Labuan, 29 November 2024 – Sepanjang lima hari berturut-turut, SK Layang-layangan telah berjaya menganjurkan Sambutan Hari Kanak-kanak dan Minggu Eksplorasi Kerjaya Peringkat Sekolah dengan penuh gilang-gemilang. Program yang berlangsung dari 25 hingga 29 November ini mengetengahkan pelbagai aktiviti menarik yang bukan sahaja menghiburkan tetapi juga mendidik murid-murid untuk lebih mengenali potensi diri dan kerjaya masa depan.
Acara lima hari ini dirangka khas untuk memberi pendedahan awal kepada murid-murid tentang dunia pekerjaan, di samping menyemai nilai-nilai murni sempena Hari Kanak-kanak. Program ini juga bertujuan untuk memupuk kesedaran bahawa setiap kanak-kanak merupakan aset berharga kepada keluarga, masyarakat dan negara. Penganjuran program ini merupakan salah satu hasil usaha gigih pihak sekolah yang ingin memberikan pengalaman pembelajaran luar bilik darjah yang bermakna kepada semua murid.
Acara dimulakan pada hari Isnin dengan aktiviti Panggung SKLL: Memoir Seorang Guru. Tayangan filem ini mengisahkan perjalanan hidup seorang guru yang berdepan dengan pelbagai cabaran sebagai pendidik, memberikan kesedaran kepada murid untuk menghargai jasa seorang insan bergelar guru.
Selain itu, pertandingan kreatif seperti mewarna kerjaya, melukis poster kerjaya, dan eksplorasi Matematik turut diadakan. Aktiviti ini bukan sahaja merangsang kreativiti murid tetapi juga membantu mereka mengenal pasti pelbagai jenis kerjaya yang berkaitan dengan minat masing-masing.
Hari Selasa menjadi medan untuk murid-murid mempamerkan bakat mereka. Aktiviti sukaneka yang menyeronokkan dilaksanakan khusus untuk murid Tahap 1 (Tahun 1, 2 dan 3), manakala aktiviti Kenali Seni Budaya, memberi peluang kepada murid-murid Tahap 2 (Tahun 4, 5 dan 6) untuk mempelajari tarian tradisional (joget) serta berhibur dengan permainan warisan tempatan seperti dam haji, congkak, sepak bulu ayam, lompat getah dan batu seremban.
Tidak ketinggalan, SKLL Got Talent yang telah memukau penonton dengan pelbagai persembahan kreatif seperti pertandingan nyanyian dan Magic Show. Kemuncak hari itu pula ialah drama bahasa Inggeris oleh murid-murid Tahun 6 yang mengetengahkan mesej motivasi dan nilai-nilai murni.
Pada hari Rabu, suasana menjadi lebih meriah dengan Pertandingan Fashion Show Kerjaya. Murid-murid tampil dalam pelbagai kostum yang melambangkan profesion pilihan mereka, seperti doktor, juruterbang, polis dan usahawan. Pertandingan ini bukan sahaja menyeronokkan tetapi juga memberi peluang kepada murid untuk membayangkan diri mereka dalam kerjaya yang diimpikan.
Selain itu, program Bicara Kerjaya: Kenali Dunia Penyiaran turut dijalankan. Seorang penceramah yang berpengalaman dalam bidang komunikasi dan media, iaitu Puan Noor Affatizah Sabtu, Ketua Bahagian Rancangan, Jabatan Penyiaran Negeri WP Labuan, telah dijemput untuk berkongsi pengalaman bekerja dalam industri penyiaran.
Hari Khamis menjadi kemuncak minggu tersebut apabila pelbagai agensi dan jabatan kerajaan menyertai Pameran Kerjaya. Antaranya ialah Polis Diraja Malaysia, Agensi Antidadah Kebangsaan, Jabatan Kesihatan Labuan, Jabatan Bomba dan Penyelamat dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia.
Murid-murid berpeluang untuk berinteraksi dengan pegawai-pegawai daripada pelbagai bidang untuk memahami lebih lanjut tentang tugas mereka. Selain itu, aktiviti seperti Talk Show Kerjaya, Usahawan Cilik serta Pertandingan Tulisan Jawi dan Khat turut memeriahkan suasana. Program-program ini berjaya menunjukkan kepada murid-murid bahawa dunia kerjaya sangat luas dan setiap bidang mempunyai keunikan tersendiri.
Program berakhir pada hari Jumaat dengan acara memotong kek beramai-ramai, nyanyian lagu Selamat Hari Lahir, penyampaian hadiah bagi setiap pertandingan yang telah dilaksanakan serta penangguhan Majlis Pelancaran Sambutan Hari Kanak-Kanak dan Raikan Permata. Majlis turut diserikan dengan persembahan tarian dari kumpulan Rumpun Seni Layangan (RSL).
Walaupun program ini hanya diadakan di peringkat sekolah, impaknya dirasakan sangat besar. Warga SK Layang-layangan berharap murid-muridnya dapat memahami bahawa setiap usaha kecil hari ini adalah asas kepada kejayaan masa depan. Sambutan Hari Kanak-kanak dan Minggu Eksplorasi Kerjaya pada kali ini dilihat telah berjaya membuka ruang kepada setiap murid untuk membina impian mereka dan menyusun langkah ke arah merealisasikannya.
Berita Oleh : SK Layang – Layangan