15 : Muhammad Sulaiman Bin Hasnul Hadi (SMK Pantai)
  • Lontar Peluru P15 : Nur Afza Afiqah Binti Ali Omar (SMK Pantai)
  • Lompat jauh L15 : Muhammad Edzul Fahmie Bin Mohd Rezal (SMK Pantai)
  • 1500M L18 : Muhammad Aiman Bin Khamis (SSN SMK Mutiara)
  • 3000M Terbuka : Muhammad Aiman Bin Khamis (SSN SMK Mutiara)
  • 200M P15 : Siti Aira Binti Azmi (SSN SMK Mutiara)
  • 400M L18 : Mohammad Nafiq Bin Hussin (SSN SMK Mutiara)
  • 800M L18 : Mohammad Nafiq Bin Hussin (SSN SMK Mutiara)
  • 4X100M P15 SSN SMK Mutiara
  • 4X100M L15 SSN SMK Mutiara

Olahragawan Sekolah Rendah dimenangi oleh Muhammad Aniq Aminin bin Robbin dari SK Kerupang manakala Olahragawan Sekolah Menengah dimenangi oleh Mohammad Nafiq bin Hussin dari SSN SMK Mutiara.

Olahragawati Sekolah Rendah dimenangi bersama oleh Nur Izz Zayani binti Maswandie dari SK Tanjung Aru dan Nurin Husna binti Mohd Azzlan dari SK Bebuloh, manakala Olahragawati Sekolah Menengah dimenangi bersama oleh Noraina binti Muslimin dan Afiqah binti Pajiri , kedua-duanya dari SSN SMK Mutiara.

Dalam ucapan perasmian penutupan, Encik Yahya bin Ahmad Puteh, Timbalan Pengarah Sektor Pembelajaran, menjalankan tugas Pengarah Jabatan Pendidikan WP Labuan mengucapkan tahniah kepada sekolah pengelola bersama iaitu SMK Pantai dan SK Lubok Temiang atas pengelolaan kejohanan yang cekap dan teratur serta telah mengusahakan pembaharuan dengan memperkenalkan penggunaan Semi Electronic Timing System untuk memastikan ketepatan dan kesahihan catatan masa, sekali gus membantu melancarkan urusan teknikal pertandingan. Beliau juga berharap kejohanan kali ini dapat memilih barisan atlet terbaik yang akan membawa cabaran MSSWP Labuan ke Kejohanan Olahraga MSSM yang akan berlangsung pada 17-24 Ogos 2025 di Perlis Indera Kayangan.

Kejohanan ini juga mendapat perhatian dan sokongan pelbagai pihak. Antara yang hadir ialah En Hasnul Hadi bin Haji Sariman Pengarah Kolej Matrikulasi Labuan, Tuan Haji Sawal bin Salleh Timbalan Pengarah Sektor Pengurusan Sekolah, En Awang Marten bin Datuk Haji Abd Rahman Timbalan Pengarah Sektor Pembangunan Murid, En Ismail bin Abdullah Pengetua SMK Pantai serta Pn Rohaimie binti Samsu Penolong Kanan Pentadbiran menjalankan tugas Guru Besar SK Lubok Temiang selaku pengelola bersama kejohanan ini. Turut hadir ialah Ketua-Ketua Penolong Pengarah, Ketua Kaunselor Negeri, Pengetua dan Guru Besar sekolah-sekolah WP Labuan.

Majlis Perasmian Penutupan Kejohanan diakhiri dengan upacara penyerahan bendera kejohanan kepada sekolah pengelola Kejohanan Olahraga MSSWPL Kali Ke 25 tahun 2026. En Yahya bin Ahmad Puteh menyerahkan bendera kejohanan kepada Puan Norazita binti Md Nor @ Shamsuri Pengetua SMK Taman Perumahan Bedaun dan Puan Mahani binti Hussin Guru Besar SK Kerupang.

Berita Oleh : Encik Ismail Abdullah, Pengetua SMK Pantai

 




Amanat Pengurusan: Semarakkan Semangat Peserta MQSS WP Labuan ke peringkat kebangsaan

Labuan, 10 Julai 2025 – Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Pembelajaran menjalankan tugas Pengarah Pendidikan, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, Tuan Yahya Ahmad Puteh, telah menyampaikan amanat khas kepada 14 peserta Mahrajan Al Quran Sekolah-sekolah (MQSS) yang akan mewakili Wilayah Persekutuan Labuan ke Peringkat Kebangsaan.

Majlis berkenaan telah diadakan di Bilik Benua, Sektor Sumber Teknologi Pendidikan (SSTP) sempena persiapan akhir sebelum para peserta berlepas ke pertandingan yang akan berlangsung di Politeknik Merlimau, Melaka, bermula 11 hingga 13 Julai 2025.

Dalam ucapannya, Tuan Yahya menzahirkan penghargaan dan rasa bangga terhadap komitmen serta kesungguhan semua peserta yang terdiri daripada pelajar sekolah rendah dan menengah. Beliau turut menekankan bahawa MQSS bukan sekadar suatu pertandingan, malah merupakan wadah penting dalam memperkasakan syiar Islam serta memupuk kecintaan terhadap Al-Quran dalam kalangan generasi muda.

Sebanyak enam kategori penyertaan daripada kontingen WP Labuan iaitu: • Tilawah Al-Quran (Sekolah Rendah dan Menengah), • Hafazan Al-Quran (Sekolah Rendah dan Menengah), • Qiraat Sab’i (Menengah Rendah dan Menengah Atas).

Majlis turut diserikan dengan penyerahan t-shirt rasmi kontinjen kepada semua peserta sebagai simbol sokongan dan kesatuan dalam membawa nama Labuan ke persada kebangsaan.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Ketua Penolong Pengarah Sektor Pendidikan Islam (SPI) ustazah Kamariah Salim, Penolong Pengarah Unit Adab dan Nilai SPI ustaz Syahnon Othman, jurulatih guru pengiring dan ibu bapa yang memainkan peranan penting dalam membimbing serta memberi dorongan kepada para peserta.

Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dan mengharapkan agar para peserta dapat menampilkan prestasi terbaik serta membawa pulang kejayaan yang membanggakan.




Kem Interaksi Pemimpin Muda 4.0 Bina Jati Diri Dan Kepimpinan Pelajar Sekolah Menengah Labuan

LABUAN, 4 Julai 2025 – Seramai 59 orang pelajar sekolah menengah telah menyertai Kem Interaksi Pemimpin Muda (KIPM) 4.0 yang berlangsung di Pusat Kokurikulum Negeri, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan (JPWPL) pada 27 hingga 29 Jun 2025. 

Program anjuran Kelab Mahasiswa Harmoni, Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) itu melibatkan penyertaan daripada tiga buah sekolah iaitu SMK Lajau, SMK Pantai dan Sekolah Menengah Aagama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) Labuan serta dibantu oleh 39 mahasiswa UMSKAL sebagai fasilitator.

KIPM 4.0 memberi fokus kepada pembangunan kepimpinan dan pembinaan jati diri melalui pendekatan holistik dan interaktif. 

Antara pengisian utama ialah Latihan Dalam Kumpulan (LDK), aktiviti explorace, senamrobik, qiamullail dan sesi perkongsian motivasi bersama dua penceramah jemputan iaitu Setiausaha Agung Pertubuhan IKRAM Malaysia yang juga penceramah motivasi, Mohd Hafiz Abd Hamid dan Timbalan Ketua Pegawai Psikologi, UMSKAL, Nur Iman Reedzal,

Penyelaras program, Nurul Izzati Abd Razak berkata, KIPM 4.0 bukan sahaja bertujuan mencungkil potensi kepimpinan dalam kalangan pelajar, malah memberi ruang kepada mereka untuk berehat seketika daripada tekanan akademik dengan pendekatan pembelajaran yang menyeronokkan dan membina.

Melalui slot motivasi, rohani dan sesi LDK, peserta didedahkan kepada nilai-nilai murni dalam kepimpinan serta kemahiran insaniah seperti komunikasi, kerjasama dan penyelesaian masalah. 

Ini penting untuk melahirkan generasi muda yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik tetapi juga berintegriti dan berdaya saing pada masa hadapan.

Program tahunan ini merupakan edisi keempat sejak diperkenalkan oleh Kelab Mahasiswa Harmoni UMSKAL dan telah menjadi salah satu inisiatif penting dalam membina hubungan erat antara mahasiswa dan komuniti sekolah di Labuan.

Program selama tiga hari itu mendapat kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Wilayah Persekutuan Labuan (JPWPL) dan Pusat Kokurikulum Negeri, Jabatan Pendidikan Labuan.

Majlis penutupan disempurnakan oleh Penolong Kanan Pentadbiran SMK Lajau, Izawaty Ismail.

Turut hadir penceramah jemputan, Mohd Hafiz Abdul Hamid, Pengetua SMK Pantai, Ismail Abdullah dan wakil SMA MAIWP Labuan, Fakhrul Anuar Mohd Sabri.

Hadir Pengarah Program, Nur Farazirah Harris Kennedy dan Penyelaras program, Nurul Izzati Abd Razak.




BUKU “MENJAGA KESIHATAN DENGAN PENGAMBILAN UBAT YANG BETUL” DIRASMIKAN DI PESTA BUKU LABUAN 2025

Labuan, 25 Jun 2025 – Pesta Buku Labuan 2025 terus menyinar dengan pelancaran buku informatif bertajuk “Menjaga Kesihatan dengan Pengambilan Ubat yang Betul”, hasil karya Suriani Oxley, SISC+ Unit Sains Sosial, Sektor Pembelajaran, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan. Buku ini diterbitkan dengan kerjasama Unit Farmasi, Hospital Membidai Labuan dan dilancarkan secara rasmi di Dataran Anggerik, Ujana Kewangan Labuan.
 
Majlis pelancaran telah disempurnakan oleh Tuan Timbalan Pengarah Sektor Pembelajaran, Encik Yahya Ahmad Puteh yang menjalankan tugas Pengarah Pendidikan WP Labuan. Dalam ucapannya, beliau menekankan kepentingan literasi kesihatan dalam kalangan murid dan masyarakat, khususnya berkaitan amalan pengambilan ubat yang betul demi kesejahteraan jangka panjang.
 
Buku ini mengandungi lima cerita pendek yang menggariskan kepentingan pengambilan ubat mengikut konsep 5B, iaitu bentuk ubat, bila diambil, berapa banyak, bagaimana cara mengambil, dan berapa lama perlu diambil. Pendekatan penceritaan yang mudah difahami menjadikan buku ini sumber rujukan bermanfaat kepada warga sekolah dan ibu bapa dalam mendidik anak-anak tentang penjagaan kesihatan secara bertanggungjawab.
 
Majlis turut diserikan dengan kehadiran Pegawai Farmasi dari Hospital Membidai Labuan, Puan Farah Ayuni binti Ghazali dan Encik Heriman bin Mahali, yang turut menyampaikan taklimat ringkas mengenai kempen “Kenali Ubat Anda”.
 
Turut diraikan ialah Duta Kenali Ubat Anda dari empat buah sekolah:
Hasnan Mohd Saad (SK Pantai)
Suhartini Oxley (SM Sains Labuan)
Noorlihan Abdul Alip (SK Sungai Lada)
Sapri Idris (SMK Rancha-Rancha)
 
Kehadiran mereka menandakan komitmen sekolah-sekolah di Labuan dalam menyokong usaha memperkukuh kesedaran tentang kepentingan ubat dan kesihatan secara menyeluruh.
Pelancaran buku ini bukan sahaja mencerminkan sinergi antara sektor pendidikan dan kesihatan, malah membuka ruang kolaborasi baharu dalam memperkasa pendidikan kesihatan dalam komuniti sekolah.