Kursus Tahsin Al-Quran Bersama Ustaz Nik Azizan

Labuan – Sektor Pendidikan Islam mengambil inisiatif untuk mengadakan Kursus Tahsin Al Quran di kalangan Guru Pendidikan Islam dan murid-murid daripada kelas aliran agama (KAA) secara dalam talian pada 30 Oktober lalu.

Bagi merealisasikan misi Kementerian Pendidikan Malaysia iaitu ”Melestarikan Sistem Pendidikan yang Berkualiti untuk Membangunkan Potensi Individu bagi Memenuhi Aspirasi Negara”, satu usaha kolektif antara Sektor Pendidikan Islam dengan kerjasama Sektor Sumber Manusia  menyediakan platform meningkatkan kompetensi Guru Pendidikan Islam dan murid kelas aliran agama (KAA) di wilayah ini  mendalami ilmu kemahiran Al Quran.

Kursus ini dikendalikan oleh penceramah undangan ustaz Nik Azizan bin Dato’ Nik Jaafar, personaliti TV3 dan TV9.

Ustaz Nik Azizan dalam ceramahnya menerangkan tahap-tahap penguasaan Al-Quran iaitu tahap mengaji, tahap taranum, tahap tahsin dan yang paling tinggi tahap tazyin. Kursus yang disampaikan secara santai dan penuh ilmiah menyentuh tentang kewajipan memperbaiki bacaan Al-Quran, hukum tajwid serta kelebihan memahami ayat-ayat yang dibaca agar penghayatan dapat dirasai dan dihayati.

Ustaz Nik Azizan

Bacaan ayat Al-Quran daripada Johan e-hafazan Peringkat Kebangsaan Sekolah-sekolah Kementerian Pendidikan baru-baru ini iaitu adik Nurin Nuha yang berasal daripada Tawau turut diperdengarkan. Peserta-peserta turut dibimbing untuk membacakan surah An-Nas mengikut bacaan taranum bayati.

Menurut Ketua Penolong Pengarah Sektor Pendidikan Islam Ustazah Kamariah binti Salim,  kursus ini bertujuan untuk memberi nilai tambah terhadap kemahiran Al Quran melalui bacaan taranum, hukum tajwid dan kaedah pengajaran Al Quran yang menarik dan interaktif.

“Di samping itu adalah diharapkan agar guru-guru dapat mengaplikasikan kemahiran yang dipelajari dalam kursus bagi meningkatkan kualiti pengajaran dan pembejaran kemahiran Al Quran  kepada murid-murid di sekolah.

“Kepentingan mempelajari al-Quran dan mengajarkannya kepada orang lain merupakan syari’ at yang di bawa oleh Rasulullah S.A.W. Para ulamak juga sangat menitik beratkan agar mencari guru yang pakar dalam bidangnya agar ilmu al-Quran yang ingin dipelajari itu dapat dikuasai dengan lebih sempurna” katanya semasa berucap dalam majlis penutupan kursus tersebut.  

Seramai 170 peserta yang terdiri daripada guru- guru Pendidikan Islam dan guru Bahasa Arab sekolah menengah dan sekolah rendah di wilayah ini  mengikuti kursus melalui aplikasi google meet dan disiarkan juga melalui Youtube Ustaz Azizan channel.

Berita Oleh : Sektor Pendidikan Islam

Loading

image_pdfimage_print