Jabatan Pendidikan Laksana Penataran Pengoperasian Sekolah

Ucapan perasmian oleh Encik Yusup Haji Mohamad

Selaras dengan pengumuman Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berkaitan pengoperasian sekolah secara berperingkat mulai 4 Oktober ini, Jabatan Pendidikan W.P Labuan mengambil inisiatif melaksanakan beberapa siri penataran pengoperasian pembukaan semula sekolah mulai Selasa lalu.

Siri pertama sesi penataran melibatkan 35 orang terdiri daripada Pengetua dan Guru Besar daripada sekolah-sekolah yang ada di Labuan termasuk Kolej Vokasional, Sekolah Antarabangsa Labuan (LIS) dan SMA MAIWP.

Timbalan Pengarah Sektor Pengurusan Sekolah, Puan Maimoon binti Haji Matnoh yang juga penyelaras sesi taklimat berkata siri penataran ini melibatkan pelbagai pihak termasuk pihak pengurusan sekolah, guru-guru, kumpulan pekerja sokongan, pemimpin masyarakat dan ibubapa.

“Selain itu, kita juga menjemput pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN), Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) dan BOMBA untuk menyampaikan taklimat dalam memastikan kesiapsiagaan pihak sekolah menerima kehadiran murid pada hari pertama persekolahan nanti”

“Sebanyak 18 pelan tindakan telah disusun oleh pihak jabatan bagi memastikan semua pihak mendapat kefahaman yang sama dan mengelakkan kekeliruan berkaitan pembukaan sekolah” kata beliau lagi.

Puan Maimoon Matnoh ketika menyampaikan taklimat kepada pihak sekolah

Dalam ucapan perasmian, Pengarah Pendidikan, Encik Yusup bin Haji Mohamad menekankan kefahaman pentadbir sekolah tentang kehadiran murid secara bergilir, penambahbaikan kepada SOP sedia ada dan kelonggaran-kelonggaran yang dibenarkan untuk kemudahan setiap murid.

“Saya berharap agar pihak sekolah dapat memaklumkan kepada guru, murid dan ibubapa dengan jelas, tepat dan sahih tentang pengoperasian sekolah”

“Pihak jabatan telah menubuhkan pasukan task force bagi membuat penataran maklumat dan pemantauan pematuhan terhadap SOP supaya keselamatan dan kesihatan murid terjaga” tegas beliau lagi.

Encik Yusup juga menasihati agar pihak pengurusan sekolah sentiasa patuh kepada SOP yang dikeluarkan oleh JKN dan meletakkan keselamatan dan kesejahteraan murid sebagai keutamaan.

Berita Oleh : Sektor Perancangan

Pembentangan mengenai persiapan pembukaan sekolah oleh Pengetua SMK Labuan, Encik Ismail Abdullah
Encik Mohd Nizam Yassim, Timbalan Pengarah Sektor Perancangan memberi sedikit penerangan kepada para peserta

Loading

image_pdfimage_print