Sukarelawan PBSM Labuan Timba Ilmu Kejurulatihan Di Sabah

Labuan, 27 Feb – Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia Wilayah Persekutuan Labuan telah menghantar 6 orang sukarelawan untuk menghadiri kursus Training Of Trainers siri ke-4 tahun 2018 bagi program First Aid Training Harmonisation(FATH) dan Health & Hygiene Promotion(H&H).

Sukarelawan terdiri daripada Pengarah BSMM W. P. Labuan (Pn. Christine Mungge), M. A Hospital Labuan (En. Viveken Krishnan), Setiausaha Kehormat BSMM W. P. Labuan (Pn. Nor Abizah Tadin), kakitangan Asian Supply Base Sdn. Bhd ( Tn. Japariddin Yunus), Pegawai Perbadanan Labuan ( Tn. Hussin Hassim) dan Tn. Mazdi Bin Salleh.

Pengerusi PBSM Labuan Encik Sahar Misron memberitahu, kursus tersebut telah dianjurkan oleh International Committee of the Red Cross (ICRC) dengan kerjasama Ibu Pejabat Bulan Sabit Merah Malaysia negeri Sabah yang diadakan selama 3 hari 2 malam bermula pada 23-25 Februari 2018 di The Gem Hotel, Beaufort, Sabah.

Selain daripada wakil Wilayah Persekutuan Labuan, turut serta di dalam program tersebut adalah wakil daripada daerah Kuala Penyu (4 orang), Beaufort (1 orang), Sipitang (5 orang) dan Papar (5 orang).

Antara pengisian di dalam program tersebut adalah bagaimana untuk memperkenalkan diri dan BSMM kepada komuniti, penyampaian program FATH dan H&H dengan baik, ilmu Asas Pertolongan Cemas yang sesuai kepada masyarakat sekeliling dengan menggunakan bahan dan peralatan yang mudah terdapat di sekeliling serta cara-cara pegurusan dokumentasian untuk pelaksanaan program FATH dan H&H di kawasan dan daerah masing-masing.

Para peserta juga dibahagi kepada beberapa kumpulan untuk menjalani latihan dalam kumpulan untuk setiap topik yang dibincangkan dan dibentangkan di hadapan para panel dan peserta sendiri.

Tujuan daripada latihan ini adalah untuk mendedahkan kepada peserta akan situasi sebenar sekiranya peserta FATH dan H&H membuat program tersebut di kawasan dan daerah masing-masing. Latihan tersebut juga adalah bagi melatih peserta menjadi seorang fasilitator yang baik, dan tenang apabila berhadapan dengan masyarakat ketika memgajar. Ini adalah bertujuan untuk penyampaian yang lebih jelas dan mudah difahami oleh masyarakat.

Kursus telah berakhir sekitar jam 1.30 petang dengan majlis penyampaian sijil penyertaan dan sesi bergambar beramai-ramai.

Encik Sahar menyatakan bahawa PBSM Labuan akan menghantar lebih ramai sukarelawan untuk mendapat tauliah kejurulatihan pada masa hadapan.

Berita Oleh : Pengerusi PBSM Labuan, Encik Sahar Misron

image_pdfimage_print