SK Tanjung Aru menerowong masa 1957, hayati erti kemerdekaan “sayangi Malaysiaku”

18 September 2018 / Labuan – Tahun 2018, SK Tanjung Aru telah mengadakan Majlis Penutupan Hari Kemerdekaan bertempat di Dewan Sri Tanjung. Bulan Kemerdekaan kali ini telah dilancarkan pada 13 Ogos yang lalu. Majlis yang meriah ini dihadiri oleh semua pentadbir sekolah iaitu puan Murni Binti Jaafar selaku Guru Besar Sekolah,  puan Normah Binti Rahimi sebagai Penolong Kanan Hal Ehwal Murid dan juga Encik Irham Bin Hamid selaku Penolong Kanan Ko-kurikulum.

Gimik pelancaran yang dijalankan pada 13 Ogos lalu menampilkan lakonan berbakat murid-murid SK Tanjung Aru beserta video yang menarik minat murid – murid demi menghayati erti kemerdekaan yang sebenar. Terdapat pelbagai aktiviti yang telah dijalankan semenjak Bulan Kemerdekaan ini dilancarkan pada Ogos yang lalu seperti Pertandingan Kelas Paling Patriotik, Pertandingan mewarna dan melukis poster Kemerderkaan, Pertandingan Rekacipta peta negara Malaysia daripada bahan terpakai, pakaian baju beragam, pertandingan swafoto kemerdekaan, dan Baju T paling patriotik. Setiap pertandingan yang dianjur mendapat sambutan yang hangat daripada murid-murid sekolah dan para guru. Sambutan ini juga merupakan usaha untuk penglibatan murid dalam aktiviti kemerdekaan sekaligus menyemai sikap patriotisme dalam kalangan murid.

Penglibatan ibu bapa yang memberangsangkan sepanjang Bulan Kemerdekaan ini berlangsung turut menjadi penyumbang kepada keberhasilan dalam mencapai matlamat program ini kerana ibu bapa juga mahu melihat anak-anak mereka menjadi golongan anak bangsa yang bersemangat tinggi yang mampu menempuh setiap cabaran yang mereka hadapi demi mempertahankan kemerdekaan negara.   Kerjasama yang erat antara pihak sekolah dan ibu bapa semasa Bulan Kemerdekaan ini menambahkan lagi keakraban hubungan antara kedua-dua pihak.

Guru Besar SK Tanjung Aru, Puan Murni Binti Jaafar mengucapkan tahniah kepada Ahli JawatanKuasa Kerja yang bertungkus lumus menjayakan semua aktiviti sepanjang Bulan Kemerdekaan serta Hari Penutupan yang begitu meriah sekali. Beliau juga berkata, sekolah harus menjadi platform untuk menerapkan perpaduan dari peringkat awal lagi serta dapat membentuk murid yang bertanggungjawab  dan mempunyai kesedaran sosial dan membantu menjalankan aktiviti-aktiviti ke arah kemajuan negara. Semangat patriotik dan cintakan negara sebaiknya diterapkan di dalam jiwa anak-anak bermula dari sekarang demi melahirkan modal insan yang cemerlang dan sayangkan negara kelahiran kita. Daripada ini, anak bangsa dapat menghayati erti kemerdekaan yang sebenar agar anak-anak didik SK Tanjung Aru saling menghormati dan mengasihi sesama insan tanpa mengira kaum dan agama.

image_pdfimage_print