LABUAN, 21 Sep – Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah Pesekutuan (W.P) Labuan, Encik Raisin Saidin optimis Jabatan Pendidikan W.P Labuan mampu membantu meningkatkan Industri Pelancongan di Labuan melalui tuan rumah kepada bengkel-bengkel, seminar mahupun persidangan antarabangsa dalam bidang pendidikan.
Justeru dengan kehadiran para peserta dari dalam dan luar negeri mampu membantu mengalakkan lagi sektor pelancongan di Pulau Bebas Cukai tersebut dan secara tidak langsung memperkenalkan Labuan kepada masyarakat luar mahu pun dalam Malaysia.
Beliau berkata demikian pada Majlis Makan Malam Menyambut Peserta-Peserta Bengkel Kerja “Leadership Development Programme” di salah sebuah restoran terkemuka di sini, baru-baru ini.
Bengkel yang diadakan di Apartmen Beta Hotel, Bangunan Ujana Kewangan Labuan mulai 19 hingga 21 September ini telah mengundang para peserta dari Sabah, Sarawak, Semenanjung serta Labuan sebagai tuan rumah.
Encik Raisin Saidin berharap agar para peserta bengkel dapat memanfaatkan segala ilmu dan pendapat melalui bengkel tersebut dan pada masa yang sama para peserta dapat mempromosikan lagi keindahan Labuan kepada rakan-rakan yang lain apabila pulang ke negeri masing-masing.
“Sesungguhnya Labuan berpotensi untuk diadakan pelbagai bengkel mahupun seminar disebabkan kedudukannya sebuah pulau yang kemudahan logistik dan kemudahan pengangkutan adalah mudah di samping banyak tempat-tempat yang menarik untuk dilawati”, tambah Raisin lagi.
Turut hadir pada makan malam tersebut, Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri Labuan, Encik Awang Marten Abdul Rahman serta Ketua Sektor Pengurusan Pembangunan Kemanusiaan, Encik Hasbullah Amit.