Labuan – SM St. Anthony, W.P Labuan telah mengadakan acara Merentas Desa sejauh 8 Kilometer bagi kategori Lelaki A (18 tahun) dan 6 kilometer bagi kategori Perempuan A (18 tahun), Perempuan B dan Lelaki B (15 tahun) pada pagi Jumaat yang lepas iaitu bersamaan dengan 26 Januari 2018.
Acara ini diadakan bagi mencungkil bakat murid-murid di samping mendorong mereka melakukan aktiviti yang sihat dengan konsep “Badan Sihat Otak Cergas” sebagai pemangkin kecemerlangan akademik murid sekolah ini.
Acara ini telah melibatkan hampir 440 orang murid dari tingkatan 1, 2, 3, 4, dan 5. Empat kategori telah dipertandingkan iaitu Kategori Lelaki 15 tahun dan Lelaki 18 tahun serta Perempuan 15 tahun dan Perempuan 18 tahun.
Menurut pengetua SAS Puan Dona Undoh, selain mencungkil bakat murid dalam acara larian, program ini juga dijalankan sebagai memilih wakil untuk pertandingan ke peringkat negeri pada tahun ini.
Puan Dona juga turut menyatakan bahawa Kementerian Pendidikan Malaysia sentiasa berusaha memberi penekanan terhadap peranan sukan dan aktiviti kokurikulum di sekolah bagi melahirkan murid yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial iaitu selaras dengan inisiatif Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013- 2025 untuk melahirkan modal insan secara holistik yang tidak hanya tertumpu kepada kejayaan akademik semata-mata, maka Dasar 1Murid 1Sukan adalah amat sesuai diwajibkan kepada setiap murid mengambil bahagian.
Pelepasan peserta telah disempurnakan oleh NYDP PIBG SM St. Anthony iaitu Jeffry Philimon, Pengetua SAS, Dona Undoh bersama-sama dengan Penolong Kanan Kokurikulum Jakson Kuanfu, Penolong Kanan HEM Yee Choon Hian serta guru-guru SM St. Anthony.
Puan Dona merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada pihak PDRM dan pihak Angkatan Pertahanan Awam yang menjaga keselamatan peserta larian dan mengawal lalu lintas serta bersedia menghadapi pelbagai kemungkinan.
Keputusan keseluruhan Acara Merentas Desa SM St. Anthony pada tahun ini adalah seperti berikut iaitu Johan dimenangi oleh Rumah Sukan Waja, Naib Johan dimenangi oleh Rumah Sukan Satria dan Tempat Ketiga dimenangi oleh Rumah Sukan Wira.
Sumber berita : Cikgu DK Suhana bint PG Tassip