Majlis Watikah Perlantikan Badan Kepimpinan Pelajar SMK Lajau Tahun 2018

En. Mohd Jamatin Abd Latip menyampaikan Watikah kepada adik Mohd Nazrin Shah Johari sebagai Ketua Pengawas SMK Lajau Tahun 2018 diiringi oleh En. Jasmi Sabtu.

Labuan – 05 Feb 2018 : Majlis Watikah Perlantikan Badan Kepimpinan Pelajar SMK Lajau tahun 2018 telah selamat disempurnakan semasa Majlis Perhimpunan Rasmi Sekolah baru-baru ini bertempat di Dataran Gemilang SMK Lajau. Majlis watikah perlantikan pengawas tersebut merupakan penghargaan serta pengiktirafan sekolah kepada pelajar sebagai pemimpin sekolah. Melalui pengiktirafan tersebut, pelajar diberikan kepercayaan dan kehormatan dalam menjalankan khidmat bantu mereka. Watikah telah disampaikan kepada gabungan pemimpin pelajar yang terdiri daripada Pengawas Sekolah, Pengawas Pusat Sumber, Pembimbing Rakan Sebaya, serta Duta Penggerak Digital.

Dalam majlis ini, En. Mohd Jamatin Abd Latip sebagai Pengetua SMK Lajau diiringi oleh En. Jasmi Sabtu PK Hal Ehwal Murid telah menyampaikan watikah kepada wakil setiap Badan Gabungan Kepimpinan Pelajar berkenaan. Dalam majlis yang sama, adik Mohd Nazrin Shah bin Johari telah diberikan watikah sebagai Ketua Pengawas SMK Lajau manakala adik Zulaikha Nabilla binti Zulkifli telah menerima watikah Penolong Ketua Pengawas SMK Lajau bagi tahun 2018.

En. Mohd Jamatin Abd Latip dalam ucapannya sempat menyampaikan ucapan penghargaan kepada semua pelajar yang telah berjaya dilantik sebagai Pemimpin Murid. Beliau juga memberi ingatan kepada pemimpin murid supaya dapat menjalankan amanah yang telah diberikan dengan sebaik-baiknya dalam membantu guru-guru bagi memastikan iklim sekolah terpelihara tanpa masalah disiplin. Di samping itu, keutamaan dalam pelajaran harus dititikberatkan oleh pemimpin murid sebagai suri teladan kepada murid yang lain agar sama-sama mengharumkan nama baik sekolah. Kepimpinan Pelajar SMK Lajau dibimbing oleh Encik Mohd Hisyam bin Asim dan Puan Jalina Marlini binti Kula.

Gambar Bacaan Ikrar dan Aku janji barisan kepimpinan pelajar SMK Lajau tahun 2018 yang terdiri daripada Badan Pengawas Sekolah, Pengawas Pusat Sumber, Pembimbing Rakan Sebaya, dan Duta Penggerak Digital.

Berita Oleh : Encik Mohd Jamatin Abd Latip

image_pdfimage_print