Majlis Peluncuran Kempen Amalan Pemakanan Sihat Peringkat Wilayah Persekutuan Labuan

Labuan, 17 Jun 2024 – Majlis Peluncuran Kempen Amalan Pemakanan Sihat Peringkat Wilayah Persekutuan Labuan telah berlangsung pada 14 Jun 2024 bertempat di Dewan Sri Kedayan, SK Sg Lada.

Majlis telah disempurnakan oleh Timbalan Pengarah Sektor Pembangunan Murid, Encik Awang Marten bin Datuk Haji Abdul Rahman.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) komited membudayakan amalan pemakanan berkhasiat dan seimbang dalam kalangan murid dan pelajar sekolah di seluruh negara bagi melahirkan masyarakat yang sihat.

SK Sg Lada dan SMK Pantai merupakan pengelola bersama bagi program ini. Majlis turut dihadiri oleh Yang Dipertua Majlis Pengetua Sekolah Malaysia Cawangan W.P Labuan, Encik Ismail bin Abdullah, Yang Dipertua Majlis Guru Besar, Encik Mohamed Al Ghaffar bin Haji Mohamed Maidin, Yang Dipertua PIBG SK Sg Lada, Puan Syarifah Azizah binti Wan Semawi, pegawai-pegawai dari Jabatan Pendidikan W.P Labuan, guru-guru dan murid-murid dari dua buah sekolah pengelola.

Majlis dimeriahkan lagi dengan pameran-pameran berkaitan dengan amalan pemakanan sihat dan selamat yang dipamerkan di reruai Seksyen Pemakanan dan Bahagian Keselamatan & Kualiti Makanan (BKMM) dari Jabatan Kesihatan Negeri W.P Labuan, Kelab Doktor Muda SK Sungai Lada dan SMK Pantai.




MESYUARAT PIBG MEDAN ERAT KERJASAMA GURU, IBU BAPA DAN KOMUNITI SMK LABUAN

Sekolah Menengah Kebangsaan Labuan (SMKL) telah berjaya mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (MAT PIBG) kali ke-26 pada hari Sabtu lalu, 18 Mei 2024.  Lebih 300 orang ibu bapa dan guru hadir bagi menjayakan majlis tersebut yang diadakan di Dewan Juara, SMK Labuan. Majlis yang bermula tepat pada jam 8 pagi itu dibanjiri hadirin seawal jam 7 pagi.

Majlis dimulai dengan ucapan alu-aluan oleh Yang dipertua PIBG lama SMK Labuan, Tuan Haji Md. Yussof bin Hj ChuChu. Di kesempatan itu, beliau menyatakan rasa Syukur dan terima kasih kepada pihak sekolah dan hadirin kerana telah memberikan sepenuhnya kepercayaan dan sokongan kepadanya dalam menerajui kepimpinan Persatuan Ibu-Bapa dan Guru.

Seterusnya, Pengetua SMK Labuan, Encik Mohd Nizam bin Yasim dalam ucapan perasmiannya menyeru ibu bapa agar memberikan kerjasama dan kepercayaan yang penuh kepada barisan guru dalam mendidik anak-anak mereka ketika berada di sekolah.

Beliau juga berharap ibu bapa dapat memberikan komitmen dan menyokong penuh semua aktiviti anjuran sekolah bagi menjayakan semua aktiviti sekolah ke arah kemenjadian murid SMK Labuan yang unggul. Sokongan itu juga dimaklumkan berupa bentuk sumbangan pembayaran PIBG di mana tidak sampai separuh daripada bilangan murid membuat bayaran sumbangan tersebut.

Beliau menjelaskan bayaran sumbangan itu diperlukan bagi tujuan membaik-pulih fasiliti sekolah seperti kipas, meja dan lampu yang mana pada masa ini pembaik-pulih dilakukan oleh guru-guru sendiri demi keselesaan murid. Beliau juga berterima kasih atas inisiatif ibu bapa yang turut menyumbang kipas elektrik kepada sekolah untuk kegunaan murid.

Pada akhir ucapannya, beliau memaklumkan bahawa faktor keselamatan di jalan raya dikawal selia oleh pegawai keselamatan sekolah. Oleh itu, ibu-bapa tidak perlu risau atas keselamatan anak-anak semasa berada di sekolah.

Ucapan perasmian oleh Pengetua SMK Labuan, Encik Mohd Nizam bin Yasim

Selain daripada itu, Majlis juga menjemput ASP Francisca Duliat, ASP Siasatan Perundangan, Bahagian Siasatan Jenayah IPD Labuan selaku pegawai perhubungan sekolah untuk berucap dan berkongsi mengenai isu buli yang kian berleluasa di sekolah. Beliau berkongsi jenis-jenis buli dan juga memberi peringatan kepada ibu bapa agar tidak bertindak bersendirian tanpa melakukan prosedur yang betul bagi menangani isu buli.

Antara agenda utama Mesyuarat PIBG Kali Ke-26 adalah pembubaran Ahli Jawatankuasa PIBG yang lama serta pelantikan YDP yang baharu iaitu Puan Susanna Koh dan AJK PIBG Sesi 2024 serta perbahasan usul dan perkongsian idea untuk memajukan SMKL.

MAT PIBG kali ke-26 ini turut diserikan dengan cabutan bertuah. Hadiah utama bagi cabutan bertuah ialah sebuah peti sejuk berjenama Haier yang telah dimenangi oleh ibu pelajar yang bertuah iaitu Puan Misbah binti Taib.

Berita Oleh : SMK Labuan

Mesyuarat PIBG berlangsung
Para ibu bapa yang hadir
Pemenang hadiah utama cabutan bertuah



SMK PANTAI CIPTA SEJARAH LULUS 100% SPM 2023

SMK Pantai berjaya mencatat sejarah baharu apabila semua calon SPM 2023 lulus dan layak mendapat sijil SPM berbanding  94.77% pada tahun 2022. Ini merupakan kali pertama SMK Pantai mencapai lulus 100% sejak sekolah ini ditubuhkan pada 2002.

Gred Purata Sekolah juga menunjukkan peningkatan besar  dengan pencapaian 4.33 berbanding 4.65 pada tahun 2022.

Jumlah murid yang mendapat semua A dalam semua mata pelajaran juga meningkat iaitu seramai 4 orang berbanding 2 orang pada tahun 2022. Jumlah murid yang mendapat 6A ke atas juga meningkat kepada 22 orang berbanding 14 orang pada 2022.

Murid terbaik SPM 2023 ialah Nur Waheeda binti Mohd Rizal yang mendapat 9A+ dalam semua mata pelajaran yang diambil iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sejarah, Matematik, Sains, Pendidikan Islam, Perniagaan, Prinsip Perakaunan dan Ekonomi. Nur Waheeda merupakan anak jati Labuan yang tinggal di Kampung Tanjung Aru WP Labuan. Ayahnya Mohd Rizal bin Usin merupakan seorang Juruteknik Komputer manakala ibunya Noraini binti Samsu merupakan Penolong Pendaftar Kanan di UMS Kampus Antarabangsa Labuan. Anak sulung daripada 4 orang adik beradik ini bercita-cita menjadi seorang akauntan.

Nurin Aisyah binti Rinatho mendapat 9A iaitu A+ dalam mata pelajaran Ekonomi, A dalam mata pelajaran Bahasa Melayu, Pendidikan Islam, Sejarah, Matematik, Sains, Prinsip Perakaunan dan Perniagaan, serta A- dalam mata pelajaran Bahasa Inggeris. Ayahnya Rinatho bin Nunchi adalah seorang Pegawai Kaunseling, manakala ibunya merupakan suri rumah tangga sepenuh masa. Anak sulung daripada 6 adik beradik ini bercita-cita menjadi seorang Ahli Ekonomi atau Akauntan.

Nurin Aisyah dan ibu bapa bersama Pengetua dan Penolong-penolong kanan SMK Pantai

Harizah Syafiqah binti Hasto mendapat 9A iaitu A+ dalam Bahasa Melayu, Sejarah dan Prinsip Perakaunan, A dalam Bahasa Inggeris, Matematik, Sains, Perniagaan dan Ekonomi, dan A- dalam Pendidikan Islam. Ayahnya Hasto binti Zakaria bertugas di TUDM dan ibunya Lina binti Abdul Rasyid seorang kerani bank. Anak pertama daripada 3 orang adik beradik ini bercita-cita menjadi Akauntan.

Nur Alisya Nuriena binti Mohamad Azrie mendapat 9A iaitu A+ dalam Matematik, A dalam Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Kimia, dan A- dalam Pendidikan Islam, Sejarah, Matematik Tambahan, Fizik dan Biologi. Ayahnya Mohamad Azrie bin Hamzah bertugas di TUDM manakala ibunya Mimi Fazura binti Zulkifflee seorang suri rumah sepenuh masa.  Anak sulung daripada 4 orang adik beradik ini bercita-cita menjadi Ahli Veterinar.

Nur Aliesya Nuriena bersama keluarga

Pengetua SMK Pantai, Encik Ismail bin Abdullah berkata kejayaan ini adalah hasil usaha dan kerjasama kolektif semua guru, ibu bapa, PIBG serta murid-murid calon SPM 2023 sejak daripada awal lagi. Program intervensi yang dirancang dan dilaksanakan secara berterusan mendapat sokongan padu dari pada PIBG yang sentiasa menyumbang aspek kewangan untuk menjayakan program yang dijalankan.

Pengurusan kurikulum juga diberi perhatian secara teliti dan berterusan oleh pengetua dan para pentadbir., Guru-guru berusaha melaksanakan pelbagai intervensi yang berbeza dan disesuaikan untuk kumpulan murid lemah, sederhana dan cemerlang.

Pengetua mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada guru-guru, ibu bapa, PIBG serta Jabatan Pendidikan WP Labuan yang turut menyumbang kepada kejayaan bersejarah ini. Matlamat lebih tinggi akan ditetapkan untuk SPM 2024 setelah post mortem SPM 2023 dilaksanakan nanti.

Berita Oleh : SMK Pantai

Murid-murid yang mencapai 6A ke atas bersama Pengetua dan Penolong2 Kanan SMK Pantai



NADWAH KEPEMIMPINAN ISLAM SEKOLAH-SEKOLAH (NKISS) PERINGKAT W.P. LABUAN TAHUN 2024: MEMBINA KARAMAH INSANIAH PEMIMPIN MUDA

Mohd Nizam menyampaikan ucapan dalam Majlis Perasmian Penutupan NKISS 2024

LABUAN: Nadwah Kepemimpinan Islam Sekolah-sekolah (NKISS) Kementerian Pendidikan Malaysia Peringkat W.P.Labuan diadakan dengan jayanya bermula 10 hingga 11 Mei 2024 di Bilik Benua Sektor Sumber Teknologi Pendidikan (SSTP)

Nadwah Kepemimpinan Islam merupakan kesinambungannya bagi melahirkan saf kepemimpinan pelajar yang berketerampilan selari dengan tuntutan Islam bahawa kepimpinan adalah amanah Allah S.W.T.

NKISS dianjurkan untuk memberi pendedahan kepada para peserta dengan ilmu, kemahiran dan gaya kepemimpinan wasatiyyah agar mampu menguruskan keperluan dan cabaran persekitaran semasa berlandaskan kepemimpinan Rasulullah S.A.W.

Seramai 40 peserta daripada semua sekolah menengah menyertai NKISS yang dikelolakan oleh Sekolah Menengah Kebangsaan Labuan. Antara pengisian program bermula ialah perkongsian ilmu bertajuk “Adab Sebelum Ilmu” yang disampaikan oleh ustaz Muhd Zhulfikar Muhamad Jifri manakala ceramah kedua bertajuk “Pemuda Hari Ini, Pemimpin Masa Hadapan” yang disampaikan oleh ustaz Ahmad Fariz Mohd Zaini.

Taklimat keselamatan dan tatacara program telah disampaikan oleh kem komander ustaz Muhd Hanis Mohd Jol. Manakala Ice breaking dikelolakan ustaz Muhammad Izzuddin Mahamad Nazeri. Para peserta turut berpeluang mempersembahkan bakat dalam pengucapan awam dalam slot Inspirasi Madani dengan bimbingan jurulatih-jurulatih Nadwah.  

Majlis Penutupan telah disempurnakan oleh Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Perancangan, Noraini binti Sahbudin, wakil rasmi Pengarah Pendidikan JPWPL. Dalam ucapannya beliau turut mengingatkan para peserta agar mengutip sebanyak mungkin pengalaman yang dipelajari dan dikongsikan bersama rakan-rakan di sekolah kelak.

“Anda adalah golongan pemangkin kepada kecemerlangan  dan keutuhan  ummah. Ummah   sesebuah   tamadun   akan   goncang   jika   jiwa   anak-anak muda  gersang dari nilaian Islam dan modal insan yang sepatutnya” ujarnya.

Sementara itu, Pengetua SMK Labuan Mohd Nizam Yassim turut mengingatkan para peserta agar terus belajar menjadi pemimpin yang baik dan berakhlak mulia.

 

“Nikmat seorang guru apabila melihat anak muridnya lebih berjaya daripada dirinya sendiri. Guru tiada perasaan iri hati terhadap kejayaan anak murid. Tugas guru adalah memastikan kemenjadian anak murid”, ujarnya lagi.

 

Turut hadir dalam NKISS ialah Ketua Penolong Pengarah Sektor Pendidikan Islam Kamariah Salim, Penolong Pengarah Unit Adab dan Nilai, SPI ustaz Syahnon Othman, Ketua bidang Kemanusiaan SMK Labuan Lihah Amat, Ketua Panitia daripada semua sekolah menengah dan jurulatih dakwah negeri.

 

Noraini Sahbudin, wakil rasmi Pengarah Pendidikan merasmikan Majlis Penutupan NKISS peringkat Wilayah Persekutuan Labuan Tahun 2024

Peserta terbaik lelaki menerima Sijil Penghargaan daripada Noraini.

Barisan Jurulatih Dakwah Negeri dan urus setia NKISS merakamkan gambar kenangan.

Peserta Nadwah bersama barisan Jurulatih dan urus setia merakamkan gambar kenangan.




Program Kursus Kepimpinan Pemimpin Muda Sekolah (Pembimbing Rakan Sebaya, Pengawas Sekolah, Dan Pengawas Pusat Sumber) 2024 SMK Labuan.

04 Mei 2024 – Program Kursus Kepimpinan Pemimpin Muda Sekolah (Pembimbing Rakan Sebaya, Pengawas Sekolah, Dan Pengawas Pusat Sumber)  2024 telah berlangsung dengan jayanya di Dewan Juara SMK Labuan. Seramai 107 Pengawas sekolah, 63 Pembimbing Rakan Sebaya (PRS), dan 53 Pengawas Pusat Sumber (PSS). Program ini akan melibatkan Pemimpin Muda SMK Labuan seramai 223 murid. Tahun ini juga, Unit Bimbingan dan Kaunseling (UBK) berkolaborasi bersama PRS dari SSN SMK Mutiara iaitu seramai 30 murid. UBK juga menjemput Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) seramai 20 pelajar dari UMSKAL sebagai fasilitator program Kepimpinan tersebut. Kolaborasi Bersama Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) adalah bertujuan untuk memberikan inspirasi kepada pelajar.

 

Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UMSKAL Sebagai Fasilitator Program.

Menurut penyelaras program, Cik Rozzanne John majlis tersebut bertujuan untuk memberikan pendedahan terhadap kepentingan sifat kepimpinan dan membuang sikap sambil lewa pemimpin muda disamping menanamkan perasaan sentiasa bersedian untuk memimpin.

“Melalui penyertaan program ini mampu menjadikan barisan kepimpinan sekolah pada tahun 2024 sebagai “role-model” terbaik bagi murid-murid sekolah ini.” kata beliau lagi yang juga merupakan Guru Bimbingan dan Kaunseling (GBK) sekolah.

Pelbagai aktiviti berunsur kepimpinan telah didedahkan kepada pelajar antaranya ialah “Know Yourself”, “Hands Up”, “Vision Board”, “Energizer”, “Blow Blow”, “Hot Session”, “Monkey Tail”, and “The Longest Line”. Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UMSKAL menjadi fasilitator bagi setiap aktiviti kepimpinan tersebut.

Peserta berkongsi sifat keperibadian mereka sesame ahli Kumpulan melalui Aktiviti “Know Yourself”

Peserta Kem Kepimpinan Membuat sorakan Kumpulan masing-masing melalui aktiviti “Hands Up”.

Pelajar menerangkan “Vision Board” kepada semua peserta Kem Kepimpinan.

Aktiviti “Blow Blow” yang dilakukan oleh pelajar.

Pelajar dari SSN SMK Mutiara membentangkan jawapan dalam aktiviti “Hot Session”.

Aktiviti berkumpulan iaitu “Monkey Tail”.

Aktiviti “ The Longest Line”

Program Kursus Kepimpinan Pemimpin Muda Sekolah diakhiri dengan ucapan daripada Puan Jamaliah, Penolong Kanan Pentadbiran Kanan HEM SMK Labuan.

Penolong Kanan HEM memberikan ucapan semasa majlis penutupan Program Kursus Kepimpinan Pemimpin Muda Sekolah.

Dalam ucapannya, beliau menegaskan bahawa murid-murid yang dilantik berpeluang untuk melatih diri sebagai pemimpin muda dalam menguatkuasakan peraturan-peraturan sekolah.”Saya yakin dan percaya bahawa mereka yang terpilih dan dilantik mempunyai keupayaan dan kewibawaan dalam melaksanakan tugas” ujarnya.Tambahannya lagi pelantikan pemimpin muda ini juga adalah selaras dengan usaha KPM yang ingin wujudkan ABC iaitu anak yang baik lagi cerdik dalam semua aspek.

Di akhir majlis, Puan Jamaliah, Penolong Kanan Pentadbiran Kanan HEM SMK Labuan memberikan sijil penghargaan kepada Guru UBK SSN SMK Mutiara dan kepada Pengawas Sekolah, Pembimbing Rakan Sebaya, dan Pengawas Pusat Sumber SMK Labuan.

Penyampaian sijil penghargaan dan Penyertaan kepada Guru UBK SSN SMK Mutiara.

Penyampaian sijil penghargaan dan penyertaan kepada Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UMSKAL.

 

Berita oleh: SMK Labuan




Pemimpin Muda SMK Labuan Tonggak Sekolah Berkualiti

Labuan – Seramai 131 Pengawas sekolah , 61 Pembimbing Rakan Sebaya (PRS) dan 52 Pengawas Pusat Sumber (PSS) telah menerima watikah pelantikan masing-masing dalam majlis penyerahan watikah perlantikan pemimpin muda sekolah di Dewan Juara , Sekolah Menengah Kebangsaan Labuan pada Isnin lalu bersamaan 22 April 2024.

Menurut penyelaras majlis, Cik Rozzanne John majlis tersebut bertujuan untuk mengiktiraf pelantikan mereka sebagai pemimpin muda di sekolah.

“Mereka akan membantu pihak sekolah dalam memberi maklumbalas terutamanya dalam memastikan suasana pembelajaran di kawasan sekolah berada dalam keadaan yang terkawal dan berkualiti” kata beliau lagi yang juga merupakan Guru Bimbingan dan Kaunseling (GBK) sekolah.

Majlis penyampaian watikah telah disempurnakan oleh Pengetua SMK Labuan , Encik Mohd Nizam bin Yasim dan turut dihadiri bersama Penolong Kanan HEM SMK Labuan, Puan Jamaliah Binti Razali dan juga Penolong kanan Pentadbiran Petang SMK labuan , Cik Seri Kandi Binti Hj Muali.

Dalam ucapannya, beliau menegaskan bahawa murid-murid yang dilantik berpeluang untuk melatih diri sebagai pemimpin muda dalam menguatkuasakan peraturan-peraturan sekolah.

“Saya yakin dan percaya bahawa mereka yang terpilih dan dilantik mempunyai keupayaan dan kewibawaan dalam melaksanakan tugas” ujarnya.

Tambahannya lagi pelantikan pemimpin muda ini juga adalah selaras dengan usaha KPM yang ingin wujudkan ABC iaitu anak yang baik lagi cerdik dalam semua aspek.

Di akhir majlis, ketua pengawas, Adik Nichole Grace Wong  telah memimpin acara lafaz ikrar dan janji melaksanakan tugas dengan bersungguh-sungguh dalam meningkatkan kualiti sekolah.

Berita Oleh : SMK Labuan




MAJLIS WATIKAH PELANTIKAN PEMIMPIN MUDA MENYEMARAKAN SEMANGAT KEPIMPINAN MURID SMK TAMAN PERUMAHAN BEDAUN

LABUAN, 29 April – Unit Bimbingan dan Kaunseling SMK Taman Perumahan Bedaun telah berkolaborasi dengan Unit Badan Pengawas dan Unit Pusat Sumber Sekolah menjalankan Majlis Watikah Pelantikan Pemimpin Muda tahun 2024.

Program yang diselaras oleh Puan Viviana Ayu Saidin tersebut, bertujuan untuk meningkatkan motivasi murid melaksanakan tanggungjawab, memupuk kemahiran kepimpinan, memperkenalkan barisan pemimpin muda dan memberi pengiktirafan jawatan murid.

Majlis dijalankan pada 22 April 2024, jam 7.00 pagi hingga jam 8.00 pagi, bertempat di Tapak Perhimpunan Sekolah.

Seramai 173 murid telah dilantik sebagai pemimpin muda sekolah dimana 42 orang murid sebagai pengawas sekolah, 44 orang murid sebagai Pembimbing Rakan Sebaya, 43 orang murid sebagai Pengawas Pusat Sumber, 22 orang murid sebagai ketua kelas dan 22 orang murid penolong ketua kelas.

Pengawas sekolah
SMK Taman Perumahan Bedaun tahun 2024

Turut hadir Puan Chai Yee San, Penolong Kanan Pentadbiran, Encik Awang Adi bin Tuah, Penolong Kanan HEM, Encik Yee Choon Hian, Penolong Kanan Kokurikulum, guru-guru dan murid-murid sekolah.

Majlis watikah pelantikan pemimpin muda tersebut dimulakan dengan nyanyian lagu Negaraku, lagu Maju dan Sejahtera dan lagu sekolah. Seterusnya, ikrar Rukun Negara dipimpin oleh Norazita dan bacaan doa dipimpin oleh Muhammad Ammar Wajdi bin Masdi dari kelas 4 Beta.

Kemudian, Pengetua Puan Norazita menyampaikan ucapan alu-aluan diikuti ucapan perasmian majlis watikah pelantikan pemimpin muda oleh Pegawai Perhubungan Sekolah,  Inspektor Iskandar bin Aini.

“Pemimpin muda perlu berganding bahu bersama-sama guru melunaskan tugas dan tanggungjawab dalam segenap perkara yang dijalankan. Amanah, jujur, ikhlas dan bertanggungjawab perlulah sebati dalam sanubari”, kata Inspektor Iskandar dalam ucapannya.

Inspektor Iskandar juga turut menyampaikan sijil watikah pelantikan kepada semua pemimpin muda sekolah dengan diiringi pengetua dan barisan guru penolong kanan.

Ikrar pemimpin muda dipimpin oleh Adib Hakim bin Rosley (5 Alfa), ketua pengawas sekolah dengan diiringi Shafizul bin Jainal (5 Beta), ketua Pembimbing Rakan Sebaya, Marsyandah binti Robert (5 Delta), Ketua Pusat Sumber Sekolah dan Uwais Adam Mukhriz bin Junaidi (5 Alfa), ketua barisan ketua kelas.

Majlis watikah pelantikan muda SMK Taman Perumahan Bedaun diakhiri dengan ucapan murid-murid “Terima kasih, cikgu”, “Halalkan ilmu yang diberi, cikgu”, “Maafkan kami, cikgu” dan “Kami sayang, cikgu-cikgu” yang diketuai oleh Adib Hakim.

Kemudian, sesi bergambar pengetua bersama barisan pemimpin muda sekolah dijalankan sebagai penutup tirai majlis.

Berita Oleh : SMK Taman Perumahan Bedaun

Pengawas Pusat sumber sekolah SMK Taman Perumahan Bedaun tahun 2024



Perhimpunan bulanan Jabatan Pendidikan W.P. Labuan bagi bulan April tampil keunikan.

LABUAN: Perhimpunan bulanan Pengarah Pendidikan bersama warga Jabatan Pendidikan WP Labuan bagi bulan April telah berlangsung pada pagi tadi bertempat di Dewan Kuliah Utama, Institut Latihan Perindustrian (ILP), WP Labuan. Bertemakan ‘Keindahan Aidilfitri, Menganyam Tradisi, Menjangkau Teknologi’ dan busana seperti sambutan aidilfitri jelas menunjukkan kelainan dan keunikan majlis berbanding sebelum ini, lebih-lebih lagi diadakan sempena aidilfitri iaitu bulan syawal.

Dalam ucapan amanat Pengarah Pendidikan WP Labuan, Tuan Haji Abidin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua sektor yang meneraju perhimpunan bulan kali ini. Penghargaan juga ditujukan kepada semua yang terlibat secara langsung dalam memastikan objektif atau matlamat majlis tercapai walaupun jadual agak padat dengan pelbagai aktiviti dan program, ujarnya.

Beliau turut menzahirkan ucapan tahniah kepada semua atas jalinan kerjasama yang efektif di antara sektor-sektor di Jabatan ini serta bekerja sebagai satu pasukan dalam menjayakan sesuatu tugasan demi memberikan perkhidmatan yang cemerlang kepada pelanggan, tambahnya lagi. Sebelum menamatkan ucapannya, beliau sempat mendeklamasikan puisi khas kepada hadirin yang hadir.

Antara kelainan pengisian perhimpunan bulanan kali ini termasuklah pelancaran Buku koleksi Puisi Cinta KELPEN Edisi khas Ramadhan 2024. Menurut Puan Suriani, Pengerusi Kelab Pendidikan Labuan, dalam ulasannya, setiap puisi yang dihasilkan tidak hanya menyentuh hati, tetapi juga membawa satu pengalaman yang mendalam kepada para pembaca. Puisi diterjemah melalui kata-kata yang indah dan pemikiran yang mendalam. Beliau juga yakin dengan karya-karya yang dihasilkan akan terus mempersonakan dan memberi inspirasi kepada ramai orang. Beliau juga merakamkan ucapan terima kasih kepada semua yang terlibat dalam penghasilan buku ini.

Majlis turut diisi dengan slot penyampaian anugerah khas Pengarah atas kejayaan sekolah-sekolah di sekitar Wilayah Persekutuan Labuan dan penyampaian sijil watikah pelantikan kepada Pegawai-pegawai Teknikal Sukan di Wilayah ini. Di samping itu, Pengarah Pendidikan turut menyampaikan anugerah bagi staf terbaik bulan ini dan bersama-sama meraikan sambutan hari lahir bagi warga pendidik pada bulan ini. Dalam perhimpunan kali ini juga, selain sambutan hari lahir kepada staf dan PGB yang lahir pada bulan ini, hadirin turut diserikan dengan persembahan nyanyian lagu raya daripada Sektor Pengurusan dan Sektor Sumber Teknologi Pendidikan, Jabatan Pendidikan WP Labuan.

Pengarah Pendidikan mengabdikan kenangan bersama barisan jawatankuasa program.

Gimik Perasmian Buku Koleksi Puisi Cinta oleh Tuan Haji Abidin Marjan, Pengarah Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan bersama-sama para penulis puisi.

Sumber berita: En. Anwar bin Ibrahim




Murid SMK Pantai, WP Labuan Sumbang 1 Emas 1 Gangsa

Labuan, 24 April – 4 orang murid SMK pantai telah menyumbangkan 1 emas dan 1 gangsa untuk kontinjen Persatuan Karate WP Labuan dalam Kejohanan Karate Kadet, Junior & Bawah 21 tahun Sabah, Ke-21 2024.

Kejohanan Karate Kadet, Junior & Bawah 21 tahun Sabah ini telah berlangsung pada 20 hingga 21 April 2024 bertempat di Dewan Sri Sulaman Tuaran Sabah.

Diya Khalish Kasryanto berjaya membawa pulang pingat emas bagi kategori Kumite Perempuan Kadet 61 kilogram.

Pingat gangsa diperolehi dalam acara berpasukan melalui Muhammad Kaszym Aqim Kasryanto, Tawfeq Syazwi Tazrudin, Thaqef Syafie Tazrudin dalam acara Kata Lelaki Berpasukan Junior.

Syabas dan Tahniah diucapkan !

Berita Oleh : SMK Pantai

Pasukan Karate WP Labuan yang mengharumkan nama Labuan



SAMBUTAN HARI BUMI, MAJLIS PELANCARAN BULAN ALAM SEKITAR DAN EKSA PERINGKAT SEKOLAH MENENGAH ST. ANNE TAHUN 2024

LABUAN – Hari Bumi merupakan acara tahunan yang disambut oleh seluruh dunia pada setiap 22 April sejak tahun 1970 lagi. Begitu juga dengan warga SM St. Anne, WP Labuan yang tidak ketinggalan menyambut Hari Bumi Ini.

Memeriahkan lagi Sambutan Hari Bumi ini, turut dilaksanakan Majlis Pelancaran Bulan Alam Sekitar dan Program EKSA yang juga dihadiri bersama-sama sekumpulan murid dari SKK St. Anne dan SM St. Anthony di Dataran Muhibah SM St. Anne.

Pengetua SM St. Anne, Puan Mary Anita Abah dalam ucapannya menyatakan bahawa pihak sekolah dalam usaha untuk meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan menjaga, memelihara, dan memulihara alam sekitar. Oleh itu, pihak sekolah sentiasa memberi sokongan padu kepada program-program yang berkaitan dengan alam sekitar.

Pada akhir ucapannya, Puan Mary Anita Abah juga menyeru seluruh warga SM St. Anne dan murid-murid di sekitarnya untuk sama-sama berganding bahu dan bergabung tenaga untuk memikul amanah dalam menjaga dan memelihara alam sekitar.

Sambutan dan majlis pelancaran ini telah dirasmikan oleh Pegawai Kawalan Alam Sekitar, Puan Nurul Asikin Mohd Yusof.

Dalam ucapannya, beliau menyatakan bahawa tema Hari Bumi pada tahun ini iaitu Planet VS Plastik memfokuskan kepada kempen menyeru kesedaran meluas tentang risiko kesihatan plastik. Matlamat utama kempen ini adalah untuk mengurangkan 60 peratus daripada semua pengeluaran plastik menjelang tahun 2040.

Sambutan Hari Bumi, Majlis Pelancaran Bulan Alam Sekitar dan EKSA ini turut dihadiri oleh Guru Besar SKK St. Anne, Puan Cecilia Chua Lai Eng.

Selain itu, ceramah khas tentang perubahan iklim juga telah disampaikan oleh wakil Jabatan Alam Sekitar, Puan Nurhidayah Bulyana. Bukan itu sahaja, pameran khas daripada Jabatan Alam Sekitar turut diadakan sebagai salah satu medium pendedahan dan kesedaran berkaitan kepentingan alam sekitar.

Berita oleh : SM St Anne, WP Labuan

This image has an empty alt attribute; its file name is 2-1024x768.png
Guru Besar SKK St. Anne Puan Cecilia Chua Lai Eng (empat kiri), Pegawai Kawalan Alam Sekitar, Puan Nurul Asikin Mohd Yusof (lima kiri) turut bersama-sama dalam Majlis Pelancaran EKSA SM St. Anne.
This image has an empty alt attribute; its file name is 3-edited-1.png
KIRI, Guru Besar SKK St. Anne Puan Cecilia Chua Lai Eng bersama-sama dalam sesi bacaan ikrar alam sekitar