Sepetang Bersama Timbalan Menteri Pendidikan I

YB Dato P.Kamalanathan bersama guru-guru Wilayah Persekutuan Labuan

LABUAN, 29 Okt – YB Dato’ P. Kamalanathan a/l P. Panchanathan telah menghadiri Majlis Sepetang Bersama  Timbalan Menteri Pendidikan 1, di Dewan Mutiara, Kolej Matrikulasi Labuan yang dihadiri oleh 700 orang guru sekolah rendah dan menengah di Wilayah Persekutuan Labuan.

Dalam ucapannya, YB Dato’ P. Kamalanathan berkata  sumbangan guru-guru mendidik anak bangsa di serata negara merupakan jasa dan pengorbanan yang tidak ternilai harganya.

Katanya, dalam konteks pendidikan, guru berperanan sebagai individu yang membina dan membentuk kualiti individu murid dalam aspek jasmani, emosi, rohani dan intelek bagi memenuhi hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan aspirasi negara.

“Matlamat membina negara bangsa hanya dapat direalisasikan melalui Pendidikan Abad Ke-21 yang telah dilaksanakan untuk melahirkan murid yang dinamik dan seimbang dalam semua aspek. Pembelajaran berpaksikan murid boleh memberi ruang dan peluang kepada murid mengetengahkan ketrampilan diri dan mereka”

Sesi soal jawab YB Dato’ P.Kamalanathan bersama guru-guru Labuan

YB Dato’ P. Kamalanathan juga mengajak guru-guru agar berusaha bersungguh-sungguh bagi menjadikan sistem pendidikan negara merupakan sistem pendidikan yang terbaik di dunia dan dapat melahirkan sebuah negara bangsa yang aman, harmoni dan bersatu padu.

Sementara itu, dalam ucapan aluan, Pengarah Pendidikan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, Encik Raisin Saidin berkata warga Jabatan Pendidikan WP Labuan sentiasa berusaha bersungguh-sungguh untuk melahirkan kemenjadian murid yang bakal menjadi nadi penggerak negara di masa mendatang.

Hasilnya beberapa kejayaan yang dicapai samada di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa dalam pelbagai acara yang dikongsikan melalui portal JPWPL Sana Sini.

“Pendidikan yang berkualiti banyak ditentukan oleh pihak guru. Jika kualiti guru dapat ditingkatkan ke tahap yang lebih tinggi, pastilah pendidikan kita dapat mencapai tahap gemilang. Untuk itu kami berusaha meningkatkan kualiti Pembelajaran dan Pemudahcaraan (PdPc) dengan melaksanakan pembangunan pendidikan yang berterusan berkaitan pembelajaran abad ke 21”, katanya lagi.

Hadir sama Pengarah KML, Tuan Haji Mohd Yusof Samad, Yang Dipertua Majlis Pengetua Sekolah Malaysia,  Labuan, Encik Omar Baki Matusin dan Yang Dipertua Majlis Guru Besar Labuan, Encik Jaafar Matusin, Ketua-ketua Sektor, Pengetua dan Guru Besar.

Guru-guru yang hadir Sepetang Bersama Timbalan Menteri Pendidikan I

 

image_pdfimage_print

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.