Kegembiraan Pelajar PPKI SMK Lajau Jelas Terpancar Menyambut Ihya Ramadhan, Penyerahan Biskut Raya dan Duit Raya

Kegembiraan Pelajar-Pelajar SMK Lajau menerima biskut raya dan duit raya

LABUAN – Program Pendidikan Khas Intergrasi (PPKI) SMK Lajau telah menganjurkan program Ihya Ramadhan dan Majlis Penyerahan Biskut Raya Dan Duit Raya yang berlangsung pada 6 Jun 2018 bertempat di Ruang Rehat bangunan PPKI.

Tujuan program Ihya Ramadan ini diadakan adalah untuk memberi pendedahan kepada murid tentang kewajipan ibadah puasa dan kepentingan ibadah puasa kepada warga PPKI SMK Lajau terutama sekali kepada pelajar PPKI.

Warga PPKI SMK Lajau telah menjemput penceramah khas dari luar iaitu Ustazah Noraida Binti Jamlie, beliau merupakan salah seorang da’i TV3 dan merupakan tenaga pengajar di salah sebuah Maktab Rendah Sains Mara di Sabah.

Pengisian ceramah daripada beliau banyak memberi input yang sangat berguna kepada warga PPKI terutama sekali kepada pelajar PPKI SMK Lajau.

Berakhirnya ceramah Ihya Ramadhan, majlis dimeriahkan lagi dengan majlis penyerahan biskut raya dan duit raya sempena menyambut hari raya aidilfitri yang akan menjelang tidak lama lagi.

Menariknya, biskut raya yang diberikan kepada pelajar adalah merupakan hasil air tangan murid PPKI SMK Lajau sendiri dimana mereka bertungkus lumus menghasilkan biskut raya dan aktiviti ini merupakan program tahunan yang akan diadakan setiap kali tibanya bulan ramadhan.

Ustazah Noraida sedang menyampaikan ceramah kepada pelajar PPKI SMK Lajau.

Selain menghasilkan biskut raya untuk diberikan kepada pelajar, PPKI SMK Lajau juga menghasilkan biskut raya untuk dijual kepada warga SMK Lajau dan juga orang luar.

Banyak tempahan yang diterima dan berkat hasil usaha pelajar-pelajar yang dibimbing oleh guru-guru dan Pembantu Pengurusan Murid semua tempahan itu dapat disiapkan dalam tempoh yang singkat.

Duit hasil dari jualan biskut raya ini akan dijadikan sebagai duit raya dan akan diserahkan kepada semua pelajar PPKI SMK Lajau.

Pengetua SMK Lajau Encik Mohd Jamatin bin Abd Latip, hadir sama  bagi memeriahkan lagi majlis  yang turut disertai oleh Penolong Kanan PPKI, Puan Noraini binti Haji Sabudin, barisan guru PPKI, Pembantu Pengurusan Murid dan semua murid PPKI.

Encik Mohd Jamatin dalam ucapannya menyambut baik program seperti ini kerana dapat memberi banyak manfaat selain menambah ilmu pengetahuan berkenaan dengan ibadah puasa dan bagi majlis penyerahan biskut raya dan duit raya dapat menghargai dan meraikan lebaran yang bakal tiba tidak lama lagi. Beliau turut memuji komitmen yang ditunjukkan oleh pelajar-pelajar PPKI dalam menjayakan majlis ini.

Kegembiraan jelas terpancar pada raut wajah setiap pelajar.

Sumber Berita : Encik Mohd Jamatin bin Abd Latip, Pengetua SMK Labuan

image_pdfimage_print