Labuan, 16 Oktober 2025 – Pusat Sumber Sekolah (PSS) SMK Rancha-Rancha menerima kunjungan istimewa daripada rombongan pentadbir, guru dan pelajar SMK Bugaya, Semporna, Sabah dalam satu program Lawatan Sambil Belajar dan Perkongsian Ilmu Pengurusan PSS, yang berlangsung di sekolah tersebut pada pagi tadi.
Rombongan yang diketuai oleh Pengetua SMK Bugaya, Encik Johan bin Haji Okasa, disertai 10 orang guru dan 20 orang pelajar Tingkatan Enam, bertujuan untuk mendapatkan pendedahan serta berkongsi pengalaman berkenaan amalan terbaik dalam pengurusan pusat sumber sekolah.
Majlis dimulakan dengan bacaan doa oleh pelajar SMK Rancha-Rancha, diikuti dengan ucapan alu-aluan oleh Penolong Kanan Kokurikulum SMK Rancha-Rancha, Cikgu Subari Dwar, yang mewakili pengetua sekolah. Dalam ucapannya, beliau mengalu-alukan kehadiran rombongan dan berharap agar kunjungan ini menjadi wadah memperkukuh jalinan ilmu antara dua sekolah.
Program diteruskan dengan perkongsian ilmu oleh Guru Perpustakaan dan Media (GPM) SMK Rancha-Rancha, Cikgu Sapri Idris, yang menyampaikan taklimat mengenai pengurusan dan inovasi Pusat Sumber Sekolah. Turut sama berkongsi ialah Iskandar Dzulfikar Azizan, pelajar Tingkatan Dua merangkap pengawas PSS, yang membentangkan topik bertajuk Inovasi Pengurusan Buku di PSS SMK Rancha- Rancha.
Menurut Encik Johan dalam ulasannya, beliau amat kagum dengan kemenjadian murid dan sistem pengurusan PSS SMK Rancha-Rancha yang tersusun dan berkesan. Beliau turut menyifatkan perkongsian ini sebagai pengalaman berharga untuk dibawa pulang ke SMK Bugaya dalam usaha memperkukuh budaya membaca dan digitalisasi sumber ilmu di sekolah.


Rombongan kemudiannya dibawa melawat bilik-bilik khas di bawah PSS, termasuk bilik literasi, bilik inovasi dan ruang multimedia, sebelum majlis diakhiri dengan
penyampaian sijil penghargaan, pertukaran cenderamata dan sesi bergambar kenangan antara kedua-dua pihak.
Menurut Cikgu Sapri Idris, program seumpama ini bukan sahaja memperluas jaringan profesional antara sekolah, malah membuka peluang kepada pelajar untuk memperkaya kemahiran komunikasi dan kepimpinan melalui perkongsian ilmu secara langsung.
Program berakhir sekitar jam 11.00 pagi dengan suasana penuh mesra dan semangat kekitaan. Diharapkan jalinan antara SMK Rancha-Rancha dan SMK Bugaya ini akan terus subur demi kecemerlangan pendidikan dan pengurusan pusat sumber di kedua- dua sekolah.
Berita Oleh : SMK Rancha-Rancha


![]()

