Majlis Pelancaran Ihya’ Ramadan SMK Taman Perumahan Bedaun

Gimik perasmian disempurnakan oleh Puan Norazita binti Md Nor@ Shamsuri

Labuan, 15 Mac 2023 – Ramadhan merupakan bulan yang diwajibkan ibadah puasa ke atas seluruh umat Islam. Di samping itu, ia juga menjadi bulan yang paling dinantikan oleh sekalian orang beriman, lantaran pelbagai keistimewaan yang diberi oleh Allah SWT sepanjang bulan yang mulia dan penuh keberkatan ini.

Sempena meraikan kedatangan bulan mulia ini, SMK Taman Perumahan Bedaun turut tidak terlepas untuk melancarkan program sepanjang bulan Ramdan pada tahun ini. Majlis ini dianjurkan oleh pihak Panitia Pendidikan Islam dengan menjemput Ustaz Redzuan sebagai Penceramah.

Majlis pelancaran ini dimulakan dengan bacaan surah al-Kahfi dan Yasin yang dipimpin oleh Ustaz Nik Muhammad Fazli selaku Ketua Panitia Pendidikan Islam.

Seterusnya, perasmian telah disempurnakan oleh Puan Norazita binti Md Nor@Shamsuri, Pengetua SMK Taman Perumahan Bedaun. Beliau turut berinteraksi dengan murid berkaitan dengan Ramadan untuk mengetahui kefahaman dan pengetahuan sedia ada murid. Beliau juga mengingatkan bahawa bulan Ramadan ini sangat istimewa daripada bulan lain kerana adanya malam Lailatul Qadar, malam yang hanya muncul pada sepuluh hari terakhir bulan Ramadan.

Majlis diteruskan dengan pengisian daripada penceramah jemputan Ustaz Redzuan. Katanya, puasa bukanlah hanya menahan lapar dan dahaga semata- mata tetapi perlu menjaga diri daripada segi lisan, perbuatan, penglihatan dan pendengaran. Bulan Ramadan mengajarkan kita untuk sentiasa mengawal emosi dengan baik. Seterusnya, ramadan juga memberi kita ruang dan peluang untuk memperbanyakkan amal ibadah kepada-Nya, mendekatkan diri kepada Allah kerana bulan ini merupakan bulan yang dibuka seluas-luasnya pintu syurga dan ditutup pintu neraka.

Ustaz Redzuan juga turut berkongsi satu hadis, Rasulullah bersabda yang bermaksud:

“Sesiapa yang beribadah pada Lailatul Qadar dengan penuh keimanan dan penuh pengharapan kepada keredaan Ilahi, nescaya dia akan diampuni segala dosanya yang lampau”. (Hadis riwayat Muslim)

Majlis ini diakhiri dengan kuiz Ramadan yang dikendalikan oleh Panitia Pendidikan Islam kepada murid SMKTPB. Kuiz ini diadakan untuk memberi ruang kepada murid untuk mendalami dan mempelajari serta mengambil isi penting yang telah disampaikan oleh penceramah.

Berita Oleh : SMK Taman Perumahan Bedaun

Puan Norazita binti Md Nor@Shamsuri (kiri) menyampaikan sijil penghargaan kepada Ustaz Redzuan
Kuiz ramadan yang dianjurkan oleh Panitia Pendidikan Islam

Loading

image_pdfimage_print