Majlis Pelancaran Gerakan Massa Terima Kasih Cikgu

Datuk Hj Bashir (lima dari kiri), Encik Raisin (lima dari kanan) bersama Tn Hj Yussuf, Encik Omar Baki, Puan Zaliha dan Puan Hjh Dayang (empat kiri)

Labuan, 3 MEI Kumpulan Penggerak Pelibatan Ibu bapa dan Komuniti Kebangsaan (KPPIBKK) negeri WP Labuan  telah menganjurkan “Majlis Pelancaran Gerakan Massa Terima Kasih Cikgu” buat kali pertama bagi seluruh Malaysia.

Sekolah Kebangsaan Layang-Layangan telah terpilih selaku tuan rumah diketuai oleh Puan Hjh Dayang Damit@Saidah Md Yassin bagi majlis ini yang melibatkan 17 buah sekolah rendah, 9 buah sekolah menengah, Sekolah Menengah Agama dan Kolej Vokasional Labuan.

Majlis ini dianjurkan bersama Sektor Pengurusan Sekolah, Jabatan Pendidikan WP Labuan, Kumpulan Penggerak Pelibatan Ibu bapa dan Komuniti Negeri ( KPPIBKN), Yang Dipertua PIBG/Setiausaha PIBG , dan Kumpulan Sokongan Ibu bapa (KSIB).

Program ini  diadakan untuk memberi penghargaan ‘Terima Kasih Cikgu’ dengan menggalakkan ibu bapa dan komuniti terlibat sama dalam meraikan sambutan Hari Guru peringkat sekolah, PPD dan JPN.

Di samping itu, meningkatkan permuafakatan, kerjasama, sikap kebersamaan dan kesepunyaan bahawa sekolah adalah milik masyarakat.  Majlis ini juga berkonsepkan “Permuafakatan dan kerjasama ibu bapa, komuniti dan pihak swasta memberi penghargaan, meraikan,  menghargai dan mengucapkan ‘Terima Kasih Cikgu’ kepada warga pendidik.”

Penyerahan Bunting Terima kasih cikgu daripada Yang Dipertua PIBG Encik Mamdoh kepada Guru Besar SK Pekan Satu, Puan Anita

Pelbagai acara dan aktiviti telah  dilaksanakan bagi menggambarkan penghargaan dan terima kasih kepada warga pendidik . Penyerahan Bunting Terima kasih cikgu daripada Yang Dipertua PIBG kepada Pengetua dan guru besar sekolah masing-masing.

Anugerah Terima kasih Cikgu, Jasamu dikenang dijadikan satu platform untuk menzahirkan ingatan bekas-bekas murid kepada bekas guru yang disayangi.

Tuan Hj Ahmad bin Hj Tamin telah dinobatkan penerima Anugerah Terima Kasih Cikgu Jasamu dikenang bagi tahun 2018.

Penerima anugerah menerima Sijil Penghargaan dari Jabatan Pendidikan WP Labuan dan wang tunai sumbangan daripada bekas murid penerima anugerah sendiri iaitu Senator Datuk Hj Bashir bin Hj Alias,  Ahli Dewan Negara Malaysia, RM 1,000, Datuk Mohd Rafi bin Datuk Alli Hassan, Ketua Pemuda WP Labuan, RM500.00  dan Tn Hj Yussuf bin Hj Chucu  RM 500.00.

Encik Raisin Saidin menyampaikan sijil penghargaan kepada Tn Haji Ahmad, penerima Anugerah Terima Kasih Cikgu Jasamu dikenang bagi tahun 2018

Encik Raisin Saidin, Pengarah Pendidikan Labuan dalam ucapannya ,  KPPIBKK  dapat berganding bahu secara mantap dalam menzahirkan penghargaan terhadap segala jasa dan pengorbanan guru.

Beliau berharap  kepada semua pihak samada yang terlibat dalam  bidang pendidikan  mahupun masyarakat di segenap lapisan wajar dan mampu menzahirkan rasa terima kasih mereka kepada golongan guru yang bukan sahaja menabur bakti  malah mengorbankan diri untuk melahirkan dan  membentuk generasi berilmu dalam sebuah negara yang berdaulat, maju serta berdaya saing.

Puan Zaliha binti Mohd Salleh, selaku Pegawai Meja PIBK,JPNWPL memaklumkan program Terima kasih Cikgu ini akan diadakan setiap tahun untuk mengenang jasa-jasa guru yang masih berkhidmat maupun yang sudah bersara.

Para Pengetua dan Guru Besar Bersama Bunting Gerakan Massa Terima Kasih Cikgu

Tuan Hj Yussuf bin Hj Chucu  juga melahirkan rasa kesyukuran dengan adanya program ini. Beliau berkata program ini bukan sahaja dapat memberi kesempatan menghargai dan mengucapkan terima kasih atas jasa-jasa guru-guru, sekurang-kurangnya dapat memberi keceriaan kepada guru-guru bahawasanya jasa mereka akan tetap dikenang selama-lamanya.

Tn Hj Yussuf juga merakamkan ucapan jutaan terima kasih kepada Jabatan Pendidikan WP Labuan kerana mengiktiraf usaha KPPIBKK atas perkongsian strategik ini.

Senator Datuk Hj Bashir bin Hj Alias , Ahli Dewan Negara Malaysia  dalam ucapan perasmiannya turut mengucapkan tahniah kepada Jabatan Pendidikan WP Labuan dan Kumpulan Penggerak Pelibatan Ibu bapa dan Komuniti Kebangsaan (KPPIBKK) negeri WP Labuan kerana berjaya mengadakan majlis yang gemilang ini.

Program ini mencerminkan usaha dan   bukti kepada permuafakatan kerjasama, sikap kebersamaan, kesepunyaan di antara pelbagai pihak  dengan  Kumpulan Penggerak Ibu Bapa Komuniti  sekaligus menunjukkan bahawa pendidikan kita di malaysia ini adalah milik masyarakat.

Beliau juga berharap agar program ini dapat diteruskan dan memberi peluang terbaik untuk guru-guru dihargai   dalam bidang pendidikan bersama permuafakatan ahli  Kumpulan Penggerak Ibu Bapa  Komuniti seluruh Labuan, PIBG , PIBK , Komuniti, Sektor   Swasta dan Korporat.

Gambar Kenangan, Terima Kasih Cikgu !

Turut hadir,  Datuk Hajah Aini Binti Safar, Pengerusi Majlis Pembangunan Wanita WP Labuan, Datuk Khalid Bin Abd. Ghani,  Puan Hjh Fauziah Binti Datuk Hj. Mohd. Din, Puan Maimoon bin Hj Matnoh, Encik Omar Baki Bin Matusin, Pengerusi KPPIBKK, Ketua-ketua Jabatan, Ketua Polis Labuan, Pengetua dan Guru Besar  dan  penerima anugerah Terima Kasih Cikgu Jasamu dikenang.

 

image_pdfimage_print