Labuan, 21 Okt : Karnival Borneo Badudun Memperkasa Peranan Kumpulan Penggerak Ibu Bapa dan Komuniti (PIBK) Dalam Pembangunan Akademik dan Sahsiah Murid 2018 melambangkan penyatuan erat antara PIBG dan warga sekolah.
Pengarah Jabatan Pendidikan Labuan Encik Raisin Saidin berkata, program itu bertepatan dengan anjakan ke-9 Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia iaitu, bekerjasama dengan ibu bapa dan komuniti secara meluas.
Karnival ini mampu melahirkan komuniti yang bersatupadu dan bekerjasama tanpa mengira apa jua agama dan kaum.
Usaha ini dapat menyampaikan mesej penting kepada umum bahawa semua pihak sama ada yang terlibat dalam bidang pendidikan mahupun masyarakat di segenap lapisan.
“Permuafakatan sebegini menunjukkan kepada kita bahawa anjakan ke-9 sudah mula mendarah daging di jiwa masyarakat di Labuan demi memperkasa PIBK dalam pembangunan akademik dan sahsiah murid seterusnya ke arah kemenjadian murid yang semakin menyerlah di Labuan ini,” katanya semasa merasmikan program itu di Kompleks Sukan Laut Antarabangsa Labuan, petang Ahad.
Karnival yang berlangsung selama sehari itu diisi dengan pelbagai acara antaranya Kupi-kupi Santai PIBK, Sesi Dialog dan Forum, Pertandingan Gubahan, Pertandingan Menumpah Ambuyat, Sukaneka, Pesta Pantai, Persembahan rendah dan menengah.