Majlis Khatam Al-Quran Tahun 6 Sekolah Kebangsaan Sungai Bedaun Disambut Dengan Meriah

Labuan, 7 Februari : Pihak Panitia Pendidikan Islam dan Bahasa Arab Sekolah Kebangsaan Sungai Bedaun telah mengadakan majlis Khatam Al-Quran murid tahun 6 dan disambut dengan meriah oleh warga sekolah pada 2hb Februari lalu.

Majlis Khatam al-Quran ini diadakan bagi meraikan murid-murid tahun 6 yang telah berjaya khatam sepanjang mengikuti sesi pembelajaran Al-Quran dari tahun 1 hingga tamat sekolah rendah. Selain itu juga, majlis ini turut meraikan murid-murid dari tahun 1-5 yang berupaya menghabiskan pembelajaran Al-Quran sebelum tamat tahun 6.

Majlis Khatam Al-Quran tahun 6 ini telah berlangsung di Dewan Permata, Sekolah Kebangsaan Sungai Bedaun, WP Labuan. Majlis ini diserikan lagi dengan kehadiran Puan Suria binti Salleh selaku Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan Sungai Bedaun.

Yang Dipertua PIBG SK Sungai Bedaun berkata, kejayaan semua murid yang berjaya khatam Al-Quran merupakan hasil titik peluh dan kerjasama yang amat padu daripada ustaz ustazah, ibu bapa dan murid itu sendiri sehingga mampu menghabiskan bacaan Al-Quran dengan sebaiknya.

“Alhamdulillah, hasil usaha semua pihak, kita berjaya melahirkan 97 orang murid tahun 6 dan 24 orang murid tahun 1-5 yang khatam”, katanya.

Puan Suria juga berkata, kerjasama semua guru Pendidikan Islam (GPI) amat membantu murid-murid terutamanya murid yang masih berada di tahap pembacaan iqra’ dalam memastikan tahap penguasaan huruf dan bacaan dapat ditingkatkan dari semasa ke semasa. Murid-murid juga diingatkan supaya tidak leka membaca al-Quran walau sesibuk mana pun mereka kelak di alam sekolah menengah nanti.

Berita Oleh : SK Sungai Bedaun

Loading

image_pdfimage_print