Program Komuniti Pembelajaran Profesional (PLC) : Perkongsian Amalan Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) Terbaik Melalui Kajian Tindakan dan Inovasi.

Gambar bersama warga SK ST Patrick membakut.

Labuan,22 Oktober – SERAMAI 20 orang ahli rombongan termasuk Ketua Sektor Jaminan Kualiti, 3 orang School Improvement Specialist Coaches (SISC+), 11 orang guru dan 5 orang staf sokongan Jabatan Pendidikan W.P.Labuan telah mengadakan Program Komuniti Pembelajaran Profesional (PLC) : Perkongsian Amalan Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) Terbaik Melalui Kajian Tindakan dan Inovasi, di 4 buah sekolah rendah di Sabah pada 15 – 19 Oktober 2018 yang lepas.

4 buah sekolah yang terlibat ialah SK Tinangol di daerah Kudat, SK Pekan Beaufort dan SK ST. Patrick, Membakut di daerah Beaufort dan SK Sangkabok, Menumbok di daerah Kuala Penyu. Selain itu, ahli rombongan juga turut mengadakan lawatan ke Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kudat dan Beaufort, Sabah.

Fatin Raihana sedang menerangkan inovasinya kepada murid-murid di SK Pekan Beaufort

Program PLC ini merupakan satu program khusus untuk guru-guru inovatif di Labuan bagi berkongsi amalan pedagogi terbaik mereka yang dilaksanakan melalui penghasilan alat dan bahan inovatif kepada rakan-rakan guru di Sabah. Ini adalah kerana pengetahuan, kemahiran dan nilai profesionalisme guru-guru inovatif di Labuan perlu berkembang selaras dengan perubahan pesat bidang pendidikan dan gelombang globalisasi.

Pembangunan Profesionalisme Berterusan (PPB) akan membantu membangunkan kompetensi dan potensi guru-guru inovatif di Labuan ke arah peningkatan kualiti peribadi dan kecemerlangan penyampaian perkhidmatan. Pengalaman pembelajaran melalui penglibatan guru-guru ini secara formal dan tidak formal dalam aktiviti keilmuan di sepanjang kerjaya mereka akan meningkatkan pengetahuan, kemahiran, kepakaran dan amalan nilai serta ciri-ciri lain bagi meningkatkan kualiti pendidikan abad ke-21 khususnya di Labuan.

Suriani Oxley sedang menerangkan inovasinya kepada murid murid di SK ST Patrick Membakut

Konsep pelaksanaan program ini terbahagi kepada dua iaitu Karnival Inovasi Bersama Murid-Murid dan Sesi Perkongsian Guru bersama guru-guru sekolah yang dilawati. Karnival Inovasi Bersama Murid-Murid merupakan aktiviti pameran alat dan bahan inovatif yang dihasilkan oleh guru-guru inovatif Labuan. Manakala, Sesi Perkongsian Guru pula merupakan aktiviti pembentangan perkongsian mengenai alat atau bahan inovatif yang dihasilkan dan impaknya terhadap kemenjadian murid-murid.

Menurut Ketua Sektor Jaminan Kualiti, Puan Khaziyati binti Osman, PLC seperti ini membantu meningkatkan kualiti dan amalan PdP guru-guru inovatif di Labuan, menyediakan peluang perkongsian ilmu, kepakaran dan kerjasama dalam kalangan guru-guru serta mewujudkan semangat kerja berpasukan. PLC seperti ini juga dapat mengindoktrinkan pemikiran guru-guru inovatif sebagai pengurus mata pelajaran yang pakar untuk membantu dan memberikan bimbingan kepada guru-guru yang lain bagi menzahirkan jati diri mereka sebagai pemimpin instruksional.

Guru daripada Labuan International School sedang menerangkan inovasi mereka kepada murid murid
image_pdfimage_print