SMK Mutiara Mengelola Sekolah Sukan Negeri Challenge (SSNC) Zon Borneo 2019

Encik Raisin Saidin ketika merasmikan Sekolah Sukan Negeri Challenge bersama Encik Mohd Nizam

Labuan 21 September – SMK Mutiara telah mengelola Sekolah Sukan Negeri Challenge (SSNC) pada Sabtu. Acara tahunan ini bertujuan untuk mempromosikan acara sukan sepanjang tahun sesuai dengan status SMK Mutiara sebagai sekolah sukan negeri. Sebanyak 12 sekolah menengah telah menyahut cabaran pada tahun ini.

SMK Mutiara dan SMK Datuk Peter Mojuntin sebagai SSN telah berkolabatif menjayakan SSNC Zon Borneo sejak 5 tahun lalu.

Pada tahun ini SSNC turut disertai SMK Mat Salleh, SMK Ranau dan semua sekolah menengah di Wilayah Persekutuan Labuan sebagai pasukan jemputan.

Sebanyak 3 jenis sukan dipertandingkan iaitu Olahraga, Sepak Takraw dan Bola Jaring. Semua acara melibatkan penyertaan peserta-peserta di bawah umur 14 tahun sebagai usaha melahirkan atlet-atlet pelapis yang berwibawa.

Kejohanan SSNC kali ini telah dirasmikan oleh Pengarah Pendidikan W.P Labuan, Encik Raisin bin Saidin.

Dalam ucapannya, beliau melahirkan rasa syukur dan terima kasih atas penyertaan daripada 3 buah sekolah dari Sabah dan 9 buah sekolah menengah di W.P. Labuan. Kejohanan ini adalah medan mencungkil bakat dan kemahiran atlet-atlet pelapis untuk membawa cabaran ke peringkat yang lebih tinggi.

Beliau turut menekankan kepentingan semangat kental dan usaha yang gigih untuk berjaya dalam apa-apa bidang.

“acara-acara sebegini adalah sangat baik dalam menggalakkan aktiviti pelancongan berasaskan sukan serta mampu mengeratkan silaturrahim antara sekolah di Wilayah Persekutuan Labuan dan Sabah”. Encik Raisin Saidin

Selesai acara perasmian dan menyaksikan beberapa acara olahraga, Encik Raisin Saidin turut melawat venue pertandingan sepak takraw yang diadakan di dewan Kompleks Sukan Labuan. Beliau turut menyaksikan pertandingan bola jaring di dewan arena SMK Mutiara.

Kejohanan yang bermula jam 7.30 pagi telah berjalan lancar dan berakhir jam 2.00 petang.

Acara olahraga telah didominasi oleh atlet-atlet dari SMK Datuk Peter Mojuntin yang berjaya membawa pulang 9 pingat emas.

SMK Mutiara telah berjaya menjadi johan dalam acara sepaktakraw. Sementara itu, perlawanan akhir bola jaring antara pasukan tuan rumah dan pasukan SMK Datuk Peter Mojuntin telah berlangsung sengit dengan pasukan pelawat berjaya merangkul johan dengan jaringan 5 berbalas 4.

Acara penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Pengetua SMK Mutiara, Encik Mohd Nizam bin Yasim.

Turut hadir menyaksikan kejohanan ini ialah Penyelia Unit Sukan Jabatan Pendidikan W.P. Labuan, Encik Awang Zain bin Awang Kanak dan wakil-wakil pengetua sekolah menengah.

Berita Oleh : SMK Mutiara

Loading

image_pdfimage_print