LABUAN, 25 Oktober – Seramai 81 orang calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Rancha-Rancha telah menyertai Program Bacaan Yaasin dan Solat Hajat Perdana SPM 2025 yang berlangsung dengan penuh tertib dan khusyuk di Masjid Sungai Bedaun, Wilayah Persekutuan Labuan pagi tadi.
Program anjuran Panitia Pendidikan Islam dengan kerjasama Unit Bimbingan dan Kaunseling (UBK) SMK Rancha-Rancha ini menjadi antara langkah persediaan terakhir bagi para calon SPM sebelum melangkah ke dewan peperiksaan sebenar. Ia bertujuan memperkukuh kekuatan rohani, emosi dan mental pelajar agar dapat menghadapi cabaran peperiksaan dengan tenang dan berkeyakinan tinggi.
Majlis dimulakan seawal jam 7.00 pagi dengan kehadiran ibu bapa, guru-guru dan pelajar. Sesi pendaftaran serta penyerahan goodies kepada calon SPM berlangsung dalam suasana penuh mesra dan harmoni, menggambarkan sokongan padu komuniti sekolah terhadap kejayaan anak didik mereka.

Seterusnya, bacaan surah Yaasin diketuai oleh Ustaz Mohd Daud bin Abd Rahman, diikuti dengan solat hajat berjemaah yang dipimpin oleh Ustaz Sahrum, Imam Masjid Sungai Bedaun. Doa yang dipanjatkan oleh seluruh warga sekolah dan ibu bapa diharap menjadi pemangkin kekuatan dalaman buat semua calon SPM agar dikurniakan kemudahan serta kejayaan cemerlang dalam peperiksaan kelak.
Selesai solat, para pelajar diberi suntikan semangat melalui slot motivasi bertajuk “Kejayaan yang Dijanjikan” yang disampaikan oleh Ustaz Muhammad Shafie bin Abdul Ghani. Dalam slot tersebut, beliau menekankan bahawa kejayaan adalah hasil usaha yang disertai doa, tawakal dan keikhlasan hati. Beliau turut mengingatkan pelajar bahawa setiap usaha yang dilakukan dengan niat yang betul pasti mendapat ganjaran dan keberkatan daripada Allah SWT
Dalam ucapan alu-aluan, Pengetua SMK Rancha-Rancha menzahirkan rasa syukur atas kelancaran program serta penghargaan kepada Panitia Pendidikan Islam, UBK, pihak masjid, guru-guru dan ibu bapa yang sentiasa memberi kerjasama dalam memastikan kejayaan murid di semua peringkat.
Beliau menegaskan bahawa keberkatan ilmu dan restu kedua-dua ibu bapa merupakan tunjang utama kepada kejayaan pelajar. Menurut beliau, “Kejayaan tidak hanya diukur melalui keputusan peperiksaan, tetapi juga melalui nilai-nilai murni yang tertanam dalam diri pelajar. Doa restu ibu bapa dan guru adalah antara rahsia besar di sebalik kecemerlangan sebenar.”
Dalam pada itu, beliau turut menyeru agar semua calon SPM 2025 SMK Rancha-Rancha mempergunakan masa yang ada dengan sebaik-baiknya untuk membuat ulang kaji, memperkukuh kefahaman, dan mempersiapkan diri dari segi mental dan rohani.
Beliau menambah, “Saya berharap semua calon SPM tahun ini dapat menampilkan usaha terbaik, berdisiplin dan berdoa agar dipermudahkan segala urusan. Semoga mereka mampu melakar keputusan cemerlang dan mengharumkan nama SMK Rancha-Rancha di peringkat Wilayah Persekutuan Labuan. Kami seluruh warga sekolah akan terus mendoakan kejayaan mereka.”
Majlis diteruskan dengan penyampaian cenderahati kepada penceramah motivasi sebagai tanda penghargaan daripada pihak sekolah dan diakhiri dengan jamuan ringan sebelum bersurai sekitar jam 10.30 pagi.
Secara keseluruhannya, program ini bukan sahaja menjadi platform untuk memperkukuh hubungan antara murid, guru dan ibu bapa, malah berjaya menyemai budaya keberkatan, penghayatan spiritual serta semangat perjuangan ilmu dalam kalangan calon SPM. Ia diharap menjadi titik tolak kepada kecemerlangan akademik dan sahsiah pelajar SMK Rancha-Rancha, selaras dengan aspirasi sekolah dalam melahirkan generasi berilmu, berakhlak dan berwawasan.
Berita Oleh : SMK Rancha-Rancha

![]()

