Labuan, 3 MEI – Kumpulan Penggerak Pelibatan Ibu bapa dan Komuniti Kebangsaan (KPPIBKK) negeri WP Labuan telah menganjurkan “Majlis Pelancaran Gerakan Massa Terima Kasih Cikgu” buat kali pertama bagi seluruh Malaysia.
Sekolah Kebangsaan Layang-Layangan telah terpilih selaku tuan rumah diketuai oleh Puan Hjh Dayang Damit@Saidah Md Yassin bagi majlis ini yang melibatkan 17 buah sekolah rendah, 9 buah sekolah menengah, Sekolah Menengah Agama dan Kolej Vokasional Labuan.
Majlis ini dianjurkan bersama Sektor Pengurusan Sekolah, Jabatan Pendidikan WP Labuan, Kumpulan Penggerak Pelibatan Ibu bapa dan Komuniti Negeri ( KPPIBKN), Yang Dipertua PIBG/Setiausaha PIBG , dan Kumpulan Sokongan Ibu bapa (KSIB).
Program ini diadakan untuk memberi penghargaan ‘Terima Kasih Cikgu’ dengan menggalakkan ibu bapa dan komuniti terlibat sama dalam meraikan sambutan Hari Guru peringkat sekolah, PPD dan JPN.
Di samping itu, meningkatkan permuafakatan, kerjasama, sikap kebersamaan dan kesepunyaan bahawa sekolah adalah milik masyarakat. Majlis ini juga berkonsepkan “Permuafakatan dan kerjasama ibu bapa, komuniti dan pihak swasta memberi penghargaan, meraikan, menghargai dan mengucapkan ‘Terima Kasih Cikgu’ kepada warga pendidik.”
Pelbagai acara dan aktiviti telah dilaksanakan bagi menggambarkan penghargaan dan terima kasih kepada warga pendidik . Penyerahan Bunting Terima kasih cikgu daripada Yang Dipertua PIBG kepada Pengetua dan guru besar sekolah masing-masing.
Anugerah Terima kasih Cikgu, Jasamu dikenang dijadikan satu platform untuk menzahirkan ingatan bekas-bekas murid kepada bekas guru yang disayangi.
Tuan Hj Ahmad bin Hj Tamin telah dinobatkan penerima Anugerah Terima Kasih Cikgu Jasamu dikenang bagi tahun 2018.
Penerima anugerah menerima Sijil Penghargaan dari Jabatan Pendidikan WP Labuan dan wang tunai sumbangan daripada bekas murid penerima anugerah sendiri iaitu Senator Datuk Hj Bashir bin Hj Alias, Ahli Dewan Negara Malaysia, RM 1,000, Datuk Mohd Rafi bin Datuk Alli Hassan, Ketua Pemuda WP Labuan, RM500.00 dan Tn Hj Yussuf bin Hj Chucu RM 500.00.
Encik Raisin Saidin, Pengarah Pendidikan Labuan dalam ucapannya , KPPIBKK dapat berganding bahu secara mantap dalam menzahirkan penghargaan terhadap segala jasa dan pengorbanan guru.
Beliau berharap kepada semua pihak samada yang terlibat dalam bidang pendidikan mahupun masyarakat di segenap lapisan wajar dan mampu menzahirkan rasa terima kasih mereka kepada golongan guru yang bukan sahaja menabur bakti malah mengorbankan diri untuk melahirkan dan membentuk generasi berilmu dalam sebuah negara yang berdaulat, maju serta berdaya saing.
Puan Zaliha binti Mohd Salleh, selaku Pegawai Meja PIBK,JPNWPL memaklumkan program Terima kasih Cikgu ini akan diadakan setiap tahun untuk mengenang jasa-jasa guru yang masih berkhidmat maupun yang sudah bersara.
Tuan Hj Yussuf bin Hj Chucu juga melahirkan rasa kesyukuran dengan adanya program ini. Beliau berkata program ini bukan sahaja dapat memberi kesempatan menghargai dan mengucapkan terima kasih atas jasa-jasa guru-guru, sekurang-kurangnya dapat memberi keceriaan kepada guru-guru bahawasanya jasa mereka akan tetap dikenang selama-lamanya.
Tn Hj Yussuf juga merakamkan ucapan jutaan terima kasih kepada Jabatan Pendidikan WP Labuan kerana mengiktiraf usaha KPPIBKK atas perkongsian strategik ini.
Senator Datuk Hj Bashir bin Hj Alias , Ahli Dewan Negara Malaysia dalam ucapan perasmiannya turut mengucapkan tahniah kepada Jabatan Pendidikan WP Labuan dan Kumpulan Penggerak Pelibatan Ibu bapa dan Komuniti Kebangsaan (KPPIBKK) negeri WP Labuan kerana berjaya mengadakan majlis yang gemilang ini.
Program ini mencerminkan usaha dan bukti kepada permuafakatan kerjasama, sikap kebersamaan, kesepunyaan di antara pelbagai pihak dengan Kumpulan Penggerak Ibu Bapa Komuniti sekaligus menunjukkan bahawa pendidikan kita di malaysia ini adalah milik masyarakat.
Beliau juga berharap agar program ini dapat diteruskan dan memberi peluang terbaik untuk guru-guru dihargai dalam bidang pendidikan bersama permuafakatan ahli Kumpulan Penggerak Ibu Bapa Komuniti seluruh Labuan, PIBG , PIBK , Komuniti, Sektor Swasta dan Korporat.
Turut hadir, Datuk Hajah Aini Binti Safar, Pengerusi Majlis Pembangunan Wanita WP Labuan, Datuk Khalid Bin Abd. Ghani, Puan Hjh Fauziah Binti Datuk Hj. Mohd. Din, Puan Maimoon bin Hj Matnoh, Encik Omar Baki Bin Matusin, Pengerusi KPPIBKK, Ketua-ketua Jabatan, Ketua Polis Labuan, Pengetua dan Guru Besar dan penerima anugerah Terima Kasih Cikgu Jasamu dikenang.