Lawatan Kerja Menteri Pendidikan Ke SMK Labuan

YB Dr Radzi menandatangani kanvas sempena Sambutan 100 Tahun SMK Labuan

SMK Labuan menerima lawatan kerja Menteri Kanan Pendidikan YB Dr Radzi Jidin pada 6 September 2021. Lawatan kerja ini merupakan salah satu pengisian aktiviti sempena Sesi Libat Urus YB Menteri Kanan Pendidikan ke WP Labuan. Tujuan lawatan tersebut ialah untuk melihat perkembangan projek-projek penyelenggaraan di SMK Labuan iaitu Dewan Mutiara dan Blok Pentadbiran.

Pada masa yang sama YB Menteri juga meninjau persediaan sekolah sempena pengoperasian semula sekolah yang dijangka akan bermula pada awal Oktober nanti. Antara yang ditinjau ialah bilik darjah, kantin, tandas dan persekitaran sekolah.

Penyelenggaraan Dewan Mutiara dan Blok Pentadbiran berjalan lancar dan ini akan memberi lebih keselesaan kepada sesi pengajaran dan pembelajaran kelak. Blok Pentadbiran mengandungi Pejabat Am, Bilik Guru, Pusat Sumber Sekolah, Makmal Bestari dan Makmal Sains.

Encik Ismail memberi penerangan kepada YB Dr Radzi dan Datuk Yusran Shah.
YB Dr Radzi melawat persekitaran sekolah
YB Dr Radzi meninjau keadaan bilik darjah
Pegawai JKR WP Labuan memberi taklimat tentang penyelenggaraan Dewan Mutiara

Bilik darjah dan persekitaran sekolah memerlukan pembersihan berterusan kerana masih ada tempoh sebulan sebelum persekolahan bersemuka dimulakan . Persiapan aspek-aspek  pematuhan SOP dalam kawasan sekolah dan semasa penyuraian murid juga akan diberi perhatian. Ini untuk memastikan murid-murid dapat kembali sekolah dan mengikuti sesi pengajaran dan pembelajaran bersemuka dengan lebih selesa dan selamat.

Sebelum mengakhiri lawatan, YB Menteri sempat menandatangani kanvas kenangan sempena Sambutan 100 Tahun SMK Labuan. Turut hadir dalam lawatan kerja ini ialah Datuk Yusran Shah bin Mohd Yusof (Ketua Setiausaha KPM), Datin Sri Hajjah Nor Zamani binti Abdol Hamid (Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia), Encik Raisin bin Saidin (Timbalan Pengarah Kanan, Bahagian Pengurusan Sekolah Harian KPM) dan Encik Yusup bin Mohamad (Pengarah Jabatan Pendidikan WP Labuan).

Pengetua SMK Labuan Encik Ismail Abdullah merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan kepada  YB Menteri Kanan Pendidikan atas lawatan kerja ini. Pihak sekolah berazam untuk memastikan persiapan yang terbaik sebelum sekolah dibuka nanti dan juga memastikan proses pengajaran dan pembelajaran akan berjalan lancar.

Berita Oleh : SMK Labuan

Encik Ismail bersama YB Dr Radzi
YB Dr Radzi bersama pentadbir SMK Labuan (dari kiri PK Pentadbiran Puan Zalina Zunkepely, Pengetua, YB Dr Radzi, PK HEM Puan Jamaliah Razali, PK Tingkatan 6 Encik Saminan Sabtu dan PK Petang Encik Kitli Beka)

Loading

image_pdfimage_print