Labuan, 9 Ogos – Seramai sepuluh orang murid dan dua guru Sekolah Kebangsaan Sungai Bedaun (SKSB) terpilih untuk mengikuti English Camp 2019, Projek Maybank Global CR Day 2019 dengan kerjasama Sabah English Aspiration Society (SEAS) yang diadakan di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Pei Yin , Membakut Sabah pada 3 hingga 4 Ogos yang lalu.
Program SEAS ini menggabungkan kerjasama beberapa pihak antaranya Kolej Vokasional Keningau, SJKC Pei Yin, Kementerian Pendidikan dan Inovasi Sabah, Jabatan Pendidikan Negeri Sabah , Pejabat Pendidikan Daerah Beaufort dan Maybank Berhad .
Projek Maybank Global CR Day diadakan setiap tahun merupakan program kemasyarakatan yang melibatkan komuniti di lokasi masing-masing melalui inisiatif yang memberi kesan kepada kehidupan dan alam sekitar.
Fokus pada kali ini adalah terhadap penguasaan Bahasa Inggeris dalam usaha untuk memperkasakan Bahasa Inggeris selaras dengan peranannya sebagai bahasa utama dunia.
Menurut Puan Noor Farehin Mohd Yusof, Ketua Panitia Bahasa Inggeris, sebanyak 15 buah sekolah sekitar Sabah yang terpilih dengan tajaan oleh Maybank dalam program “Seed of the Future Initiative” dan SKSB merupakan satu-satunya sekolah mewakili Wilayah Persekutuan Labuan yang mendapat tajaan daripada Maybank Berhad cawangan Labuan.
Beliau melahirkan rasa kesyukuran dan berterima kasih kepada pihak pengurusan Maybank Berhad atas pemilihan ini.
“ Alhamdulillah, peserta-peserta SKSB memberi maklumbalas yang positif. Mereka bukan sahaja dapat belajar Bahasa Inggeris dalam persekitaran yang responsif dan menyeronokkan malah dapat berkenalan dengan peserta-peserta dari sekolah lain ”. Katanya semasa majlis penutupan kem tersebut.
Program SEAS telah dirasmikan oleh Puan Jenifer Lasimbang, Pembantu Menteri Pelajaran Dan Inovasi, Sabah. Turut hadir Dr Zainab binti Kassim, Pengarah Sabah English Aspirations Society, Team CR Maybank , Encik Sirhajwan Idek, Guru Bahasa Inggeris Kolej Vokasional Keningau yang pernah menjadi Juara Dunia bagi International Innovation and Entrepreneurship Excellence in Teaching Award di Paris pada tahun 2017. Fasilitator dari United Kingdom, MyOutreach@UK Team dan fasilitator daripada Kolej Vokasional Keningau, Sabah.
Guru Besar SKSB, Puan Dg. Sarifah Binti A. Mahmod turut merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak Maybank Berhad yang telah memberi peluang kepada murid-murid SKSB untuk menyertai kem tersebut.
“ Sekali lagi ucapan terima kasih kami warga SKSB kepada Maybank dan SEAS atas sumbangan buku-buku kepada para peserta dan juga untuk sudut-sudut bacaan di SKSB ”. Katanya dengan penuh bangga.
Beliau berharap semoga input yang diperolehi oleh anak-anak SKSB melalui kem ini dapat meningkatkan keyakinan diri untuk bertutur dalam Bahasa Inggeris bagi mencorak pemikiran generasi masa depan serta dapat membina hubungan rapat di antara sekolah dengan SEAS melalui ‘Smart Partnership’ berkaitan dengan perkongsian ilmu dan kepakaran khususnya dalam penguasaan Bahasa Inggeris.
Semoga program ini dapat diteruskan lagi dan dapat memberi peluang kepada murid-murid lain untuk menyertai program yang sangat bermanfaat ini.
Berita Oleh : SK Sungai Bedaun